Followers

Sunday, October 30, 2011

Dandang

Boiler adalah salah satu komponen penting di dalam sesebuah thermal power plant. Di dalam Bahasa Malaysia, ianya dikenali sebagai dandang. Prinsip operasinya adalah seperti cerek air. Air direbus sehingga mencapai suhu dan tekanan yang tinggi, untuk menghasilkan stim yang bertekanan tinggi. Stim bertekanan tinggi ini, tentunya berkelajuan tinggi, dan dengan kekuatan tekanan serta kelajuan halajunya, akan dapat menggerakkan sang turbin, yang turut menggerakkan rotor pada generator, sehingga terhasillah tenaga elektrik yang digunakan oleh kita semua.

 

Secara mudah, sifirnya begini: tenaga kinetic, ditukarkan kepada tenaga elektrik. Dan tenaga kinetic itu, yang diwakili oleh stim, dihasilkan oleh dandang yang kita bicarakan tadi.

 

Cara atau alternatif lain untuk mendapatkan tenaga kinetic untuk memutarkan turbin ini selain stim, adalah dengan menggunakan tenaga keupayaan yang diperoleh daripada air terjun atau empangan. Inilah kaedah yang biasa digunakan oleh hydro power plant. Cuma, power yang terhasil daripada hydro power plant ini lebih kecil berbanding thermal power plant, dek kerana komponen-komponennya yang lebih kecil. Oleh yang demikian, turbin yang dijanakan oleh stim dek pembakaran air di dalam dandang, tetap memegang advantage berbanding yang lain-lainnya.

 

Saudaraku,

Stim yang dihasilkan oleh dandang, iaitu yang bersuhu maha tinggi, bertekanan sangat kuat, serta berkelajuan amat pantas, tentunya memegang risikonya yang tersendiri. Andai tidak diurus dengan baik, ia bukan sahaja berisiko kepada mesin, tetapi juga pada jiwa manusia. Pada mesin, dandang mempunyai potensi untuk menghasilkan letupan. Dan pada manusia, tubuh badan bisa hancus terus, bukan sekadar melecur, andai kita terexpose dengan direct contact terhadap stim yang dihasilkan sang dandang tadi.

 

Ertinya, stim memang secara umummnya berbahaya. Tetapi pada masa yang sama, ia bisa memberikan manfaat yang tidak kurang dahsyatnya juga. Ia bisa merosakkan, tetapi pada masa yang sama, ia bisa menghasilkan tenaga (kuasa) untuk kegunaan kemanusiaan, andainya ia diurus tadbir dengan baik.

 

Kerana itu, mari kita renung kembali pesan Ar-Rasul kepada kita. Sabda baginda;

 

(( الناس معادن، خيارهم في الجاهلية خيارهم في الإسلام، إذا فقهوا )). صحيح البخاري

"Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham"

 

Insan-insan seperti Khalid Al-Walid misalnya, menggunakan "stim" dirinya untuk menumbang tentera Islam di medan Uhud. Namun, tatkala hidayah mengunjungi jiwanya, Ar-Rasul tidak memadamkan "stim" itu, tetapi bahkan mengurus-tadbir stimnya untuk manfaat Islam. Hasilnya? "Kuasa" yang maha dahsyat disemburkan oleh tentera Islam, hingga digeruni baik Rom mahupun Parsi.

 

Pelajarannya; anda mungkin tidak bersetuju dengan "stim" seseorang, tetapi ingatlah "stim"nya itu bisa bermanfaat pada anda andainya ia diurus-tadbir dengan baik. Misalnya, anda sebagai orang berfikrah keIkhwanan, tentu merasakan fikrah Salafi berbahaya untuk anak-buah anda. Tetapi, demikian anda tahu kelebihan sahabat Salafi di dalam hal ilmiah, status hadith dan sebagainya, mengapa tidak anda mengambil manfaat daripada kelebihannya, apatah lagi menyedari kekurangan anda di dalam bidang hadith? Fikrah Salafinya tidak akan berbahaya buat anda, andainya anda menjuruskannya untuk berbicara hal hadith semata, sama seperti bagaimana kita menguruskan stim daripada dandang itu tadi.

