Assalamualaikum
Sudah teramat sering saya ingin menulis tentang “Mereka Yang Membawa Kesan Dalam Hidupku”, terutamanya guru-guru saya. Namun, biarpun sudah separuh dasawarsa, keinginan itu tetap tidak tertulis, kemauan itu tetap tidak terzahir, impian itu tetap tidak terpahat.
Mungkin kerana saya yang tidak kuat, untuk mengenang memori-memori silam bersama mereka (sekali lagi, terutama kenangan bersama guru-guru/murabbi-murabbi saya). Saya tidak kuat untuk menggambarkan kehebatan mereka, hingga sumbangan dan keutamaan mereka mungkin akan kelihatan kecil atau biasa-biasa saja, andai saya yang menulis tentang mereka.
Namun, tatkala Dr. Maza menulis tentang guru-gurunya, saya kira itulah gambaran yang ingin saya berikan tentang guru-guru saya. Benar, mungkin mereka (guru-guru saya) tidak sesohor ulama’-ulama’ besar yang mendidik Dr. Maza, namun bagi saya, mereka telah banyak mempengaruhi dan membentuk insan kerdil seperti saya. Moga Allah merahmati mereka semua.
Saya masih ingat dan berpegang pada pesan ayahanda saya, betapa guru itu, kapan pun, akan tetap guru kita, dan kita tetap merupakan muridnya, biar sehebat mana pun ilmu kita.
Moga Allah merahmati murabbi-murabbiku….
KEMBARA KE TEMPAT LAMA: KENANGAN DAN SAYANG
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(dipetik daripada drmaza.com)
Saya baru sahaja pulang ke UK setelah seminggu di Jordan. Bumi Jordan meninggalkan petanda besar dalam kehidupan saya. Apa tidaknya, di situlah saya mempelajari Bahasa Arab dan Shariah. Walaupun dahulu ada pihak yang hasad cuba menafikan bahawa saya memiliki pengajian far’i Shariah dari University of Jordan, namun dunia dokumen menafikan segala. Kadang-kala hasad dengki menjadikan kita kebingungan apakah yang dikehendaki oleh empunya penyakit itu.
Setelah 15 tahun meninggalkan University of Jordan, saya kembali melawat semula. Perasaan saya terbang bersama keindahan lampau. Namun, tempat kenangan tidak dapat mengembalikan keindahan, jika watak-watak kenangan sudah tiada lagi. Bahkan, berada di tempat kenangan mungkin hanya membangkitkan kesedihan apabila memikirkan kenangan yang tidak akan menjelma semula.
Gambar: Penulis Dalam University of Jordan
Saya melawat kuliah utama saya, Kuliah al-Adab dan juga kuliah far’i saya Kuliah Shariah. Alhamdulillah, semasa di kuliah Shariah saya ditakdirkan bertemu dengan sahabat lama saya Rayyan yang hari ini sudah bergelar Dr Rayyan dan menjadi pensyarah di situ. Dia menjemput saya makan tengahari bersama tetapi saya tidak sempat.
Demikian masa itu menukar manusia, dari seorang pelajar kepada seorang pensyarah. Hari-hari semalam setiap kita tinggalkan bersama pengetahuan dan pengalaman yang dikutip. Nilainya merujuk kepada bekalan yang berjaya dikumpulkan. Itu kekuatan dalam membentuk insan menghadapi realiti yang baru.
Guru-guruku
Insan yang paling saya ingin temui ialah guru saya Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi. Dia seorang ilmuwan dalam tafsir dan lain-lain. Banyak karyanya dalam dunia ilmu. Dahulu dia imam di Masjid ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Sweileh, Amman. Masjid tersebut memang bersejarah. Dr Abdullah ‘Azzam pejuang Afghanistan yang syahid juga dari masjid itu.
Dulu, kami para pelajar yang dahagakan ilmu menghadiri kelas pengajian Dr Salah al-Khalidi di masjid. Dia ada kuliah tafsir tetap setiap pagi selepas solat fajar. Kami menikmati semangat perjuangannya yang tinggi. Khutbah-khutbahnya membakar semangat. Pernah polis mengepungnya untuk diambil tindakan.
Di masjid itu juga, kami mempelajari ilmu dari guru-guru lain yang handal-handal yang berjiwa pejuang terutama dua ahli Parlimen Jordan ketika itu Dr Hammam Sa’id dan Dr Abd al-Qadir Abu Faris. Dr Hammam mengajar hadis dan Dr Abu Faris dalam politik. Masjid itu sering panas dengan isu-isu semasa.
Saya agak rapat dengan Dr Salah al-Khalidi. Saya sering ke rumahya, bahkan sebelum pulang dia memberikan bukunya Qabasat Tarikhiyyah yang belum dicetak dan masih tulisannya kepada saya. Saya masih simpan naskah asal itu sehingga hari ini.
