Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
(disebar-emailkan pada November 2004)
Andainya ada istilah “lupa” di dalam bidang kejuruteraan, maka perkataan “losses” lah ungkapan yang paling tepat untuk menggambarkannya. Ini kerana, efficency atau “kecekapan” sesuatu sistem akan sentiasa terjejas apabila nilai keluaran adalah tidak sama bahkan berkurangan dibandingkan dengan nilai masukan, akibat kewujudan losses[1] ini. Dan fenomena losses ini, walaupun sering diabaikan tatkala membuat pengiraan, tetap saja hadir dan tetap sahaja akan menjejaskan kecekapan penghantaran elektrik, akibat “terlupanya” sebahagian tenaga elektrik itu bahawa ia sebenarnya adalah kWh bukannya haba[2], lantas kejadian “tidak sedar diri” ini mengakibatkan kecekapan operasi 100% gagal diperolehi. Itulah sebabnya dalam bidang kejuruteraan elektrik kuasa, apabila sesuatu pembekal tenaga elektrik mahu menghantar tenaga melalui transmission line yang panjang lebar, voltannya sering kali dinaikkan supaya dengan mengecilnya arus elektrik di sepanjang transmission line itu, losses akan dapat dikurangkan[3].
Begitulah juga dengan sunnah perjuangan. “Kecekapan” sesuatu gerakan Islam itu, dalam misinya menanamkan kecintaan terhadap ALLAH di hati manusiawi, akan menemukan “kecacatan” dan –seringkali- “kebuntuan” akibat fenomena losses ini. Kerananya, cita-cita suci melihat Islam kembali mewarnai kehidupan masyarakat akan terjejas dan terhakis, akibat “kelupaan” dan “kealpaan” manusia, penggerak dakwah terutamanya, terhadap kepentingan tarbiyah, yang natijah daripada itu sering menyebabkan mereka “lupa” kepada ALLAH.
Inilah puncanya detik-detik yang kita lalui sehari-hari sering menyaksikan “pengabaian” terhadap tujuan utama kehidupan ini: berbakti demi mencari redha Ilahi. Pertanyakan saja pada masyarakat, bahkan pada diri kita sendiri, berapa juzuk-kah bacaan Quran kita seminggu? Berapa kalikah punggung kita, kita “panaskan” daripada perbaringan, demi memenuhi ciri mukmin sejati, iaitu sujud menikus di persujudan dikala insan lain lena dibuai mimpi? Walhal ALLAH SWT menggambarkan orang mukmin itu, sebagai orang yang tidak mudah lupa kepada Rabbnya, sungguhpun diwaktu lena, hinggakan tidurnya sahaja bisa bernilai ibadat. “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap..” (as-sajadah[32]:16). Pertanyakan lagi, banyakkah kita mengistighfari diri, berzikir yang ma’thur, atau hari-hari yang kita lewati, lebih banyak kita penuhi dengan omongan kosong dan angan-angan basi?
Sedang para salafus-shalih, melupakan ALLAH barang sejenak sudah diperkirakan sebagai losses yang cukup besar hingga “kecekapan” ibadat dan perjuangan mereka bisa terjejas, lantaran –menurut mereka- “ingatan” ALLAH buat mereka akan “berkurangan” (walaupun hal itu tidak mungkin), tetapi kerana mereka teringat janji Ilahi Rabbi; “Kerana itu, ingatlah pada-Ku, nescaya Aku (ALLAH) ingat padamu pula..” (al-Baqarah[2]:152)
Inilah rahsianya kejayaan dan keunggulan, atau istilah engineeringnya “kecekapan” sesuatu umat. Iaitu bagaimana mereka -dengan sedaya upayanya- berusaha menghindari fenomena “lupa” ini. Kerana kekhuatiran mereka akan terjejasnya misi mulia ini, lantaran kealpaan dan kelalaian mereka sendiri. Bukankah ALLAH SWT telah berfirman; “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa pada ALLAH, lalu ALLAH menjadikan mereka lupa pada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq” (al-Hasyr[59]:19) Nah, maka jawapan yang paling tepat terhadap terbantutnya kejayaan dan kemuliaan Islam di persekitaran kita, adalah akibat kesilapan diri sendiri.
Maka dengan itu bangkitlah wahai teman, berhentilah dari mimpi panjang kalian. Usahlah kita mengharapkan suatu keunggulan dan kemenangan, sedang “kecekapan” kita dalam berinteraksi dengan Islam sahaja masih wajar dipersoalkan. Komitmen kita, pengorbanan kita, keistiqamahan kita terhadap Islam, sering kali kecundang ketika mana kita bandingkan dengan komitmen dan pengorbanan yang diberikan terhadap urusan-urusan duniawi kita, seperti study, kerja lain sebagainya. Bagaimana begitu mudah kita “lupa”, dan memejamkan mata, memekakkan telinga, membisui kata-kata terhadap penderitaan saudara seIslam kita diseluruh dunia: di Palestin, di Fallujah dan tanah Iraq lainnya, di selatan Thai, di Sudan, di Chehnya, di Afghan, dan lain-lain, walhal tradegi tersebut kini telah dizahirkan secara terangan-terangan? Adakah kita rela dibakar api Neraka lantaran merasa cukup indah dan mewah dengan kehidupan kita, tanpa terasa luka sengsara saudara-saudara kita di sana, walhal di dalam sebuah hadith, ALLAH menyeksa seorang wanita yang mengurung dan menyeksa seekor kucing[4]. Ya, seekor kucing! Inikan pula manusia! Renungilah peringatan al-Quran buat kita: “Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami dan merasa puasdengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu, dan orang-orang yang melalaikan ayat Kami’” (Yunus[10]:7) maka,lantaran ketenteraman kita daripada gejolak kesedihan dan belas kasihan, serta kepuasan kita terhadap “kejayaan peribadi” kita, “untuk mereka itu tempatnya di Neraka, disebabkan apa yang mereka kerjakan” (Yunus[10]:8) Sama-sama kita pohon perlindungan ALLAH daripada itu.
Maka, wahai saudaraku, sedaya-upayalah kita menghindari fenomena lupa ini: lupa terhadap ALLAH, lupa terhadap nasib manusia. Dalam apa kondisi pun: belajar, kerja, bangun, duduk dan baring, agar ALLAH pula tidak akan melupakan kita. Inilah syaratnya agar setiap “karya” kehidupan kita bernilai ibadat: iaitu ditujukan semata menggapai keredhaan-Nya. Bahkan tidur pun bisa bernilai ibadat, bila mana –bak kata P.Ramlee- kita “tidur dalam iman”.[5]
“Redha ALLAH itu matlamat, Tarbiyyah umat suatu amanat”
RUJUKAN
[1] Definisi perkataan “losses” di alamat URL: www.nzelectricity.co.nz/H9glossary.htm
[2] Definisi perkataan “losses” di alamat URL: www.caiso.com/aboutus/glossary/
[3] “Encyclopedia.com: Transmission of Electrical Energy” URL:
www.encyclopedia.com/html/section/power-el_TransmissionofElectricalEnergy.asp
[4] Lihat taujih daripada Osama Laden dalam VCD “Mengapa Osama digeruni?”
[5] Ungkapan ini diubah suai sedikit daripada perkataan asal oleh P.Ramlee dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok”
No comments:
Post a Comment