Followers

Thursday, September 27, 2012

[JOM]: ATOM

ATOM

 

Tahukah kamu, bahawa semua jirim yang maujud di permukaan bumi ini, baik ia dalam bentuk pepejal (solid) ataupun bentuk cecair (liquid) mahupun bentuk gas, sebenarnya didirikan oleh unsur yang sama di antara semuanya; iaitu unsur yang dinamakan sebagai "atom". Cuma, kewujudannya dalam bentuk yang berbeza itu, hanyalah kerana cara para atom mengikat di antara satu sama lain. Sama ada ia menyatu umpama bunyanul marshus (bangunan yang berdiri kukuh, dek kerana kedekatan dan kebersamaan batu-batanya) seperti di dalam kondisi pepejal, atau memberikan sedikit ruang di dalam ikatannya untuk bebas "berkarya" mengikut kecenderungan masing-masing seperti yang dipercontohkan dalam keadaan cecair, mahupun memperkuatkan tarbiyah dzatiyah (kekuatan individu dalam mentarbiyah dirinya sendiri) sehingga bisa berjauhan sesama atom-atom lain, seperti yang diperlihatkan oleh suasana gas.

 

Sehingga, pernah suatu ketika, peradaban manusia menyangkakan bahawa atom itulah unsur asas, atau unsur terkecil yang ada di permukaan bumi ini. Hanya kemudiannya manusia menemui, betapa ada unsur yang lebih kecil lagi daripada atom itu, lantaran sesungguhnya atom itu justeru didirikan oleh beberapa unsur: itulah proton, itulah elektron, itulah neutron.

 

Proton adalah unsur positif pada atom. Neutron pula disebut sebagai unsur neutral di dalam atom, sedang electron adalah unsur negatif yang ada di dalam atom. Ertinya, sesbuah atom itu, pada keadaan neutralnya, mempunyai kedua-dua unsur, baik unsur positif, mahupun unsur negatif.

 

 

Saudaraku,

 

Sedarkah kita, sebelum manusia mengetahui bahawa atom bukanlah unsur terkecil di dunia ini, Al-Quran Al-Karim telah menyebutnya terlebih dahulu, bahawa seperti mana ada unsur yang lebih besar daripada atom, maka ada juga unsur yang lebih kerdil daripada atom. Allah menyebut;

 

وَمَا يَعْزُبُ عَنْ رَبِّكَ مِنْ مِثْقَالِ ذَرَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَلَا أَصْغَرَ مِنْ ذَٰلِكَ وَلَا أَكْبَرَ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

 

"...Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biar pun sebesar zarah (atom) di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu, melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz)."

(Surah Yunus [10]:61)

 

Maka, kerana itu, Allah S.W.T telah membuktikan hak-Nya dan kewajaran kita untuk sentiasa mempercayai, sentiasa meyakini, serta sentiasa mengikuti segala apa yang DIA telah tetapkan buat kita semua. Kerana di saat manusia masih teraba-raba fakta sebenar tentang atom, Allah S.W.T sebagai Sang Pencipta, sentiasa tepat dalam menyatakan fakta, biarpun mungkin dipertikaikan ahli sains pada suatu masa. Bayangkan saja jika para ahli sains sentiasa meyakini kebesaran dan keagungan Allah, hingga sedia untuk tunduk dan taat pada-Nya, tentunya fakta-fakta sains yang mereka tercari-cari, akan lebih dijumpai oleh mereka.

 

Saudaraku,

 

Kerana itu, insan di dalam melayari kehidupannya, jangan pernah bangga diri dan merasa besar, seakan-akan ialah manusia yang mulia lagi maksum di dalam alam buana ini. Sabda Nabi S.A.W;

 

"Tiga hal yang membinasakan: kekikiran yang diperturutkan, hawa nafsu yang diikuti, dan kekaguman seseorang terhadap dirinya sendiri."

(Hadith riwayat Thabrani di dalam Al-Ausath, dari Anas dan Ibnu Umar. Hadith ini hasan lighairihi)

 

Makanya, kerana itu, Allah S.W.T memperingatkan:

 

فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ

"..maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci..."

(Surah An-Najm [53]:32)

 

Kerana apa? Kerana seperti juga atom yang ada padanya unsur positif disebut Proton, neutral disebut Neutron dan negatif disebut Elektron, sebegitulah dengan jiwa, wahai saudaraku! Jiwa manusia (disebut an-nafs di dalam Bahasa Arab), terkadang bisa berwatak baik, terkadang bisa berkarakter buruk, sedang terkadang ia di antara kedua-duanya.

