Followers

Sunday, March 10, 2013

Keadilan

"Sebaiknya kalian pergi ke Habsyah karena di sana ada seorang raja yang adil sekali. Di dalam kekuasaannya tidak seorang pun boleh dianiaya, di sana adalah bumi kejujuran. Sampai Allah memberikan jalan keluar kepada kalian."

 

Hadith di atas, di ambil daripada terjemahan karya Manhaj Haraki oleh Munir Muhammad Ghadban, dengan tajuk "Manhaj Haraki: Strategi Pergerakan dan Perjuangan Politik dalam Sirah Nabi Saw (Jilid 1), terbitan Robbani Press, ms. 73. Walau bagaimana pun, teks Arab hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq di dalam Sirah-nya itu, tidak menyebut perkataan "adil". Ia menyebut فان بها ملكا لا يظلم عنده احد iaitu "seorang raja yang tidak pernah menzalimi sesiapa" seperti terjemahan "Sur min hayati at-tabi'in" terjemahan Pustaka Salam (37 Kisah Kehidupan Tabi'in). Terjemahan Hayat Muhammad-nya Husain Haekal oleh Litera AntarNusa (Sejarah Hidup Muhammad) ms. 105 juga menyebut hal yang lebih kurang serupa.

 

Bila kita belajar hadith, kita akan dapati riwayat-riwayat ahli sirah, terutamanya yang diambil daripada Ibnu Hisyam –dan Ibnu Hisyam mengambilnya daripada Ibnu Ishak- akan ada perdebatannya di kalangan sebahagian ulamak hadith. Contohnya adalah kisah Hindun melapah hati Hamzah ketika perang Uhud, atau Nabi SAW berhijrah di waktu malam, dan yang lain sebagainya. Namun begitu, di sebalik perbahasan dan perdebatan tentang beberapa babak di dalam Sirah Nabawiyyah ini, namun peristiwa hijrah ke Habsyah ini adalah peristiwa yang diterima, dan kenapa Habsyah menjadi destinasi pilihan baginda pun, turut diterima, iaitu lantaran sikap tidak menzalimi orang –atau dalam lain perkataan, "keadilan"- yang dipertontonkan oleh Raja Habsyah iaitu Najasyi.

 

Benar, kemudiannya Najasyi –atau nama sebenarnya Ashamah bin Najar- memeluk Islam. Tetapi umat Islam berhijrah ke bawah pemerintahannya, di saat dia masih merupakan seorang Nasrani! Seorang Kristian! Dan umat Islam yang berhijrah ke Habsyah, tidak pula disuruh berhijrah ke Madinah saat tertubuhnya kerajaan Islam Madinah, tetapi sirah mencatatkan betapa Jaafar bin Abu Thalib dan rakan-rakan, bergabung serta dengan Nabi SAW, hanya setelah peristiwa Khaibar, yakni tahun ke-7 Hijrah! (biarpun saydina Uthman bin Affan terlebih dahulu berhijrah ke Madinah).

 

Kedua, adalah Hilful-Fudhul, atau Perjanjian Fudhul. Syaikh Shafiyyur-Rahman Al-Mubarakfury mencatatkan di dalam Rahiqul Makhtum-nya seperti berikut (mengikut terjemahan terbitan Pustaka Al-Kautsar):

 

Setelah Allah memuliakan dengan risalah, beliau bersabda, "Aku pernah mengikuti perjanjian yang dikukuhkan di rumah Abdullah bin Jud'an, suatu perjanjian yang lebih kusukai daripada keledai yang terbagus. Andaikata aku diundang untuk perjanjian itu semasa Islam, tentu aku akan memenuhinya."

(Syaikh Shafiyyur-Rahman Al-Mubarakfury, "Sirah Nabawiyah", Pustaka Al-Kautsar, ms. 82)

 

Perjanjian di zaman Jahiliyah, sebelum kedatangan Islam, oleh orang-orang Musyrikin, tetapi kerana ianya tidak bertentangan dengan Islam, Nabi SAW mengiktirafnya.

