Followers

Tuesday, April 26, 2011

Bayang-bayang

“Bayang-bayang itu mengikut tongkatnya. Jika tongkatnya lurus maka bayang-bayangnya akan lurus. Dan sebaliknya jika tongkat itu bengkok maka bayang-bayangnya akan ikut bengkok.”

-“Dalam Mihrab Cinta The Romance”, novel terbaru Habiburrahman El-Shirazy-

 

 

Kita dewasa ini sedang dilanda krisis figure yang sangat meruncing. Akibatnya, ketiadaan figure untuk dijadikan sebagai role model menyebabkan masyarakat lebih rela mendatangi Justin Biebler berbanding mendatangi para daie dan aktivis dakwah lainnya. Kenapa? Sebetulnya, jawapannya sudah terhidang sebegitu lama di hadapan kita.

 

Memberi contoh itu tentu mudah. Tapi, menjadi contoh itu yang tersangat payahnya. Dan kita kini, kekurangan –jika tidak ketiadaan- role model di kalangan aktivis agama yang bisa dijadikan panduan dan pedoman buat kita.

 

Ada yang memegang jawatan sebegitu tinggi di NGO-NGO yang kedengarannya Islamik, tetapi dek kerana PhDnya sanggup ia pinta pengecualian daripada dakwah sampai berbulan-bulan lamanya. Ada yang ideanya untuk melakukan program itu dan ini di dalam dakwah bertimbun-timbun, tetapi batang hidungnya sendiri tidak pernah kelihatan dalam menjayakan program-program yang ia sendiri canangkan.

 

 Jika dulu daie Islam itu dibanggakan dengan halaqah dan usrah yang dipegangnya siang-malam, tetapi kini kebanggaan itu kepada jawatan tinggi yang ia pegang serta mesyuarat-mesyuarat silih bergantinya malam. Tawadhuk dan dakwah fardhiyah tidak lagi menjadi “harta” buat aktivis gerakan Islam, sebaliknya maqam tanzimi serta program-program umumlah yang begitu harus mereka banggakan. Apakah sudah tidak relevan pepatah arab nan terkenal?

 

 

Faqidusy syai la yu’ti

Orang yang tidak mempunyai, tak kan bisa memberi

(pepatah arab)

 

 

Jika anda tidak terbiasa berkorban demi dakwah, apa berhak anda mengharapkan angan-anganmu dijayakan oleh para pemuda dakwah? Jika anda tidak terbiasa memegang halaqah, apa bisa anda gerakkan binaanmu untuk memegang usrah? Jika anda tidak terbiasa menjadi kader dakwah, apa sanggup kau melayaki jabatan pemimpin dakwah?

 

Ingat, “bayang-bayang”mu akan mengikut dirimu. Bila kau sendiri bengkok, apa mungkin bayang-bayangmu bisa lurus? Jika dirimu sendiri sudah komit menjadi ahlud dunia, apakah mungkin “bayang-bayang”mu bisa menjadi ahlul akhirah, ahlud dakwah, ahlul jihad?

 

Kejayaan dakwah bukanlah bergantung kepada gahnya nama, besarnya program, megahnya sambutan. Tetapi kejayaan dakwah justeru terjadi ketika kita sanggup meninggalkan segala cinta dunia, demi mencari keredhaan Allah sahaja. Bukan dunia yang kita kejari, tetapi jambatan ke akhirat yang ingin kita binai. Lantas ketika sudah siap jambatan itu, dunia akan senantiasa tersambung ke perkampungan akhirat. Lalu bila kita tidak lagi mengejari dunia, dunialah yang bahkan mengejari diri kita, kerana ingin bersama menikmati keredhaan pencipta-Nya.

 

Kerana itu Allah SWT mengarahkan Nabi SAW untuk berbicara tentang rahsia kepada suatu ittiba’ (pengikutan):

 

“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah Ali Imran [3]:31)

 

 

Ittiba’ (meneladani, mengikuti, menuruti) adalah bukti cinta kepada Ilahi. Kerana itu hati-hati umat itu harus diikat kepada cinta Ilahi, bukan disogok dengan acapa-acara grand yang sering digembar-gemburkan. Cinta itu menjadikan pencintanya bak bayang-bayang, yang sentiasa menuruti tongkatnya ke mana ia pergi. Sedang acara nan gah umpama cahaya lampu, anda mungkin menyangka ia terang, tetapi justeru ia menghilangkan kelibat bayang-bayang. Maka janganlah dikau tertipu dengan cahaya megah itu, tetapi bersyukurlah dengan “kesetiaan” bayang-bayangmu itu.

 

Renunglah kembali kata-kata Imam Ibnu Qayyim;

 

“Dunia ini seperti bayang-bayang. Jika kamu mengejarnya, kamu tidak akan mampu mengejarnya. Tetapi jika kamu tinggalkan, ia tiada pilihan kecuali mengikutmu.”

