Followers

Wednesday, July 27, 2011

[Berita]: Padah Zalimi Tiga Kucing

PETALING JAYA: Padah menzalimi tiga kucing dengan memukul menggunakan payung, menendang serta menyakiti haiwan malang itu Februari lalu, seorang wanita berusia 21 tahun didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Chow Xiao Wei dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan. Nik Mohd Fadli juga memerintahkannya dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, Chow menjelaskan dendanya.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa secara zalim menyakiti dua kucing antara jam 4.25 petang hingga 5 petang pada 19 Februari lalu di depan sebuah gerai di Pasar Seri Kembangan di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Chow juga didakwa melakukan perbuatan tidak wajar menyebabkan kesakitan serta penderitaan seekor kucing pada masa, tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Jabatan Veterinar, Jamadi Badri, manakala Chow tidak diwakili peguam bela. Penganiayaan Chow terhadap tiga kucing itu sebelum ini tersebar luas di laman sosial, facebook dan blog selepas dimuat naik ke Internet hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Rakaman lima minit itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, khususnya pencinta haiwan sehingga mendorong mereka menggerakkan usaha 'mencari seorang pembunuh kucing'.

Rakaman video itu menunjukkan perbuatan tertuduh yang melakukan penyeksaan terhadap tiga kucing termasuk melibas dengan payung, menolak ke longkang, malah memijak hingga menyebabkan seekor kucing mati.

Selepas pelbagai usaha dijalankan, Chow yang dikenal pasti melakukan perbuatan itu akhirnya dikesan di facebook melalui pakaiannya dalam video yang disebarkan.

Chow yang menyedari identiti dirinya terbongkar meminta maaf secara terbuka dengan memaklumkan dia sedang menjalani rawatan psikologi kerana tekanan yang dikatakan dihadapinya akibat perceraian ibu bapanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Padahzalimitigakucing/Article

 

Di dalam hadith, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Umar R.A dari Nabi SAW, "Seorang wanita masuk neraka karena seekor kucing yang dia kurung sampai mati. Dia masuk neraka karenanya. Dia tidak memberinya makan, dan minum sewaktu mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya dia makan serangga bumi."

Manakala dalam Shahih Bukhari dari Asma' binti Abu Bakar R.A bahwa Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda, "Lalu neraka mendekat kepadaku sehingga aku berkata, 'Ya, Rabbi, aku bersama mereka?' Aku melihat seorang wanita. Aku menyangka wanita itu diserang oleh seekor kucing. Aku bertanya, 'Bagaimana ceritanya?' Mereka berkata, 'Dia menahannya sampai mati kelaparan. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula membiarkannya mencari makan.'" Nafi' berkata, "'Menurutku dia berkata, 'Mencari makan dari serangga bumi.'"

Saudaraku,

Sewajarnya kita merasa sedih melihatkan perbuatan wanita di atas, yang turut ditayangkan oleh berita arus perdana, serta memuji dan bersyukur di atas keprihatinan undang-undang yang membela hak 3 ekor kucing tersebut. Alhamdulillah, membela hak binatang, menurut saya, adalah selari dengan kehendak Islam, seperti yang diindikasikan di dalam hadith-hadith di atas. Namun yang demikian, setelah kita semua sepakat betapa kekejaman dan kekerasan kepada binatang tidak wajar dibiarkan, apakah mungkin kita membenarkan pula kekejaman dan kekerasan dikenakan ke atas manusia, atas apa juga sebab? Apakah hak binatang lebih kita bela berbanding hak seorang manusia? Kerana itu, janganlah melampau wahai saudaraku terhadap saudara manusia mu yang lain. Moga Allah menyelamatkan dan merahmati kita semua.

 

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampau batas; kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau batas.(Surah Al-Baqarah: 190)

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment