Followers

Monday, March 28, 2011

[arkib]: POWER GRID

 (ditulis dan disebar email pada hujung 2004. Grid System adalah semacam "network" untuk penyebaran tanaga elektrik)


Barangkali antara hal yang sering tidak disedari oleh para electrical engineer ialah, sistem penjanaan dan penghantaran tenaga elektrik di negara kita dan bahkan di Amerika Syarikat[1] pun, terbingkai di dalam suatu network atau jaringan sistem-sistem sama yang lain di dalam suatu rangkaian yang kita kenali sebagai sistem “power grid”. Kehadiran sistem grid inilah yang memungkinkan tenaga elektrik yang dikehendaki oleh pengguna, terrealisasi seperti mana yang diimpikannya.[2] Ini kerana, dengan adanya sistem grid ini, kegagalan sesuatu IPP (Independent Power Plant) untuk membekalkan elektrik kepada pengguna lewat transmission lines nya, akan menyebabkan utility-utility (pembekal-pembekal tenaga elektrik) yang lain mengambil alih tugas tersebut, melalui penyaduran terhadap sistem grid. Dalam erti kata yang lain, antara keindahan sistem grid ini ialah, kebolehannya “mengimport” bekalan tenaga elektrik daripada pembekal tenaga yang lain di waktu-waktu kecemasan (seperti gagalnya sesuatu utility dan IPP untuk membekalkan elektrik) sehingga membolehkan penggunaan tenaga oleh pengguna tidak terganggu.

Namun, disebalik semua keindahan ini, terkandung suatu “kecacatan” yang dimainkan oleh power grid ini. Iaitu andainya sesuatu IPP atau utility (baca:pembekal elektrik) –yang biasanya merupakan suatu power plant- mengalami litar pintas, kemungkinan untuk “virus” kerosakan ini merebak dan menjangkau utility-utility yang lain, tatap ada. Ini bererti -seperti kejadian black-out besar yang berlaku pada tahun 1996- ketika sesuatu utility tewas dan kecundang di “medan perjuangannya”, nilai-nilai “ukhwah” yang cuba dimainkan oleh utility yang lain, dalam bentuk menyumbangkan bekalan elektrik kepada pengguna yang berkaitan, bahkan boleh memudharatkan dirinya sendiri, dalam konteks bekalan tenaga untuk pengguna (pelanggan)nya sendiri tidak terpenuhi, bahkan, lebih dahsyat daripada itu, “kesilapan” pihak lainnya lantas “mengazab” dirinya sendiri.

Kita belajar daripada sistem grid ini, kerana sesungguhnya, kehidupan bermasyarakat pun, umpama suatu rangkaian yang saling bahu membahu, tolong menolong dan lebih daripada itu, tanggung menanggung. Maka, umpama sistem grid ini, andainya kerosakan di dalam masyarakat dibiarkan sahaja oleh kita, dengan alasan cukuplah kita sahaja mampu “membekalkan tenaga elektrik”, tetapi kewujudan sistem grid ini dikhuatiri akan mewarnai juga kehidupan kita. Itulah sebabnya -oleh ALLAH SWT di dalam qalamnya- diperingatkan; “Peliharalah dirimu daripada fitnah yang tidak khusus menimpa orang-orang zalim sahaja di anatara kamu..” (al-Anfal[8]:25). Kerana ketika mana ALLAH berkehendak menurunkan azabnya kepada sesuatu kaum, maka kebaikan-kebaikan yang kita lakukan sahaja, tetap sahaja akan “terbakar” bahkan “black-out” akibat “litar pintas” yang berlaku pada masyarakat lainnya. “Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari Kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (lauh Mahfuzh)” (al-Isra’[17}:58)

Barangkali sinilah silapnya. Dek kerana terlampau gah membekalkan tenaga elektrik, yang kemudiannya melambung-lambungkan keuntungannya, menyebabkan sifat kemanusiaan yang patut dibelai dan dipupuk di dalam diri pudar begitu sahaja. Keselesaan hidaup telah menyebabkan manusia hilang kesedaran dan sensitiviti terhadap perjuangan membela agama, dek kerana asyik masyhulnya mereka dibuai keseronokan negara. Walhal, bila umat rosak, mereka turut terbinasa. “Dan ALLAH telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat ALLAH, kerana itu ALLAH merasakan “blackout” (kelaparan dan ketakutan) disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.” (an-Nahl[16]:112)

Tradegi umat Islam dibantai di Palestin, Bosnia, Ambon lain sebagainya, semuanya bermula di sini: Di satu pihak, mereka bermaksiat kepada Tuhan, sedang di satu pihak lagi, mereka bersantai di dalam keriangan amal, tanpa melakukan usaha-usaha perbaikan terhadap pihak lainnya. Dan di sinilah silapnya. Andainya kehidupan ini bukan suatu sistem grid, maka malapetaka yang turun dari langit hinggap pada pihak yang rosak sahaja. Tetapi kehidupan ber”grid” ini lantas memadamkan keriangan “cahaya” yang memancari hari-hari indah sang pengamal tadi, lantas menyebabkan kegelapan bersama.

