Followers

Sunday, July 29, 2012

HOPE

 

وعن عائشة رضي الله عنها قالت : قَالَ رسول الله :

« الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ مَعَ السَّفَرَةِ الكِرَامِ البَرَرَةِ ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أجْرَانِ »

متفقٌ عَلَيْهِ

"Orang yang membaca al-Qur'an dan dia mahir dengan bacaannya itu, maka dia beserta para malaikat yang mulia lagi taat. Sedangkan orang yang membaca al-Qur'an dengan tersekat-sekat dan terasa sukar baginya maka dia mendapat dua pahala."

[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, rujuk Riyadhus-Shalihin oleh al-Nawawi (diteliti dan disemak hadisnya oleh Syu 'aib al-Arna'uth, Dar al-Ma'mun, Riyadh 1996) – hadis no: 994

 

Lihatlah! Islam sentiasa memberikan "harapan" kepada umatnya. Allah sentiasa memberikan "harapan" kepada hamba-Nya.

Kenapa pula para "ahlinya" pula, yang tidak memberikan nilai-nilai "harapan" buat mereka yang "jauh", untuk kembali "mendekat" kepada Tuhan-Nya?

 

 

Wednesday, July 25, 2012

JIRIM

JIRIM
Jirim –menurut tafsiran yang dikemukakan oleh para saintis- adalah segala sesuatu yang mempunyai jisim, dan mempunyai kemampuan untuk memenuhkan ruang. Air misalnya, turut dikategorikan sebagai sebuah jirim, lantaran kemampuannya untuk  memenuhkan ruang-ruang kosong pada cawan plastik sang penjual air kelapa, sambil memberikan ukuran tertentu pada skala jisimnya. Begitu juga dengan gas, ia pun terkategori sebagai sebuah jirim, lantaran kemampuannya memenuhi ruang kosong pada belon Angry Bird lalu mengembangkannya, sambil memberikan penambahan jisim pada belon tersebut.


Nah, atas dasar itulah, makhluk yang bernama "insan" ini, atas kapasitinya yang mempunyai jisim dan juga mampu memenuhi ruang, harus dikategorikan juga sebagai sebuah jirim. Kemampuan jisimnya untuk memberikan "anjakan paradigma" kepada jarum penimbang, selain kesanggupannya untuk memenuhi ruang-ruang jiwa yang sedang kegersangan dengan memberikan sentuhan aspirasi dan cinta, menjadikan insan sebuah jirim yang lebih istimewa berbanding jirim-jirim yang lainnya.


Lebih lanjut lagi, yang namanya jirim itu, adalah hasil gabungan atom-atom yang berpaut-paut dan beruntai-untai di antara sesamanya, hingga terhasillah jirim dalam bentuk pepejal, cecair mahu pun gas. Ertinya, bersandarkan pemahaman fizik yang sedemikian, yang namanya manusia pun tentunya merupakan hasil gabungan sekian banyak atom-atom, yang saling bertaut dan saling bersatu, hingga memberikannya "kekuatan" untuk mengimarahkan bumi ini dengan kalimah Tuhan.

Namun, disebalik kehebatan dan "gah"nya sang jirim itu, jangan sampai ia lupa, jangan sampai ia alpa, betapa segala yang memenuhi ruang dan memberikan jisim itu, biar betapa raksaksanya ia, biar betapa machonya ia, biar betapa sombong lagi angkuhnya ia, ia hanyalah pautan dan hasil paduan berpuluh juta atau beratus ribu atom-atom, sama seperti jirim yang lebih "marhain" atau lebih rendah kedudukannya berbanding ia.