 

Dua kisah ini memberikan kesimpulan kepada kita, betapa Islam tidak menolak hal-hal baik, atau keadilan yang diimplementasikan oleh orang-orang Kafir. Yang tidak diterima oleh Islam ialah akidah dan kepercayaan mereka. Tetapi itu tidak menyebabkan Islam menolak semua benda baik yang dilakukan oleh mereka, terutama dalam hal muamalat, apatah lagi kaedah muamalat itu adalah الاصل فى الاشياء الاباحة "asal segala sesuatu itu adalah mubah/ harus/ boleh dilakukan," yakni selagi tidak datang nash/ dalil yang melarangnya. Bahkan Allah SWT sendiri tidak menolak untuk merakamkan kata-kata Ratu Saba' -yang ketika itu masih Musyrik- namun mengandungi intipati yang bagus dan tidak bertentangan dengan Islam. Firman Allah;

 

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

"Raja perempuan itu berkata: Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan"

(Surah An-Naml [27]:34)

 

Itulah sebabnya, saydina Uthman bin Al-Affan mengangkat gabenor-gabenor dari kalangan kaum keluarganya, yakni Bani Umayyah. Bukanlah kerana neopotisme seperti yang disangka dan dituduh oleh sebahagian pihak, tetapi kerana biarpun mereka ini dari segi keIslamannya bolehlah dianggap junior, tetapi Bani Umayyah ini sememangnya suatu kabilah yang mempunyai bakat dalam hal kepimpinan dan management, sehingga diberikan tanggung jawab tersebut. Sabda Nabi SAW seperti yang disebut oleh Imam Nawawi di dalam Riyadhus Solihin-nya:

 

خيارهم في الجاهلية خيارهم في الإسلام، إذا فقهوا

"terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham"

Ertinya dalam hal kepimpinan, saydina Uthman memberikan kepada yang layak memikulnya, tidak semestinya yang soleh untuk memikulnya. Hal ini bahkan dilakukan oleh Rasulullah SAW, seperti yang disebutkan oleh saydina Ali di hadapan para pemberontak yang ingin menggulingkan saydina Uthman:

 

"Dikatakan bahawa Ali mendebat mereka dalam perkara apa yang mereka kritik dari Utsman bin Affan. Lalu mereka menyebutkan beberapa hal, di antaranya,….. mengistimewakan Bani Umayyah dibandingkan dengan yang lainnya.

 

Lantas Ali bin Abi Thalib menjawab,"…..Adapun sikap beliau mengistimewakan Bani Umayyah, Rasulullah SAW sendiri melakukan hal yang sama terhadap orang-orang Quraisy."

(Al-Hafizh Ibnu Katsir, "Tartib wa Tazhib Al-Bidayah wa An-Nihayah" (terj.: Perjalanan Hidup empat Khalifah Rasul Yang Agung), Darul Haq, ms. 490).

 

Tapi, mungkin akan ada yang berhujah bahawa kes saydina Uthman ini masih dalam ruang lingkup kaum Muslimin. Sebenarnya apa yang ingin diutarakan di sini adalah:

 

1)    Islam tidak menafikan keadilan yang dilakukan oleh non-Muslim

2)    Kesolehan dan ketaqwaan tidak menjadi syarat mutlak menjadi pimpinan sesebuah organisasi

 

Sahabat Nabi SAW, 'Amr bin Al-'As berkomentar tentang bangsa Romawi tatkala mereply Al-Mustawrid Al-Qurasyi;

 

"Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja"

(Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, "Mereka Paling Mencegah Kezaliman Raja, drmaza.com July 5 2012)

 

Kesimpulannya, Islam mengiktiraf keadilan sesuatu kaum itu, sungguh pun mereka tidak beriman kepada Allah Azza Wa Jalla. Janganlah sampai kita gambarkan kepada orang-orang bukan Islam di Negara kita bahawa selain Islam, tidak ada keadilan, tidak ada kebolehan, tidak ada keupayaan dan sebagainya. Apatah lagi di saat kondisi umat Islam sekarang yang memang lemah dan ketinggalan, kemudian kita tetap mahu berada di atas orang lain sungguh pun terbukti mereka lebih baik berbanding kita. Apakah pandangan sebegini akan membuatkan non-Muslim tertarik untuk mendekati Islam, atau bahkan semakin berpandangan serong dan menjauhi Islam?

 

Tatkala kita gagal memahami hal yang asas ini, ia akan menyebabkan berlakunya "teori domino" atau "domino effect" yang mana dek kerana kita salah faham betapa Islam mengiktiraf keadilan, kebenaran dan kelebihan non-Muslim selagi ia tidak bertentangan dengan Islam, lantas kita pun menyangka haram mengundi seorang non-Muslim misalnya. Haram memenangkan seorang non-Muslim ke atas seorang Muslim in a court of law misalnya. Kita tidak boleh membenarkan non-Muslim mendirikan rumah ibadah mereka misalnya. Kita tidak beroleh pahala jika member sedekah kepada non-Muslim misalnya. Zakat tidak boleh diberikan kepada selain asnaf yang Muslim sebagainya. Dan lain-lain lagi.