Cukuplah syair yang dikirimkan oleh Abdullah Ibnu Mubarak kepada sang abid Fudhail B. Iyad, yang selesa dengan ibadahnya seorang, sebagai pengajaran buat kita:

 

Wahai orang yang sedang beribadat di dua tanah haram
jika kamu melihat kami
nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu
orang-orang itu membasahi lehernya dengan air mata
sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah
dia memenatkan kudanya di dalam sia-sia
sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan
kamu berbau harum dengan minyak wangi
sedangkan minyak wangi kami
adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan peperangan
telah datang kepada kami sabda Nabi kita
kata-kata yang benar, tepat dan bukan dusta:
“Tidak akan bertemu debu kuda pada hidung seseorang
dengan asap neraka yang menyala
kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa
“orang yang mati syahid itu tidak mati” ini bukan satu dusta[3]

 

 

Sesungguhnya hero mukmin sejati tak pernah bermain-main dengan janjinya. Kerana kehidupannya, sama ada pelajarannya, atau kerjayanya, atau rumah tangganya, adalah suatu proses menuju Tuhannya dengan sebuah karya. Karya kemuliaan akibat membela agamanya. Dan dalam perkara ini, bagaimana dengan kita?


RUJUKAN

1 Hadi Saadat, “Power System Analysis”, McGraw-Hill (1999), m/s 2
2 www.naruc.org/resources/glossary.shtml
3 Al-Subki, “Tabaqat al-Syafiiyyah al-Kubra”, Jilid 1, m.s. 287 (Hadis yang dimaksudkan oleh Ibnu Mubarak ini ialah Hadis sahih riwayat Tarmizi, Nasa’I, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ahmad: Tidak akan bertemu debu jihad dengan api neraka Jahannam- penulis)

 

 

Monday, March 21, 2011

PENGUMUMAN

Assalamu’alaikum sahabat pembaca sekalian,

 

1)      Saya terpaksa membuang “shoutbox” blog ini memandangkan ada iklan yang tidak semena-mena muncul di bahagian tepi blog ini, yang bahkan ada aduan yang mengatakan iklan itu berbaur lucah. Walakin, sebarang komentar bolehlah ditinggalkan di ruang komentar setiap artikel.

 

2)      Saya sedang dalam proses memindahkan semua artikel daripada blog lama saya, sebelum saya menutup terus blog lama itu. Artikel-artikel ini akan dilabelkan sebagai [arkib], insyaAllah.

 

 

3)      Saya mempunyai masalah untuk mereply komentar-komentar yang ditinggalkan di dalam blog ini, melainkan saya berada dalam keadaan LOG IN. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, artikel-artikel yang saya post di dalam blog ini adalah via email, maka maafkan saya jika saya terlewat membalas komentar-komentar anda.

 

4)      Sehingga Pengumuman ini ditulis, sudah 13,379 kali blog saya ini dibaca (termasuk banyak kali oleh saya sendiri, hehe..) juga 102 orang followers. Biar pun jumlah itu tidak banyak, saya sangat menghargai semua orang yang sudi membaca artikel-artikel saya serta menjadi follower blog saya. Moga kalian mendapat manfaat daripadanya, dan moga kalian sentiasa mendoakan keistiqamahan saya dalam menulis serta beramal dengannya.

 

 

Thank You and Best Regards.

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab 

P.Eng, MIEM, Sijil Pengajian Syariah

 

Global Positioning System (GPS)

Dulu, tidak berapa lama dahulu, untuk orang kampung seperti saya menelusuri bandar Kuala Lumpur demi sesebuah urusan, sungguh merupakan suatu yang sangat cuba dielakkan. Biar berbekal peta di simpanan, simpang siur ibu kota cosmopolitan yang bercambah seiring kemajuan, memang suatu yang sangat menakutkan. Dan demikian tersilap simpang, entah bagaimana mahu kembali ke “pangkal jalan.”

 

Kini, biar ceruk mana asal kalian, bertandang ke Bandaraya kemegahan warga kota, tiada lagi yang perlu dikau khawatirkan. Berbekal alat GPS di tangan, nyatakan saja destinasi anda, selagi GPS “terhubung” dengan langit, petunjuk jalan ‘kan sentiasa kalian dapatkan.

 

Begitulah, seperti terjaminnya haluan para pemandu yang terhubung dengan satelit di langit via GPS, manusia yang sentiasa terhubung dengan “langit” juga, tidak gentar dengan dugaan dan cabaran yang bakal mendatang. Wajar, Ustaz Anis Matta, Sekjen Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia meluahkan pandangan; “sepanjang kita terhubung dengan langit, tidak ada mudharat di bumi yang perlu dikhawatirkan.” Nah, apakah kalian tidak mendengar gambaran Allah terhadap “kekasih-kekasih-Nya” yang senantiasa “on-line” dengan diri-Nya?

 

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

(Surah Yunus [10]:62)

 

Saudaraku,

Mukmin yang sentiasa terhubung dengan “langit”, akan sentiasa beroleh bimbingan dan pedoman dalam mencari lorong-lorong keluar dari segenap persoalan. Seperti firman-Nya di dalam surah At-Thalaq [65] ayat 2-3, ketaqwaan itu sering membukakan jalan keluar buat segala permasalahannya di bumi. Hingga wajar, sasaran utama ghazwul fikri (serangan pemikiran) adalah dengan memutuskan hubungan makhluk dengan Khaliqnya tadi (ifsadul akhlaq). Kerana apabila mukmin mula melemah “signal”nya dengan “langit”, dunia tidak lagi berada di bawah genggaman takhluknya, bahkan dunia itulah yang menguasai dan bertakhta di hatinya.

