Followers

Sunday, July 3, 2011

The Human Torch

Dari Suhaib bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita:

Di zaman sebelum kamu dahulu ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir. Bila tukang sihir merasa dirinya telah tua, dia berkata kepada raja tersebut: “aku telah tua. Carilah seorang budak (yang paling cerdik) yang boleh aku ajarkan kepadanya sihirku. Lalu dicari seorang budak dan tukang sihir tersebut mengajarkan kepadanya ilmu sihirnya.

Di pertengahan jalan menuju ke tempat belajarnya, terdapat seorang rahib. Budak tersebut telah duduk sebentar mendengar ajaran rahib tersebut dan merasa seronok dengannya. Selepas kali tersebut, setiap kali melalui tempat rahib, budak tersebut akan berhenti dan mendengar ajarannya. Ahirnya bila tiba kepada tukang sihir, ia dipukul (kerana terlambat). Lalu ia mengadu kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Jika kamu takutkan tukang sihir, katakana kepadanya bahawa ububapaku menahanku (di rumah). Jika kamu takutkan ibubapamu (kerana lewat pulang), katakana kepada mereka berdua tukang sihir telah menahanku.

Waktu berlalu dan pada suatu hari budak tersebut telah bertemu dengan seekor binatang besar yang menghalang laluan orang ramai. Budak tersebut berkata di dalam hatinya, “Pada hari ini, aku akan tahu siapakah yang lebih hebat, tukang sihir atau rahib. Lalu diambilnya seketul batu dan dibaca: Ya Tuhan, jika sekiranya rahib lebih Engkau cintai dari tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang ramai.”

Lalu dilontar batu tersebut dan binatang tersebut pun mati (orang ramai sangat kagum dengan budak tersebut dan mengatakan dia mempunyai ilmu yang kita semua tidak mengetahuinya).
Perkara tersebut diceritakan kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Engkau pada hari ini telah menjadi lebih hebat dariku. Engkau telah sampai ke peringkat yang aku dapat lihat sekarang. Tapi ingat, engkau akan diuji nanti. Apabila engkau diuji oleh Allah, maka jangan sekali-kali engkau memberitahu tentang ku.

Budak tersebut berjaya mengubati penyakit kusta dan sopak. Dan juga dapat mengubat semua penyakit yang dihadapi oleh orang ramai. Suatu ketika seorang yang dekat dengan raja telah terkena satu penyakit hingga buta matanya. Apabila mendengar tentang kehebatan budak tersebut, dia telah membawa hadiah yang banyak. Dia berkata kepada budak tersebut: “semua ini untukmu jika engkau dapat menyembuhkan mataku.”

Budak berkata kepadanya: “Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Hanya Allah yang dapat menyembuhkan. Jika engkau beriman dan percaya kepada Allah, aku akan berdoa dan Allah akan menyembuhkan penyakitmu.” Lalu si pembesar buta tersebut percaya dan beriman kepada Allah. Budak tersebut mendoakan untuknya dan matanya pun sembuh seperti sedia kala.

Pembesar tersebut datang seperti biasa kepada raja. Raja terkejut dan bertanya kepadanya: “Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Kata pembesar tersebut: “Tuhanku.” Raja sangat marah dan mengatakan: “Ada ke tuhan lain selain dariku?”

Lalu pembesar tersebut ditangkap dan diseksa hingga dia pun membonngkarkan ajaran budak tersebut. Budak tersebut dibawa kepada raja lalu raja bertanya: “Aku telah mengetahui kehebatanmu, sekarang kamu dapat menyembuhkan penyakit itu dan ini dan dapat melakukan itu dan ini.”
Lalu budak itu menjawab: “Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Hanya yang dapat menyembuhkan ialah Allah.” Lalu iapun ditangkap dan terus diseksa sehinggalah ia pun membongkarkan rahsia rahib (kerana tidak tahan dengan seksaan).

