Followers

Tuesday, December 25, 2012

[JOM]: LITAR ELEKTRIK

LITAR ELEKTRIK

 

Dalam sebuah litar elektrik yang mudah, komponen yang membairisinya terdiri daripada bateri, konduktor (terbiasa dipanggil sebagai "wayar") serta LED (ataupun mentol). Bateri bertindak sebagai punca atau sumber kuasa elektrik. Konduktor sebagai pengalir. Sebahagian orang akan meletakkan Voltmeter and Ammeter untuk memastikan terdapatnya kuasa elektrik di dalam litar tersebut, tetapi adalah lebih baik diletakkan mentol atau LED, kerana selain mengesahkan betapa litar tersebut memang benar-benar terdapat tenaga elektrik yang melaluinya, tenaga elektrik itu tidak terbazir begitu sahaja, malahan dapat digunakan untuk menerangi cahaya kepada persekitaran, sesuai dengan "Prinsip Keabadian Tenaga" (masih ingat?) yang menjadi pegangan.

 

Jika mahu lebih lengkap lagi, suis juga disertakan di dalam litar tersebut, untuk membolehkan "ON" dan "OFF" litar dilakukan dengan lebih mudah dan selamat. Begitu juga dengan kehadiran perintang. Inilah komponen-komponen asas, yang bergabung tenaga bagi membina kewujudan litar elektrik yang paling asas untuk kegunaan manusia dan kehidupan.

 

Sumber: tutornotes.com.hk

 

Generasi kita pada hari ini, sangat bergantung kepada tenaga elektrik. Sama ada ketika berada di rumah atau pejabat mahupun di jalanan. Baik ketika menggunakan kenderaan mahupun di hospital melalui alat-alat bantuan kehidupan, tenaga elektrik tidak boleh dipisahkan oleh generasi kita pada hari ini.

 

Maka ketergantungan manusia kepada tenaga elektrik, menggambarkan peri-pentingnya litar dalam menjayakan kehidupan sehari-harian. Litar yang baik dan betul, akan membantumu memasang lampu, kipas atau menggunakan plag, dalam apa jua bangunan, baik rumah, pejabat, hospital dan lain-lain jenis bangunan. Litar yang benar bukan sahaja memastikan kenderaanmu dapat memasang lampu di waktu malam, menggerakkan wiper di hari hujan, dan menghidupkan aircond di tengah kepanasan, tetapi juga memastikan kenderaan itu sendiri dapat dihidupkan, kerana kenderaan memerlukan tenaga elektrik daripada sang bateri untuk enjin memulakan peranan, suatu yang tidak akan terhasil andainya litarnya terputus atau komponen-komponen asasnya mempunyai masalah yang di luar daripada kebiasaan.

 

Akibat sambungan litar yang tidak bagus, membawa malapetaka, malah mengundang kepada kebakaran

 

Ertinya, kepelbagaian jenis komponen yang mem"bintangi" litar ini, yang mana kesemuanya memainkan peranan mereka yang tertentu masing-masing, namun tetap terjamin sambungan di antara kesemuanya, menjadi prasyarat untuk tersebarnya tenaga elektrik, lantas menjadi suatu nikmat buat kehidupan, namun sering kali manusia melalaikan ia hingga ianya menjadi sebuah nikmat yang terlupakan. Namun, tatkala terjadinya black-out atau putus bekalan, barulah manusiawi sedar betapa di dalam kehidupan ini, terlampau banyak nikmat pemberian Tuhan, yang sering kita lalaikan, yang sering kita alpakan, yang sering kita luput dan terlupakan.

 

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ

"…Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)."

(Surah Ibrahim [14]:34)

 

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

"Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

(Surah An-Nahl [16]:18)

 

Saudaraku,

 

Kehidupan ini umpama sebuah litar: masing-masing komponen, dengan kelainan dan kepelbagaiannya, biar pun memainkan peranan yang berbeza-beza, tetapi saling melengkapkan di antara satu dengan lainnya. Kelainan dan kepelbagaian inilah, yang memberikan "warna" ke atas kanvas kehidupan. Atau, yang memberikan "rasa" kepada masakan perjuangan. Kerana itu, baginda Nabi SAW tidak pernah berusaha untuk menafikan kepelbagaian di antara para sahabatnya yang mulia, tetapi justeru melestarikan di antara kepelbagaian dan perbezaan yang masing-masing dimiliki oleh mereka. Atau, di dalam bahasa litarnya, memastikan "sambungan" di antara mereka berada di dalam keadaan yang baik, agar tidak berlaku "litar pintas" yang boleh membawa kepada bukan sahaja kerosakan, malah kebakaran, hatta kematian.