 

 

Ya Allah, jadikanlah dunia di genggaman tangan kami. Jangan kau jadikan dunia menguasai hati-hati kami....

 

 

Sunday, April 24, 2011

[ralat]: Ma'na "ar-Rijal"

Demikian selesai mengendalikan program “Sains & Al-Quran” anjuran Futuwwah Training & Consultancy di sebuah sekolah tengahari tadi (Ahad), saya memaksa diri saya untuk ke Pesta Buku di PWTC. Tujuannya cuma satu (dua sebenarnya), iaitu selain untuk menghantar akhi Iduan ke Stesyen Komuter, saya berazam dan bertekad untuk mencari dan membeli kitab “lisanul arab”.  Kitab lisanul arab ini ialah antara kamus bahasa arab yang sangat lengkap, di mana di dalamnya tidak sekadar diberikan makna sesuatu perkataan arab, bahkan dirakamkan juga kata-kata ramai ulama’ tentang definisi perkataan tersebut, beserta syair arab yang menggunakan perkataan itu, hadith dan ayat al-Quran, bahkan turut terdapat footnote juga untuk sebahagian perkataan. Biarpun harganya agak mahal, Alhamdulillah saya membulatkan tekad untuk tetap memilikinya.

 

Dan ketika “merasmikan” proses “menikmatinya” (nota: kamus ini di dalam bahasa arab sepenuhnya), antara perkataan yang saya cuba cari maknanya dahulu adalah perkataan “Rijal” atau yang biasa kita terjemahkan kepada “lelaki”.

 

Dalam banyak pengisian saya, ketika saya menceritakan definisi Ar-Rijal ini seperti yang saya rakamkan dan rawikan daripada murabbi saya, adalah dipercayai makna ar-Rijal adalah “qiamu linafsih wa yuqimu lighairih”. Oleh murabbi saya, dikatakan definisi ini diambil daripada kitab atau kamus lisanul arab.

 

Satu perangai saya sejak dulu lagi, saya suka menyemak kembali apa-apa input yang saya dapat, baik dari mana pun, baik dari siapa pun. Bukan bererti kita tidak tsiqah, tetapi beginilah disiplin ilmu mengajarkan kita. Maka apa-apa yang disampaikan kepada saya, terutamanya hadith, tidaklah saya terima bulat-bulat, melainkan pasti saya akan cuba sedaya termampu saya untuk check balik status hadith yang sampai ke telinga saya. Setelah memiliki kitab lisanul arab (yang memang telah terlalu lama saya damba-dambakan), kini saya mula mengecheck pula definisi perkataan arab yang pernah di sampaikan kepada saya tadi. Dan salah satunya, iya perkataan ini, ar-Rijal.

 

Dukacitanya, definisi perkataan itu sebagai qiamu linafsih wa yuqimu lighairih yang konon berasal dari lisanul arab, setelah saya check muka surat-muka surat yang berkenaan di dalam kamus lisanul arab (seriously, perkataan rijal memang makan verhelai-helai pages) ternyata definisi yang diberikan tadi tidak saya jumpai. Maka dengan ini, saya meminta maaf kepada ikhwah dan akhawat yang pernah mendengar penyampaian saya tentang perkara ini, yang biasanya saya sampaikan di bawah tajuk rabbaniyyatud dakwah, di bawah sub-title rabbaniyatur rijal. Tetapi, saya tidak menyatakan definisi yang diberikan sebelum ini salah. Menurut saya definisi itu masih betul, cuma ianya tidak berasal dari kamus lisanul arab. Maka yang perlu dipotong oleh kalian hanyalah sumbernya sahaja iaitu konon ianya berasal dari kamus lisanul arab. Itu saja.

 

Saya mengucapkan terima kasih kepada murabbi saya yang mengajarkan saya tajuk rabbaniyyatur rijal itu, juga kepada anda yang sudi mendengar pengisian-pengisian saya, serta maaf kerana memberikan sedikit kesalahan fakta. Semoga kalian juga akan ada sikap rajin mengecheck setiap perkataan yang sampai kepada kalian, hingga jadilah kita generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

 

Akhukum,

 

Ustaz Faridul Farhan Abd Wahab

(p/s – saya tulis title “ustaz” coz mereka yang biasa dengar pengisian saya selalu memanggil saya dengan gelar “ustaz”. Mungkin kerana Sijil Syariah saya kot. Maka kerana pengumuman ini ditujukan kepada mereka, maka saya perlulah perkenalkan diri saya sebagai ustaz)

 

Wednesday, April 20, 2011

MOVE ON

Manchester United sememangnya melahirkan ramai pemain handalan. Sedihnya, ada sebilangan pemain handalan mereka, akhirnya memilih untuk move on, mencuba nasib dengan kelab lain. Lalu kecewalah sebahagian peminat menangisi pemergian Nicky Butt ke Newcastle, Philip Neville ke Everton, Lee Sharpe ke Leeds, dan sebagainya.

