Boiler adalah salah satu komponen penting di dalam sesebuah thermal power plant. Di dalam Bahasa Malaysia, ianya dikenali sebagai dandang. Prinsip operasinya adalah seperti cerek air. Air direbus sehingga mencapai suhu dan tekanan yang tinggi, untuk menghasilkan stim yang bertekanan tinggi. Stim bertekanan tinggi ini, tentunya berkelajuan tinggi, dan dengan kekuatan tekanan serta kelajuan halajunya, akan dapat menggerakkan sang turbin, yang turut menggerakkan rotor pada generator, sehingga terhasillah tenaga elektrik yang digunakan oleh kita semua.
Secara mudah, sifirnya begini: tenaga kinetic, ditukarkan kepada tenaga elektrik. Dan tenaga kinetic itu, yang diwakili oleh stim, dihasilkan oleh dandang yang kita bicarakan tadi.
Cara atau alternatif lain untuk mendapatkan tenaga kinetic untuk memutarkan turbin ini selain stim, adalah dengan menggunakan tenaga keupayaan yang diperoleh daripada air terjun atau empangan. Inilah kaedah yang biasa digunakan oleh hydro power plant. Cuma, power yang terhasil daripada hydro power plant ini lebih kecil berbanding thermal power plant, dek kerana komponen-komponennya yang lebih kecil. Oleh yang demikian, turbin yang dijanakan oleh stim dek pembakaran air di dalam dandang, tetap memegang advantage berbanding yang lain-lainnya.
Saudaraku,
Stim yang dihasilkan oleh dandang, iaitu yang bersuhu maha tinggi, bertekanan sangat kuat, serta berkelajuan amat pantas, tentunya memegang risikonya yang tersendiri. Andai tidak diurus dengan baik, ia bukan sahaja berisiko kepada mesin, tetapi juga pada jiwa manusia. Pada mesin, dandang mempunyai potensi untuk menghasilkan letupan. Dan pada manusia, tubuh badan bisa hancus terus, bukan sekadar melecur, andai kita terexpose dengan direct contact terhadap stim yang dihasilkan sang dandang tadi.
Ertinya, stim memang secara umummnya berbahaya. Tetapi pada masa yang sama, ia bisa memberikan manfaat yang tidak kurang dahsyatnya juga. Ia bisa merosakkan, tetapi pada masa yang sama, ia bisa menghasilkan tenaga (kuasa) untuk kegunaan kemanusiaan, andainya ia diurus tadbir dengan baik.
Kerana itu, mari kita renung kembali pesan Ar-Rasul kepada kita. Sabda baginda;
(( الناس معادن، خيارهم في الجاهلية خيارهم في الإسلام، إذا فقهوا )). صحيح البخاري
"Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham"
Insan-insan seperti Khalid Al-Walid misalnya, menggunakan "stim" dirinya untuk menumbang tentera Islam di medan Uhud. Namun, tatkala hidayah mengunjungi jiwanya, Ar-Rasul tidak memadamkan "stim" itu, tetapi bahkan mengurus-tadbir stimnya untuk manfaat Islam. Hasilnya? "Kuasa" yang maha dahsyat disemburkan oleh tentera Islam, hingga digeruni baik Rom mahupun Parsi.
Pelajarannya; anda mungkin tidak bersetuju dengan "stim" seseorang, tetapi ingatlah "stim"nya itu bisa bermanfaat pada anda andainya ia diurus-tadbir dengan baik. Misalnya, anda sebagai orang berfikrah keIkhwanan, tentu merasakan fikrah Salafi berbahaya untuk anak-buah anda. Tetapi, demikian anda tahu kelebihan sahabat Salafi di dalam hal ilmiah, status hadith dan sebagainya, mengapa tidak anda mengambil manfaat daripada kelebihannya, apatah lagi menyedari kekurangan anda di dalam bidang hadith? Fikrah Salafinya tidak akan berbahaya buat anda, andainya anda menjuruskannya untuk berbicara hal hadith semata, sama seperti bagaimana kita menguruskan stim daripada dandang itu tadi.
Maka marilah kita menjadi "dandang": berbahaya bila disalah-guna, bermanfaat bila kita bijak menguruskannya. Inilah tajdid minda yang perlu kita teroka.
No comments:
Post a Comment