JIRIM
Jirim –menurut tafsiran yang dikemukakan oleh para saintis- adalah segala sesuatu yang mempunyai jisim, dan mempunyai kemampuan untuk memenuhkan ruang. Air misalnya, turut dikategorikan sebagai sebuah jirim, lantaran kemampuannya untuk memenuhkan ruang-ruang kosong pada cawan plastik sang penjual air kelapa, sambil memberikan ukuran tertentu pada skala jisimnya. Begitu juga dengan gas, ia pun terkategori sebagai sebuah jirim, lantaran kemampuannya memenuhi ruang kosong pada belon Angry Bird lalu mengembangkannya, sambil memberikan penambahan jisim pada belon tersebut.
Nah, atas dasar itulah, makhluk yang bernama "insan" ini, atas kapasitinya yang mempunyai jisim dan juga mampu memenuhi ruang, harus dikategorikan juga sebagai sebuah jirim. Kemampuan jisimnya untuk memberikan "anjakan paradigma" kepada jarum penimbang, selain kesanggupannya untuk memenuhi ruang-ruang jiwa yang sedang kegersangan dengan memberikan sentuhan aspirasi dan cinta, menjadikan insan sebuah jirim yang lebih istimewa berbanding jirim-jirim yang lainnya.
Lebih lanjut lagi, yang namanya jirim itu, adalah hasil gabungan atom-atom yang berpaut-paut dan beruntai-untai di antara sesamanya, hingga terhasillah jirim dalam bentuk pepejal, cecair mahu pun gas. Ertinya, bersandarkan pemahaman fizik yang sedemikian, yang namanya manusia pun tentunya merupakan hasil gabungan sekian banyak atom-atom, yang saling bertaut dan saling bersatu, hingga memberikannya "kekuatan" untuk mengimarahkan bumi ini dengan kalimah Tuhan.
Namun, disebalik kehebatan dan "gah"nya sang jirim itu, jangan sampai ia lupa, jangan sampai ia alpa, betapa segala yang memenuhi ruang dan memberikan jisim itu, biar betapa raksaksanya ia, biar betapa machonya ia, biar betapa sombong lagi angkuhnya ia, ia hanyalah pautan dan hasil paduan berpuluh juta atau beratus ribu atom-atom, sama seperti jirim yang lebih "marhain" atau lebih rendah kedudukannya berbanding ia.
Saudaraku,
Andainya kita menyedari betapa yang membezakan saiz dan kandungan sesuatu jirim itu, justeru adalah bilangan atom-atom yang membentuk dirinya, maka kita akan sedar akan suatu hakikat, betapa saiz dan kandungan sesuatu jirim, belum tentu menggambarkan kelebihan dan keagungannya berbanding yang lainnya. Masakan tidak, mungkin jirim yang besar, luas atau banyak itu, nampak punya advantage dari segi luarannya, tetapi mungkin ia lebih kurang, mungkin ia lebih malang, mungkin ia lebih rendah kedudukannya berbanding jirim yang zahiriyahnya lebih "rendah" dan "kerdil" berbanding dengan dirinyanya. Mengapa demikian?
Sebabnya mudah. Jirim itu terdiri daripada atom-atom. Padanya (sang atom tersebut) bukan sekadar terselit cas-cas positif (dinamakan "Proton"), tetapi juga terkandung cas-cas negatif (disebut "Elektron") selain kewujudan sang neutral bergelar "neutron". Ertinya, boleh jadi jirim yang bersifat besar lagi raksaksa lebih mempunyai cas-cas negatif, berbanding jirim yang lebih kerdil dan miskin, tetapi padanya penuh dengan cas-cas dan lingkungan yang positif.
Kerana itulah wahai saudaraku, orang mukmin sejati tidak akan mudah tertipu dengan apa yang maujud secara zahiriyah semata-mata. Ia tidak melihat akan berapa banyak atom yang membentuk dirimu, sebaliknya memandang berapa banyak "cas positif" yang "mengecaskan" dan mewarnai kehidupanmu.