 

Berbanding pemain bintangnya yang lain, yang memang sengaja disingkarkan oleh sang Pengurus Sir Alex Ferguson seperti Jaap Stam, Roy Keane, David Beckham dan sebagainya, nama-nama sebelumnya, seperti Butt dan Neville yang membesar di Man. Utd. hingga ke tahap terpilih mewakili pasukan kebangsaan England, memilih untuk meninggalkan Old Trafford kerana merasa kurang peluang untuk beraksi dengan pasukan utama, lantaran saingan hebat sesama pemain hebat yang ada dalam pasukan The Red Devils itu.

 

Tetapi, pemergian mereka daripada Man. Utd., langsung tidak bermakna mereka kurang hebat. Mereka akan kekal sebagai asset bagi pasukan mana pun, bahkan mungkin akan tetap ditawarkan kontrak dengan Man. Utd. andai mereka memilih kekal dahulu, sebagai penghargaan di atas kehebatan dan kelincahan mereka. Cuma, terkadang pemain hebat, merasa “kurang hebat” berbanding rakan-rakannya yang lain. Ronaldinho tetap hebat, tetapi akhirnya melihat jalan keluar daripada pasukan Barcelona. Begitu juga mantan kapten Arsenal, Thierry Henry. Sekalipun pernah menjadi tunjang utama Arsenal mahupun pasukan kebangsaan Perancis, akhirnya Nou Camp mengucapkan selamat tinggal kepada khidmatnya.

 

Maka, terkadang rasa rendah diri ini perlu, agar air mata tawadhuk itu bisa memadamkan api Neraka untukmu. Lihatlah kembali kata-kata penuh indah daripada seorang Ayyub as-Sikhtiyani; “saat mengingat orang-orang soleh, aku merasa seperti tersingkir dari barisan mereka.”

 

Tawadhuk itu sifatnya move on, sedang ghurur itu umpama “digugurkan.” Maka kejarlah pelangi Syurga di sebalik air mata dek merasa penuh berdosa itu…

 

 

Wednesday, April 13, 2011

[sms]: Bayaran Ceramah

Satu pagi, sms saya bergetar. Mesej yang masuk lebih kurang begini bunyinya;

 

“akhi, pihak XXX tanya, berapa bayaran yang biasa akhi kenakan untuk berceramah”

 

Pihak XXX menjemput saya, atas kapasiti sebagai seorang Engineer, untuk memberikan ceramah berkenaan bidang yang saya ceburi (engineering) kepada sekumpulan adik-adik. Terima kasih kepada pihak XXX di atas concern tentang masalah bayaran. Saya tidak hairan jika pihak XXX begitu mengambil berat soal bayaran ini, kerana saya pernah terlibat dalam sebuah mesyuarat sebuah gerakan Islam, yang antara lain membincangkan perihal program dan budget untuk menjayakan program. Dan antara yang dibudgetkan, termasuk bayaran kepada penceramah, yang justeru merupakan ahli gerakan Islam itu sendiri.

 

Saya jadi tertarik dengan kata-kata seorang tokoh yang saya ambil di sini (http://www.facebook.com/notes/drmazacom/dunia-penuh-kelucuan/191432747567219 ), bunyinya;

 

"pada hari aku memulakan dakwah ini, aku tidak pernah terfikir suatu hari aku akan diberikan habuan kerananya.”

 

 

Maka, saya pun menjawab sms itu seperti berikut:-

 

“wslm. Ckp kat XXX, jurutera professional diajar utk. berkhidmat kpd masyarakat (community service), bkn meminta bayaran”

 

 

 

Monday, April 11, 2011

[email]: Hadith Arbain #6

Soalan (via sms)

 

Apakah praktikal dakwah berkaitan hadith Arbain #6?

 

 

Jawapan (via email)

 

Terima kasih kepada sang penanya di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memberikan pendapat, juga tahniah kepada anda kerana sentiasa mempunyai keinginan dan kesungguhan untuk belajar daripada hadith Nabi-Nya yang mulia, sekaligus berusaha mempraktikkan hadith-hadith yang dipelajari itu di dalam kehidupan seharian. Juga di atas kesedaran betapa nash baik daripada al-quran mahupun as-sunnah adalah suatu yang "hidup", lantas ia akan kekal relevan sepanjang zaman, insyaAllah.