 

Maka marilah kita menjadi "dandang": berbahaya bila disalah-guna, bermanfaat bila kita bijak menguruskannya. Inilah tajdid minda yang perlu kita teroka.

 

 

Wednesday, October 26, 2011

Passion of Christ

Jujurnya, saya ke kedai vcd itu memang untuk membeli. Saya berfikir untuk membeli vcd “Patch Adams” lakonan Robbie Williams. Biarpun saya tidak pernah menonton cerita penuhnya, tetapi saya dimaklumkan bahawa cerita Patch Adams itu adalah cerita berkenaan doktor yang, dari beberapa segi, above the norm atau dalam bahasa Melayunya “lain daripada yang lain.” Kerana Patch Adams berfikir dan bertindak berlainan dengan medical doctor-medical doctor biasa yang lainnya, maka saya fikir, mungkin banyak ibrah yang boleh diketengahkan, terutamanya kepada mutarabbi-mutarabbi student medic saya.

 

Sayangnya, vcd Patch Adams tidak ada. Dan stok barunya, entah bila akan berkunjung tiba. Tidak mengapa. Tentu banyak hikmahnya. Cuma, dalam pada membelek-belek vcd-vcd yang ada, saya terperasan satu cerita yang pernah bikin kontroversi tatkala pelancarannya. Cerita The Passion of Christ, di mana Mel Gibson menjadi tulang belakangnya (tetapi bukan terajunya). Apa yang menarik pada vcd itu ialah, terdapat satu sticker kuning pada vcd itu yang bertulis (lebih kurang): WARNING! Not suitable for Muslim viewers. Saya jadi penasaran, apakah sticker amaran itu ditampal, kerana ada aduan daripada penonton-penonton beragama Islam? Lebih lanjut lagi, apakah kerana jalan ceritanya memang ada menghina agama Islam?

 

Kita berada di sebuah Negara yang majority penduduknya beragama Islam. Begitu juga agama rasmi Persekutuan, juga merupakan agama Islam. Ertinya, Islam di Malaysia punya advantage ke atas agama yang lainnya, sama seperti yang dipunyai Kristian di Negara-negara Eropah, atau Komunisme di China, atau lain sebagainya. Oleh yang demikian, setiap tindakan kita atau sikap kita terhadap agama lain, akan me”wajar”kan tindakan yang serupa terhadap Islam oleh agama lain di Negara-negara yang Islam hanya minority rakyatnya. Jika umat Islam di Malaysia melakukan demonstrasi untuk menggerunkan penganut agama lain, maka kita tidak berhak berkata apa-apa tatkala agama lain melakukan hal yang sama terhadap umat Islam yang minority, misalnya bantahan penduduk Amerika terhadap pembangunan Islamic Centre di Ground Zero World Trade Centre. Ini sesuai dengan firman Allah berikut:-

 

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

(Surah Al-An’am [6]:108)

 

Bukanlah bererti kita sebagai umat Islam tidak harus concern dengan gejala riddah (murtad) yang semakin menjadi-jadi di Negara kita. Tetapi, seperti mana di dalam kerjaya kita, baik engineer baik doktor baik arkitek dan sebagainya, tatkala kita dihinggapi masalah, perlu ada Root Cause Analysis terhadap masalah tersebut agar langkah yang diambil akan benar-benar menghentikan sumber permasalahan, maka begitu jugalah dengan gejala riddah ini. Apakah umat Islam di Malaysia semakin ramai yang murtad, sekadar kerana masalah external yakni serangan dan dakyah para misionaris Kristian semata-mata, atau turut disumbangkan oleh masalah internal di dalam tubuh umat Islam itu sendiri? Dan, apakah dengan berhimpun itu, mampu menyelesaikan masalah internal tadi?