 

 

"Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya jiwa itu selalu menyuruh kepada kejahatan…"
(Surah Yusuf [12]:53)

 

Lantaran itu, tatkala insan sedar betapa seperti mana atom ia dikelilingi oleh elektron-elektron, maka sebegitu jugalah kita di dalam kehidupan ini. Ketika kita sedar betapa an-nafs yakni jiwa "dikelilingi" oleh unsur-unsur negatif, yang bisa menjerumuskannya ke lembah kemurkaan, biar siapa pun ia, biar apa pun jawatannya, biar apa pun penampilannya, kita akan lebih berhati-hati, terutamanya dengan lingkungan, terutamanya dalam membina persahabatan, kerana sabda Nabi SAW;

 

"Seseorang itu berada di atas agama sahabatnya. Maka perhatikanlah dengan siapa ia bersahabat."

(Hadith riwayat At-Tirmidzi)

 

 

Saudaraku,

 

Maka sedarlah, betapa kita ini mulia, lantaran Allah S.W.T telah meberikan ruang dan peluang untuk kita berada pada kedudukan dan keadaan yang mulian. Sedarlah, bahawa hari ini kita mulia, bukan kerana kita tidak punya "elektron" di dalam diri kita, tetapi justeru kerana Allah telah sudi "menyimpan" dan "menutup" segala aib-aib kita. Kata Ibnu Atha'illah di dalam Al-Hikam; "jangan berasa gembira atas perbuatan taat kerana kamu telah dapat melaksanakannya, tetapi bergembiralah atas perbuatan taat itu kerana ia sebagai taufiq, hidayah daripada Allah kepadamu."

 

Lantas, insan tidak akan tertipu dengan "prestasi dirinya", merasakan ia telah sempurna, merasa ia sudah hebat, merasa sebelah kakinya sudah di dalam Syurga, lalu memandang lekeh dan rendah akan manusia-manusia yang lainnya, sebaliknya akan merasa insaf, tawadhuk dan senantiasa tunduk dan bersedia untuk belajar daripada manusia-manusia yang lainnya. Jika Qabil bisa belajar daripada sang burung gagak, maka apakah salah kita mengambil unsur-unsur positif yang ada pada orang lain? Jika Nabi Yusuf sahaja Allah S.W.T katakan "wahammat bihi wa hamma biha" "dia (Zulaika) berkeinginan kepada Yusuf dan Yusuf pun timbul keingginan kepadanya (sebelum keimanan dan petunjuk Allah S.W.T menyelamatkan dirinya daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan)", maka apakah salah kita memerhatikan aib-aib dan kekurangan-kekurangan yang ada di dalam diri kita, demi meningkatkan keinsafan dan melunakkan perasaan betapa kita hanyalah setetes air mani yang hina?

 

Kata Muhammad bin Wasi' Al-Azdi, mudah-mudahan Allah S.W.T merahmati dirinya; "Kamu semua memuji ketaqwaan dan ibadatku, sedang jika dosa-dosa itu mengeluarkan bau, sudah tentu kamu semua tidak akan mendekatiku (dek kerana busuknya bau dosa itu."

 

 

Insaflah, wahai saudaraku! Mungkin suatu saat unsur-unsur negatif sang electron, akan berjaya menguasai kita, atau tersingkap pada pandangan manusia lainnya. Lalu hilanglah kemuliaan kita, dan terhinalah diri kita lantaran terbukanya perihal aib kita, di hadapan manusia-manusia lainnya. Kerna itu, agar Allah sentiasa menutup kelemahan dan kesilapan kita pada pandangan mata orang, mudah-mudahan kita juga akan turut menyimpan dan memaafkan kelemahan dan kesilapan orang-orang sekeliling kita. Bahkan sentiasa melihat unsur-unsur positif sang proton pada mereka, seperti mana yang dilihat oleh baginda Rasul pada diri seorang Umar, lalu didoakan hidayah buatnya, agar Islam akan kuat dengan kehadirannya.

 

Sabdanya lagi;

 

"Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham"

Proton, neutron, dan elektron. Semoga dosa-dosa kita yang lalu, menjadi pemangkin untuk kita berlari dan terus berlari meraih keampunan dan kasih sayang dari-Nya.