 

Oleh kerana sang penanya bertanya kepada saya tentang paktikal dakwah hadith Arbain #6, maka tentunya saya akan menjawab/ memberi pandangan berdasarkan reality dan waqi' (keadaan) semasa, bukan mengcopy and paste syarah hadith tersebut. Hadith Arbain #6 yang ditanyakan adalah seperti berikut:-

 

HADITS KEENAM

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى  الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ  لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ   مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ  أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ

[رواه البخاري ومسلم]

Terjemah hadits / ترجمة الحديث  :

Dari Abu Abdillah Nu'man bin Basyir radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya disekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati ".

(Riwayat Bukhori dan Muslim)

 

Pelajaran:-

 

1)      Seorang da'ie islam itu sebaiknya dan sewajarnya menjauhi dan meninggalkan hal-hal Syubhat. Perhatikan, Allah S.W.T menyebut di antara yang halal dan haram itu ada hal مُشْتَبِهَاتٌ . Tetapi, ketika Ia menyuruh kita meninggalkan, yang disuruh kita tinggalkan justeru adalah hal-hal yang الشُّبُهَاتِ. Ini menunjukkan bahawa "level" kesamaran atau ketidak jelasan itu sebenarnya berbeza, maka bila disebut meninggal syubhat, maka memang sangat wajarlah ianya ditinggalkan. Berkenaan perbezaan di antara musytabihat dan syubhat ini, boleh rujuk kuliah Dr. Zulkifli Al-Bakri di radio IKIM (http://www.ikimfm.my/ikimfm/index.php?option=com_content&view=article&id=55)

 

2)      Yang menyebabkan sang da'ie itu cenderung untuk terjebak ke dalam hal-hal syubhat adalah masalah hati. Cukuplah kita belajar daripada krisis yang melanda gerakan Islam Indonesia, tepatnya dalam kes mantan pendiri Partai Keadilan, K.H. Yusuf Supendi vs. Pimpinan Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Jika tuduhan Yusuf Supendi itu benar, maka masalah hatilah yang menyebabkan pimpinan PKS bisa menjadi pragmatis, yakni kecenderungan hati untuk masuk "daerah" yang tidak jelas, di antara kemewahan yang dibenarkan dan kemewahan yang melampaui batas. Tetapi jika tuduhan Yusuf Supendi itu ternyata fitnah, maka masalah hati jugalah yang menyebabkan ia ingin membinasakan saudara-saudaranya sendiri.

 

Marilah kita berdoa moga Allah berikan kejernihan hati kepada keduanya, agar hati-hati yang kita yakini baik itu (baik K.H. Yusuf Supendi mahupun pimpinan PKS) akan bersatu dan bertaut kembali, kerana ukhuwah islamiyah itu jelas "kehalalannya" sedang dengki dan permusuhan itu jelas "keharamannya".

 

3)      Wajar, ketika Allah menetapkan misi yang akan diemban oleh Rasul-Nya, "huwallazi ba'asa fil ummiyyina rasulan minhum.."(Surah al-Jumu'ah [62]:2) Ia mulakan dahulu tugas tazkiyah qobla ta'alim, bukan at-ta'alim qobla at-tazkiyah. Kenapa?

 

Pertama, misi yang dibawa Rasul-Nya adalah misi yang boleh di"warisi". Kerana itu setelah kewafatan ar-Rasul, misi itu masih diteruskan oleh para penggantinya, iaitu di kalangan para sahabat, kemudian tabi'in, kemudian tabi'it tabi'in, seterusnya, seterusnya... hinggalah kepada kita. Misi itu dinamakan sebagai "ad-dakwah dan at-Tarbiyyah".

 

Kedua, tarbiyah itu disepakati bermula dengan at-tilawah, kerana dakwah dan tarbiyah itu harus selari dan senantiasa merujuk kepada kalam Allah yang agung, agar ia tidak akan pernah terpesong. Dalam konteks hal-hal yang Syubhat tadi, jika telah jelas at-tilawahnya, maka tentunya ia akan jelas stand atau pendiriannya.

 

Kemudian at-tazkiyyah dahulu sebelum at-ta'lim, kerana kesucian jiwa akan menjamin kita menepati ajaran ar-Rasul dalam hadith yang di atas. Tetapi jika kesucian hati itu dikemudiankan, maka kelebihan at-ta'lim akan digunakan oleh seorang al-akh untuk membenarkan tindak-tanduknya untuk memasuki daeratus syubhat.

Apatah lagi ketika dakwah itu sendiri sudah besar, memasuki mihwar muassasi yang sesungguhnya (masuk gedung parlimen, menguasai jabatan kerajaan dan sebagainya), maka banyak kebijakan politik harus diambil, apatah lagi dalam hal yang "tidak jelas." Dalam hal yang samar-samar, maka kesucian hati inilah yang teramat diperlukan. Dan memang isu-isu kemasyarakatan, akan banyak kesamarannya nanti.