 

Bagaimana mungkin kita mewajarkan berhimpun, sedangkan JAIS masih mengganas menangkap orang-orang yang mahu berdakwah? Bagaimana bisa kita berhimpun sedangkan lembaga zakat masih tidak melakukan muhasabah dan audit untuk memperbaiki sistem pembahagian zakat? Bagaimana boleh kita berhimpun sedangkan IPT-IPT pun masih menghalang penyebaran dakwah di kampusnya?

 

Keduanya, jika berhimpun ini dianggap wajar kerana ia boleh menyampaikan mesej kepada non-Muslim agar jangan memurtadkan orang Islam, soalannya, memang orang Islam tidak boleh murtad, tetapi bagi non-Muslim, apakah mereka dilarang di dalam agama mereka untuk menyebarkan pengetahuan dan kepercayaan agama mereka kepada orang lain? Jika jawapannya tidak, di saat kita berhimpun untuk menakutkan mereka dan menghalang mereka (berbanding menghalang orang Islam kita daripada murtad), kita justeru sedang interfere atau campur tangan dengan hal-ehwal agama lain. Maka, saya jadi semakin mengerti kenapa setengah Negara Barat menghalang pemakaiaa jilbab dan tudung, melarang pembinaan surau di ofis, dan sebagainya. Kerana kita sebagai penganut agama yang adil lagi harmoni pun melakukan hal yang sama.

 

Ketika non-Muslim menghasilkan filem atau cerita berkenaan agama mereka, Passion of Christ misalnya, apakah anda fikir mereka akan mengakui dan mengiktiraf kebenaran Islam di dalam filem atau cereka mereka? Nah, andainya kita rasa tersinggung atau terhina dengan sudut pandangan agama mereka, misalnya mengatakan Jesus sebagai anak Tuhan, maka tidakkah kita sedar berapa banyak perkataan kita tentang kebenaran Islam turut menyinggung perasaan mereka?

 

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

(Surah Al-An’am [6]:108)

 

 

Kerana itu, wajar sekali firman Allah di dalam surah Al-An’am di atas. Maka, sebelum kita memilih untuk berhimpun sebagai tanda warning kepada penganut agama lain, sebaiknya kita fikirkan kesan-kesan berikut:-

 

1)      Apakah dengan berhimpun ini, masalah internal umat Islam akan selesai? Apakah mereka yang murtad akan kembali bertaubat kerana “gah”nya himpunan manusia membantah pemurtadan anak bangsa?

2)      Apakah seruan agar penghalangan dakwah (seperti penangkapan para pendakwah oleh JAIS) menjadi salah satu agenda kita?

3)      Apakah non-Muslim yang melihat lautan manusia yang berhimpun ini, akan semakin dekat dengan Islam, atau semakin menjauhi Islam?

4)      Tidakkah Negara Barat beroleh hujah untuk menekan perkembangan agama Islam di Negara mereka, lantaran Islam sendiri menekan non-Muslim di tempat kita?

 

Mungkin ada baiknya kita ingat kembali kaedah feqah: “menolak kemudaratan lebih diutamakan berbanding meraih manfaat.” Sudah tiba masanya kita mentajdid cara berfikir kita, lebih banyak offensive yakni berhujah, berfakwa, berdialog dan melipat gandakan dakwah dan tarbiyah, berbanding defensive, yakni halang, halang, halang. Kerana itu, gerakan Islam pun harus lebih terbuka dengan menggalakkan ahlinya berfikir, mengumpul fakta, mendengar hujah dan sebagainya. Sikap menghalang ahli mendengar hujah “orang lain” yang selama ini mereka amalkan, semata-mata untuk menghalang ahlinya mempersoalkan tindakan mereka dan mewujudkan ketaatan tidak berbelah bagi di kalangan ahli, adalah antara punca ramai di kalangan kita tidak terbiasa berhujah, berdialog, berfakta dan sebagainya, sebaliknya lebih kepada menghalang, menghalang dan menghalang. Mari tajdid fikiran kita.

 

 

 

 

Wednesday, October 19, 2011

PERINTANG (RESISTOR)

Dalam sebuah litar mudah, komponen yang membarisinya terdiri daripada bateri, wayar, serta LED. Jika mahu lebih lengkap lagi, suis juga disertakan. Begitu juga dengan perintang. Itulah litar yang paling asas dalam dunia keelektrikan.