Saya menemui Dr Salah al-Khalidi, dia sudah bertongkat. Dia dibuang dari Masjid Abd al-Rahman ‘Auf. Dia juga tidak dibenarkan meneruskan kuliahnya. Kini dia hanya boleh memberikan kuliah subuh tafsir ringkas di masjid lain di kawasan Sweileh itu iaitu Masjid Farid Khalil, sebuah masjid baru. Namun, dia bukan lagi imam dan khatib seperti dulu. Mungkin istilah tanpa tauliah tidak digunakan, namun dia tetap dihalang. Dia hanya boleh mengajar kuliah singkat subuh dan di universitinya sahaja.
Dia seperti semalam. Semangatnya tidak pudar. Dia berkata kepada saya ‘kerajaan yang zalim menghalang kelas-kelas ilmunya’. Saya berjumpa beliau di masjid baru itu selepas solat fajar. Sedih juga melihat keadaannya. Malang sekali, saya terlupa membawa sesuatu untuknya sebagai kenangan dari saya. Itu kesilapan besar. Saya sayangkan beliau. Banyak yang saya pelajari dari beliau.
Demikian dalam hayat kita, ramai guru yang berjasa menyumbang ilmu dan pembentukan fikiran kita. Seseorang guru kita sayangi, walaupun tidak semestinya kita bersetuju dengan setiap bilah perkataannya. Guru yang jujur memberikan kesan yang dalam kepada jiwa kita. Jika ada yang kita tidak bersetuju dengan tindakan atau pendapatnya pun, tidaklah bererti kita melupai jasanya.
Sayang dan cinta, mempunyai ruang yang berbeza dari ‘ikut semua yang guru kata’. Tidak bersetuju, bukan bererti tidak sayang. Bersetuju pula, tidak bererti sayang. Namun, mengasihi guru adalah faktor yang amat penting dalam pembentukan ilmu. Setiap orang akan sedar, ilmu yang paling mudah dipelajari, ialah apabila murid menyayangi gurunya.
Justeru itu, guru yang disayangi sering membawa pelajar cemerlang. Mudah masuk, mudah faham. Melihat wajah pun sudah mengembirakan perasaan. Kehadirannya dinanti, maka ilmunya mudah dinikmati. Jika guru dibenci, segala ilmunya menjadi pahit. Maka, murid hanya menunggu masa berhenti untuk guru meninggalkan ucapannya. Ilmu juga sukar dapat, tidak berkat.
Sebab itu, Islam menyuruh kita menyayangi guru yang paling agung, Rasulullah s.a.w. Cinta Rasul adalah asas agama ini. Ini kerana baginda sumber ilmu dan kebenaran. Ilmu dan kebenaran itu diambil dari baginda dengan penuh rasa cinta. Sesiapa yang membenci atau tidak menyayangi Rasulullah s.a.w maka segala ambilan ilmunya tidak bermakna dan berfungsi secara sepatutnya.
Gambar: Penulis dan Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi
Saya adalah insan yang amat kerdil untuk menceritakan tentang diri sendiri yang penuh dengan segala kelemahan. Namun, saya rasa saya sayangkan insan-insan yang berjasa membentuk ilmu dan fikiran saya. Saya masih terasa betapa nikmat semasa saya mencium dahi al-Syeikh Muhammad Salih ibn Uthaimin r.h. Beliau seorang yang amat soleh dan alim. Ratusan ribu muridnya. Ribuan manusia sering mengelilinginya.
Saya sayangkannya, walaupun beliau tidak kenal saya. Saya berdoa kepada Allah tentangnya. Banyak kali Allah rezekikan saya mencium dahinya. Pada tahun 2000, Allah rezekikan saya menjadi penterjemah semasa beliau berceramah kepada tetamu-tetamu haji yang tidak tahu bahasa Arab. Saya sempat berada di sisinya ketika itu, walaupun sebelum itu sering juga. Namun semasa tersebut, ruang lebih selesa dan lama.
Saya juga masih ingat ketika saya meminta guru sanad saya Maulana Zain al-‘Abidin al-‘Azami di Saharanfur India mendoakan saya. Saya rasa sayang kepadanya atas ilmunya. Semasa di berada dalam masjid, saya solat di sampingnya dan meminta beliau berdoa kepada saya. Beliau berdoa kepada saya dalam bahasa urdu, saya tidak faham, tapi saya yakin beliau doakan kebaikan saya. Amiin kata saya. Saya mencium beliau. Dia soleh dan alim. Pada tubuhnya yang uzur, terlihat tanda ikhlas seorang guru. Saya bukan orang soleh, tapi saya sayang orang soleh. Mudah-mudahan Allah ampunkan saya, dan dapat saya memperolehi syafaat mereka.