 

Di sisi yang lain, ukhti muharikah menjelaskan (http://muharikah.wordpress.com/2011/04/10/trilogi-tarbiyah/#more-1795) susunan tarbiyah adalah sebegini kerana:-

Tilawah = Memberi ilmu agar tahu

Tazkiyah = membersihkan hati, agar termotivasi menjadi mahu

Taalim= mengajarkan dan meningkatkan kapasiti diri sehingga menjadi mampu!

 

4)      Jika direlatekan hadith ini dengan hadith sebelumnya (hadith Arbain #5) yang berbicara tentang bid'ah, maka akan ada hal-hal yang tidak jelas sama ada benar-benar bid'ah yang diharamkan, atau justeru bid'ah yang masih dibenarkan (mengambil definisi bid'ah oleh saydina Umar R.A). Contoh bid'ah yang jelas diharamkan adalah cara ibadah orang-orang Jahiliyah iaitu dengan cara bersiul dan bertepuk tangan (Surah al-Anfal [8]:35), sehingga orang-orang tua kita bertindak mengharamkan orang-orang Melayu daripada bersiul dan bertepuk tangan. Kalau nak bertepuk tangan, yang tangan kanan tu guna bahagian belakangnya, jangan tapaknya. Inilah asal-usul pantang larang itu barangkali.

 

Sedang bd'ah yang halal adalah azan menggunakan microphone, seperti yang dipraktikkan pada hari ini.

 

Apa pun, dalam meneliti isu-isu bid'ah ini, kesucian hati sangat penting, iaitu kita membanteras bid'ah bukan untuk nak tunjuk bagus dan tunjuk lagak, tetapi agar umat benar-benar kembali ke landasannya yang sebenar. Jika ini matlamat kita, tentunya kita tidak akan membiarkan perpecahan hati-hati lalu semakin menjauhi agama. "an aqimud din, wala tafarraqu.." (surah asy-Syura [42]:13).   Nabi S.A.W membiarkan seorang arab badwi melakukan bid'ah dari segi membuang air kecil, kerana memahami "hati" sang badwi tadi.

 

Dengan kesucian hati inilah, kita akan dapat mendekatkan manusia kepada sunnah yang sebenar (rujuk Surah Ali Imran [3]:159). Oleh yang demikian, husnuz zhan akan berjalan, dengan sentiasa melihat betapa sang pelaku bid'ah itu sebenarnya tulus niatnya untuk beragama –seperti yang diungkapkan dalam kaedah fiqhiyyah "al-umur bi maqasidiha"- cuma tersilap tatacaranya. Maka memarahi dan "memancung" amalannya, sekadar menimbulkan kebencian dan menjauhi dirinya daripada agama. Tetapi ketika kita bisa bertoleransi dalam hal yang tidak sampai jatuh ke bid'ah yang jelas keharamannya, sambil memberikan pemahaman kepada orang yang ingin kita tegur tadi, maka –insyaAllah- kesucian hati kita akan menyebabkan "seluruh tubuh umat" pun menjadi baik juga. Umat yang telah jatuh cinta dengan sunnah dan memahami cara menentukan mana yang benar-benar sunnah, tentunya akan automatic meninggalkan hal-hal yang bid'ah. Dalam erti kata lain "jiwa daie, otak qih" .

 

 

Wallahu a'lam.

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab 

P.Eng, MIEM, Sijil Pengajian Syari'ah

 

Sunday, April 10, 2011

[arkib]: FREKUENSI ASLI (natural frequency)

Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab

(Ramadhan pertama di alam kerjaya, 2004)

 

 

Keaslian. Itulah yang sukar dicari malah dijumpai di zaman moden ini. Rata-rata yang memenuhi ruang lingkup penglihatan kita, telah mengalami reformation nya, atas nama pembaikan, sehingga terkadang mengikis habis ciri-ciri keasliannya. Ada yang namanya mee segera, suatu kikisan terhadap sifat-sifat asli sang mee. Ada yang namanya video game, yang mengikis habis keindahan riadah. Ada yang namanya PTPTN, yang mengikis habis nilai-nilai murni untuk membantu pelajar-pelajar miskin. Nah, sebutlah apa sahaja, hampir kesemua ungkapan kalian tercemar dek pembaharuan dan kemodenan (termasuk hilang keaslian bahasa!).

 

Maka sorotilah ke belakang sekali-sekala, demi melihat “skrip” aslinya. Pasti akan menyebabkan kita sedar erti kehidupan. Biarpun kita tak nafikan betapa terhakisnya ciri-ciri keaslian di dalam sistem yang melingkari “kawasan” kehidupan kita, namun begitu ada beberapa perkara yang tidak seharusnya dicemar oleh arus perubahan yang terkadang sekadar meniatkan kemusnahan. Inilah yang dinamakan tsawabit (tetap dan berkekalan), sedang dokongan kita terhadap perubahan-perubahan (yang baik), kita namakan mutaghayyirat (berubah). Dan Islam, sesuai dengan tuntutan zaman, juga mempunyai ciri-ciri fleksibiliti ini (mutaghayyirat), tetapi pada masa yang sama tetap saja mengekal ciri-ciri keasliannya (tsawabit).