 

Perintang, di dalam bahasa Inggerisnya dipanggil “resistor”, membawa peranan yang, di antaranya ialah, mengurang dan menurunkan arus yang mengaliri litar asas tersebut. Sesuai dengan hukum asas keelektrikan, V=IR, arus akan berkurangan tatkala rintangan litar semakin bertambah.

 

Arus yang tinggi, boleh membawa mudharat kepada litar. Ia boleh menyebabkan LED atau lampu terbakar. Maka, untuk “menyelamatkan” litar tersebut, perintanglah yang memainkan peranan. Semakin tinggi nilai kerintangan sang perintang, maka semakin rendahlah arus yang mengaliri sesebuah litar itu.

 

Saudaraku,

 

Hidup ini umpama litar. “Litar kehidupan” saya panggil. Sumber energinya, atau “baterinya”, adalah sejauh mana hubungan seseorang dengan Allah SWT. Semakin menjauhnya hubungan insan dengan Allah, maka semakin merosotlah nilai dan kualiti kehidupan hingga akhirnya “cahaya” kehidupan itu akan malap, tatkala litar kehidupan sudah kehilangan sumber energinya. Hidup menjadi tidak bererti lagi.

 

Terkadang, litar akan “terbakar” dek tingginya “arus kehidupan.” Maka di sinilah pentingnya “rintangan kehidupan” itu. Semakin tinggi rintangan, ujian, dugaan dan ranjau kehidupan yang dihadapi seseorang, maka justeru ia akan semakin mampu menjadi “Survivor” di dalam kehidupan yang serba sementara ini. Oleh itu, andai dikau menyedari peri-pentingnya rintangan ini dalam menjamin keharmonian kehidupan, engkau akan muncul persis manusia-manusia “ajaib” yang digambarkan oleh ar-Rasul: semua perkara, senantiasa dilihat positif oleh mereka. Begitu hidup ini mendatangkan kegembiraan buat mereka, mereka bersyukur. Namun begitu rintangan kehidupan semakin meninggi, mereka justeru bersabar, lantaran mereka sebenarnya menyedari betapa rintangan itulah yang membentuk kehidupan ini.

 

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

(Surah Al-Ankabut [29]:2-3)

 

Oleh kerana itulah, para ulamak sering mengingatkan, betapa kesenangan dan kemewahan itulah fitnah yang sebetulnya lebih berat berbanding fitnah hidup yang dipenuhi dengan onak-duri rintangan. Kerana manusia yang dibuai oleh tingginya arus kehidupan, sering “membakar” LED hidupnya sendiri, berbanding manusia yang hidupnya dipenuhi dengan rintangan, sering muncul sebagai “litar” yang berkualiti. Umpama sahabat Muhajirin yang dibentuk hidup mereka oleh rintangan gangguan ketika di Mekah. Kelak merekalah yang mewarisi Kekhalifahan daripada baginda Rasul, tatkala baginda beransur pergi meninggalkan dunia yang serba fana ini.

 

Maka benarlah Firman Allah tatkala Dia menjanjikan khabar gembira, good news buat mereka yang rintangannya berjaya menurunkan arus agar sesuai dengan keperluan litar kehidupan.

 

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,”

(Surah Al-Baqarah [2]:155)

 

Kerana hidup ini, memang perlu diuji....

Sunday, October 9, 2011

MEGA

Ada orang, dia merasakan bahawa yang namanya dakwah, yang namanya tarbiyah, terukur pada betapa “besar”nya program yang dianjurkan. Konon, dengan gempak, dengan hebat, dengan meganya sesebuah program, bererti jangkauan dakwah dan jaringan tarbiyah telah menyebar luas ke dalam masyarakat, lalu di situlah terukur kehebatan tarbiyah.

