Followers

Thursday, September 27, 2012

[JOM]: ATOM

ATOM

 

Tahukah kamu, bahawa semua jirim yang maujud di permukaan bumi ini, baik ia dalam bentuk pepejal (solid) ataupun bentuk cecair (liquid) mahupun bentuk gas, sebenarnya didirikan oleh unsur yang sama di antara semuanya; iaitu unsur yang dinamakan sebagai "atom". Cuma, kewujudannya dalam bentuk yang berbeza itu, hanyalah kerana cara para atom mengikat di antara satu sama lain. Sama ada ia menyatu umpama bunyanul marshus (bangunan yang berdiri kukuh, dek kerana kedekatan dan kebersamaan batu-batanya) seperti di dalam kondisi pepejal, atau memberikan sedikit ruang di dalam ikatannya untuk bebas "berkarya" mengikut kecenderungan masing-masing seperti yang dipercontohkan dalam keadaan cecair, mahupun memperkuatkan tarbiyah dzatiyah (kekuatan individu dalam mentarbiyah dirinya sendiri) sehingga bisa berjauhan sesama atom-atom lain, seperti yang diperlihatkan oleh suasana gas.

 

Sehingga, pernah suatu ketika, peradaban manusia menyangkakan bahawa atom itulah unsur asas, atau unsur terkecil yang ada di permukaan bumi ini. Hanya kemudiannya manusia menemui, betapa ada unsur yang lebih kecil lagi daripada atom itu, lantaran sesungguhnya atom itu justeru didirikan oleh beberapa unsur: itulah proton, itulah elektron, itulah neutron.

 

Proton adalah unsur positif pada atom. Neutron pula disebut sebagai unsur neutral di dalam atom, sedang electron adalah unsur negatif yang ada di dalam atom. Ertinya, sesbuah atom itu, pada keadaan neutralnya, mempunyai kedua-dua unsur, baik unsur positif, mahupun unsur negatif.

 

 

Saudaraku,

 

Sedarkah kita, sebelum manusia mengetahui bahawa atom bukanlah unsur terkecil di dunia ini, Al-Quran Al-Karim telah menyebutnya terlebih dahulu, bahawa seperti mana ada unsur yang lebih besar daripada atom, maka ada juga unsur yang lebih kerdil daripada atom. Allah menyebut;

 

وَمَا يَعْزُبُ عَنْ رَبِّكَ مِنْ مِثْقَالِ ذَرَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَلَا أَصْغَرَ مِنْ ذَٰلِكَ وَلَا أَكْبَرَ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

 

"...Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biar pun sebesar zarah (atom) di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu, melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz)."

(Surah Yunus [10]:61)

 

Maka, kerana itu, Allah S.W.T telah membuktikan hak-Nya dan kewajaran kita untuk sentiasa mempercayai, sentiasa meyakini, serta sentiasa mengikuti segala apa yang DIA telah tetapkan buat kita semua. Kerana di saat manusia masih teraba-raba fakta sebenar tentang atom, Allah S.W.T sebagai Sang Pencipta, sentiasa tepat dalam menyatakan fakta, biarpun mungkin dipertikaikan ahli sains pada suatu masa. Bayangkan saja jika para ahli sains sentiasa meyakini kebesaran dan keagungan Allah, hingga sedia untuk tunduk dan taat pada-Nya, tentunya fakta-fakta sains yang mereka tercari-cari, akan lebih dijumpai oleh mereka.

 

Saudaraku,

 

Kerana itu, insan di dalam melayari kehidupannya, jangan pernah bangga diri dan merasa besar, seakan-akan ialah manusia yang mulia lagi maksum di dalam alam buana ini. Sabda Nabi S.A.W;

 

"Tiga hal yang membinasakan: kekikiran yang diperturutkan, hawa nafsu yang diikuti, dan kekaguman seseorang terhadap dirinya sendiri."

(Hadith riwayat Thabrani di dalam Al-Ausath, dari Anas dan Ibnu Umar. Hadith ini hasan lighairihi)

 

Makanya, kerana itu, Allah S.W.T memperingatkan:

 

فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ

"..maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci..."

(Surah An-Najm [53]:32)

 

Kerana apa? Kerana seperti juga atom yang ada padanya unsur positif disebut Proton, neutral disebut Neutron dan negatif disebut Elektron, sebegitulah dengan jiwa, wahai saudaraku! Jiwa manusia (disebut an-nafs di dalam Bahasa Arab), terkadang bisa berwatak baik, terkadang bisa berkarakter buruk, sedang terkadang ia di antara kedua-duanya.