Kerana itu, ada orang yang umurnya pendek, tetapi kehidupannya nan singkat itu lebih bermakna, lebih bermanfaat, lebih barakah berbanding mereka yang hidup bertahun-tahun lamanya. Sa'id Hawwa misalnya, hanya sempat menghuni muka bumi ini sekitar 54 tahun, namun sumbangannya dalam bentuk penulisan buku mengalahkan kita-kita yang terkadang usia mampu mencecah satu dekad lamanya. Ilmu yang ia curahkan dalam karya-karya agungnya seperti buku "Allah", "Ar-Rasul", "Al-Islam" dan sebagainya, telah berjaya mendekatkan manusia pada Penciptanya, manakala "Tazkiyatun Nafs" dan "Jundullah, tsaqafan wa akhlaqan" mendekatkan manusia pada ketulusan jiwa dan kerendahan hati, suatu pemahaman yang tidak ramai mampu terapkan dalam kehidupan nan fana ini.
Kerana itu, ada orang-orang yang lumpuh, tetapi kekurangannya itu tidak menjadikan ia tidak bernilai di sisi manusia. Syeikh Ahmad Yasin, sang bapa intifadhah (kebangkitan) Palestina misalnya, mampu menggerakkan jiwa anak bangsa, untuk bangkit meraih kemuliaan dunia dan kehidupan di Akhirat sana, hingga lebih ditakuti oleh musuh durjana, berbanding mereka-mereka yang "jirim"nya kelihatan seperti manusia perkasa. Di atas kerusi roda, ia berjaya membentuk jiwa-jiwa, mengembalikan roh kepada Tuhannya, dan melonjakkan keberanian dan semangat kepahlawanan hatta kepada anak muda, suatu yang tentunya tidak mampu dilakukan oleh mereka-mereka di atas Bat Mobile mahupun di dalam pakaian sut Iron Man.
Kerana itu, ada insan yang miskin hartanya, tetapi gembira kehidupannya. Pada jirim berbentuk harta itu, biarpun sedikit kuantitnya, tetapi terkandung "cas positif" yang banyak pada kualitinya. Itulah yang disebut sebagai barakah, lalu kehidupannya tetap aman tenteram, tenang sejahtera, bahkan mendekatkan lagi ia kepada Tuhannya. Firman Allah;
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
"Barang siapa yang beramal soleh, baik daripada orang lelaki mahupun perempuan, sedang dia beriman maka Kami akan memberikannya "Hayatun Tayyibah" (kehidupan yang baik). Dan Kami akan membalas mereka dengan balasan yang baik (pahala) terhafap apa yang mereka semua kerjakan"
(Surah An-Nahl [16]:97)
Ternyata itulah rahsianya, wahai kawanku! Kehidupan yang baik itu, bukan diukur pada "berapa banyak atom yang membentuk dirimu", tetapi pada "bagaimana iman dan amal soleh membentuk "cas positif" (hayatun tayyibah) dalam kehidupanmu." Ramai orang mahu hidup kaya, tapi kurang orang yang memohon hidup bahagia. Banyak orang yang ingin hidup "bergaya", sambil lupa mengharapkan hidup tenang lagi sentosa. Majoriti manusia tertipu dengan "zahir"nya kehidupan, lalu meninggalkan "hakikat" dan "makna" kehidupan. Firman Allah;
وَمَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِهِ
"Dan barang siapa yang diberi hidayat (petunjuk) oleh Allah, maka dialah yang sebenar-benarnya beroleh petunjuk (mencapai kebahagiaan) dan barang siapa yang disesatkannya, maka tidak engkau dapati sekali-kali bagi mereka penolong-penolong yang lain selain daripada-Nya (allah)..."
(Surah Al-Isra' [17]:97)
Jika manusia adalah jirim, maka bentuk jirim yang bagaimanakah yang dikau ingin pilih, tatkala berhadapan dengan mahkamah Allah di Mahsyar kelak: ingin mengewap seperti gas lantaran bahang kemurkaan daripada-Nya, atau mencair seperti cecair lantaran takut akan nasib dirimu di hadapan-Nya, atau ingin solid bak pepejal, lantaran menyakini dan merasakan keredhaan, kasih sayang dan perhatian Tuhan? Untuk itu, ingatlah, untuk sentiasa menjadi jirim "yang beriman."
-Ir. Faridul Farhan Abd Wahab, adalah seorang Jurutera Profesional dan Jurutera Elektrik Kompeten-
No comments:
Post a Comment