 

Aneh. Jika pada meganya sesebuah program menjadi kayu ukur keluasan dan keberhasilan tarbiyah, maka masyarakat Bani Israel telah merasakan “sentuhan tarbiyah” yang lebih “mega”. Di hadapan mereka, betul-betul di depan mata, mereka melihat kehabatan Allah menenggelamkan keangkuhan Firau dan bala tenteranya, sekaligus mengangkat kebenaran, dan menghapuskan kebatilan.

 

“Dan (ingatlah), ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan (Firaun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan. “

(Surah Al-Baqarah [2]:50)

 

Lagi, mereka turut “dibelai” dengan hidangan dari langit, yang tidak bisa dirasai oleh umat moden lagi kaya pada hari ini. Itulah Al-Mannu, itulah As-Salwa.

 

“Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu "manna" dan "salwa". Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. “

(Surah Al-Baqarah [2]:57)

 

Tapi, kenapa agaknya Allah kemudian menyebut mereka sebagai bangsa yang ditimpa az-zillah dan al-maskanah (nista dan kehinaan)? Bahkan, lebih “extreme” lagi, Allah kemudiannya melaknat bangsa yang begitu “mega” program yang dilalui mereka?

 

“Lalu ditimpakanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Hal itu (terjadi) karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) karena mereka selalu berbuat durhaka dan melampaui batas.”

(Surah Al-Baqarah [2]:61)

 

“Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putra Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas.”

(Surah Al-Ma’idah [5]:78)

 

Jawabnya, kerana hakikat tarbiyah itu bukan pada gah dan meganya program yang dilalui, tetapi hakikat tarbiyah itu pada sejauh mana berjalannya Islam dalam hidup kita.

 

Kerana itu andai kata kita tinggalkan segala ajaran Allah dan rasul-Nya, itu bererti kita tidak merasakan hakikat tarbiyah. Tidak merasakan natijah tarbiyah, biarpun kita sedang dalam sebuah program bernuansa tarbiyah. Lalu jelaslah kepada kita betapa yang memuliakan kita semua adalah sejauh mana taqwa kita kepada diri-Nya (Allah), bukan “kad keahlian” penganjur program yang membawa kita ke Syurga.

 

Dari segi “keahlian” kita mungkin kononnya manusia diredhai Allah. Tapi tanpa natijah tarbiyah menghiasi diri kita, dengan zikrullah mengalunkan hari-hari kita, dengan tilawah al-Quran memenuhi ruang masa kita, dengan menyeru orang ke jalan Allah memenuhi hari-hari kita, sebaliknya hanya gah dengan “kad keahlian” dan “program-program mega”, tidakkah “program tarbiyah” yang dilalui oleh Bani Israel lebih gah dan gempak berbanding kita?

 

Malang, akhirnya, patung sapi itu juga yang dirindui mereka.

 

“Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, sesungguhnya kamu telah menganiaya dirimu sendiri karena kamu telah menjadikan anak lembu (sembahanmu), maka bertobatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Hal itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu; maka Allah akan menerima tobatmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang."

(Surah Al-Baqarah [2]:54)

 

 

 

Biar kerdil di mata manusia,

Asal mulia di singgahsana Syurga,

Biar tidak dikenali oleh penghuni dunia

Asal “ megah” nama di “atas” sana

Biar lambat menanti natijah

Asal usaha mendapat barakah

Walau  pengorbanan  disebut tiada

Asal Allah member redha

Mungkin kita tiada “nama”

Cukuplah ikhlas menjamin jaya

 

Ucapkanlah “Sayonara” kepada Jahiliyah, usah dirindu “si patung sapi” itu. Kerana yang akan men”jamin”mu nanti (di Mahsyar) bukan program mega yang pernah kau lalui, tetapi natijah tarbiyah yang kau hasili.

 

 

 

 

Tuesday, October 4, 2011

Katakanlah...

Soalan

 

Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Maka, atas dasar apa Allah suruh kita berdoa kepada-Nya, sedangkan Dia sudah mengetahui isi hati kita dan segala kehendak dan permintaan kita?