 

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”

(Surah al-Hasyr [59]:19)

 

Setiap kali umat Islam mula berlunak dan berjinak dengan dunia, maka setiap kali itulah izzah dan kekuatannya makin melemah saat berhadapan dengan para musuh-musuhnya. Al-Wahan (cinta dunia), kata Nabi, menjadi punca hilangnya ketakutan musuh kepadanya, bahkan sekadar menjadi bahan ratahan oleh kaum-kaum yang tidak pernah redha keimanan bertakhta di jagat raya. Hingga, saat Raja Perancis ditanya akan mengapa ia tidak berusaha untuk merampas kembali wilayah Sepanyol dari genggaman tangan umat islam di zaman tabi’in Abdul Rahman Al-Ghafiqi, ia pantas berkata; Saya melihat mereka ini adalah manusia yang mempunyai pegangan dan keikhlasan. Dengan dua perkara ini mereka tidak memerlukan jumlah yang ramai atau senjata yang cukup. Mereka mempunyai keyakinan dan kejujuran yang sudah cukup untuk menggantikan perisai dan kuda.”

”Kita akan tunggu hingga mereka mula mengaut kekayaan. Apabila mereka mula memiliki rumah dan istana. Apabila mereka mula bersaing memiliki amah dan khadam. Apabila mereka mula berlumba untuk merebut kuasa. Ketika itu kita akan berjaya kalahkan mereka dengan cara yang sangat mudah tanpa perlu bersusah payah”.

 

GPS oh GPS! Kini, ku tidak perlu khawatir lagi dari tersesat jalan…

 

 

Wednesday, March 16, 2011

[isu semasa]: Chicharito julang United ke suku akhir Piala Juara-Juara

“I always say I am in the best team in the world. I didn’t expect to play as much so I need to thank my team-mates, the coaching staff and God above all for the fact things are going so well for me. My goals are down to the work of the whole team.”

 

Luahan rasa penyerang sensasi kelahiran Mexico, Javier Hernandez atau lebih dikenali sebagai Chicharito –yang kini sudah pun menyumbat 16 gol daripada 33 perlawanan- lahir setelah beliau disanjung tinggi oleh jurulatih dan para peminatnya, sejurus menjadi wira dengan menjaringkan 2 gol bagi membantu “The Red Devils” membenam Marseille di dalam saingan kancah Liga Juara-Juara Eropah.

 

Menariknya, di saat anak-anak muda sebaya dengannya hanyut dibuai arus dunia dan keseronokannya, beliau yang kini bermain untuk kelab paling besar di dunia, dan turut merupakan salah seorang key player pasukan tersebut, justeru bisa mengembalikan kejayaan dan kehebatan yang diraihnya itu kepada Tuhan, hingga tidak lupa untuk berterima kasih kepada God (tuhan) di atas pencapaian hebat yang sedang diraihnya.

 

Setiap insan, yang ketika kemasyhuran dan kemewahan mula menyinggahi kehidupannya, namun tetap rendah diri dan mengingati Tuhan, pada hemat saya, merupakan potensi yang sangat besar terhadap dakwah, sekaligus menjadi muhasabah buat kita bersama, yang mengaku beragama dengan agama yang sebenarnya. Kita-kita yang belum pun diuji dengan kemewahan dunia, namun sering lalai-lupa untuk mengingati dan mensyukuri nikmat Tuhan, maka bayangkan andai kata dunia dibukakan untuk kita, seperti yang dikurniakan oleh Allah kepada Chicharito, bisakah kita tetap hadir sebagai hamba-Nya yang bersyukur? Renungkanlah kata-kata Nabi Sulaiman di saat diuji dengan kemewahan, pengaruh dan kekuasaan:-

 

“Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyadari";

maka dia tersenyum dengan tertawa karena (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh."

(Surah An-Naml [27]:18-19)

 

Mari kita jadi tersentuh menghayati lirik lagu dendangan UNIC ini;

 

 

Segalanya yang ku kecapi
Adalah milikmu ilahi -tuhan maha pemurah-
Tak kan terbalas walaupun sebesar zarah

Kenikmatan yang bertandang
Terkadang tidak dihiraukan - lepas dari pandangan -
Dan bila hilang barulah dikesalkan

Adakalanya aku hanyut
Adakalanya aku terpula
Adakala aku leka
Ampunilah...
Kerana ku manusia
Lemah dan tidak berdaya di sisimu
Seringkali terlupa nikmatmu
Datang tiada jemu


Bila terhimpit mulalah
Mencari dan menyebut namamu
Barulah merasai makna sebenar erti syukur
Syukur atas rahmatmu

Monday, March 14, 2011

[arkib]: Transmission Line

Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab

(ketika masih baru menguruskan bahagian Transmission Works, 2004)

 

Tujuan sesuatu transmission network adalah untuk mengalirkan tenaga elektrik dari generating unit (stesyen penjana) di beberapa kawasan kepada distribution system (sistem pengagihan) yang membekalkan tenaga kepada pengguna. Voltan transmission melebihi 230kV, seperti yang (akan) dibekalkan oleh syarikat kami misalnya, biasanya dirujuk sebagai extra-high voltage (EHV).1 Selain itu, transmission lines juga menghubungkan utiliti-utiliti berhampiran yang membolehkan bukan sahaja penghantaran kuasa yang lebih ekonomik, bahkan mengalirkan kuasa ke kawasan berlainan sewaktu berlakunya kecemasan.2

Dan begitulah seharusnya seorang mukmin itu. Dalam konteks perkembangan teknologi yang semakin canggih, seorang mukmin itu harus menempatkan dirinya sebagai transmission line, yang bukan sahaja membekalkan “kuasa” kepada perjuangan agamanya, sehingga “lampu-lampu” kegemilangan yang pernah dikecap oleh tamadun Islam bersinar kembali, tetapi bahkan dapat menyebarkan fikrah-fikrah Islami yang seharusnya mereka generate daripada liqo’-liqo’ dan halaqah-halaqah yang mereka tempuhi, dalam proses mereka menikmati dan menghayati keindahan tarbiyah islamiyah.

