Followers

Wednesday, October 19, 2011

PERINTANG (RESISTOR)

Dalam sebuah litar mudah, komponen yang membarisinya terdiri daripada bateri, wayar, serta LED. Jika mahu lebih lengkap lagi, suis juga disertakan. Begitu juga dengan perintang. Itulah litar yang paling asas dalam dunia keelektrikan.

 

Perintang, di dalam bahasa Inggerisnya dipanggil “resistor”, membawa peranan yang, di antaranya ialah, mengurang dan menurunkan arus yang mengaliri litar asas tersebut. Sesuai dengan hukum asas keelektrikan, V=IR, arus akan berkurangan tatkala rintangan litar semakin bertambah.

 

Arus yang tinggi, boleh membawa mudharat kepada litar. Ia boleh menyebabkan LED atau lampu terbakar. Maka, untuk “menyelamatkan” litar tersebut, perintanglah yang memainkan peranan. Semakin tinggi nilai kerintangan sang perintang, maka semakin rendahlah arus yang mengaliri sesebuah litar itu.

 

Saudaraku,

 

Hidup ini umpama litar. “Litar kehidupan” saya panggil. Sumber energinya, atau “baterinya”, adalah sejauh mana hubungan seseorang dengan Allah SWT. Semakin menjauhnya hubungan insan dengan Allah, maka semakin merosotlah nilai dan kualiti kehidupan hingga akhirnya “cahaya” kehidupan itu akan malap, tatkala litar kehidupan sudah kehilangan sumber energinya. Hidup menjadi tidak bererti lagi.

 

Terkadang, litar akan “terbakar” dek tingginya “arus kehidupan.” Maka di sinilah pentingnya “rintangan kehidupan” itu. Semakin tinggi rintangan, ujian, dugaan dan ranjau kehidupan yang dihadapi seseorang, maka justeru ia akan semakin mampu menjadi “Survivor” di dalam kehidupan yang serba sementara ini. Oleh itu, andai dikau menyedari peri-pentingnya rintangan ini dalam menjamin keharmonian kehidupan, engkau akan muncul persis manusia-manusia “ajaib” yang digambarkan oleh ar-Rasul: semua perkara, senantiasa dilihat positif oleh mereka. Begitu hidup ini mendatangkan kegembiraan buat mereka, mereka bersyukur. Namun begitu rintangan kehidupan semakin meninggi, mereka justeru bersabar, lantaran mereka sebenarnya menyedari betapa rintangan itulah yang membentuk kehidupan ini.

 

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

(Surah Al-Ankabut [29]:2-3)

 

Oleh kerana itulah, para ulamak sering mengingatkan, betapa kesenangan dan kemewahan itulah fitnah yang sebetulnya lebih berat berbanding fitnah hidup yang dipenuhi dengan onak-duri rintangan. Kerana manusia yang dibuai oleh tingginya arus kehidupan, sering “membakar” LED hidupnya sendiri, berbanding manusia yang hidupnya dipenuhi dengan rintangan, sering muncul sebagai “litar” yang berkualiti. Umpama sahabat Muhajirin yang dibentuk hidup mereka oleh rintangan gangguan ketika di Mekah. Kelak merekalah yang mewarisi Kekhalifahan daripada baginda Rasul, tatkala baginda beransur pergi meninggalkan dunia yang serba fana ini.

 

Maka benarlah Firman Allah tatkala Dia menjanjikan khabar gembira, good news buat mereka yang rintangannya berjaya menurunkan arus agar sesuai dengan keperluan litar kehidupan.

 

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,”

(Surah Al-Baqarah [2]:155)

 

Kerana hidup ini, memang perlu diuji....

3 comments:

  1. salam, subhanallah, ana sedang cuba blajar mengaitkan ilmu fizik yg ana duk blajar kat USIM dgn dakwah kita..byk ana blajar dr blog anta.

    boleh ana berguru dgn anta. ;)

    ReplyDelete
  2. wassalam

    Ya Allah, permudahkanlah dan ilhamkanlah saudara Ubai kami ini....

    ReplyDelete