Saudaraku,
Andainya kita menyedari betapa yang membezakan saiz dan kandungan sesuatu jirim itu, justeru adalah bilangan atom-atom yang membentuk dirinya, maka kita akan sedar akan suatu hakikat, betapa saiz dan kandungan sesuatu jirim, belum tentu menggambarkan kelebihan dan keagungannya berbanding yang lainnya. Masakan tidak, mungkin jirim yang besar, luas atau banyak itu, nampak punya advantage dari segi luarannya, tetapi mungkin ia lebih kurang, mungkin ia lebih malang, mungkin ia lebih rendah kedudukannya berbanding jirim yang zahiriyahnya lebih "rendah" dan "kerdil" berbanding dengan dirinyanya. Mengapa demikian?

Sebabnya mudah. Jirim itu terdiri daripada atom-atom. Padanya (sang atom tersebut) bukan sekadar terselit cas-cas positif (dinamakan "Proton"), tetapi juga terkandung cas-cas negatif (disebut "Elektron") selain kewujudan sang neutral bergelar "neutron". Ertinya, boleh jadi jirim yang bersifat besar lagi raksaksa lebih mempunyai cas-cas negatif, berbanding jirim yang lebih kerdil dan miskin, tetapi padanya penuh dengan cas-cas dan lingkungan yang positif.


Kerana itulah wahai saudaraku, orang mukmin sejati tidak akan mudah tertipu dengan apa yang maujud secara zahiriyah semata-mata. Ia tidak melihat akan berapa banyak atom yang membentuk dirimu, sebaliknya memandang berapa banyak "cas positif" yang "mengecaskan" dan mewarnai kehidupanmu.

Kerana itu, ada orang yang umurnya pendek, tetapi kehidupannya nan singkat itu lebih bermakna, lebih bermanfaat, lebih barakah berbanding mereka yang hidup bertahun-tahun lamanya. Sa'id Hawwa misalnya, hanya sempat menghuni muka bumi ini sekitar 54 tahun, namun sumbangannya dalam bentuk penulisan buku mengalahkan kita-kita yang terkadang usia mampu mencecah satu dekad lamanya. Ilmu yang ia curahkan dalam karya-karya agungnya seperti buku "Allah", "Ar-Rasul", "Al-Islam" dan sebagainya, telah berjaya mendekatkan manusia pada Penciptanya, manakala "Tazkiyatun Nafs" dan "Jundullah, tsaqafan wa akhlaqan" mendekatkan manusia pada ketulusan jiwa dan kerendahan hati, suatu pemahaman yang tidak ramai mampu terapkan dalam kehidupan nan fana ini.

       

Kerana itu, ada orang-orang yang lumpuh, tetapi kekurangannya itu tidak menjadikan ia tidak bernilai di sisi manusia. Syeikh Ahmad Yasin, sang bapa intifadhah (kebangkitan) Palestina misalnya, mampu menggerakkan jiwa anak bangsa, untuk bangkit meraih kemuliaan dunia dan kehidupan di Akhirat sana, hingga lebih ditakuti oleh musuh durjana, berbanding mereka-mereka yang "jirim"nya kelihatan seperti manusia perkasa. Di atas kerusi roda, ia berjaya membentuk jiwa-jiwa, mengembalikan roh kepada Tuhannya, dan melonjakkan keberanian dan semangat kepahlawanan hatta kepada anak muda, suatu yang tentunya tidak mampu dilakukan oleh mereka-mereka di atas Bat Mobile mahupun di dalam pakaian sut Iron Man.

Kerana itu, ada insan yang miskin hartanya, tetapi gembira kehidupannya. Pada jirim berbentuk harta itu, biarpun sedikit kuantitnya, tetapi terkandung "cas positif" yang banyak pada kualitinya. Itulah yang disebut sebagai barakah, lalu kehidupannya tetap aman tenteram, tenang sejahtera, bahkan mendekatkan lagi ia kepada Tuhannya. Firman Allah;

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
"Barang siapa yang beramal soleh, baik daripada orang lelaki mahupun perempuan, sedang dia beriman maka Kami akan memberikannya "Hayatun Tayyibah" (kehidupan yang baik). Dan Kami akan membalas mereka dengan balasan yang baik (pahala) terhafap apa yang mereka semua kerjakan"
(Surah An-Nahl [16]:97)