“Sebaik-baik kalian adalah mereka yang mempelajari al-Kitab (al-Quran) dan yang mengajarkan (transmission)nya.” Begitulah bunyi hadith yang dikumpulkan oleh an-Nawawi dalam Riyadhus Shalihin-nya. Kerana sebaik-baik mukmin itu, berdasarkan hadith yang lain, adalah mereka yang membawa manfaat kepada orang lain. Nah, ini bererti, setiap daripada kita, dalam perjuangannya menabur bakti kepada manusia lainnya, harus memainkan peranan sebagai transmission line agar “kuasa” yang kita citakan akan kembali ke tangan kita. Bila saja sang mukmin itu tidak berperanan sebagai transmission line, itulah yang menyebabkan pengguna atau istilah engineeringnya “load”, tidak mendapat “bekalan elektrik” yang sepatutnya.


Tetapi sesuatu transmission line tidak akan bermanfaat andainya generating unitnya tiada. Maka, oleh hal itulah program tarbiyah yang paling asas, tepatnya halaqah atau liqo’, haruslah direntasi oleh setiap individu di dalam kehidupannya, secara konsisten dan iltizam. Kegagalan dakwah di sesebuah negara, Malaysia terutamanya, biasanya berpunca di sini: kegagalan para penggeraknya untuk konsisten dalam melaksanakan halaqah atau liqo’ atau apa sahaja istilah yang cenderung dipakai. Dan biasalah, alasan yang sering diberikan ialah sibuk. Sedangkan seseorang hero mikmin sejati, tak pernah mengenal erti kesibukan. Kerana kesibukan –pada pengertian hero mukmin sejati- adalah bagaimana kita memenuhi ruang kehidupan kita dengan urusan-urusan yang mengantarkan kita menggapai redha Ilahi. Itulah sebabnya ulama’ dakwah mengatakan “berilah tugas (dakwah) itu kepada orang yang sibuk!” Seorang mukmin hanya mengenal erti kesibukan dalam berdakwah, kesibukan dalam berjihad, kerana “gaji” yang mereka harapkan, yang bakal dibayar dihujung “bulan kehidupan” ialah cek yang tertera “mati syahid!” “Jikalau raga diciptakan untuk menyongsong kematian..” kata Husain B. Ali Abi Thalib R.A, “maka kematian di hujung pedang di jalan ALLAH jauh lebih baik dan mulia berbanding mati di atas ranjang.”3

Makanya sang transmission line tadi tak akan pernah jemu untuk mengalirkan fikrahnya kepada masyarakat. Kerana ia mahu, lampu yang bersinar di rumah-rumah mereka hanyalah “cahaya” Islam. Kerana mereka mahu, “kegelapan” Jahiliyah diterangi oleh keunggulan, keindahan dan kehebatan Islam. Kerana mereka mahu, agar bil-bil yang dibayar kepada mereka, adalah dalam bentuk doa rahmat dan kesejahteraan pada mereka. Kerana mereka tahu, bahawa sekali mereka sebagai transmission line berhenti beroperasi, akan kelak merugikan sektor peradaban umat.

Dan begitulah sucinya hati dan jiwa mereka. Demi menjadi transmission line, mereka sanggup berkorban apa sahaja. Kalian lihat transmission line berjemur di bawah terik matahari, bertenggek dalam limpahan hujan, tetapi tetap sahaja utuh memainkan fungsinya kepada masyarakat sejagat. Perhatikanlah kata-kata Hassan al-Banna; “Betapa kita mengharapkan agar hati-hati ini boleh ditunjukkan kepada seluruh umat ini supaya mereka boleh melihat bahawa apa yang ada di dalam hati-hati ini hanyalah rasa kasih sayang kepada mereka, rasa simpati dan kesediaan untuk berkorban demi kepentingan mereka.”4 Nah, inilah rahsia ketegaran mereka!

Hero mukmin sejati sentiasa tegak di atas panji kebenaran. Tetapi untuk tegaknya transmission line itu, awasilah sang pencuri besi transmission tower, kerana hilangnya besi, boleh menyebabkan robohnya ia. Dan wartawan pun mendapat bahan berita….


“Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, mujahid sepanjang hari, mudah-mudahan syuhada’ di akhir hari..”.

RUJUKAN

1 Hadi Saadat, “Power System Analysis”, McGraw-Hill 1999, Bab 1 m/s 6
2 Ibid, Bab 4 m/s 102
3 www.irib.ir/worldservice/melayuRADIO/sejarah/karbala/index_karbala.htm
4 Hassan al-Banna, “Majmu’ah ar-Rasail”

 

 

Kenyataan Rasmi Futuwwah Berkenaan Tsunami Jepun

Pihak Futuwwah Training & Consultancy (Futuwwah) ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa simpati serta mengucapkan takziah kepada rakyat Jepun di atas bencana alam Tsunami yang menimpa mereka. Futuwwah juga memohon maaf di atas kelewatan ucapan belangkasuwa ini hadir.