Maka timbul pula istilah “frekuensi asli”. Apa sih frekuensi asli itu? Adakah frekuensi-frekuensi yang lain tidak asli? Adakah salah dan bermudharat frekuensi yang tidak asli? Kenapa hal ini timbul, kerana peristiwa-peristiwa yang mewarnai Ramadhan tahun ini, pada kaca mata penulis (walaupun penulis tidak memakai glasses) semacam suatu “frekuensi” petanda daripada Yang Maha Agung buat kita, guna kita menginsafi dan memperbaiki sistem di sekeliling kita. Dari pembunuhan beramai-ramai di selatan Thailand, kepada penggempuran di Fallujah, kepada terpilihnya George W.Bush sebagai Presiden Amerika, semua “frekuensi-frekuensi” ini harus dicermati oleh kita, demi menatijahkan kebahagiaan.

“Frekuensi asli” didefinasikan sebagai frekuensi ayunan yang menjadi sifat suatu sistem getaran apabila sistem tersebut teranjak daripada kedudukan neutralnya dan berayun di sekitar kedudukan tersebut.[1] Ada pula yang berpendapat, “keaslian” pada frekuensi itu ialah detik dimana sistem berada pada keadaan tanpa getaran.[2] Maka, atas dasar definasi-definasi inilah, topik ini dibangkitkan kerana ternyata tadabbur sang engineer ini terhadap Ramadhan tahun ini, amat berkaitan dengan definasi tersebut.

Untuk definasi yang kedua, kita boleh mengaitkan Ramadhan sebagai “frekuensi asli” kepada bulan-bulan yang lainnya. Dan ini tiada salahnya, kerana majlis graduasi Ramadhan sahaja dinamakan Hari Raya “Fitrah”, iaitu hari meraikan “keaslian”. Ertinya madrasah Ramadhan, andainya diambil beserta pakej-pakejnya, mengembalikan manusia kepada nilai manusiawi yang sebenar. Iaitu “keaslian” untuk menjadi hamba kepada ALLAH. Iaitu “keaslian” fitrah manusia untuk menjana keazaman beribadah kepada ALLAH. Bukan sahaja buat umat Islam, bahkan “frekuensi asli” semua manusia tertegak di atas landasan ini. Perhatikanlah buktinya:
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (ALLAH); (tetaplah atas) fitrah ALLAH itu yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu..” (ar-Ruum[3]:30) Ertinya seluruh manusia bernaung di bawah frekuensi keimanan, kehambaan, dan ketergantungan terhadap rahmat ALLAH, tetapi yang menjadi “modulator”yang mencampur-adukkan “keaslian” ini dengan “kekaburan” dan “kekotoran”, menurut hadith Nabi, adalah manusia itu sendiri. Makanya kebahagiaan sebenarnya terletak di sini; pada pergantungan. Pergantungan terhadap belas ALLAH, sehingga nilai dunia kelihatan amat kecil di mata orang mukmin sejati. Tidak hairanlah mereka (sang mukmin) sentiasa tenang menghadapi kekusutan dunia, sedang manusia lainnya sesak di dalam kemabukan materialistik yang berpanjangan. “Tidak ada satupun musibah yang menimpa di bumi dan pada dirimumu sendiri melainkan telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan suapya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu..” (al-Hadid[57]:22-23). Ertinya puncak kebahagian adalah satu kata: redha. Demikianlah yang difahami oleh Umar Abdul Aziz tatkala mengatakan; “Tidak ada kebahagiaan yang tersisa bagiku, kecuali di dalam takdir ALLAH.”

Sedang, untuk definasi keduanya, bagaimana “frekuensi” (baca: nasib/keadaan umat kini) teranjak daripada kedudukan neutralnya (iaitu dalam keadaan tertindas kini) dan berayun di sekitar kedudukan tersebut (iaitu menguasai dunia!) Maka, sang engineer sejati memahami bahawa “frekuensi” yang di bawa oleh Ramadhan adalah frekuensi kebangkitan. Sudah tiba masanya umat Islam pula yang menguasai keadaan. Sudah tiba masanya umat Islam dilimpahi kejayaan. Sudah tiba masanya umat Islam dihujani keredhaan.