Ternyata itulah rahsianya, wahai kawanku! Kehidupan yang baik itu, bukan diukur pada "berapa banyak atom yang membentuk dirimu", tetapi pada "bagaimana iman dan amal soleh membentuk "cas positif" (hayatun tayyibah) dalam kehidupanmu." Ramai orang mahu hidup kaya, tapi kurang orang yang memohon hidup bahagia. Banyak orang yang ingin hidup "bergaya", sambil lupa mengharapkan hidup tenang lagi sentosa. Majoriti manusia tertipu dengan "zahir"nya kehidupan, lalu meninggalkan "hakikat" dan "makna" kehidupan. Firman Allah;

وَمَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِهِ
"Dan barang siapa yang diberi hidayat (petunjuk) oleh Allah, maka dialah yang sebenar-benarnya beroleh petunjuk (mencapai kebahagiaan) dan barang siapa yang disesatkannya, maka tidak engkau dapati sekali-kali bagi mereka penolong-penolong yang lain selain daripada-Nya (allah)..."
(Surah Al-Isra' [17]:97)

Jika manusia adalah jirim, maka bentuk jirim yang bagaimanakah yang dikau ingin pilih, tatkala berhadapan dengan mahkamah Allah di Mahsyar kelak: ingin mengewap seperti gas lantaran bahang kemurkaan daripada-Nya, atau mencair seperti cecair lantaran takut akan nasib dirimu di hadapan-Nya, atau ingin solid bak pepejal, lantaran menyakini dan merasakan keredhaan, kasih sayang dan perhatian Tuhan? Untuk itu, ingatlah, untuk sentiasa menjadi jirim "yang beriman."

-Ir. Faridul Farhan Abd Wahab, adalah seorang Jurutera Profesional dan Jurutera Elektrik Kompeten-

Saya terhibur membaca blog Akhi Amir Syafiq (http://malasnakbaca.blogspot.com/). Barangkali penulisan yang ringkas sebeginilah yang dipesan oleh salah seorang pembaca setia blog saya, Allahyarham Abang Mokhtar kepada saya untuk dilakukan. InsyaAllah, saya cuba…

Monday, July 23, 2012

Al-fadhil Ustaz Dr. Qamarus Salam menulis tentang “Sentuhan” di dalam blognya baru-baru ini. Saya tidak pasti sama ada saya benar-benar memahami mesejnya ataupun tidak, tetapi sefaham saya tentang artikelnya itu, adalah apa yang saya fahami tentang Islam, tentang dakwah, tentang tarbiyah selama ini. Bahkan, inilah mesej yang saya faham daripada Al-Quran, tatkala Quran mengarahkan kita untuk sentiasa “memerhatikan”, hatta makhluk yang lebih rendah daripada kita seperti binatang ternak sekalipun.

 

Bila kita memerhatikan “sentuhan” seseorang individu ini, tidak semestinya kita bersetuju dengannya. Atau akan tunduk patuh mengikutinya. Tapi, setidak-tidaknya, kita bisa meneladani cara yang menjadikan manusia tertambat hati kepadanya. Misalnya, saya sedang mengusahakan untuk memiliki (dan yang terlebih penting membaca tentunya) buku karangan Adolf Hitler. Bukan bererti saya akan bersetuju atau terpengaruh dengan pemikirannya, tidak! Tetapi, saya ingin tahu apakah “sentuhan” yang diberikan oleh seorang Hitler, sehingga rakyat negaranya bisa bangkit berjuang bersama-sama perjuangan Nazi-nya..

 

Maka, akibat terlalu takut “orang kita” akan terpengaruh dengan seseorang, maka sering kali kita menghalang “orang kita” daripada melihat “sentuhan” orang lain. Saya berpandangan berbeza. Pada saya, lihatlah bagaimana sebahagian manusia –biarpun berbeza kelompok dengan kita- melakukan “sentuhan” kepada manusia mengikut caranya tersendiri.