Sesungguhnya Allah telah merakamkan di dalam al-Quran, surah Ar-Rum, ayat ke-41, betapa kerosakan yang terjadi di atas daratan dan lautan itu, adalah dalam rangka la'allahum yarjiun "mudah-mudahan mereka kembali." Kembali merasakan keagungan Allah dan kerdilnya kita sebagai manusia di sisi-Nya. Kembali merenung dan muhasabah diri kita, seraya memperbaiki segala khilaf dan kesilapan kita. Kembali merasakan nilai-nilai kemanusiaan, yang melangkaui bangsa dan batas geografi.

Kami berdoa moga-moga Allah kurniakan kekuatan kepada rakyat Jepun untuk bangkit kembali selepas tragedi ini, seperti mana mereka pernah bangkit selepas tragedi Hiroshima, serta moga Allah kurniakan hidayah buat mereka dalam melayari kehidupan yang mendatang.

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
Pengarah Urusan,
Futuwwah Training & Consultancy

 

(http://futuwwah-training.blogspot.com/)

Wednesday, March 9, 2011

Security Guard

Satu hari, Abdurrahman bertanya kepada Abu Hazim Salamah Bin Dinar, “bagaimanakah petua mendapatkan hati yang selalu terjaga wahai Abu Hazim?”

 

Kira-kira, apa agaknya jawapan Abu Hazim?

 

Saudaraku,

Berjuang untuk berjaga dalam rondaan Rukun Tetangga, memang sering terasa berat buat kebanyakan kita. Bayangkan, dengan mengorbankan waktu tidur semalaman anda, untuk menempuhi aktiviti kerjaya anda keesokan harinya, silalah nyatakan, berapa ramai di kalangan kita yang sanggup, berapa ramai di kalangan kita yang gagah, berapa ramai di kalangan kita yang bisa setia, berjaga dan menjaga keselematan jiran tetangganya? Lantas, antara cadangan bahkan permintaan yang sering timbul daripada sebahagian komuniti penduduk sebagai alternatif menjaga keselamatan kejiranannya, selain daripada aktiviti Rukun Tetangga, adalah dengan mengambil dan mengupah syarikat kawalan keselamatan a.k.a. “Security Guard” bagi menjamin keselamatan mereka semua. Namun, itu semua hadir dengan kos, tentunya.

 

Begitulah, dengan semakin meningkatnya pendapatan kita, kekayaaan kita, kemewahan kita, sering muncul dalam diam sikap merasakan money can buy anything. Untuk apa berjaga Rukun Tetangga sukarela, kalau dengan wang, Security Guard mahupun Security Alarm System bisa kita hadirkan sewenang-wenangnya?

 

Tapi, benarkah wang memang bisa menjaga keselamatan kita? Bagaimana pula dengan “keselamatan hati”?

 

Lalu, perhatikanlah jawapan daripada salah seorang tokoh tabi’in, yang sekaligus merupakan anak murid kepada sahabat-sahabanyat baginda Nabi S.A.W, itulah Abu Hazim Salamah Bin Dinar tadi; “Ketika hati diperbaiki maka dosa-dosa besar terampuni… dan jika seorang hamba bertekad meninggalkan dosa, maka ia akan diliputi hati yang selalu terjaga.

 

Jangan lupa wahai Abdurrahman bahwa kemewahan dunia akan menyibukkan hati dari kenikmatan akhirat… setiap nikmat yang tidak menjadikanmu dekat dengan Allah maka itu adalah bencana.”

 

Saudaraku,

Kembalilah menyemak imanmu. Kembali meneliti amalmu. Kembalilah merenung mujahadahmu. Betapa sering ketinggian iman kita, kelazatan amal kita, dan kesungguhan mujahadah kita, beransur pudar beredar hilang, tatkala pintu dunia telah mula terbuka buat kita. Pangkat naik. Gaji besar. Kemewahan telah datang bersama keselesaan. Lalu, apa yang kemudiannya hilang daripada kehidupan kita? Mujahadah! Apa yang mula berkurangan dalam kehidupan kita? Amal ibadah! Apa yang mula merosot mengiringi kesibukan kita? Iman dan takwa!

 

Bukankah tragedi ukhwah dan perselisihan pendapat yang pertama terjadi dalam tubuh umat islam, ialah tatkala dibukakan dunia buat mereka? Di medan Badar, untuk pertama kalinya berdepan harta rampasan perang, lantas rabun mata itu mengiringi mereka di medan Uhud, hingga mengakibatkan kemenangan sesaat bertukar menjadi kekalahan memilukan?

 

Berdoalah wahai saudaraku, agar kita tetap terikat dengan Akhirat, biar dunia telah terhidang di hadapan mata.  Agar kita tetap memburu Akhirat, biar dunia senantiasa membontotinya. Agar kita sentiasa terbau haruman Syurga, biar haruman dunia mengibas-ngibas aromanya ke wajah kita. Hingga dunia yang kelak tunduk di hadapan kita, bukan kita tunduk melutut di hadapannya. Hingga dunia berada di genggaman tangan kita, bukan menghuni dan bertakhta di hati kita. Kata Ibnu Qayyim Rahimullah; “dunia itu seperti bayang-bayang. Kamu tidak akan mampu mengejarnya jika kamu ingin mengejarnya. Tetapi, jika kamu tinggalkannya, ia tiada pilihan melainkan mengikutimu.”

 

Security hati, bukan dengan kemewahan dan habuan dunia, tetapi dengan sentiasa berwaspada dan tidak terleka, hingga tersibuknya kita dari kenikmatan hidup di sana.