 

"Bila hatiku keras dan sempitnya mazhabku

Aku jadikan harapanku tangga untuk meraih keampunan-Mu

Besar sungguh dosaku, tetapi apabila dibandingkannya

Dengan keampunan-Mu Tuhanku, keampunan-Mu itu nyata lebih besar

Sentiasalah Diri-Mu mempunyai kemurahan dan kelebihan kurniaan

Hingga Kau wujudkan keampunan dan kemuliaan sebagai kurniaan

Moga-moga kesudahanku nanti di Syurga idaman

Nescaya  di "tahniah"kan, atau (jika tidak) ke Neraka penuh penyesalan"

(Imam Syafi'i Rahimullah)

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional  dan Jurutera Elektrik Kompeten

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

Sunday, September 23, 2012

Tevez vs. Mancini

Satu dunia sudah tahu tentang pergeseran di antara bintang pasukan bola sepak Manchester City, Carlos Tevez dengan pengurusnya, Roberto Mancini. Pergeseran yang bukan sekadar melibatkan pertelingkahan mulut, malah membawa kepada ikrar sang Pengurus betapa “Tevez tak kan mungkin bermain lagi untuk Manchester City lagi, selamanya…” Suatu sikap yang boleh sahaja difahami, lantaran Sang Pengurus cukup terhiris dengan sikap sami’na wa ashoina (kami dengar, tetapi kami tidak taat) yang diperlihatkan oleh anak buahnya, biarpun sang anak buah pula menafikan hal tersebut.

 

 

Biarpun begitu, beberapa bulan kemudiannya, entah bagaimana Sang Pengurus boleh lembut hati, dan menyatakan kemungkinan Tevez bisa saja disenaraikan kembali, andainya dia boleh membuktikan kecergasan dan prestasinya. Kenyataan Mancini pada 3 Febuari 2012 itu, menyusul selepas Tevez enggan meminta maaf kepada Mancini, biarpun sang Pengurus menyatakan kesediaan menyenaraikannya kembali, kalau saja Tevez sudi meminta maaf, seperti yang dikatakannya pada tanggal 1 November 2011.

 

14 Febuari 2012, Tevez kembali ke pangkuan pasukan, dan 21 Febuari 2012, akhirnya Tevez memohon maaf di atas kelakuannya sepanjang episode perbalahannya dengan Mancini. Seterusnya, Tevez menjadi nadi penting pasukan sehingga mereka berjaya menjadi Juara EPL dengan menghampakan peminat-peminat jiran mereka, Man Utd. seluruh dunia.

 

 

Menariknya, kedua-dua mereka adalah Kafir, namun memperlihatkan akhlak yang selayaknya dimiliki oleh seorang Muslim. Dan Mancini, sungguhpun merupakan bos pasukan City, tidak menjadikan keegoannya mengelabui matanya, hingga tergamak menafikan permohonan maaf sang anak buah, biar pun kesalahan sang anak buah seakan tidak boleh dimaafkan.

 

Saudaraku,

 

Bagaimana dengan kita hari ini? Tatkala kita melaungkan konon kita kasih dan sayang kepada baginda Rasulullah, apakah kita lupa betapa An-Nabi SAW sahaja pernah memaafkan orang-orang Mekah yang menzalimi dirinya, tatkala baginda masuk menguasai semula kota Mekah (peristiwa Fathul Makkah)?

 

Nah, ketika Ngeh Koo Ham sudah pun meminta maaf di atas twitternya, yang bukan menghina Islam dan Rasul pun, cuma sekadar pandangan peribadinya betapa demonstrasi itu membuang masa, kenapa sebahagian kita mengharamkan kemaafan buatnya, lalu menjadikan Ngeh “musuh no. 1 ketika demonstrasi anti-Islam” itu, sedangkan dunia seluruhnya menjadikan Amerika sebagai petualang yang mereka nyatakan kemarahan mereka (itu pun, ditegur oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi).

 

 

 

Apatah lagi Ngeh tidak pula mempunyai rekod kenyataan anti-Islam seperti Karpal Singh misalnya, atau Chua Soi Lek misalnya, maka kenapa kita terlalu dendam terhadap dirinya?

 

 

Marilah kita jadikan demonstrasi kita itu medan untuk memperlihatkan keindahan pekerti Muslim yang diajarkan oleh Rasulullah, agar seluruh dunia sedar betapa hinanya orang yang menghina pekerti semulia itu.

 

Maka terima kasih Prof. Madya Dr. Mohd Asri, yang menyatakan betapa permohinan maaf Negh itu sudah mencukupi.

 

 

Monday, September 17, 2012

Ghandi on the Prophet

 

Pada yang kecil itu......