Lalu rahib pun ditangkap. Ia diserahkan supaya meninggalkan agamanya tetapi rahib menolak. Lalu dibawa gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan digergaji. Tubuhnya terbelah dua dan keduanya melerai jatuh ke bumi.

Budak tersebut lalu dibawa lagi kepada raja. Raja berkata: “Balik semula kepada agama asalmu.” Budak menolak lalu raja memanggil sebahagian dari kumpulannya dan dikatakan kepada mereka: “Bawa budak ini ke bukit sekian-sekian dan jika sekiranya ia tetap enggan, campakkan dari atas bukit. Tiba di sana, budak berdoa kepada Allah: “Ya Allah, tolonglah aku dengan cara yang Engkau kehendaki.”

Tiba-tiba bukit bergegar dab jatuh kesemua orang-orang raja tersebut. Budak balik berjalan kepada raja. Raja bertanya: “Mana dia kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.” Lalu raja memanggil sebahagian lagi kumpulannya dan berkata: “Bawa budak ini ke tengah laut. Jika ia enggan, campakkan ia ke dalam laut.”

Bila tiba di tengah laut, budak tersebut berdoa dengan doa yang sama. Tiba-tiba perahu tenggelam dan semua kumpulan raja mati lemas. Budak balik semula kepada raja. Raja terkejut dan bertanya: “Mana kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.”

Lalu budak tersebut berkata kepada raja: “Kamu tidak mungkin akan dapat membunuhku sehinggalah kamu menurut apa yang aku minta.” Tanya raja: “Apa dia?” Kata budak: “Engkau kumpulkan semua orang ramai di satu padang, kamu ikatkan aku di pohon kurma. Kemudian engkau ambil satu dari panahku dan letakkan panah tersebut pada busurnya. Kemudian engkau baca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini. Kemudian engkau panahlah aku. Kalau engkau melakukan begitu, kamu akan dapat membunuhku.

Lalu raja pun mengumpulkan orang ramai di satu padang. Budak itupun diikat pada sebatang pohon kurma. Kemudian diambil satu panah dan diletakkan pada busurnya. Lalu raja membaca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini dan terus dipanahnya. Panah tersebut mengenai bawah telinganya. Perlahan-lahan budak meletakkan tangannya pada tempat panah tersebut dan terus meninggal dunia. (Tiba-tiba orang ramai berkata: “Budak ini mengetahui perkara yang kita tidak ketahui)* “Kami percaya kepada Tuhan budak ini.”
Raja menjadi kelam kabut dan mengatakan: “Telah berlaku apa yang aku tidak mahu ianya berlaku.” Lalu raja menyuruh digali parit-parit di laluan-laluan orang ramai dan dinyalakan api di dalamnya. Sesiapa yang lalu akan diarahkan supaya kembali semula kepada agama asal. Jika tidak, akan dicampakkan ke dalam parit tersebut.

Lalulah seorang wanita dengan seorang anak kecilnya (bayi). Wanita tersebut gementar takut dicampakkan ke dalam api tersebut. Tiba-tiba bayinya bercakap dan berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, sabarlah. Engkau berada di atas kebenaran!”

Hadis riwayat Muslim (No.5327 Kitab Zuhud dan Raqa’iq), Tarmizi (No.3263 Kitab Tafseer al-Quran) dan Imam Ahmad. Hadis disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab Riyadhus Solihin di bawah bab Sabar.
*di dalam kurungan ialah beberapa tambahan yang ada dalam riwayat Tarmizi

Di akhir riwayat, Imam Tarmizi menyatakan bahawa:
Budak tersebut kemudiannya dikebumikan. Pada zaman Sayyidina Omar r.a telah ditemui mayatnya dalam keadaan tangannya masih diletakkan di bawah telinganya yang masih luka.