 

Iklan

 

Saya melangkah kaki daripada Suruhanjaya Tenaga dengan jiwa yang girang. Entah mengapa, kegembiraan kali ini betul-betul terasa. Terasa sungguh nikmah dan rahmah Allah SWT kepada saya. Hingga, yang terfikir di benak pemikiran saya ialah untuk segera mencari masjid, untuk sujud syukur sebagai meraikan nikmah Allah yang tiada tara, yang sedang hamba kerdil rasakan ini.

 

Salah satu perkara penting yang harus diketahui oleh seorang Jurutera Elektrik Kompeten (Competent Electrical Engineer) ialah “switching procedure”. Dalam melakukan switching, biarpun seorang orang kompeten (baik Jurutera Kompeten mahupun Chargeman) hendaklah membiasakan diri melihat prosedur switching serta menyebut kembali langkah-langkah switching yang akan ia lakukan kepada orang lain dan orang lain itu mengesahkannya, sebelum ia memulakan langkah-langkah switching, biarpun orang kompeten itu sudah hafal, sudah pakar dan sudah terbiasa melakukan kerja-kerja switching tersebut. Semua ini (melihat dan menyebut kembali langkah-langkah yang akan diambil seperti di dalam prosedur) untuk mengelakkan sebarang kesilapan daripada berlaku.

 

 

Jawapan (di antaranya)

 

Seorang isteri, terkadang bukan ia tidak tahu suaminya sangat cintakannya. Daripada segala apa yang dilakukan oleh suaminya, baik kesungguhannya, baik kesetiaannya, baik pengorbanannya, sang suami sudah membuktikan secara nyata cintanya pada isterinya. Namun, seorang wanita bergelar isteri, hatinya akan semakin berbunga-bunga tatkala mendengar ungkapan “i love you” keluar daripada mulut suaminya. Ertinya ungkapan “i love you” itu diharapkan oleh sang isteri itu bukan kerana tidak tahu suaminya memang mencintainya, tetapi justeru ungkapan itu membahagiakan lagi hari-harinya. Ertinya, mengungkap sesuatu, tidak semestinya kerana orang tidak tahu.

 

Seperti juga di dalam kisah switching yang dipaparkan di dalam iklan di atas. Orang Kompeten akan menyebut kembali apa yang akan ia lakukan, bukan kerana ia tidak tahu atau tidak biasa, tetapi sekadar pengesahan untuk menjamin safety di dalam pekerjaannya itu. Di sini, ungkapan itu terpacul, bukan kerana tidak tahu, tetapi untuk kepastian, untuk keselamatan. Maka sering kali orang yang tidak tawadhuk sahajalah, yang akan mengabaikan langkah ini, kerana merasakan dirinya sudah serba tahu, atau sedia tahu.

 

Kerana itu, Allah menyuruh kita berdoa bukan kerana Dia tidak tahu. Bahkan, Allah justeru sangat dekat dengan kita.

 

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam”

(Surah Al-Baqarah [2]:186)

 

 

Tetapi, ungkapan doa itu, terutama dalam nada merintih, menjadikan Allah SWT semakin cinta pada kita. Hingga tidak ada sebab untuk menolak permohonan hamba-Nya. Sabda Nabi SAW;

 

Sesungguhnya Allah Maha Pemalu dan Maha Murah hati. Allah malu bila ada hambaNya yang menengadahkan tangan (memohon kepada-Nya) lalu dibiarkannya kosong dan kecewa. (HR. Al Hakim)

Sesungguhnya Allah Maha pemalu dan pemurah. Dia malu bila seorang lelaki mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikannya dalam keadaan kosong dan hampa.”
(Shahih, HR. Abu Dawud no. 1488 dan At-Tirmidzi no. 3556 dan beliau mengatakan hasan gharib. Dishahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Dawud dan At-Tirmidzi)

 

Oleh itu, janganlah henti berdoa, hanya kerana merasa dan mengetahui bahawa Allah SWT Maha Mengetahui. Kerana iya, memang Allah Maha Tahu, tapi apalah salahnya kita mengungkap? Terkadang, anda harus membantah apa yang didendangkan oleh KRU; “jangan lafazkannya.....” tetapi mempercayai apa yang dinyanyikan oleh Hazami; “katakanlah....”