Followers

Monday, May 9, 2011

Roman Abromovich

Siapakah yang sebenarnya paling “berkuasa” di dalam sesebuah pasukan bola sepak?

 

Mungkin ada yang beranggapan bahawa ketua pasukanlah individu yang paling berkuasa. Namun, kapten Man. Utd. pasca zaman Eric Cantona, siapa lagi jika bukan Roy Keane yang juga merupakan idola pasukan tersebut,  tidak semena-mena mendapati “jodoh”nya dengan peminat-peminatnya tidak panjang setelah berselisih pendapat dengan pengurus The Red Devils itu.

 

Atau, apakah mungkin pemain yang paling “bintang” mempunyai pengaruh yang paling besar di dalam sesebuah pasukan? Well, David Beckham, yang saat itu merupakan Ketua Pasukan kebangsaan sekaligus pemenang no. 2 Anugerah Pemain Terbaik Dunia, akhirnya ditunjukkan “pintu keluar” daripada pasukan yang ia sokong dan terlibat sejak zaman kanak-kanaknya lagi.

 

Dengan ramai pemain bintang ditunjukkan “jalan keluar” setelah berselisih pendapat dengan Sir Alex Ferguson, adakah ini bererti betapa Pengurus pasukanlah yang paling berkuasa di dalam sesebuah pasukan? Huh, sehebat-hebat pengurus paling Berjaya di dalam sejarah bola sepak Inggeris itu sekalipun, beliau tetap tidak dapat membawa masuk pemain idamannya, Wesley Sneijder untuk menyarung jersi “merah” itu, melainkan mendapat kelulusan daripada pemilik kelab, yakni keluarga Glazer.

 

Sungguh pun Berjaya menukar “wajah” pasukan Chelsea menjadi juara sekaligus pasukan yang digeruni, pengurus yang mencetuskan fenomena serta digelar (atau menggelarkan dirinya sendiri) “The Special One”, Jose Mourinho, turut menjadi saksi betapa kelab itu bukan mutlak miliknya, setelah ia disingkirkan oleh pemilik kelab itu, Roman Abromovich.

 

Nah, segalanya adalah milik sang pemilik. Maka bagaimana dengan hidup ini? Bagaimana dengan dakwah ini? Ianya juga bukan milik kita, tetapi justeru milik “Sang Pemilik.”

 

“Allah-lah yang memiliki segala apa yang di langit dan di bumi”

(Surah Ibrahim [14]:2)

 

Saudaraku,

Lantaran itu, orang-orang yang beriman, digambarkan oleh Al-Quran sebagai mereka-mereka yang bisa redha, baik ketika menerima nikmah, mahupun saat ditimpa bala. Kerana “keajaiban” mereka  –itulah bahasa Nabi SAW- itu tercipta, kerana mereka sedar betapa mereka adalah milik Allah, bukan milik diri mereka sendiri.

 

“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri”

(Surah Al-Hadid [57:22-23)

 

Lihatlah sahaja kesabaran Ummu Sulaim tatkala menerima kematian anaknya, saat sang suami Abu Thalhah keluar berjihad. Sekembalinya Abu Talhah dari safarnya, dia bertanyakan khabar anaknya yang sedang sakit itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab, “Anak kita berada dalam keadaan aman”. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim, “Wahai suamiku, andaikata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya?” Jawabnya: “Tidak”. Kemudian Ummu Sulaim berkata, “Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali”. Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia redha dengan takdir Allah.

 

Dakwah juga bukan milik kita, tetapi milik Allah. Kita hanyalah “pemain-pemain” yang “mewarnakan” dakwah itu, sedang sang penentu kejayaan, keberhasilan, dan masa depan dakwah, semuanya tergantung keputusan “sang pemilik.” Lantaran itulah kita tidak dituntut beramal, berharakah dan berjihad, melainkan dengan seikhlas mungkin mengharap keredhaan-Nya, agar tidak kita kecewa dalam menghadapi kegagalan, halangan dan ketidak berhasilan. Bukankah Nabi SAW sahaja terutus sebagai da’ie (pendakwah) juga atas izin daripada-Nya?

 

“Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa kabar gemgira dan pemberi peringatan.

dan untuk jadi da’ie ilallah, dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi”

(Surah Al-Ahzab [33]:45-46)

 

Inilah pemahaman terhadap maksud tauhid rububiyyah, yakni Allah itu, selain merupakan Pencipta dan Pemberi Rezeki, merupakan Pemilik, dan segala yang ada di jagat raya ini adalah milik-Nya. Maka sudahkah kau tanyakan kepada Sang Pemilik, apa yang dikehendaki-Nya? Atau, kau beramal dan berjuang, bersandarkan kehendak mu semata-mata? Kalau Nabi SAW sahaja ditegur oleh Allah SWT melalui sebuah surah, tatkala melaksanakan dakwah bukan atas kehendak Tuhan-Nya –iaitu mengutamakan pembesar Quraisy seraya mengabaikan sang buta Abdullah Ibnu Maktum- layakkah kita berjuang dan berkorban, menurut “selera” kita semata-mata, seraya meninggalkan petunjuk dan pedoman di dalam Kitab, sunnah dan sirah Rasul-Nya?

 

Ingatlah, hidayah dan anugerah yang Allah kurniakan kepada kita untuk berada di atas “jalan ini” merupakan anugerah, bukan hak milik. Maka berdoalah agar Sang Pemilik tidak menariknya daripada kita, lantaran kufurnya kita pada nikmatnya.

 

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

(Surah Ibrahim [14]:7)

 

 

 

1 comment:

  1. Salam akhi,

    Ana tgh pening, huhu, ingin berkongsi, siapakah 'pemilik' sebuah research grant'...
    i) pihak yg bagi duit ( geran, biasiswa, gaji)
    ii) ketua penyelidik ( merangkap supervisor, co sv etc)
    iii) penyelidik
    iv) rakyat - nak tau hasil research

    kenapa kesemua pihak bermati2an hingga seolah2 xde benda lain nak pk kalo research x capai hadafnya....

    afwan ustaz, ana tgh pening..huhu

    ReplyDelete