Followers

Friday, March 2, 2012

[JOM]: Hukum Gerakan Newton Pertama (edisi kemas kini)

HUKUM GERAKAN NEWTON YANG PERTAMA

 

Assalamualaikum warahmatullah….

 

Mudah-mudahan, di saat waktu dan ketika ini, kita sedang menyelusuri sebuah jalan, yang tidak dilalui melainkan oleh insan-insan yang hembusan nafas dan denyut jantung nadinya, tidak sunyi daripada mengalunkan untaian puji dan syukur buat Rabbul Izaati, dek nikmat rahmat dan anugerah hidayat yang Ia kurniakan kepada mereka. Hingga, kita masih lagi berdiri di sini, di atas Siratul Mustaqim, di atas agama yang di redhai oleh-Nya, dan jauh daripada kesesatan orang-orang yang hatinya tidak ditembusi sinar hidayah daripada-Nya.

 

Mudah-mudahan, Ar-Rasul junjungan, Muhammad S.A.W, akan tetap terus dicurahi selawat beserta salam, bukan hanya oleh ALLAH dan para malaikat-Nya, tetapi juga oleh diri-diri kita, yang benar-benar ingin komit untuk mencintai dirinya, seperti mana cintanya para sahabah serta sahabiahnya, hingga Islam kemudiannya menemui kegemilangan, lalu menyinari alam dengan rahmah dan kedamaian.

 

Mudah-mudahan juga, kita akan termasuk di dalam kelompok insan yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam kalam-Nya, dan Ar-Rasul di dalam sabdanya, bahawa golongan ini akan beroleh kebahagiaan yang paling hakiki: menemani Ar-Rasul di Jannatul Firdausi, dek keimanan dan amal-amal soleh yang mereka persembahkan, sepanjang melalui kehidupan bergelar seorang insan.

 

Saudaraku,

 

 

Sir Isaac Newton, salah seorang saintis paling berpengaruh di muka bumi ini, menyebut di dalam “Hukum Gerakan Newton” yang pertama (Newton’s First Law of Motion di dalam bahasa omputihnya) bahawa “Sesuatu objek akan kekal dalam keadaan asalnya, sama ada bergerak dan terus bergerak, atau pegun hidup segan mati tak mahu, selagi tiada daya luar bertindak ke atasnya”. Ertinya, kehidupan ini akan kekal di dalam keadaannya yang sekarang, andai tiada daya luar, atau momentum yang dikenakan ke atasnya. Basikal akan terus bergerak, selagi daya dalam bentuk brek tidak menghentikan pergerakannya. Sebaliknya bola akan kekal pegun, selagi daya dalam bentuk sepakan, tidak dihadiahkan oleh Cristiano Ronaldo, atau Lionel Messi, atau Safi’ee Sali, atau oleh sesiapa pun, kepadanya. Yang hitam akan kekal hitam, yang putih akan terus putih, hidup akan terasa hambar, tanpa adanya daya atau momentum yang diketengahkan ke atas kanvas bernama kehidupan.

 

Wajar, Allah di dalam Surah ARa’d ayat ke 11, mendahului Newton dalam menyatakan perihal ini:

 

“..Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi mana kaum itu tidak mengubah nasib mereka sendiri…”

 

Ertinya, umat akan kekal di dalam keadaannya, andai mereka tidak mengenakan “daya” dan “momentum”, yang dapat mengubah kisah sedih kehinaan nasib mereka.

 

 

 

Usah mendamba menjadi umat yang terbaik, andai usaha-usaha pentarbiyahan dan penyedaran umat, tidak dilakukan dengan intensifnya. Usah mengharap sebuah Negara Islam, andai maksiat dan penyelewengan dibiarkan berleluasa dan bermaharajalela. Usah merindu pertolongan ALLAH, andai umat tidak berusaha agar layak untuk memperolehinya.

 

Apakah mungkin kemenangan kan datang, kemuliaan menjengah, dan kebahagiaan mengabadi, sedang insan tiada langsung kesungguhan dan pengorbanan bagi mendapatkannya? Apakah kau kira bermimpi dan berangan itulah yang dikatakan “momentum” perubahan, bukan hidup yang dipenuhi air mata dan darah berkat pengorbanan? Apakah kau meragui betapa hidup ini sebuah perjuangan, sedang nash Al-Quran juga nash saintifik kelolaan Newton, kedua-dua telah menyepakati keperluannya?

 

“Apakah kamu mengira bahawa kamu semua akan masuk Syurga, sedangkan belum datang kepada kamu apa yang dilalui oleh orang-orang sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncang (pendirian) mereka, sehingga berkatalah Ar-Rasul dan orang-orang beriman yang bersamanya; “bilakah akan datang pertolongan ALLAH?” Ingatlah, pertolongan ALLAH amat dekat.”

(Surah Al-Baqarah [2]:214)

 

Marilah berikan masa kita untuk Islam, seperti mana masa yang kita berikan untuk memenuhi tuntutan kehidupan, agar masa-masa yang kita berikan itu menjadi “momentum” yang meniupkan angin perubahan kepada nasib malang umat Islam yang berpanjangan. Dan Newton pun tersenyum riang, kerana kita memahami teori yang ia kemukakan.

 

(artikel ini asalnya ditulis dan disebar-emailkan pada awal 2004. Kini diberikan nafas baru)

 

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. hebat...^,^ benar2 terusik dgn penulisan tuan , teruskan usaha murni tuan .

    ReplyDelete
  3. Jazakillah khairan

    Semua pujian dikembalikan kepada Allah

    ReplyDelete