 

Maka saya banyak belajar daripada insan-insan yang berbeza pendekatannya, tetapi menjadi sungguh sentuhannya, biarpun berasal daripada kelompok yang berbeza. Terima kasih kepada insan-insan seperti Dr. Hizul, Ustaz Dr. Salam, Dr. Asri, UZAR, Ust. Hasrizal, Akhi Azral, Syeikh Ahmed Deedat, Dr. Zakir Naik, Yusuf Estes dan lain-lain lagi, yang sering menjadi tempat saya memerhatikan bagaimana caranya melakukan “sentuhan” ini.

 

Alhamdulillah, tahun ini, kuliah Ramadhan masih berjalan di tempat kerja saya, biarpun saya sebagai penganjurnya menghadapi segala macam kesulitan dan rintangan. Namun, insyaAllah daripada semua masyaikh yang kami jemput, saya yakin akan ada “sentuhan-sentuhan” yang berlainan yang boleh dipelajari daripada mereka. Bukan sekadar yang tersurat, tetapi sering, pelajaran sentuhan ini, pada saya sekurang-kurangnya, adalah belajar daripada aspek yang tersirat.

 

Wallahu a’lam. Salam Ramadhan semua!

Sunday, July 22, 2012

Saya menyambut baik teguran daripada sahabat saya, Akhuna Zikri tentang jangan menyiarkan gambar ahlul maksiat.

 

Maka dengan ini, saya menarik balik posting “Malam Nisfu Sya’ban” daripada blog ini.

 

Jazakallah khairan kepada Akh Zikri di atas tegurannya.

Tuesday, July 17, 2012

HARTANAH

Soalan: Berapakah harga rumah teres 2 tingkat, berukuran 22’ x 70’, dengan 4 bilik tidur dan 3 bilik air? Tak detail pun takpelah, asal dalam range berapa agak-agak? RM200k? RM400k? RM600k? RM800k?

 

 

 

 

Sebetulnya, sukar untuk memberikan jawapan yang tepat bagi soalan di atas. Kenapa agaknya? Kerana biarpun rumah itu saiznya sama, bilangan biliknya sama, bahkan designnya pun mungkin sama, tetapi anda mungkin terkejut dengan variasi harga yang mungkin boleh diberikan. Akan ada yang berkata RM200k masih boleh dapat, namun ada pula yang membantah, paling murah pun dalam RM500k ke RM600k. Mengapa demikian?

 

 

Sebenarnya, harga rumah yang sama saiznya, sama designnya, dan sama bilangan biliknya, boleh bervariasi dek kerana beberapa sebab. Satunya, bergantung kepada siapa developer perumahan tersebut.

 

 

Jika yang memajukan perumahan tersebut adalah sebuah syarikat yang tidak pernah kita dengar; Ah Kaw dan rakam-rakam enterprise (eja rakan pun salah!), maka mungkin anda masih berpeluang untuk mendapatkan rumah sedemikian pada harga RM200k, atau mungkin lebih murah lagi! Namun, jika yang memajukan hartanah tersebut adalah syarikat-syarikat besar lagi well established seperti Sime Darby misalnya, atau UMLand misalnya, atau Futuwwah msailnya (insyaAllah..doakan!) maka wajar saja hartanah tersebut melambung tinggi harganya.