 

InsyaAllah, pada minggu-minggu hadapan saya akan tulis pula tentang zakat, disusuli penjelasan kenapa saya menulis tentang isu-isu kepolitikan. Saya juga terbuka kepada segala pandangan lain insyaAllah, kerana memang dalam Islam kita di ajar untuk menerima perbezaan pandangan, bahkan perbezaan pandangan ini merupakan suatu khazanah dalam ilmu Islam. Cuma, saya berdoa mudah-mudahan diri saya dan kalian semua, akan senantiasa menjadi orang yang "membuat keputusan selepas perbincangan," bukan orang yang "membuat keputusan sebelum perbincangan."

 

Kalau orang yang membuat keputusan selepas perbincangan, bererti orang itu adalah orang yang cintakan kebenaran, sehingga sanggup mengubah pegangan dan penidiriannya andainya bisa dibuktikan bahawa pandangannya tersalah. Tetapi, orang-orang yang membuat keputusan sebelum perbincangan, tidak akan pernah ada manfaat berbincang dan berhujah dengan orang sebegini, kerana biar pun segala hujah dan bukti telah terbentang di depan mata, ia tetap bersikap keras dengan pandangannya. Sikap fanatiknya ini menjadikan kebenaran terhijab di hadapan matanya. Dan antara ciri orang-orang sebegini ialah, ia tidak berbalas hujah dengan orang yang tidak dipersetujuinya, tetapi ia bahkan mengambil pendekatan menyerang individu lawannya itu.

 

Saya berdoa mudah-mudahan orang yang menyerang peribadi saya adalah seorang ustaz. Kerana jika ia bukan seorang ustaz, ia telah melakukan apa yang Allah SWT larang iaitu "mengapa kamu kata apa yang kamu sendiri tidak perbuat?" lantaran ia sendiri bukan ustaz, tetapi bercakap hal agama boleh untuk dirinya, tetapi haram untuk saya.

 

Saya berdoa mudah-mudahan orang yang menyerang peribadi saya bukanlah seorang aktivis gerakan Islam, yang dibesarkan di dalam tarbiyah, kerana jika itulah halnya, bagaimana anak didiknya atau rakan seperjuangannya, terutama yang bukan aliran agama, ingin menyebarkan risalah suci ini sedangkan ia sendiri telah melimitkan tugasan dakwah ini hanya kepada asatizah semata-mata.

 

Dan kalau kiranya ia memang seorang ustaz, maka amatlah malang umat ini, kerana seorang yang sepatut dan seharusnya menjadi teladan kepada umat akan bagaimana menghadapi perbezaan pendapat, dan bagaimana bercerita tentang Islam dengan penuh ilmiah, telah menunjukkan satu teladan yang sungguh tidak boleh dicontohi.

 

Mudah-mudahan Allah melindungi kita semua, dan memberikan hidayah-Nya kepada kita semua. Amin.

 

 

 

2 comments:

  1. Insya Allah, semoga saudara 'Engineer' terus menulis. Semua orang suka tengok perbincangan & buah pendapat yang bernas. Jika ada perbezaan pendapat dalam perbincangan, ini adalah disebabkan penilaian terhadap sesuatu perkara terkadang berlainan. Begitulah lumrahnya. Melainkan sudah terbukti secara konkrit & muktamad tanpa sebarang keraguan bahawa pandangan & cara kita adalah yang paling benar, berkesan & selamat dalam membangunkan masyarakat Islam, agak susah untuk menghalangi dari berlakunya khilaf. Sama-samalah berusaha kerana ana yakin akan terbit juga satu hari nanti dari pelbagai pengalaman dakwah & tarbiyah jalan yang paling terbaik membentuk masyarakat Islam khususnya di negara Malaysia, ketika itu lebih mudah untuk semua bersatu hati menjunjungnya, insya Allah

    ReplyDelete
  2. Saya mendoakan agar akh Faridul Sang Engineer agar terus thabat di dalam jalan dakwah ini. Moga-moga dengan usaha dakwah dan tarbiyyah kita bisa melahirkan generasi yang dapat berlapang dada dengan perbezaan.

    ReplyDelete