“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.”
(Surah At-Taubah [9]:42)
Dalam satu pertandingan bola sepak yang dijalankan secara liga, pasukan saya cukup-cukup orang. Saya pula, sejak kecederaan hamstring yang saya alami pada tahun 2009, sudah menjelma menjadi seperti Ryan Giggs: Hamstring akan sentiasa datang kembali, terutamanya tatkala cuba memecut.
Malangnya, seawal perlawanan pertama lagi, hamstring saya datang kembali. Mujur rakan sepasukan lain akhirnya meuncul, itu pun cukup-cukup sorang – dua reserve player sahaja. Akibatnya, pasukan kami keletihan lantaran tidak dapat menggantikan pemain pasukan kami.
Kerana kekurangan pemain ini, serta masalah kecederaan yang menimpa rakan-rakan sepasukan lain, biarpun saya sudah tidak mampu berlari, saya tetap bermain dalam perlawanan seterusnya. Biarpun sekadar menjadi” pak pacak”, tetapi secara psycologynya, “pak pacak” pun boleh memainkan peranan, kerana tetap mampu mengganggu tumpuan pemain pasukan lawan. Inilah yang seharusnya menjadi pegangan kita, betapa sekecil mana pun role yang kita pegang, setiap daripada kita memainkan peranan. Barangkali inilah antara ibrah dihukumnya Ka’ab Bin Malik kerana tidak turut serta berperang (dalam perang Tabuk) sedang para munafiqun mendapat kemaafan dan pasukan Islam pun memperoleh kejayaan gilang-gemilang; iaitu untuk menunjukkan betapa di dalam perjuangan, setiap daripada kita memainkan peranan!
Alhamdulillah, rakan-rakan sepasukan yang turut cedera, kemudiannya masuk ke padang seorang demi seorang, menggantikan rakan sepasukan yang keletihan. Ukhuwah Islamiyah terasa segar lagi bugar pada tengahari yang terik itu. Menang – kalah tidak lagi menjadi ukuran, tetapi teamwork dan semangat kesukanan yang menjadi pendorong dan motivasi bagi kami sepasukan. Kata seorang rakan sepasukan, beliau menggagahkan dirnyai untuk bermain biarpun kedua-dua kakinya sudah tercedera, kerana termotivasi melihat saya yang tidak mampu berlari tetapi tetap terus bermain bermati-matian. Begitu juga rakan-rakan yang lain, memandangkan pangkat saya lebih tinggi berbanding mereka, tentunya mereka segan andainya mereka berputus asa sedang bos mereka tetap terus tegar meneruskan perjuangan.
Saudaraku,
Kisah benar di atas sewajarnya memberikan banyak “permata” berharga buat diri kita. Kalau saja sebuah pertandingan bola sepak yang impian untuk menjadi juara sudah terkubur seawal sepak mula sahaja tetap mampu menzahirkan ukhuwah dan kerjasama berpasukan, mengapa aktivis gerakan Islam tidak mampu termotivasi untuk menampilkan kerjasama, ukhuwah dan saling berlapang dada yang sama? Kalau orang awam sahaja tidak kenal erti berputus asa, mengapa mereka yang telah diperkenalkan dengan al-Quran dan sunnah nabi-Nya, cepat sangat berputih mata?
“jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".
(Surah Yusuf [12]:87)
Dan kalau yang memotivasikan pemain-pemain bola sepak yang kepenatan dan telah tercedera tadi, adalah tatkala ada orang yang senasib mereka masih tetap mampu berjuang “hingga titisan darah yang terakhirnya”, tentunya antara root cause kepada kelembapan dakwah di Malaysia sudah terjawab sejak sekian lama: kita kekurangan qudwah dan keteladanan daripada para aktivis dan pemimpin dakwah kini. Mereka hanya tahu bersuara, tetapi tidak turun padang sama. Mereka hanya tahu mencadangkan, tetapi tidak sudi berbuat sama. Mereka hanya ingin dihormati sebagai pimpinan, tetapi seakan malu untuk “mencemar duli” berbincang, berkongsi dan bertanya pandangan orang bawahannya. Keteladanan mereka hanya dalam bentuk kata-kata, bukan qudwah amal yang nyata.
Kerana itu, teruslah berjuang, hingga titisan darah yang terakhir. Kerana jika Manchester United sahaja tetap tegar berjuang hingga ke wisel penamat, hingga berhasil menjaringkan gol lewat seterusnya memenangi Champions League 1999, apakah mereka yang telah dijanjikan kemenangannya oleh Allah, akan terasa seakan mahu berhenti berjuang?
No comments:
Post a Comment