Followers

Tuesday, July 17, 2012

HARTANAH

Soalan: Berapakah harga rumah teres 2 tingkat, berukuran 22’ x 70’, dengan 4 bilik tidur dan 3 bilik air? Tak detail pun takpelah, asal dalam range berapa agak-agak? RM200k? RM400k? RM600k? RM800k?

 

 

 

 

Sebetulnya, sukar untuk memberikan jawapan yang tepat bagi soalan di atas. Kenapa agaknya? Kerana biarpun rumah itu saiznya sama, bilangan biliknya sama, bahkan designnya pun mungkin sama, tetapi anda mungkin terkejut dengan variasi harga yang mungkin boleh diberikan. Akan ada yang berkata RM200k masih boleh dapat, namun ada pula yang membantah, paling murah pun dalam RM500k ke RM600k. Mengapa demikian?

 

 

Sebenarnya, harga rumah yang sama saiznya, sama designnya, dan sama bilangan biliknya, boleh bervariasi dek kerana beberapa sebab. Satunya, bergantung kepada siapa developer perumahan tersebut.

 

 

Jika yang memajukan perumahan tersebut adalah sebuah syarikat yang tidak pernah kita dengar; Ah Kaw dan rakam-rakam enterprise (eja rakan pun salah!), maka mungkin anda masih berpeluang untuk mendapatkan rumah sedemikian pada harga RM200k, atau mungkin lebih murah lagi! Namun, jika yang memajukan hartanah tersebut adalah syarikat-syarikat besar lagi well established seperti Sime Darby misalnya, atau UMLand misalnya, atau Futuwwah msailnya (insyaAllah..doakan!) maka wajar saja hartanah tersebut melambung tinggi harganya.

 

 

Begitu juga dengan amal-amal kita. Biarpun amalnya sama, tetapi nilainya di sisi Allah mungkin berbeza. Amalan membaca Al-Quran yang dilakukan oleh Pak Jabit, mungkin jauh lebih tinggi nilainya berbanding amalan membaca Al-Quran yang sama oleh Al-Fadhil Sahibul Fadhilah Syeikhuna Qaridiwi misalnya. Ini kerana Pak Jabit merupakan seorang pelaku amal yang “ternama” dan “well established” di sisi penghuni langit, dek kerana keikhlasan dan ketulusannya dalam beramal, hingga wajar nilai “hartanah amalannya” melambung naik. Sedang Syeikhuna Qaridiwi, meskipun memegang sekian banyak jawatan dalam organasasi berbentuk keIslaman, kerana amal-amalannya disertakan riak, atau ujub, atau bangga, menjadikan nilai “hartanah amalannya” merundum di sisi catatan Malaikat pencatit. Sabda Nabi SAW;

 

 

“Tiga hal yang membinasakan:

1.    Kekikiran yang ditaati,

2.    Hawa nafsu yang ditaati

3.    Seseorang yang bangga dengan prestasi dirinya (ujub)”

(Hadits ini disebutkan oleh Al-Mundziry dalam kitab At-Targhib wa Tarhib 1/162 yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Al-Baihaqi serta dibenarkan oleh Syaikh Al-Albani)

 

 

Keduanya, harga rumah bisa jadi berbeza, dek kerana lokasinya yang berbeza. Kerana itu harga bagi sebuah rumah yang saiznya lebih kecil, 20’ x 65’ misalnya, tetapi letaknya di Puchong, boleh jadi jauh lebih mahal berbanding rumah 22’ x 70’ tadi yang letaknya di Bahau misalnya. Kerana nilai hartanah itu sendiri, yang menjadikan nilai rumah itu menjadi mahal, bahkan mungkin berganda bezanya.

 

 

Sumber gambar: almultazam.sch.id melalui carian di Googleimage

 

 

Maka, bulan Ramadhan al-Mubarak, adalah umpama “hartanah” yang dapat memahalkan nilai amal ibadah kita. Masjidil Haram, Masjid An-Nabawi dan Masjidil Aqsa, juga adalah “hartanah” yang dapat menaikkan nilaian amal ibadah kita. Bahkan Lailatul Qadar –yang letaknya di dalam bulan Ramadhan- juga adalah “hartanah” yang dapat boost up nilai amal ibadah kita. Firman Allah;

 

 

“Tahukah kamu apakah itu Lailatul Qadr? Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

(Surah Al-Qadr [97]: 2-5)

 

Kerana itu; “Selamat Datang Ramadhan.” Moga ianya menaikkan nilai amalan, dan menjadi “hartanah” yang senantiasa menjadi idaman. Kedatangannya dinanti, pemergiannya dirindui.

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional  dan Jurutera Elektrik Kompeten

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

No comments:

Post a Comment