Fantastic Four adalah antara kisah adiwira yang telah difilemkan ke alam nyata. Menurut Wikipedia (memandangkan saya tidak menonton filemnya), Fantastic Four mengisahkan tentang seorang ahli sains dan beberapa orang kawannya yang melakukan sebuah kajian saintifik di angkasa. Semasa di angkasa, kesemua mereka telah terkena sinaran radiasi daripada cosmic energy clouds yang natijahnya, tatkala pulang ke bumi, kesemua mereka mengalami perubahan dengan kehadiran super power yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Jika Dr. Reed mampu menengang bak getah dan teman wanitanya Susan Storm mampun menjadi halimunan, angkasawan Ben Grimm pula bertukar menjadi manusia batu ala Si Tanggang (erm..sebenar tak sama dengan Tanggang. Mungkin ciplak idea je kot) yang menggerunkan. Gagah, tapi menakutkan. Kuat, tapi kehodohan yang teramat. Tidak ketinggalan adalah seorang lagi ahli konvoi Freedom Flotilla…erm…sorry,sorry… sorang lagi ahli konvoi ke angkasa lepas iaitu si belagak Johnny Storm, yang juga merupakan adik kepada si cantik Susan Storm aka Invisible Woman. Johnny, beroleh kuasa atau kemampuan untuk bertukar kepada makhluk berapi sambil mampu terbang tinggi-tinggi sampai cucur atap. Dengan kebolehan ini, Johhny menggelarkan dirinya The Human Torch!

 

Biar pun di kalangan kita, sering kali memandang sinis akan kisah adiwira-adiwira ini, tapi jangan terkejut jika bayang mereka benar-benar kelihatan di alam nyata. Saya sendiri pernah melihatkan The Human Torch secara realitinya. Di Tunisia, seorang pemuda Mohamed Bouazizi, 26, seorang peniaga sayur, telah bertindak menjadikan dirinya The Human Torch dengan membakar dirinya sebagai tanda protes terhadap kekejaman rejim Ben Ali yang mengakibatkan kemiskinan tegar di kalangan rakyat selain penindasan yang dialami oleh rakyat kebanyakan. Tanpa membincangkan sama ada halal atau haram tindakan pemuda malang ini, kehadiran The Human Torch inilah yang kemudiannya menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat untuk seterusnya menggerakkan revolusi Arab yang pertama, hingga akhirnya jatuhlah sang dictator bernama Ben Ali itu. Dan seperti domino, kebangkitan rakyat berterusan, dan masih berterusan hingga ke hari ini. 

 

Saudaraku,

Perjuangan memang tidak pernah lepas daripada menuntut pengorbanan. Bukan sedikit harga dan nyawa yang harus dibayar oleh setiap bangsa yang menuntut keadilan, kemerdekaan dan seabaginya. Cuma, dalam pada kita mahu berjuang dan menuntut pengorbanan, biarlah planning yang kita buat sudah sehabis baik, agar effect daripada pengorbanan yang telah dicurahkan itu berbaloi, dan lebih banyak kebaikan diperoleh oleh umat berbanding kemudaratan. Bak kata keramatnya Saydina Ali; “kebatilan yang ter-organize akan dapat mengalah kebaikan/kebenaran yang tidak di organize.”

 

Seperti budak di dalam hadith Bab Sabar Kitab Riyadhus Shalihin di atas. Dengan ia mengajarkan sang Raja akan cara dan kaedah untuk membunuh dirinya (sang budak) –iaitu dengan melepaskan busur dari panah dengan menyebut nama Allah- membuatkan effect yang cuba dicegah oleh Sang Raja bahkan lebih besar. Rakyat tersedar, bangkit dan beriman. Sehingga Sang Raja terpaksa mengugut dan mencampakkan rakyatnya yang beriman ke dalam sungai berapi, hingga diabadikan di dalam Surah Al-Buruj kisah Ashabul Ukhdud (penghuni parit berapi) ini. Pengorbanan sang budak berbaloi, kerana kesedaran dan keimanan rakyat, hingga sanggup terjun ke dalam parit berapi demi mempertahankan aqidahnya, sungguh suatu kejayaan yang luar biasa besar.

