Followers

Saturday, March 2, 2013

[JOM]: LAMPU

LAMPU

 

Akhirnya, pada percubaannya yang ke-10,000, Thomas Alva Edison berjaya mencipta lampu. Dan yang lebih menariknya, komen Alva Edison tentang 10,000 percubaannya yang terdahulu itu adalah; "saya tidak gagal, bahkan saya berjaya menemui 10,000 cara bagaimana jangan untuk membuat lampu!"  "Reverse psychology" ataupun "positive thinking" yang -bagi saya- sangat menarik!

 

 

Penemuan lampu menyaksikan pengambil-alihan peranan yang sebelumnya dimainkan oleh pelita, lampu minyak tanah, dan yang seumpamanya. Ianya seumpama proses transisi daripada mesin taip kepada komputer, atau dapur kayu api ke dapur gas. Terima kasih para engineer kerana memudahkan urusan hidup kami!

 

Dan lampu, di antara sifat dan specification penting yang harus dipunyai olehnya, adalah illumination, yakni "darjah kecerahannya", diberi di dalam unit "lux" atau "lumen." Semakin kecil illumination sesebuah lampu (illumination ni tiada kena-mengena dengan "illuminati" yer..) bererti semakin banyak lampu yang perlu kita gunakan di sesebuah kawasan, demi mencapai kecerahan yang diinginkan. Dan tentu, kecerahan yang terhasil daripada sang lampu, seberapa banyak pun ia, sukar untuk mengatasi kecerahan semulajadi yang terhasil daripada makhluk bernama Matahari.

 

 

Wajar, Quran, ketika berbicara tentang cahaya semulajadi ini, juga berkenaan sumber-sumber cahaya, senantiasa konsisten di dalam menyebut mengenainya. Tatkala Allah berbicara tentang Matahari, Quran akan menyebutnya sebagai "سراج" yakni lampu, atau "ضياء" yakni bersinar-sinar, kedua-duanya merujuk kepada cahaya yang terjana dengan sendiri oleh sumbernya. Tetapi, untuk Bulan, Quran tidak pernah menyebut cahayanya itu sebagai سراج atau ضياء , sebaliknya konsisten menyebut cahaya Bulan sebagai "نور", yakni cahaya yang terbias, kerana memang bulan tidak mampu menjadi sumber cahaya, sebaliknya ia hanya mampu membias atau memantulkan cahaya daripada sang mentari semata-mata. Maha Suci Allah yang telah mengetahui hakikat cahaya Bulan mahu pun Matahari, belum pun ilmu astronomi menguasai dan mengetahui berkenaannya

 

Dan lagi, dek kerana terhadnya "kecerahan" sesebuah lampu beserta terbatasnya "radius" atau coveragenya, maka kita memerlukan sejumlah lampu, jika ingin mencerahi kegelapan-kegelapan ini. Satu lampu sahaja tidak cukup, untuk menangani kegelepan-kegelapan, kerana malam sememangnya membawa sebuah "kepekatan" dan sebuah kadahsyatan dalam hal-ehwal bidang kegelapan.

 

 

Saudaraku,

Sebegitulah terhadnya keilmuan manusia. Satu lampu sahaja tidak mencukupi, untuk menangani kegelapan-kegelapan. Kita memerlukan banyak lampu, jika ingin menangani dan mencerahi kegelapan-kegelapan ini. Tetapi Islam, Allah Azza Wa Jalla menggambarkjannya sebagai نور, yang bersifat singular yakni tunggal, tetapi mampu mencahayai dan menerangi banyaknya kegelapan (ظلماث disebut dalam bentuk jama' atau plural. Singularnya adalah ظلم). Perhatikan ayat-ayat berikut:

 

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

"Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman)"

(Surah Al-Baqarah [2]:257)

 

يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

"Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus."

(Surah Al-Maidah [5]:16)

 

Secara konsisten, Allah menyebut kegelapan itu dalam bentuk plural yakni banyak, kerana sememangnya kegelapan atau kezaliman atau kesesatan itu banyak, dan senantiasa cuba menyesatkan dan menghancurkan kebenaran dan keadilan. Tetapi, pair atau pasangannya pula singular, kerana cahaya kebenaran itu hanya ada satu, iaitu Islam; the only deen yang diredhai dan diterima oleh Allah Azza Wa Jalla.

 

Lihatlah kehebatan dan kagungan Allah! Biarpun hanya satu sumber, tetapi mampu dan berhasil untuk menerangi dan menenggelamkan kegelapan-kegelapan. Tetapi, tatkala anda mencari sumber cahaya yang selain daripadanya, biarpun banyak sumbernya, tetap sulit menangani kepekatan dan kemuraman segala macam kegelapan ini. Kerana itulah, An-Nabi SAW menyebutkan;

 

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ

وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah (al-Qur'an) sementara sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Seburuk-buruk urusan ialah perkara yang baru diada-adakan dan setiap bid'ah adalah sesat

(Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 867 (Kitab al-Jumu'ah, Bab meringankan solat dan khutbah)

 

Berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah, umpama cahaya matahari yang mempunyai keupayaan sebagai sole source yang mempu menghilangkan langsung bukan sekadar kegelapan-kegelapan malam, malah malam itu sendiri. Lalu dengan hilangnya kegelapan, bermulalah "kehidupan."

 

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Dan adakah orang yang mati kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayat petunjuk) dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan"

(Surah Al-An'am [6]:122)

 

Maka, apakah ada "suis" yang lain kepada "lampu kebenaran", jika bukan "suis" berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah?

 

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Jurutera Profesional  dan Jurutera Elektrik Kompeten

Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah

 

 

No comments:

Post a Comment