 

Islam, tidak pernah menafikan perbezaan dan kepelbagaian ini. Cumanya Islam mengajarkan adab-adab dalam bagaimana hendak menyikapi perbezaan dan kepelbagaian ini (disebut sebagai adabul ikhtilaf), bukannya berusaha memastikan manusia ini semuanya sama. Kerana persamaan itu mustahil. Seia-sekata itu mungkin, tetapi tone suara dan pitching tetap berbeza-beza. Maka, kalau ini dapat difahami, kita akan sedar betapa perbezaan itu kenescayaan, cuma permusuhan dan pergaduhan itulah yang hendak kita elakkan. Selagi masing-masing berpegang dan berpaksi kepada rahmat kurniaan Tuhan, barulah insan dapat sentosa dalam kepelbagaian.

 

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ

إِلَّا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

"Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat.

Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya."

(Surah Hud [11]:118-119)

 

Jika para sahabat yang mulia sahaja berbeza pandangan. Kalau imam-imam mazhab yang hebat berbeza pandangan. Andai Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pun punya kelainan pandangan dengan pengasas "madrasah pendidikannya" iaitu Hasan Al-Banna. Maka tentu kita pun akan ada perbezaan pandangan sesama kita.

 

Maka generasi kita pada hari ini, sepatut dan seharusnya tidak lagi berusaha menyatukan pandangan sesama kita, sebaliknya bertindak menguruskan kepelbagaian sesama kita. Generasi hari ini tidak lagi berusaha mewujudkan "ketaatan membabi buta"  di antara anak buah dan pimpinan, seperti yang ditunjukkan oleh sebahagian gerakan tarikat dan kesufian, sebaliknya membuka ruang toleransi dan menyatakan pandangan, namun dengan adab-adab dan suasana ukhuwah dan penuh kecintaan.

 

Bukankah sebelum terjadinya Bai'atul Ridhwan, sahabat yang diutus oleh baginda Nabi SAW asalnya adalah Umar Al-Khattab, namun Umar membantah dan meyarankan agar diutusnya Usman Al-Affan, lantaran dari segi strategi dan keselematan lebih bertepatan. Namun, apakah ketidak setujuan Umar itu menjadi modal untuk menyatakan beliau tiadanya ketaatan, seperti yang dituduhkan oleh golongan Syiah, malah ternyata baginda Nabi bersedia menerima cadangan dan saranan!

 

Saudaraku,

 

Litar kehidupan, yang ditonjolkan oleh generasi salafus soleh, persis litar elektrik yang kita bincangkan. Masing-masing "komponen" bebas berkarya memainkan peranan, namun "sambungan" sesamanya memboleh terbebasnya tenaga yang bermanfaat untuk kehidupan. Kerana sememangnya Tuhan Sang Pencipta Kehidupan, mendesign kita dengan kepelbagaian potensi dan kebolehan. Firman Allah;

 

قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَىٰ شَاكِلَتِهِ فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ أَهْدَىٰ سَبِيلًا

"Katakanlah: "Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing". Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya."

(Surah Al-Isra' [17]:84)

 

Seperti catur, setiap kita berperanan, biarpun dipenuhi dengan kepelbagaian

 

Maka ingatlah wahai saudaraku, "litar perjuangan" hari ini bukan lagi berkenaan menyamakan pandangan, sebaliknya menguruskan perbezaan. Maka silalah sang bateri dengan tugas menjanakan tenaganya. Silalah sang wayar dengan peranan mengalirkan arus elektriknya. Silalah sang LED dengan tanggung jawab menyinari persekitaran dengan cahayanya. Silakan sang suis untuk memudahkan pensuisannya. Dan silalah segala rintang-rintangan, menyelamatkan litar daripada rasa besar diri, sombong dan angkuh arus lebihan, biarpun manusia sering tidak menyedari betapa pada rintangan-rintangan itu, terkadang terkandung segala macam kebaikan.

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional  dan Jurutera Elektrik Kompeten

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

No comments:

Post a Comment