 

Terima kasih Abu Hazim!

 

 

 

Sunday, March 6, 2011

[arkib]: Yusuf al-Qaradhawi dan Syed Qutb

(artikel ini saya emailkan pada 9/5/2005, sebagai jawapan kepada soalan sahabat saya lantaran keluarnya artikel oleh Astora Jabat di Mingguan Malaysia hari sebelumnya)

 

Assalamualaikum warahmatuLLAH,

Ada teman (mutarabbi) bertanya saya tentang Syed Qutb. Hal ini sebagai reaksinye terhadap sebuah artikel yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini (tepatnya: semalam), yang mana penulis artikel tersebut terkenal dengan idea-idea “kontroversinya”, seperti isu azab kubur tiada, rambut wanita bukan aurat, dan macam-macam pandangan lagi. Bagi saya, artikel-artikel penulis terbabit tidak wajar dikatakan “kontroversi”, tetapi tepatnya dikatakan “menyongsang”.

Kembali kepada artikel terbarunya dan reaksi masyarakat pencinta Islam terhadapnya, memang benar, al-Quran menyebut:

 

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
(Surah al-Hujurat [49]:6)

Tetapi, pada masa yang sama, al-Quran juga menyebut:

 

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Maidah [5]:8)

 

Di sini, saya tidak akan membahaskan berkenaan artikel penulis terbabit, cumanya disini, saya memperingatkan tuan-tuan, seperti mana sering saya memperingatkan dan minta diperingatkan diri saya sendiri, bahawa janganlah barangkali kerana yang menulis artikel tersebut seorang penulis yang terkenal kekontroversian-nya, pantas kita menghukum beliau tanpa kita terlebih dahulu mengkaji hujahnya itu.


Sebetulnya, di dalam bukunya Dr. Yusuf al-Qaradhawi bertajuk al-Ijtihad fi asy-Syariatul Islam (“Ijtihad dalam syariat Islam”, antara lain telah diterjemahkan oleh Crescent News Sdn. Bhd. Dengan tajuk yang demikian), buku yang banyak dirujuk oleh Dr. Danial Zainal Abidin (yang banyak menulis artikel “Sains & Islam” di dalam majalah ‘I’ terbitan Karangkraf) di dalam bukunya “Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden (Edisi Kedua)” terbitan PTS Publications & Distributions, al-Qaradhawi ada menyentuh tentang “bersendirinya Sayyid Qutb di dalam pendapatnya” dan “semua ahli fikir Islam menentang pendapat Sayyid Qutb” (sila baca buku tersebut, mulai dari m/s 305 sampai m/s 333).


Apa pun, saya tidaklah menyatakan bahawa kenyataan penulis tersebut benar. Saya juga tak menyatakan as-Syahdi Syed Qutb sebagai salah atau Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagai penentang Syed Qutb. Harus diingat disini bahawa Dr. Yusuf al-Qaradhawi tetap seorang pengagum Syed Qutb, dan keduanya (al-Qaradhawi serta Syed Qutb) layak dianggap ulamak serta mujahid Islam yang cukup ikhlas berjuang, yang kiranya salah seorang daripada mereka salah di dalam pandangannya, ia tetap mendapat pahala di atas kesungguhan dan keikhlasannya berijtihad. Saya Cuma mengingatkan kita semua, agar janganlah kita pantas mengatakan sesuatu kenyataan itu salah hanya kerana melihat penyampainya yang tidak kita suka, dan janganlah kita pantas mengiyakan sesuatu kenyataan hanya kerana penyampainya kita suka, tanpa terlebih dahulu melakukan rujukan.


Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita semua diselamatkan oleh ALLAH SWT daripada menghuku dan tidak berlaku adil terhadap orang yang tidak berapa kita gemari, seperti yang telah diperingatkan oleh al-Quran di dalam ayat surah al-Maidah di atas. Saya mencadangkan agar tuan-tuan melayari website al-ahkam di http://www.al-ahkan.net/ sebagai salah satu medium informasi buat kita semua, bersama-sama website lainnya seperti http://www.eramuslim.com/, lain sebagainya.


Apa pun, sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan ALLAh tempatkan as-Syahid Syed Qutb di tempat yang mulia, dan kita dapat menuruti jejak langkahnya.

 

 

Friday, March 4, 2011

[arkib]: Jadilah Pemuda Kebenaran: Gagasan Islam Centric

Pemuda Kebenaran vs Pemuka Kesesatan
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
(dipindahkan dari arkib blog lama bertarikh 15 May 2006)

 

Saya memulakan “jelajah” saya ke alam pembacaan. Ke dunia Dr. A’idh al-Qarni1, penulis kelahiran Saudi yang begitu profilik. Bukunya “Jadilah Pemuda Kahfi” yang saya beli semalam, adalah bahagian pertama terjemahan daripada karyanya “Fityatun Amanu bi Rabbihim”, yang memaparkan ekpresi cinta seorang ulama’ kepada para pemuda.

Dr. A’idh al-Qarni ketika membicarakan fenomena pemuda yang ngak pernah dan ngak mahu hadir ke ceramah agama, sebagai turut bermodalkan “kita-kita” ini yang mengaku beriman. Kata al-Qarni; “Dalam hal ini kita juga bersalah. Mengapa kita tidak pergi menemui mereka? Mengapa kita tidak memberikan cinta kita kepada mereka, dan enggan bersamanya?”2 Begitulah Dr. al-Qarni memperingatkan kita. Dalam erti kata yang lain, beliau menghidupkan kembali pesanan Ustadz Hassan Hudhaibi2, jadilah penda’wah bukannya penghukum!