 

 

Begitu juga dengan amal-amal kita. Biarpun amalnya sama, tetapi nilainya di sisi Allah mungkin berbeza. Amalan membaca Al-Quran yang dilakukan oleh Pak Jabit, mungkin jauh lebih tinggi nilainya berbanding amalan membaca Al-Quran yang sama oleh Al-Fadhil Sahibul Fadhilah Syeikhuna Qaridiwi misalnya. Ini kerana Pak Jabit merupakan seorang pelaku amal yang “ternama” dan “well established” di sisi penghuni langit, dek kerana keikhlasan dan ketulusannya dalam beramal, hingga wajar nilai “hartanah amalannya” melambung naik. Sedang Syeikhuna Qaridiwi, meskipun memegang sekian banyak jawatan dalam organasasi berbentuk keIslaman, kerana amal-amalannya disertakan riak, atau ujub, atau bangga, menjadikan nilai “hartanah amalannya” merundum di sisi catatan Malaikat pencatit. Sabda Nabi SAW;

 

 

“Tiga hal yang membinasakan:

1.    Kekikiran yang ditaati,

2.    Hawa nafsu yang ditaati

3.    Seseorang yang bangga dengan prestasi dirinya (ujub)”

(Hadits ini disebutkan oleh Al-Mundziry dalam kitab At-Targhib wa Tarhib 1/162 yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Al-Baihaqi serta dibenarkan oleh Syaikh Al-Albani)

 

 

Keduanya, harga rumah bisa jadi berbeza, dek kerana lokasinya yang berbeza. Kerana itu harga bagi sebuah rumah yang saiznya lebih kecil, 20’ x 65’ misalnya, tetapi letaknya di Puchong, boleh jadi jauh lebih mahal berbanding rumah 22’ x 70’ tadi yang letaknya di Bahau misalnya. Kerana nilai hartanah itu sendiri, yang menjadikan nilai rumah itu menjadi mahal, bahkan mungkin berganda bezanya.

 

 

Sumber gambar: almultazam.sch.id melalui carian di Googleimage

 

 

Maka, bulan Ramadhan al-Mubarak, adalah umpama “hartanah” yang dapat memahalkan nilai amal ibadah kita. Masjidil Haram, Masjid An-Nabawi dan Masjidil Aqsa, juga adalah “hartanah” yang dapat menaikkan nilaian amal ibadah kita. Bahkan Lailatul Qadar –yang letaknya di dalam bulan Ramadhan- juga adalah “hartanah” yang dapat boost up nilai amal ibadah kita. Firman Allah;

 

 

“Tahukah kamu apakah itu Lailatul Qadr? Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

(Surah Al-Qadr [97]: 2-5)

 

Kerana itu; “Selamat Datang Ramadhan.” Moga ianya menaikkan nilai amalan, dan menjadi “hartanah” yang senantiasa menjadi idaman. Kedatangannya dinanti, pemergiannya dirindui.

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional  dan Jurutera Elektrik Kompeten

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

Monday, July 16, 2012

 

Raja Iran telah memanggil kesemua Ulama' Sunnah dan Syiah, bertujuan untuk mengetahui perbezaan diantara mereka.
Kesemua Ulama' Syiah menghadirkan diri, tetapi seorang Ulama' Sunnah tiba sedikit lewat bebanding Ulama' Sunnah yang lain2.
Ulama' Sunnah tersebut berjalan sambil mengepitkan kasutnya di celah lengannya.
Ulama' Syiah memandang kehairanan sambil berkata, "Kenapa kamu mengepitkan kasut kamu begitu?"
Ulama' Sunnah itu menjawab,"Saya terdengar bahawa semasa zaman Rasulullah s.a.w, Syiah gemar mencuri kasut!"
Ulama' Syiah menjawab, "Mana ada Syiah semasa zaman Rasulullah s.a.w."
Ulama' Sunnah seraya berkata,"Jadi perdebatan kita telah tamat. Kesimpulannya, dari mana datangnya agama kamu?"