Dulu saya tak perasan, tapi kini saya semakin sedar….

Betapa pada hal yang kecil itulah, yang bisa “mengikat” jiwa itu dengan bumi. Agar ia tidak terlepas melayang di langit, tatkala berkibar-kibar mengejar cita-citanya….

 

Seringkali orang yang tatkala semakin baik bacaan Al-Qurannya, bertambah banyak pula hafalannya, lalu sekadar sudi menjadi imam di hadapan, lalu lupa “peranan kecil” seperti menyapu dan membersihkan surau/ masjid, membentang dan melipat sejadah dan sebagainya, yang biasa dimainkan oleh tok siak yang sekadar berperanan  “di belakang.”

 

Seringkali insan tatkala sudah mengestablishkan dirinya sebagai penceramah/ muwajih, tidak lagi peduli untuk menyusun selipar yang bertaburan di muka pintu.

 

Atau,

 

Semakin meninggi status kehidupan dan kewangannya, tidak lagi peduli untuk mengumpul botol-botol kosong, yang bisa saja dijualkannya, hanya kerana satu plastic besar yang penuh dengan botol-botol kosong, hanya bisa beroleh RM1 sahaja. Kelihatan kecil benar nilainya pada dirinya…

 

 

Ini semua hal-hal yang kecil. Tapi, sedar tidak sedar, hal-hal kecil sebeginilah yang kalau saja diperhatikan dengan saksama, bisa mengajar dan menjinakkan jiwa kita untuk kekal tawadhuk dan merendah biarpun telah terbentang luas kesenangan dunia di hadapan kita.

 

Maka berdoalah, agar Allah tidak tumbuhkan semacam rasa hina, untuk kita berbuat hal-hal “kecil” yang terkadang tidak sudi dilakukan oleh sesiapa…

 

Tuesday, September 11, 2012

Anonymous

Tak cukup baik. Tak cukup ilmu. Tak pandai cakap….

 

 

Itulah di antara alasan yang sering kita dengari oleh mereka-mereka yang tidak mahu menyumbang terhadap perjuangan mendaulatkan Islam.

 

Cuma,

Barangkali mereka tidak sedar, betapa Al-Quran tidak sekadar merakamkan nama tokoh-tokoh dari kalangan Nabi di dalam Al-Quran. Ada juga tokoh-tokoh seperti Luqman serta Dzul Qarnain, yang diabadikan di dalam Al-Quran.

 

Juga,

Ada juga mereka-mereka yang remain “anonymous” di dalam Al-Quran, seperti mereka-mereka ini:

 

“Dan datanglah seorang laki-laki dari ujung kota bergegas-gegas seraya berkata: "Hai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu".

(Surah Al-Qashas [28]:20)

 

 

“Dan datanglah dari ujung kota, seorang laki-laki dengan bergegas-gegas ia berkata: "Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu,”

(Surah Yaasin [26]:20)

 

“Dan seorang laki-laki yang beriman di antara pengikut-pengikut Firaun yang menyembunyikan imannya berkata: "Apakah kamu akan membunuh seorang laki-laki karena dia menyatakan: "Tuhanku ialah Allah, padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika ia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika ia seorang yang benar niscaya sebagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu". Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta.”

(Surah Ghafir [40:28)

 

Nah, anda mungkin rasa bahawa anda bukanlah somebody, anonymous, a nobody. Maka kita bukan nak body you, yang kita mahu sumbangan you, commitment you. Nah, dengarkanlah Quran bersuara; “man anshori ilaLLah?” (Surah As-Shaf [61]:14)

 

Wednesday, September 5, 2012

[copy&paste]: FIQH TAWAQQU' - FIQH RAMALAN

Dalam al-Muwafaqat, al-Imam al-Syatibi mencadangkan satu teori fiqh yang disebut sebagai maalat al-Af'al, iaitu melihat kepada implikasi terhadap sesuatu tindakan.