Telah bekulah daya juang di hati manusia itu
Mereka leka mencari kekayaan dan kehidupan yang rutin
kealpaan orang-orang yang baik dan semangat orang-orang yang keliru
hampir-hampir menggoncangkan daku dari cita-cita dan perjuanganku [3]


Nah, “keaslian” pada frekuensi yang dibawa “gelombang Ramadhan seharusnya dimanfaatkan sebaiknya. Saat dimana Quran kembali ditekuni. Waktu azan mula dihargai (sungguhpun sekadar azan buka puasa). Ketika rumah-rumah ALLAH mula dipenuhi. Kesempatan dimana jiwa mula menginsafi indahnya rezeki, sehingga erti kemanusiaan mula dihargai.

 

Oleh kerana waktu balik dah tiba, maka “frekuensi asli” bergelombang idea sudah pudar, diganti “frekuensi asli” pulang ke rumah untuk berbuka. Maaf kerana sekadar ini kesudahan (artikel)nya..

 

 

“Selamat bertaaruf dengan lailatul qadar, selamat merayakan “frekuensi asli” kemanusiaan..”

 

 

RUJUKAN

1 “Kamus Fizik Mekanik”, Dewan Bahasa dan Pustaka (1989)
2 www.technicalassociates.net/Glossary.htm
3 Al-Amiri, “Diwan Ma’a Allah”, m.s. 110

 

 

Tuesday, April 5, 2011

Captain Three Lions

Tiba-tiba, kem latihan pasukan bola sepak England kecoh dengan ura-ura arm band (lilitan ketua pasukan) milik jaguh Man. Utd., Rio Ferdinand bakal dilucutkan, untuk diserahkan kembali kepada “pendahulunya”, John Terry. Biar pun kecoh seketika, tetapi isu siapa yang bakal mengemudi pasukan The Three Lions ini bukanlah menjadi agenda utama, kerana yang paling mustahak ialah permainan bola sepak itu sendiri. Wajar, dua lagi tokoh kapten, sorang bernama Frank Lampard, dan yang sorang lagi bahkan memegang lilitan kapten itu di kelab asalnya, Liverpool -itulah Steven Gerard- langsung tidak menunjukkan “berahi” mereka untuk merebut gelar “kapten” itu. Hatta anak muda sepotensi Wayne Rooney pun –yang oleh banyak orang disebut-sebut mempunyai apa yang “diperlukan” untuk mengepalai The Three Lions- pun tidak menghangatkan keadaan dengan berbicara keinginan untuk bergelar “kapten.”

 

Ramai pemain yang berpotensi dalam sesebuah pasukan. Bahkan ramai juga yang punya bakat memimpin dan layak bergelar “kapten.” Tetapi daripada sekian banyak bintang di atas padang, hanya beberapa orang sahaja yang menyebut secara terbuka keinginan, keghairahan dan kemaruk diri mereka untuk bergelar “kapten.” Salah seorang daripadanya (yang menyatakan secara terbuka minatnya untuk menjadi kapten)  adalah David Beckham, yang akhirnya diserahkan tanggung jawab itu untuk beberapa tahun lamanya. Tetapi hakikatnya, seorang pemain bola akan sentiasa focus dan all out untuk pasukannya, bukan untuk jawatan kapten. Dan sebegitulah seharusnya dengan dai’e Islam.

 

Di dalam tarbiyah, kita disogokkan dengan kisah sahabat Nabi R.A dan juga kisah-kisah tabi’in. Anehnya, pelakuan, sikap dan jiwa kita terlalu jauh daripada kehidupan generasi ulung ini. Ini mungkin dek kerana kisah sahabat dan tabi’in ini sekadar “pemberian contoh”, bukan “dijadikan contoh.” Kita hanya membaca kisah mereka, tetapi tidak mengambil pelajaran dan menghidupkan panduan-panduan yang diberikan mereka di dalam kehidupan. Lalu berpecahlah dai’e-dai’e Islam sesama mereka, lantaran sebuah fenomena yang bahkan mampu dihidu oleh orang yang di luar kalangan mereka (baca: orang umum), iaitu fenomena hubbur riasah (cintakan pangkat dan kedudukan).

 

Para pendahulu kita, baik di kalangan para sahabat R.A mahupun para tabi’innya, sentiasa benci kepada jawatan, tetapi sentiasa terkehadapan dalam bab dakwah dan jihad. Perhatikanlah kata-kata salah seorang tokoh di kalangan tabi’in, tepatnya Abdul Rahman Al-Ghafiqi. Al-Ghafiqi, saat ditawarkan pangkat dan kedudukan oleh Gabenor Andalus Al-Samah Bin Malik, beliau bahkan menjawab;

 

“Wahai gabenor, saya ini rakyat biasa. Saya datang ke negeri ini untuk berada di barisan hadapan tentera Islam. Saya telah mewakafkan diri saya ini untuk mencari keredaan Allah. Saya hunuskan pedang saya ini untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Dengan izin Allah, engkau akan dapati saya akan sentiasa bersamamu selagi engkau berada di atas kebenaran. Saya adalah orang yang paling mentaatimu selagi engkau mentaati Allah dan rasul-Nya, kecuali dalam soal yang membabitkan kuasa dan kedudukan.”