-Sheikh Ahmed Deedat-

 

Sumber: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=427163267336298&set=p.427163267336298&type=1&theater

 

Sunday, July 8, 2012

DAIE ISLAM UMPAMA ROBOT

(Artikel lama, daripada blog saya yang lama (faridul.wordpress.com) yang disiarkan pada 1 Feb. 2008. Saya siarkan kembali sebagai pengulangan nasihat saya kepada sahabar-sahabat yang menziarahi saya malam tadi. Moga Allah perkuatkan kalian dan tetap terus istiqamah di jalan-Nya. Ingatlah, walau apa pun, janganlah kalian terbiasa menjadi “penganggur” di jalan dakwah)

DAIE ISLAM UMPAMA ROBOT… (PENGHARGAAN BUAT PARA PEMBACA)
Al-faqir, Faridul Farhan Abd Wahab, “Ya ALLAH, tetapkanlah kami dalam keadaan dziki dan syukur terhadap-MU”


Bukan karena ku berubah lemah,
Saat aku menangis di pangkuanmu ibu
 Bukan pula ku jadi pengecut,
Saat aku adukan semua kesal dalam dadaku
 Bukan pula ku tlah munafik,
Saat aku tak mampu jadi pahlawan…
[1]

Terkadang saya merasakan, bahawa daie Islam itu umpama robot. Ya, mirip sekali dengan robot. Kemiripan yang bukan pada rupa paras, apatah lagi pada komponen-komponen yang melengkapi tubuh yang ALLAH Azza Wa Jalla anugerahkan untuknya. Tidak, bukan pada itu kemiripan daie Islam dengan robot. Tapi, lebih kepada elemen utama yang tidak mungkin, bahkan tidak akan pernah mungkin dipunyai oleh robot, yang justeru wujud sebagai anugerah dari DIA, Tuhan Yang Maha Esa. Itulah yang namanya perasaan, salah suatu perkara yang menjadikan manusia begitu istimewa lagi sangat mulia, andai dibandingkan dengan sebuah robot.

Masakan tidak, sering daie Islam itu perlu memendam perasaan, lantaran jiwa dan raganya harus digunakan buat memikirkan orang lain, kudrat dan tenaganya perlu diinfak buat berkhidmat buat orang lain, waktu dan masanya harus -secara ajaibnya- dilapangkan buat memenuhi keperluan orang lain.


Mereka ini tidak boleh memikirin perasaan mereka sendiri, kerana setiap detik dan waktu, mereka harus senantiasa memikirkan nasib dan perasaan orang lain.

Bahkan, layanan orang lain terhadap mereka juga, persis umpama mereka hanyalah robot, bukannya manusia biasa yang ada perasaan, yang bisa menangisi kesedihan, yang bisa merasai kepedihan disakitkan, yang bisa luntur semangat dan keimanan. Tidak, mereka harus sempurna, dan tidak akan pernah halal untuk mereka memiliki perasaan, demikian mereka disakitkan, demikian mereka dilukai, demikian mereka dihina dan dijatuhkan.

Itulah kesimpulan saya, sepanjang perjalanan nan panjang untuk kembali meraih keredhaan Tuhan. Bukan sedikit cacian, hinaan, fitnahan, cemuhan, baik dari yang memusuhi mahupun dari insan-insan yang tersayang, yang menghiasi kamus perjuangan. Bukan sekali dua syaitan hampir-hampir memalingkan kembali saya untuk gugur dalam medan perjuangan, atau memenangkan rasa jemu dan putus asa sehingga tertiaraplah dakwah penuh keistiqamahan.

Sudahlah dakwah di alam realiti sudah mengundang seribu satu kepahitan, kedukaan dan kesedihan, dakwah di alam maya, lewat artikel-artikel yang saya tulis dan saya sebar-emailkan dan paparkan di blog ini, pun turut mengundang lagi cemuhan, kutukan, cacian dan yang sewaktu dengannya. Hingga, tatkala al-ahkam.net ditutup sementara dan pengunjung tetapnya disajikan mesej dari webmasternya yang berbunyi (seingat saya) “saya penat. Dan saya marah. Marah pada semua orang”, maka hampir-hampir, saya mengambil langkah dan sikap yang sama.

“Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia.

Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati) mu, niscaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka, kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula siksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolongpun terhadap Kami.

Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri (Mekah) untuk mengusirmu daripadanya dan kalau terjadi demikian, niscaya sepeninggalmu mereka tidak tinggal, melainkan sebentar saja.”
(Surah al-Isra’ [17]:73-76)

Alhamdulillah, di saat kesabaran itu umpama sudah sampai ke kemuncak, lantaran jiwa dan perasaan sudah sedemikian dibakar, direnyuk dan cuba dihapuskan, anda wahai pengomentar, anda wahai pembaca, tiba-tiba hadir memberikan komentar yang sungguh berharga, umpama oase yang menghilangkan dahaga setelah sekian lama mengemban dakwah di tengah-tengah lapangan yang kontang lagi meletihkan. Komentar anda, sungguh membangun jiwa saya. Membina kembali keyakinan saya. Menjana kembali semangat saya.

Setelah sedemikian sering saya bermuhasabah, apakah ada manfaat daripada penulisan saya ini? Apakah ada manusia yang berubah daripada seruan saya ini? Apakah ada kebaikan daripada dakwah alam maya saya ini, atau bahkan lebih banyak keburukan, lagi membina semangat permusuhan, yang merupakan kebalikan daripada niat dan tujuan asal saya menulis? Alhamdulillah, anda hadir memberikan jawapan.

Maka kembalilah tegar wahai daie Islam, lantaran ahdaf(tujuan) kita bukanlah kemasyhuran, pujian mahupun penghargaan. Tapi, apa yang disimpulkan dalam terjemahan buku Abdullah Azzam, entah oleh beliau ataupun penerbit buku terjemahan itu, sudah cukup menjadi modal keistiqamahan;

“Kami menulis ini bukan kerana tidak ada pekerjaan, dan bukan pula kerana ada yang mau membacanya. Kami menulis kerana kami merasa ada nasihat yang harus kami sampaikan kepada ikhwah pengemban dakwah, sebagai satu bentuk partisipasi kami dalam ‘perjalanan’ yang diberkati ini. Perjalanan menegakkan dien dan meninggikan panji-panjinya.[2]

Sekalung penghargaan buat anda semua…

RUJUKAN
[1]       Fatiya Al qudsy, “Saat Bintang Meredup”, http://www.eramuslim.com/ Publikasi: 25/02/2005 08:20 WIB
[2]       Dr. Abdullah Azzam, “Nasehat-nasehat Rasulullah SAW Penawar Lelah Pengemban Dakwah”, Uswah(2006)


Friday, July 6, 2012

HANDICAP

 

Saya tidak tahu bermain Golf. Maka, saya tidak pasti apakah maksud "handicap" di sisi para Golfers. Apapun, dalam permainan Ping-pong misalnya, maksud handicap boleh saja bererti "satu orang lawan dua orang." Atau, tatkala kita ingin bermain badminton bertanding dengan budak sekolah rendah, maka kita pun memberikan handicap kepadanya, iaitu 5 mata percuma. Ertinya, jika secara kebiasaan permainan dimulakan dengan mata 0-0, begitu bermula sahaja perlawanan itu, kedudukan mata sudah 5-0, demi memberikan advantage kepada pihak lawan kita. Saya pasti, begitulah sedikit-sebanyak penggunaan pakai istilah handicap itu di dalam bidang sukan dan permainan.