Antara dalil-dalil bersumber dari nas dalam menyatakan bahawa wujudnya fiqh maalat al-'af'al ini adalah seperti berikut;

 

Pertama:

 

Dari sudut hukum asal, memaki sembahan-sembahan selain Allah adalah dibenarkan. Namun begitu, dibimbangi ia memberi implikasi yang buruk disebalik memaki sembahan-sembahan itu, iaitu menerima makian balas terhadap Allah SWT dari mereka dengan prejudis, maka perkara itu diharamkan oleh Allah SWT. Firman Allah,

 

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan" (Surah al-'An'am, ayat 108)

 

 

Kedua;

 

Dalam hadis ada dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW melarang seseorang memaki ibu bapa temannya. Larangan itu kerana melihat kepada implikasi yang bakal diterima, iaitu seperti memaki ibu bapanya sendiri. Ia disandarkan kepada satu hadis, daripada Abdullah bin Amr berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sebahagian dari dosa besar itu adalah seseorang itu memaki kedua ibu bapanya". Nabi Muhammad SAW ditanya, "Bagaimana mungkin wujud orang yang memaki kedua ibu bapanya?". Berkata Nabi Muhammad SAW,

 

إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الْكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ فَيَسُبُّ أَبَاهُ وَيَسُبُّ أُمَّهُ

"Seseorang memaki bapa seseorang yang lain, lalu dia memaki balik bapanya dan memaki balik ibunya". (al-bukhari, hadis no : 5516)

 

 

Ketiga;

 

            Daripada Aisyah R.Ha, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW ada berkata kepadanya;

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهَا أَلَمْ تَرَيْ أَنَّ قَوْمَكِ لَمَّا بَنَوْا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ قَالَ لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

"Apakah kamu tidak melihat sesungguhnya kaum kamu ketika mereka membina kaabah, mereka membataskan pada qawaed Ibrahim". Aku (Aisyah) bertanya, "Wahai Rasulullah SAW, kenapa tidak kamu kembalikannya pada qawaed Ibrahim?". Nabi Muhammad SAW menjawab, "kalaulah tidak kerana baru kaum kamu meninggalkan kekufuran, pasti aku sudah lakukan" (al-Bukhari, hadis no : 1480)

 

 

 

Jika diperhatikan kepada jawapan Nabi Muhammad SAW, kita dapati bahawa Baginda tidak terus meruntuhkan kaabah dan membaiki kedudukan balik Kaabah pada tapaknya yang sebenar, kerana bimbang melahirkan implikasi yang lebih buruk, iaitu pandangan arab bahawa Nabi Muhammad SAW mengajar kepada mereka meruntuhkan tempat-tempat suci ini.

 

Keempat;

 

Dari Anas bin Malik,

 

أَنَّ أَعْرَابِيًّا بَالَ فِي الْمَسْجِدِ فَقَامُوا إِلَيْهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ ثُمَّ دَعَا بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَصُبَّ عَلَيْهِ

bahawa seorang badwi telah kencing dalam masjid. Sebilangan sahabat bangkit (untuk menghalang badwi itu berkencing). Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda, "Jangan kamu halang dia kencing". Kemudian Nabi Muhammad SAW menyuruh mendatangkan satu baldi air, dan baginda SAW sendiri yang tuangkan air itu pada tempat kencing badwi tadi. (al-Bukhari, hadis no : 5566)

 

 

Nabi SAW melarang para sahabat dari menghalang Badwi itu kencing kerana, jika menghalang ketika badwi itu sedang kencing akan mendatangkan implikasi yang lebih besar buruknya, iaitu tempat yang kena air kencing dalam masjid itu akan menjadi lebih besar. Juga, mungkin apabila menghalang, menyebabkan badwi itu lari. Ketika itu, implikasinya lebih buruk, iaitu air kencingnya akan kena pada pakaian dan badannya.

 

Dari fikrah itu, ternyata fiqh itu semakin berlaku tajdid dan pembaharuan. Makanya lahir berbagai-bagai teori fiqh yang dapat difahami dalam kerangka kehidupan tanpa menafikan faktor nas-nas syariah.

 

 

Terkini, perbincangan Fiqh Tawaqqu' semakin berkembang. Ia dibicarakan oleh sebilangan besar tokoh-tokoh ilmuan islam yang muktabar, seperti Abdullah Bin Bayyah dan seumpamanya.

 

 

Fiqh Tawaqqu' atau diterjemah sebagai fiqh ramalan adalah kesan dari perbincangan tentang teori Maalat al-af'al atau implikasi terhadap sesuatu. Ia rentetan dari perbincangan tentang teori sad al-zaraie yang dikemukakan oleh Imam Malik, juga teori Fath al-zaraie yang dikemukakan oleh imam al-Qarafi.

 

 

Fiqh ramalan ini satu perbincangan tentang kefahaman yang mendalam dalam memastikan sesuatu yang bakal berlaku. Makanya, dari sekarang dilakukan beberapa tindakan supaya kemaslahatan lebih tercapai untuk masa mendatang berbanding kemudharatan, atau sekiranya diandaikan tercapai kemudharatan, dilakukan beberapa tindakan mengurangkan kemudharatan yang bakal berlaku.