Apabila kita mencintai guru, kita mencintai ilmu. Apabila kita mencintai ilmu, kita wajar mencintai guru. Keikhlasan guru dilihat pada jihad ilmunya. Memang, keikhlasan itu dalam pengetahuan Allah, namun sering tandanya hadir dalam kehidupan insan. Ilmu bukan semata untuk wang. Ilmu yang dicurah kerana wang semata akan lesu ruhnya. Inilah yang sering berlaku kepada sebahagian guru-guru di university dan sekolah pada hari ini. Tidak dinafi, ramai juga yang ikhlas. Di Jordan, saya tidak lupa Dr Mu’iz Hariri, Dr Amin Qudah, Dr Sharaf Qudah, Dr Umar Ashqar dan lain-lain. Saya sayangkan mereka semua. Tentu saja saya amat sayangkan sahabat dan guru PhD saya Prof Dr Muhammad Abul Laits al-KhairAbdi.
Kedai Kitab
Saya pergi melawat beberapa kedai buku di Amman. Semasa pelajar, kedai kitab merupakan antara menu utama hidup. Saya pergi ke kedai buku Dandis, Amman. Sebelum sampai saya berfikir apakah Muhammad Dandis masih ingat saya dan nama saya. MasyaAllah, apabila sampai beliau masih ingat saya yang telah 15 tahun tidak datang ke kedainya. Bahkan apabila ada orang bertanya tentang kitab tulisan saya Sabab Wurud al-Hadith, dawabit wa ma’ayir, beliau menunjukkan ke arah saya: ‘itu penulisnya’. Beliau memberitahu saya bahawa ada empat orang pengunjung setia kedainya yang beliau tidak lupa; Prof Zulkifli Yusuf (UM) yang dulu belajar di Jordan, saya, seorang pelajar Bosnia dan seorang pelajar Korea.
Bau kedai kitab menggamit kenangan masa belajar. Banyak kitab baru yang muncul. Kitab bagaikan bukit yang tersusun. Bandar Amman itu sendiri ada pelbagai kedai kitab. Namun saya juga tertanya, Bandar Amman itu kelihatan kotor dan tidak tersusun. Manusianya susah dan serabut wajah mereka. Apakah peranan timbunan kitab-kitab jika gagal untuk mengubah kehidupan manusia? Apakah buku sekadar penghias bahasa orang ilmuwan, ataupun hiasan dinding rumah dan perpustakaan namun berfungsi mengubah pemikiran dan kehidupan? Segala falsafah dan likuk-pikuk perbahasan agama, ke mana akan pergi akhirnya? Penyedap bicara? menghabis wang manusia membayar harga kutub khanah? sedang khazanah ilmu itu gagal mengubah segala derita dan kemunduran umat.
Jika penulisan di Barat banyak yang berjaya membentuk polisi politik dan kehidupan yang mereka impikan, sejauh manakah pulak impak tulisan agama dalam masyarakat Arab? Nyata bahawa ‘Arab Spring’ itu satu keperluan untuk umat Arab.
Gambar: Penulis dan Muhammad Dandis kedai kitab.
Peranan Mahasiswa
Akhirnya, saya berterima kasih kepada pihak Kedutaan yang menyambut kedatangan saya dengan mesra. Para pelajar di Irbid yang memeriahkan ceramah-ceramah saya dengan kehadiran mereka. Sambutan kepada saya yang mesra dan memberangsangkan amat dihargai. Hari ini saya rasa fikiran pelajar di Jordan sudah banyak yang merdeka. Merdeka dari kongkongan kerajaan dan pembangkang. Bebas menentukan pendirian. Berani bersuara Itulah harapan kepada jenerasi baru jika kita ingin melihat mahasiswa berfungsi.
Gambar: Penulis berucap kepada pelajar yang memenuhi dewan besar University Yarmouk.
Seorang ahli politik yang ada kaitan dengan agama datang melawat pelajar Jordan sebelum itu dan menyatakan betapa pelajar terhutang budi kepada kerajaan dan mesti menyokong dasar-dasar kerajaan. Lalu diungkit jasa seakan ‘wang yang diberi terbit dari poket menteri’. Bahasa yang seperti itu menunjukkan betapa pengucapnya membodohkan pendengar. Betapa rendahnya nilai mahasiswa pada matanya.
Saya ‘menghasut’ pelajar untuk membebaskan diri dari fanatik kumpulan politik atau selainnya, sebaliknya menentukan pendirian sendiri setelah membaca, mengkaji dan berfikir. Itulah asas kehidupan ahli ilmuan selaras dengan firman Allah: (maksudnya):
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta akal, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”.(Surah al-Isra ayat 36).