 

 

 

Dalam pertembungan di antara haq dan kebatilan, secara umumnya, pasukan kebenaran dan lawannya pasukan kejahatan (digelar menurut al-Quran sebagai Hizbus Syaitan) mempunyai persamaan dan kesama-rataan. Para Mukmin diberikan nikmat tubuh dan kebenaran menggunakan khazanah alam seperti udara dan sebagainya, maka sebegitu jugalah dengan musuh-musuh Islam. Mereka diberi 24 jam dalam sehari, maka sebegitu jugalah dengan kita para Mukmin. Hal ini disebut oleh Allah di dalam Al-Quran;

 

إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ

"Sekiranya kamu ditimpa kelukaan, maka sesungguhnya mereka (musuh) pun ditimpa kelukaan seperti mana yang kamu alami…"

(Surah Ali Imran [3]:140)

 

وَلاَ تَهِنُواْ فِى ابْتِغَآءِ الْقَوْمِ إِن تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمونَ

"Dan janganlah kamu "down" dalam mengejar musuhmu. Sekiranya kamu menderita (kesakitan), maka sesungguhnya mereka pun menderita (kesakitan) seperti mana yang kamu semua deritai…."

(Surah An-Nisa' [4]:104)

 

 

Cuma, ayat tadi ditamatkan dengan Allah menyebut betapa kita para Mukmin telah diberikan advantage, ertinya pertembungan antara yang Haq dan yang batil, sebenarnya berlangsung secara handicap;

 

وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيماً حَكِيماً

"….tetapi kamu semua mengharap daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan. Dan Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana)

(Surah An-Nisa' [4]:104)

 

 

Dan lagi, Hizbus Syaitan ditanamkan oleh Allah dengan ketakutan di dalam hati mereka, sedang Mukmin dimotivasikan oleh Rabb dengan kemuliaan dan ketinggian;

 

سَنُلْقِى فِى قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُواْ الرُّعْبَ بِمَآ أَشْرَكُواْ بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَـناً وَمَأْوَاهُمُ النَّارُ وَبِئْسَ مَثْوَى الظَّـلِمِينَ

"Kelak kami akan masukkan ke dalam jantung hati orang-orang Kafir itu "رُّعْبِ "  ketakukan, kerana mereka menyekutukan Allah dengan apa yang tidak diturunkan dengannya kekuasaan apa pun. Tempat tinggal mereka adalah Neraka. Demikian itulah sejelek-jelek tempat kembali buat orang-orang Zalim "

(Surah Ali Imran [3]:151)

 

وَلاَ تَهِنُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الاٌّعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

"dan janganlah kamu merasa "down" serta janganlah kamu bersedih hati, sedang kamu semualah yang "paling tinggi" (yakni darjatnya), sekiranya kamu semua beriman"

(Surah Ali Imran [3]:139)

 

Demikianlah sebahagian kelebihan yang DIA kurniakan kepada hamba-hambaNYA yang beriman dan menyerahkan jiwa dan raganya kepada agama-NYA.

 

«أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِيَ الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأُحِلَّتْ لِيَ الْغَنَائِمُ، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلى النَّاسِ عَامَّة»

Dari Jabir bin Abdullah, beliau mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku dikurniakan lima perkara yang tidak dikurniakan kepada seorang Nabi pun sebelumku:

1.    Aku ditolong dengan "رُّعْبِ " ketakutan yang "auranya" sejauh sebulan perjalanan

2.    Dijadikan untukku bumi ini sebagai Masjid dan tempat yang suci

3.    Dibenarkan/ dihalalkan untukku "Ghanimah" (harta rampasan perang)

4.    Aku dikurniakan Syafa'at

5.    Telah dijadikan nabi-nabi (terdahulu), mereka dibangkitkan kepada kaum mereka sahaja, sedang aku dibangkitkan untuk manusia secara keseluruhannya"

(Shahihain, dengan terjemahan oleh penulis sendiri)

 

Maka, sudah diberikan handicap kepada kita, kenapa masih kita yang terhina, dan mereka yang seolahnya kelihatan mulia?

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Competent Electrical Engineer, P.Eng, MIEM, Cert. Syari'ah Studies

 

p/s – semua terjemahan ayat Quran dan hadith adalah oleh penulis sendiri. Ia mungkin berbeza sedikit dengan Quran terjemahan anda. Wallahu a'lam