 

 

Ada sebilangan ilmuan menolak teori fiqh tawaqqu' ini dengan alasan bahawa mengandai sesuatu yang bakal terjadi adalah satu perkara yang tertolak. Mereka berdalilkan dengan perkataan Umar bin al-Khattab di atas mimbar pada suatu hari. Iaitu,

 

قال عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ : أُحَرِّجُ بِاَللَّهِ عَلَى كُلِّ امْرِئٍ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يَكُنْ ، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ بَيَّنَ مَا هُوَ كَائِنٌ

Umar menyatakan bahawa orang yang bertanya perkara yang bakal berlaku adalah orang yang meminta bala itu disegerakan berlaku. Makanya ia wajar dibuang. ('Ilam al-Muwaqiin, hlmn 91)

 

 

 

Dijawab pendapat ini dengan satu kisah perbualan antara seorang sahabat bernama qatadah bersama Imam Abu Hanifah. Iaitu, Abu Hanifah bertanyakan perkara yang cukup susah dan ia belum berlaku. Soalan itu menyebabkan Qatadah memarahi Abu Hanifah, kerana bimbang mengundang bala. 

 

 

Namun begitu, Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa soalan tersebut adalah sebagai cara untuk kita bersedia untuk berhadapan dengan bala yang bakal menimpa. Jika diketahui, maka kita sudah untuk masuk atau keluar dari bala tersebut. (tarikh Baghdad, jld 6, hlmn 106 )

 

عن النضر بن محمد قال: دخل قتادة الكوفة ونزل في دار أبي بردة فخرج يوما وقد اجتمع إليه خلق كثير فقال: قتادة والله الذي لا إله إلا هو ما يسألني اليوم أحد عن الحلال والحرام إلا أجبته فقام إليه أبو حنيفة فقال: يا أبا الخطاب ما تقول في رجل غاب عن أهله أعواماً فظنت امرأته أن زوجها مات فتزوجت ثم رجع زوجها الأول ما تقول في صداقها وقال لأصحابه الذين اجتمعوا إليه لئن حدث بحديث ليكذبن ولئن قال: برأي نفسه ليخطئن فقال: قتادة ويحك أوقعت هذه المسألة قال: لا قال: فلم تسألني عما لم يقع قال: أبو حنيفة إنا نستعد للبلاء قبل نزوله فإذا ما وقع عرفنا الدخول فيه والخروج منه

 

 

Ia dikukuhkan lagi dengan beberapa keputusan Nabi SAW, seperti dalam sejarah sulh al-Hudaibiyyah. Ini kerana, perjanjian yang dilihat berat sebelah itu dengan berani diterima oleh Nabi SAW kerana menjangkakan kemaslahatan yang lebih besar bakal dikecapi dari pihak umat Islam. Ternyata, keberanian Nabi SAW menerima perjanjian tersebut mendatangkan keuntungan yang cukup gemilang dari pihak Islam.

 

 

KHILAF

 

Secara asasnya, sesuatu ramalan ini diterima dalam syariah berdasarkan syarat-syaratnya. Jika dipenuhi syarat, maka ia adalah fiqh tawaqqu', tetapi ia tidak mencukupi syarat, maka ia tidak boleh disebut sebagai fiqh tawaqqu'.

 

Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

 

1- Ia mesti berdasarkan kepada ghalabah al-zan, iaitu sangkaan yang menguasai. Dengan maksud, sesuatu sangkaan itu mempunyai bukti penyokong.

 

 

Ini sepertimana firman Allah yang menyatakan bagi orang yang berpoligami, jika mereka bimbang bahawa mereka tidak boleh berlaku adil, maka hendaklah mereka berkahwin seorang sahaja. (surah al-Nisa', ayat 3)

 

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

 

Jika ikut kepada realitinya, kita tidak tahu apakah kita boleh berlaku adil atau tidak, jika kita tidak berpoligami terlebih dahulu. Namun Quran menyatakan jika bimbang dari berlaku, maka hendaklah kahwin satu sahaja. Menunjukkan, ia tertakluk kepada sangkaan yang mendominasi dalam diri orang yang berpoligami tersebut.

 

 

2- Ia perlu melihat kepada qarinah yang TELAH dan SEDANG berlaku, disamping qarinah itu mempunyai kaitan dengan keadaan yang BAKAL berlaku. Semua ini perlu kepada analisa.