Mengapa anda marah kepada para “pemuka penyeru kesesatan”, sedangkan anda sendiri tidak mahu muncul sebagai “pemuda kebenaran”? Mengapa anda rimas melihat kejayaan seruan kelalaian dan penyimpangan, sedangkan anda sendiri tahu bahawa “tipu daya syaitan itu lemah?” Bukankah manusia mudah didominasi oleh pengaruh kata-kata?

“Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu.. “
(Surah al-Baqarah [2]:204)

Nah, mengapa “kuasa” kata-kata kebenaran tidak jua muncul tiba, lalu menenggelamkan pengaruh kata-kata penyeru kelalaian?

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?"
(Surah Fushilat [41]:33)

Masakan tidak “lakunya” seruan pemuka kebatilan, lantaran kesilapan para pemuda kebenaran. Bukan, tiada yang mahu menjadi pemuda kebenaran. Masing-masing sibuk berantakan sesama sendiri, bergaduh-bertengkar masalah “ummah centric vs jemaah centric” sehingga 100 lebih posting, berbanding menjadi pemuda kebenaran yang menenggelamkan pengaruh pemuka kebatilan, sehingga mana para pemuda belia kita tadi berovolusi daripada sang penggemar keseronokan dan kelalaian kepada sebuah asset kekuatan Islam. Kata Imam as-Syahid Hassan al-Banna; “khilaf (perbezaan pendapat) dalam masalah furu’ (cabang) hendaknya tidak menjadi faktor pemecah belah dalam agama, tidak menyebabkan permusuhan dan tidak juga kebencian…”3

Sambung Imam as-Syahid lagi; “setiap masalah yang amal tidak dibangun di atasnya –sehingga menimbulkan perbincangan yang tidak perlu- adalah kegiatan yang dilarang secara syar’i..”4

Lebih mendalam lagi, syaikh Muhammad ‘Abdullah al-Khatib menghuraikan seperti berikut: “bertengkar dan ta’assub…..semua itu boleh mengeraskan hati, memarakkan api kemarahan dan menjadikan kita buta dari melihat kebenaran serta mengikut telunjuk hawa nafsu.”5

Maka, ayuhlah kita sahut kembali slogan hasil gagasan pemikiran pemuda kebenaran syaikh Rasyid Ridha: kita Bantu-membantu dalam masalah yang kita sepakati, dan bersikap toleransi dalam masalah yang kita perselisihkan. Dalam hal ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi berfatwa: “sikap tasamuh (toleran) terhadap orang-orang yang berbeda pendapat dengan kita selama mereka mempunyai sandaran yang mereka jadikan pegangan dan mereka merasa mantap dengannya, walaupun kita berbeda pendapat dengan mereka dalam mentarjih apa yang mereka tarjihkan.” 6

Menjadi pemuda kebenaran ini bererti anda membina ukhwah fillah dengan saudara anda. Bukan sahaja saudara sesama gerakan Islam, tetapi juga saudara Muslim di luar lingkaran tersebut, yang diukir kalimah cinta buat mereka oleh Dr. A’idh al-Qarni tadi. Ukhuwwah –kata ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan- merupakan kekuatan iman di jiwa, yang membuatkan perasaan menjadi lembut, berkasih sayang, hormat-menghormati dan saling percaya-mempercayai bersama setiap orang yang terikat dalam tanggung-jawab ‘aqidah islamiyyah, iman dan taqwa.7 Inilah semanggat futuwwah8 yang dilaung-laungkan oleh Muhammad Ameen9 dan rakan-rakan: kesatrian spiritual yang menenggelamkan kapal keasyik-lalaian duniawi.

Ingatlah, tasbih di saat-saat berharga dan menjalin persaudaraan seiman merupakan dua penopang yang satu sama lainnya saling berkaitan10, keduanya itu perlu pada hati yang suci bersih. Kerana hati itu umpama tongkat sinyal di stesyen keretapi. Dengan menggerakkannya sedikit, rel akan bergeser, dan perjalanan keretapi pun berubah arah. Demikianlah dengan hati. Gerak hati akan menentukan arah kehidupan seseorang11 sama ada memikirkan “dalil dan hujah” untuk menghentam lagi membenamkan sesama saudara pejuang keadilan, dan membiarkan pemuka kebatilan meraih “pengikut” semau-maunya, atau dengan penuh ikhlas dan ketawadhukkan membina ukhwah dengan berpaterikan keimanan dan ketaqwaan.

Semangat fanatisme yang merasuk jiwa12 sebahagian pemuda ini –menurut syaikh Musthafa Muhammad Thahan- sebagai penyebab utama perbalahan ini. Lalu kewajipan wihdah (penyatuan)13 yang kita harapkan, sekadar bayangan di tengah malam. Ingatlah, perselisihan tidak diingini walaupun diizinkan.14 Berkumpulnya dua hal yang berlawanan (fanatisme kelompok dan kesatuan ummah) dalam satu tempat dan masa, mustahil (tidak mungkin), sebagaimana berkumpul antara diam dengan gerak, antara cahaya terang dan gelap.15