 

Kita mempunyai ramai “tokoh” dan “pemimpin”, sayangnya kita kekurangan “pekerja” dan “mujahidin.” Sedangkan yang diperlukan oleh umat ini ialah “khadam” yang sentiasa berkhidmat untuk mereka, dan merasakan betapa jawatan yang paling hebat dan diidam-idamkannya hanya satu:- kuli kepada dakwah, hamba kepada Allah.

 

“Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu..”

(Surah at-Taubah [9]:105)

 

Marilah kita kembali ke barisan hadapan “pekerja” dakwah, bukan orang yang hanya mahu berada di posisi “mengarah” pasukan dakwah. Bahkan yang namanya “panglima” dakwah itu, tempatnya di saf hadapan, bukan hanya “mengaum” dari kejauhan.

 

 

Saturday, April 2, 2011

Minyak Hitam

Di dalam sesebuah kereta, anda akan dapati bahawa yang namanya enjin sering berada di lokasi hadapan. Enjin inilah “jantung” kepada sesebuah kenderaan, lantaran enjinlah yang menjadikan kenderaan itu mampu bergerak, lalu memenuhi fungsinya untuk menjayakan perjalanan.

 

Jika kalian teliti paras rupa enjin kereta itu, akan anda dapati padanya aka nada satu penutup, yang kalau anda tarik penutup itu keluar, akan anda dapati sebuah besi panjang atau jarum penunjuk yang terlekat bersamanya, yang justeru besi panjang itu digunakan oleh kita –seperti yang telah diajarkan semasa kursus Memandu sebelum kita mengambil lesen kenderaan suatu masa dahulu- untuk mengetahui paras minyak hitam di dalam enjin kereta kita.

 

Minyak hitam bukanlah nama sebenar minyak ala “hitam itu menawan” itu. Nama minyak itu ialah minyak pelincir. Ia digunakan untuk mengurangkan friction yang terjadi pada omboh enjin. Demikian terjadinya friction, minyak pelincir itu akan “menyerap” friction-friction tersebut, bagi melincirkan pergerakan omboh, hingga ianya kemudian bertukar kaler daripada perang keemasan kepada hitam, hingga dijoloki oleh orang awam sebagai “minyak hitam.” Dan minyak hitam ini, setiap 5,000 ke 10,000km, hendaklah ditukar ketika routine maintenance kenderaan kalian.

 

Kerana “pengorbanannya” menyerap segala friction yang berlaku itulah, minyak itu tidak seharusnya dikau perbesar-besarkan kehitamannya. Malah kondisi minyak hitam itu tidak perlulah di”buka”, ianya hanya menjadi isu tatkala paras minyak hitam mula merosot, lantaran kekurangan minyak hitam boleh menyebabkan malapetaka besar kepada sang enjin hingga perlu dioverhaul dan segala macam. Oleh itu “aib” yang dibawa oleh minyak hitam hanya menjadi isu, tatkala ia boleh membawa mudharat yang lebih besar kepada kereta itu seluruhnya.

 

Seperti halnya minyak hitam, yang “kehitaman”nya tidak perlu diambil peduli kecuali tatkala parasnya merosot dan bisa membawa seluruh “masyarakat kereta” itu kepada kehancuran, demikian jugalah dengan aib seseorang yang telah disembunyikan oleh Allah daripada pengetahuan umum; ia juga tidak harus dibuka, biar oleh sesiapa pun, hatta oleh empunya badan itu sendiri. Sabda Nabi SAW;

 

“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat”

(Riwayat Muslim).

 

Di dalam sebuah hadith Qudsi pula, Nabi SAW menyampaikan kepada kita;

 

“Semua ummatku dekat dengan maaf Allah swt, kecuali Mujahirin, yaitu yg berbuat dosa di malam hari  lalu keesokan harinya Allah tutup aibnya, namun ia menceritakan pada temannya bahwa aku semalam berbuat ini, dan yg berbuat dosa di pagi hari lalu Allah swt sudah tutup aibnya itu agar tak diketahui orang, namun ia cerita pada teman temannya"

(Shahih Bukhari).

 

Tapi, seperti kes paras minyak hitam tadi, andainya aib itu tidak memudaharatkan orang lain andainya ia tidak dibuka, maka Islam membenarkan pembukaan aib itu, seperti dalam kes rompak, rogol dan sebagainya.

 

Marilah kita sama-sama menyahut seruan Dr. Asri, agar kita menjadi generasi baru yang membantah politik mengaibkan dan politik buka kain yang sedang mewarnai arena politik tanah air. Kata MAZA di dalam websitenya: Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!