 

Ia dilihat pada perjanjian Hudaibiyyah yang dibuat oleh Nabi SAW. Semasa Nabi SAW menerima perjanjian, Nabi SAW sudah melihat suasana ketika itu, dan kaitannya yang bakal mendapat keuntungan di pihak umat Islam di masa akan datang.

 

 

3- Hendaklah diimbang perkara ini berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah. Iaitu, dengan disenaraikan andaian-andaian yang berbentuk keuntungan yang bakal berlaku. Juga diisenaraikan andaian-andaian tentang kerosakan-kerosakan yang bakal berlaku. Lalu, dianalisa untuk memilih tindakan yang boleh mengurangkan kerosakan, jika disana didapati akan berlaku kerosakan. Atau memilih kemaslahatan yang besar, jika disana dapat menghapuskan kemaslahatan tersebut.

 

Ini dilihat kepada tindakan Nabi SAW yang menerima untuk tidak menulis 'bismillah al-Rahman al-Rahim' dan 'Muhammad Rasulullah' dalam perjanjian hudaibiah pada tahun ke 6 hijrah, kerana melihat kemaslahatan yang lebih besar, iaitu umat Islam bukan sekadar boleh menunaikan ibadat Umrah qadha' pada tahun ke 7 hijrah, tetapi berjaya mengambil alih kerajaan Makkah pada tahun 8 hijrah.

 

 

4- Apabila sudah mendapati sesuatu itu bakal mencapai mafsadah atau kerosakan, maka disediakan 'ubat' bagi mengelak dari berlaku kerosakan tersebut. Ia seperti dalam analisa perlaksanaan hudud, didapati bahawa kerosakan yang bakal berlaku adalah penolakan ekoran dari tidak memahami. Makanya disediakan 'ubat' bagi menyelesaikan perkara ini dengan mengadakan kempen berbentuk keilmuan dan sebagainya. Atau misal lain, seperti seseorang doktor itu merasakan bahawa seorang pesakit itu mempunyai tanda-tanda ketika itu bahawa dia bakal ditimpa penyakit kusta, maka disediakan ubat-ubat pencegahan dari tertimpa penyakit tersebut.

 

Ini dapat dilihat dengan tindakan Nabi SAW menyuruh para sahabat membawa segala makanan dan duit ketika hendak menunaikan umrah qadha' pada tahun ke 7 hijrah (perjanjian hudaibiah pada 6 hijrah) untuk diberikan kebajikan kepada rakyat Makkah yang miskin dan berhutang ketika mereka melakukan ibadat. Tindakan itu, menyebabkan Islam menjadi buah mulut dikalangan rakyat makkah yang mendatangkan gelombang rakyat pada tahun selanjutnya, iaitu dalam sejarah Fath al-Makkah.

 

 

KESIMPULAN

 

Teori ini memang agak baru dibincangkan dalam dunia umat Islam, tetapi ia tidak salah dari sudut pengamalannya. Ini kerana, diteliti pada nas-nas dan sirah, didapati ia sudah diamalkan.

 

Teori ini amat penting dibincangkan dan diamalkan bagi mereka yang terlibat dengan ilmu kedoktoran, business, politik dan sebagainya. Ia sebenarnya berasaskan kepada islam yang selayaknya diamalkan.

 

Wallahu 'Alam.

 

Sumber:           http://g-82.blogspot.com/2012/09/fiqh-tawaqqu-fiqh-ramalan.html

 

Sunday, September 2, 2012

Jiwa Seorang Engineer & Meyakini Kemustajaban Di Dalam Berdoa

Saya seorang engineer. Maka, tentunya saya akan berusaha untuk menjiwai keengineeringan saya. Lantas, jika ditanya kepada saya apa advantage menjadi seorang engineer, tentu saya akan jawab, antara lain, seorang engineer itu sentiasa peka dan bersedia kepada new sources, yang menjadikan dunia kita dewasa ini semakin baik, semakin aman, semakin mudah, dan semakin bagus.

 

Walaupun ada di kalangan old timer atau otai-otai yang cenderung untuk menerhadkan kepada teknologi yang pernah ia jumpai semata-mata, tetapi jiwa seorang engineer sejati, senantiasa terbuka untuk menerima new technology, kerana keyakinannya kepada yang terbaik, berbanding berpegang bulat-bulat kepada "tradisi." Maka, bolehlah dikatakan bahawa seorang engineer ini adalah umpama "kaum muda", yang sering terpaksa berhadapan dengan "kaum tua" yang teguh pada "kebiasaan", biarpun ada something better dan something yang lebih tepat, daripada kebiasaan yang pernah ia jumpai.