Alangkah baiknya daripada sibuk mencari aib sesama, kita beralih melihat aib sendiri? Alangkah baiknya daripada sibuk menghukum pelaku kemungkaran, dikau tangisi kelemahan dirimu yang lengah dan lupa menjadi penyeru kebenaran? Hati yang bersih tampak pada lapangnya dadamu daripada kebencian dan menjauh dikau dari sifat suka berdebat, lalu tercermin pada rasa takut (pada dosa-lara mu pada ALLAH) yang mencabik-cabik hati, dan membuat mereka banjir air mata.16 Pandanglah para pemuda pelaku kemungkaran itu dari sisi lain: sebagai cadangan-cadangan iman dan “kekayaan” yang melimpah! Namun, mereka memerlukan orang yang datang untuk menyeru dan mengingatkannya, menyingkap tabir kegelapan darinya, dan menggosok karat yang melekat padanya. Sehingga, dia akan kembali bersih, suci dan kuat dengan izin ALLAH17. Atau, dalam erti kata yang lain, berbalik pada tema perbincangan kita tadi: jadilah pemuda kebenaran! Jadilah pejuang Cinta!

Maka sahutlah seruan Jalaluddin Rumi ini, wahai para pejuang cinta!

 

Saudara,
Menjadi seorang pencinta harus menelan dukanya!
Di manakah dukamu?
Diam dan kesabaran memerlukan sebuah kedewasaan
Di manakah kedewasaan?
Berapa lama doamu terhijab
Dan fikr-mu tersendat?
Di manakah teriakan penuh ghairah dan kuning wajah?
Aku tidak mencari “zat mukjizat” atau emas
Di manakah kemurnian tembaga?
Dapatkah murid yang suam-suam meraih ghairah cinta?
Apalagi jika dia beku?18
(Diwan-I Syamsi Tabriz: 2206)

RUJUKAN

1 Dr. A’idh Abdullah al-Qarni adalah seorang penulis buku berbentuk motivasi-kerohanian yang terkenal. Lulusan Ph.D. bidang hadith daripada Universiti Islam Imam Muhammad bin Su’ud ini telah menulis berpuluh buah buku, yang semuanya menjadi best-seller. Karya monumental yang melonjak namanya adalah buku La Tahzan (don’t be sad).
2 Imam Hassan al-Hudhaibi lahir pada bulan Disember 1891 dan wafat pada November 1973. Beliau merupakan Mursyidul ‘Am gerakan al-Ikhwan al-Muslimin yang kedua, menggantikan as-Syahid Hassan al-Banna. Anaknya, Ma’mun Hudhaibi, juga merupakan Mursyidul ‘Am al-Ikhwan (mursyid yang ke-6 tepatnya).
3 Lihat Usul ke-8 daripada Usul Isyrin di dalam Risalah Ta’lim. Lihat buku Hassan al-Banna, “Risalah Pergerakan Ikhwanul Muslimin (Jilid 2)” (terjemahan Majmuah ar-Rasail), Era Intermedia (2000).
4 Lihat Usul ke-9 daripada Usul Isyrin di dalam Risalah Ta’lim. Ibid.
5 Muhammad ‘Abdullah al-Khatib, “Penjelasan di Sekitar Risalah Ta’alim” (an-Nazharat fi risalah at-ta’lim), Dewan Pustaka Fajar (2001), ms. 120
6 Dr. Yusuf Qardhawi,”Fatwa-Fatwa Kontemporer (Jilid 2)” (Hadyul Islam Fatawi Mu’ashirah, Gema Insani Press (2002), ms. 206
7 ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan, “al-Ukhuwwah al-Islamiyyah”, Dewan Pustaka Fajar (1988), ms. 2
8 Faisal Tehrani, 1515H[Kombat], Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (2004), ms. 415. Novel ini telah memenangi Hadiah Sastera 2003 Kumpulan Utusan, kategori Novel Remaja.
9 Komander Muhammad Ameen Muhammad, berusia 19 tahun, berasal daripada Kuala Lumpur. Sebetulnya adalah watak utama novel 1511H[Kombat] karya Faisal Tehrani.
10 Muhammad Ahmad ar-Rasyid, “Pelembut Hati” (ar-Raqa’q), Robbani Press (2003), ms. 95
11 Abbas as-Siisiy, “Bagaimana Menyentuh Hati” (at-Thariq ilal Qulub), Era Intermedia (2001).
12 Musthafa Muhammad Thahhan, “Rekonstruksi Pemikiran Menuju Gerakan Islam Modern” (Tahaddiyat Siyasiyah Tuwajih al-Harakan al-Islamiyah), Era Intermedia (2000), ms. 23-24
13 Fathi Yakan, “Prinsip-prinsip Gerakan Islam” (abjadiyyat at-Tasawwur al-Haraki lil ‘amal al-Islami), al-I’tishom Cahaya Umat (2001), ms. 60
14 Dr. Abdul Karim Zaidan, “Perselisihan Dalam Syariat Islam” (al-Khilaf fi as-Syari’at al-Islamiyyah), Pustaka Salam (2003), ms. 37
15 Syaikh Ibnu Atho’illah, “Terjemahan al-Hikam”, Victory Agencie (2004), ms, 33
16 Abdul Hamid al-Bilali, “Taujih Ruhiyah (Jilid 1)” (Waahatu al-Iman), An-Nadwah (2004), ms. 248
17 Dr. A’idh al-Qarni, “Jadilah Pemuda Kahfi” (fityatun amanu bi rabbihim), Aqwam (2006), ms. 21.
18 Jalaluddin Rumi, “Kado Bagi Pejuang Cinta”, Kreasi Wacana (2004), ms. XX

May 12, 2006, 2.49 am (mari solat tahajud!!)