 

Begitu juga dengan kisah Revolusi Tunisa tadi. Pengorbanan sang pemuda Mohamed Bouazizi yang bertindak membakar dirinya, telah meng-initiate kebangkitan rayat di seluruh jazirah Arab. Begitulah, pengorbanan itu perlu, demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

 

Oleh kerana itulah, dalam menganalisia demonstrasi Bersih, saya mempunyai pandangan tersendiri, yang mungkin berbeza dengan anda para pencinta Islam yang lain. Memang, untuk melaksanakan suatu perubahan, pengorbanan merupakan suatu keperluan. Bukankah Allah tidak akan pernah mengubah nasih sesebuah kaum, tanpa kaum itu strive untuk merubah nasib mereka sendiri terlebih dahulu? Namun, biarlah pengorbanan kita BERBALOI dengan KESAN pengorbanan kita itu sebesar impian yang kita semua harapkan. Untuk Bersih 2.0, saya tidak nampak hal itu akan berlaku. Dengan kemungkinan tangkapan, dakwaan dan sebagainya untuk berlaku kepada para demonstran, ditambah kemungkinan ISA dan Akta Darurat digunakan, effect di kalangan masyarakat, terutamanya yang berkecuali, atau menentang, atau yang langsung tidak ambil peduli, pada pandangan saya tidak seperti yang kita semua impikan. Ianya tidak seperti kesedaran yang tercetus tatkala kapal Mavi MArvara diserang tentera Zionis: tidak semena-mena, rakyat yang tidak ambil peduli selama ini pun tersedar, dan bersama-sama dalam “kebangkitan” ini.  Kenapa? Antaranya, kerana peranan media!

 

Oleh kerana itulah, seperti yang telah dibahaskan panjang lebar oleh Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam kitabnya Fiqh Al-Awlawiyyat, saya berpendapat kita harus prioritizekan tindakan kita. Maka planning harus dibuat dengan matang dan sedetail-detailnya. Memandangkan kebebasan media memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk opini umum (biar pun pada era cyber ini), maka yang sepatutnya didahulukan pada saya adalah menuntut kebebasan media TERLEBIH DAHULU. Kerana tanpa kebebasan media, tuntutan supaya pilihanraya dilaksanakan secara telus dan adil, dapat dimanupulasikan oleh media, seterusnya disalah gunakan oleh pihak berkuasa untuk membuat pelbagai macam tangkapan, pelbagai macam peraturan, dan pelbagai macam tindakan tanpa justifikasi yang jelas. Kesedaran rakyat yang diharapkan, tetapi kebencian masyarakat pula yang diperoleh.

 

Kita boleh mulakan dengan membuat risalah-risalah tentang kebebasan media, untuk dipromosikan di blog-blog dan facebook. Next step, kita buat perhimpunan besar-besaran di stadium, dengan menjemput Yang Dipertuan Agong, Wakil Kerajaan dan Wakil Pembangkang, para tokoh-tokoh dan ulamak-ulamak, serta seluruh wakil media untuk hadir ke Perhimpunan Menuntut Kebebasan Media di stadium itu. Sambil memberikan selang masa untuk media berubah dengan menampilkan sikap yang lebih terbuka dan matang, begitu sampai ke tarikh lupusnya, barulah kita anjurkan demosntrasi aman besar-besaran untuk menuntut kebebasan media. Ini kerana hanya ketika wujudnya kebebasan media, barulah usaha-usaha murni yang lain seperti tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil, persoalan tentang penyelewengan dan salah guna kuasa polis, menolak politik fitnah dan lucah, dan sebagainya, jika pun digagalkan, tetapi mampu menghasilkan kesan dan effect yang besar seperti yang kita semua harapkan.

 

BIarlah pengorbanan The Human Torch berbaloi, dengan tertewaskan Dr. Doom akhirnya!

 

 

 

-Penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab adalah seorang yang merasakan mendengar tidak kurang pentingnya daripada berbicara

 

No comments:

Post a Comment