 

Mengaplikasikan hal itu ke dalam kehidupan beragama, maka jiwa seorang engineer sepatutnya lebih terbuka untuk mendengar ilmu daripada sumber-sumber yang "lain"nya. Daripada aliran-aliran "lain". Daripada kelompok-kelompok yang "lain." Kerana seorang engineer, is trained to think outside the box. Dan keterbukaan inilah ciri-ciri orang yang bijak, seperti mana yang diungkapkan oleh Al-Quran.

 

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna."

(Surah Az-Zumar [39]:18)

 

Tidak hairanlah, keterbukaan kepada sumber inilah yang menjadikan ulamak-ulamak silam, termasuk di kalangan imam-imam besar dan imam-imam Mazhab, tidak keberatan untuk berguru dengan murid mereka sendiri. Kerana setiap mereka terbiasa berguru dengan sekian ramai orang, dan terbiasa menceduk ilmu dari sekian banyak sumber, hingga terkadang ada mutiara-mutiara baru dan berharga yang sang Guru rasa bisa ia manfaatkan dan pelajari daripada anak muridnya sendiri.

 

Syeikh Kabir umat ini dewasa ini, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pun, mempunyai jiwa seperti ini, seperti yang diceritakan oleh Dr. Zaharuddin (UZAR). UZAR berkongsi;

 

"Sheikh juga sebak digelar 'Imam' oleh anak muridnya, sehingga adakalanya beliau larang peserta memanggilnya sebagai Imam sewaktu mengajukan soalan,

 

"Aku masih anak murid seperti kamu, dan aku ingin juga belajar dari kamu sekarang" Kata Sheikh Qaradawi."

 

(Rujukan: http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/1003-mutiara-pengajian-a-ijazah-dari-sheikh-yusuf-al-qaradawi.html)

 

Maka, saya tidak malu untuk menyatakan bahawa saya banyak belajar daripada sahabat saya, Akhi Syed Al-Hafiz, terutamanya daripada penulisan-penulisannya di blog (mindaislah.blogspot.com). Kata-kata berhikmah Ibnu Qayyim misalnya, saya cedok daripada blognya. Ketika saya tercari-cari matan dan rawi hadith "Allah mencelup manusia paling nikmat (tetapi kufur) ke dalam Neraka secelup cuma," Akhi Syed hadir menyatakan sumbernya, betapa ia boleh didapati dalam Tafsir Ibnu Katsir. Memandangkan waktu itu saya hanya ada Tafsir ringkasnya sahaja dan hadith itu tidak diberikan di dalam kitab mukhtasar (ringkasan), beliau membantu menyatakan perawi-perawi hadith tersebut, sehingga Alhamdulillah saya berjaya menjumpai hadith itu di dalam Sunan Ibnu Majah, Jilid 2, hadith #4321. Ini sebelum saya menjumpai Tafsir Ibnu Katsir secara online.

 

Sekali lagi, ketika saya tercari-cari matan dan status hadith tentang doa yang tidak dimakbulkan dek kerana hati yang lalai dan alpa, Akhi Syed sekali lagi mendahului dengan memaparkan hadith tersebut di blognya. Alhamdulillah, ketika ditanya, beliau membantu saya mendapatkan sumbernya, menunjukkan keluasan ilmu dan pembacaan beliau. Maka, saya tidak malu untuk mengatakan betapa banyak hal yang saya telah dan akan terus –insyaAllah- pelajari daripada beliau.

 

Berikut adalah hadith yang saya cari-cari itu beserta rujukannya sekali. Semoga Allah membalas Akhi Syed Hafiz (bakal doktor, insyaAllah) dengan kebaikan.

 

:عن أبي هريرة رضي الله عنه ، عن النبي صلى الله عليه وآله وسلم قال

 ادعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة ، واعلموا أن الله لا يقبل دعاء من قلب غافل لاه

Maksudnya (terjemahan sendiri): daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: Kamu berdoalah kepada Allah dan kamu meyakini bahawa (ianya) akan diperkenankan. Ketahuilah, sesungguhnya Allah tidak memakbulkan doa daripada hati yang lalai leka terhadap-Nya."

(Mustadrak Al-Hakim. Sumber: http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=74&bookhad=1706)