Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
(ketika masih baru menguruskan bahagian Transmission Works, 2004)
Tujuan sesuatu transmission network adalah untuk mengalirkan tenaga elektrik dari generating unit (stesyen penjana) di beberapa kawasan kepada distribution system (sistem pengagihan) yang membekalkan tenaga kepada pengguna. Voltan transmission melebihi 230kV, seperti yang (akan) dibekalkan oleh syarikat kami misalnya, biasanya dirujuk sebagai extra-high voltage (EHV).1 Selain itu, transmission lines juga menghubungkan utiliti-utiliti berhampiran yang membolehkan bukan sahaja penghantaran kuasa yang lebih ekonomik, bahkan mengalirkan kuasa ke kawasan berlainan sewaktu berlakunya kecemasan.2
Dan begitulah seharusnya seorang mukmin itu. Dalam konteks perkembangan teknologi yang semakin canggih, seorang mukmin itu harus menempatkan dirinya sebagai transmission line, yang bukan sahaja membekalkan “kuasa” kepada perjuangan agamanya, sehingga “lampu-lampu” kegemilangan yang pernah dikecap oleh tamadun Islam bersinar kembali, tetapi bahkan dapat menyebarkan fikrah-fikrah Islami yang seharusnya mereka generate daripada liqo’-liqo’ dan halaqah-halaqah yang mereka tempuhi, dalam proses mereka menikmati dan menghayati keindahan tarbiyah islamiyah.
“Sebaik-baik kalian adalah mereka yang mempelajari al-Kitab (al-Quran) dan yang mengajarkan (transmission)nya.” Begitulah bunyi hadith yang dikumpulkan oleh an-Nawawi dalam Riyadhus Shalihin-nya. Kerana sebaik-baik mukmin itu, berdasarkan hadith yang lain, adalah mereka yang membawa manfaat kepada orang lain. Nah, ini bererti, setiap daripada kita, dalam perjuangannya menabur bakti kepada manusia lainnya, harus memainkan peranan sebagai transmission line agar “kuasa” yang kita citakan akan kembali ke tangan kita. Bila saja sang mukmin itu tidak berperanan sebagai transmission line, itulah yang menyebabkan pengguna atau istilah engineeringnya “load”, tidak mendapat “bekalan elektrik” yang sepatutnya.
Tetapi sesuatu transmission line tidak akan bermanfaat andainya generating unitnya tiada. Maka, oleh hal itulah program tarbiyah yang paling asas, tepatnya halaqah atau liqo’, haruslah direntasi oleh setiap individu di dalam kehidupannya, secara konsisten dan iltizam. Kegagalan dakwah di sesebuah negara, Malaysia terutamanya, biasanya berpunca di sini: kegagalan para penggeraknya untuk konsisten dalam melaksanakan halaqah atau liqo’ atau apa sahaja istilah yang cenderung dipakai. Dan biasalah, alasan yang sering diberikan ialah sibuk. Sedangkan seseorang hero mikmin sejati, tak pernah mengenal erti kesibukan. Kerana kesibukan –pada pengertian hero mukmin sejati- adalah bagaimana kita memenuhi ruang kehidupan kita dengan urusan-urusan yang mengantarkan kita menggapai redha Ilahi. Itulah sebabnya ulama’ dakwah mengatakan “berilah tugas (dakwah) itu kepada orang yang sibuk!” Seorang mukmin hanya mengenal erti kesibukan dalam berdakwah, kesibukan dalam berjihad, kerana “gaji” yang mereka harapkan, yang bakal dibayar dihujung “bulan kehidupan” ialah cek yang tertera “mati syahid!” “Jikalau raga diciptakan untuk menyongsong kematian..” kata Husain B. Ali Abi Thalib R.A, “maka kematian di hujung pedang di jalan ALLAH jauh lebih baik dan mulia berbanding mati di atas ranjang.”3
Makanya sang transmission line tadi tak akan pernah jemu untuk mengalirkan fikrahnya kepada masyarakat. Kerana ia mahu, lampu yang bersinar di rumah-rumah mereka hanyalah “cahaya” Islam. Kerana mereka mahu, “kegelapan” Jahiliyah diterangi oleh keunggulan, keindahan dan kehebatan Islam. Kerana mereka mahu, agar bil-bil yang dibayar kepada mereka, adalah dalam bentuk doa rahmat dan kesejahteraan pada mereka. Kerana mereka tahu, bahawa sekali mereka sebagai transmission line berhenti beroperasi, akan kelak merugikan sektor peradaban umat.
Dan begitulah sucinya hati dan jiwa mereka. Demi menjadi transmission line, mereka sanggup berkorban apa sahaja. Kalian lihat transmission line berjemur di bawah terik matahari, bertenggek dalam limpahan hujan, tetapi tetap sahaja utuh memainkan fungsinya kepada masyarakat sejagat. Perhatikanlah kata-kata Hassan al-Banna; “Betapa kita mengharapkan agar hati-hati ini boleh ditunjukkan kepada seluruh umat ini supaya mereka boleh melihat bahawa apa yang ada di dalam hati-hati ini hanyalah rasa kasih sayang kepada mereka, rasa simpati dan kesediaan untuk berkorban demi kepentingan mereka.”4 Nah, inilah rahsia ketegaran mereka!
Hero mukmin sejati sentiasa tegak di atas panji kebenaran. Tetapi untuk tegaknya transmission line itu, awasilah sang pencuri besi transmission tower, kerana hilangnya besi, boleh menyebabkan robohnya ia. Dan wartawan pun mendapat bahan berita….
“Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, mujahid sepanjang hari, mudah-mudahan syuhada’ di akhir hari..”.
RUJUKAN
1 Hadi Saadat, “Power System Analysis”, McGraw-Hill 1999, Bab 1 m/s 6
2 Ibid, Bab 4 m/s 102
3 www.irib.ir/worldservice/melayuRADIO/sejarah/karbala/index_karbala.htm
4 Hassan al-Banna, “Majmu’ah ar-Rasail”
No comments:
Post a Comment