 

 

"Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya jiwa itu selalu menyuruh kepada kejahatan…"
(Surah Yusuf [12]:53)

 

Lantaran itu, tatkala insan sedar betapa seperti mana atom ia dikelilingi oleh elektron-elektron, maka sebegitu jugalah kita di dalam kehidupan ini. Ketika kita sedar betapa an-nafs yakni jiwa "dikelilingi" oleh unsur-unsur negatif, yang bisa menjerumuskannya ke lembah kemurkaan, biar siapa pun ia, biar apa pun jawatannya, biar apa pun penampilannya, kita akan lebih berhati-hati, terutamanya dengan lingkungan, terutamanya dalam membina persahabatan, kerana sabda Nabi SAW;

 

"Seseorang itu berada di atas agama sahabatnya. Maka perhatikanlah dengan siapa ia bersahabat."

(Hadith riwayat At-Tirmidzi)

 

 

Saudaraku,

 

Maka sedarlah, betapa kita ini mulia, lantaran Allah S.W.T telah meberikan ruang dan peluang untuk kita berada pada kedudukan dan keadaan yang mulian. Sedarlah, bahawa hari ini kita mulia, bukan kerana kita tidak punya "elektron" di dalam diri kita, tetapi justeru kerana Allah telah sudi "menyimpan" dan "menutup" segala aib-aib kita. Kata Ibnu Atha'illah di dalam Al-Hikam; "jangan berasa gembira atas perbuatan taat kerana kamu telah dapat melaksanakannya, tetapi bergembiralah atas perbuatan taat itu kerana ia sebagai taufiq, hidayah daripada Allah kepadamu."

 

Lantas, insan tidak akan tertipu dengan "prestasi dirinya", merasakan ia telah sempurna, merasa ia sudah hebat, merasa sebelah kakinya sudah di dalam Syurga, lalu memandang lekeh dan rendah akan manusia-manusia yang lainnya, sebaliknya akan merasa insaf, tawadhuk dan senantiasa tunduk dan bersedia untuk belajar daripada manusia-manusia yang lainnya. Jika Qabil bisa belajar daripada sang burung gagak, maka apakah salah kita mengambil unsur-unsur positif yang ada pada orang lain? Jika Nabi Yusuf sahaja Allah S.W.T katakan "wahammat bihi wa hamma biha" "dia (Zulaika) berkeinginan kepada Yusuf dan Yusuf pun timbul keingginan kepadanya (sebelum keimanan dan petunjuk Allah S.W.T menyelamatkan dirinya daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan)", maka apakah salah kita memerhatikan aib-aib dan kekurangan-kekurangan yang ada di dalam diri kita, demi meningkatkan keinsafan dan melunakkan perasaan betapa kita hanyalah setetes air mani yang hina?

 

Kata Muhammad bin Wasi' Al-Azdi, mudah-mudahan Allah S.W.T merahmati dirinya; "Kamu semua memuji ketaqwaan dan ibadatku, sedang jika dosa-dosa itu mengeluarkan bau, sudah tentu kamu semua tidak akan mendekatiku (dek kerana busuknya bau dosa itu."

 

 

Insaflah, wahai saudaraku! Mungkin suatu saat unsur-unsur negatif sang electron, akan berjaya menguasai kita, atau tersingkap pada pandangan manusia lainnya. Lalu hilanglah kemuliaan kita, dan terhinalah diri kita lantaran terbukanya perihal aib kita, di hadapan manusia-manusia lainnya. Kerna itu, agar Allah sentiasa menutup kelemahan dan kesilapan kita pada pandangan mata orang, mudah-mudahan kita juga akan turut menyimpan dan memaafkan kelemahan dan kesilapan orang-orang sekeliling kita. Bahkan sentiasa melihat unsur-unsur positif sang proton pada mereka, seperti mana yang dilihat oleh baginda Rasul pada diri seorang Umar, lalu didoakan hidayah buatnya, agar Islam akan kuat dengan kehadirannya.

 

Sabdanya lagi;

 

"Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham"

Proton, neutron, dan elektron. Semoga dosa-dosa kita yang lalu, menjadi pemangkin untuk kita berlari dan terus berlari meraih keampunan dan kasih sayang dari-Nya.

 

"Bila hatiku keras dan sempitnya mazhabku

Aku jadikan harapanku tangga untuk meraih keampunan-Mu

Besar sungguh dosaku, tetapi apabila dibandingkannya

Dengan keampunan-Mu Tuhanku, keampunan-Mu itu nyata lebih besar

Sentiasalah Diri-Mu mempunyai kemurahan dan kelebihan kurniaan

Hingga Kau wujudkan keampunan dan kemuliaan sebagai kurniaan

Moga-moga kesudahanku nanti di Syurga idaman

Nescaya  di "tahniah"kan, atau (jika tidak) ke Neraka penuh penyesalan"

(Imam Syafi'i Rahimullah)

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional  dan Jurutera Elektrik Kompeten

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

No comments:

Post a Comment