Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
(Ramadhan pertama di alam kerjaya, 2004)
Keaslian. Itulah yang sukar dicari malah dijumpai di zaman moden ini. Rata-rata yang memenuhi ruang lingkup penglihatan kita, telah mengalami reformation nya, atas nama pembaikan, sehingga terkadang mengikis habis ciri-ciri keasliannya. Ada yang namanya mee segera, suatu kikisan terhadap sifat-sifat asli sang mee. Ada yang namanya video game, yang mengikis habis keindahan riadah. Ada yang namanya PTPTN, yang mengikis habis nilai-nilai murni untuk membantu pelajar-pelajar miskin. Nah, sebutlah apa sahaja, hampir kesemua ungkapan kalian tercemar dek pembaharuan dan kemodenan (termasuk hilang keaslian bahasa!).
Maka sorotilah ke belakang sekali-sekala, demi melihat “skrip” aslinya. Pasti akan menyebabkan kita sedar erti kehidupan. Biarpun kita tak nafikan betapa terhakisnya ciri-ciri keaslian di dalam sistem yang melingkari “kawasan” kehidupan kita, namun begitu ada beberapa perkara yang tidak seharusnya dicemar oleh arus perubahan yang terkadang sekadar meniatkan kemusnahan. Inilah yang dinamakan tsawabit (tetap dan berkekalan), sedang dokongan kita terhadap perubahan-perubahan (yang baik), kita namakan mutaghayyirat (berubah). Dan Islam, sesuai dengan tuntutan zaman, juga mempunyai ciri-ciri fleksibiliti ini (mutaghayyirat), tetapi pada masa yang sama tetap saja mengekal ciri-ciri keasliannya (tsawabit).
Maka timbul pula istilah “frekuensi asli”. Apa sih frekuensi asli itu? Adakah frekuensi-frekuensi yang lain tidak asli? Adakah salah dan bermudharat frekuensi yang tidak asli? Kenapa hal ini timbul, kerana peristiwa-peristiwa yang mewarnai Ramadhan tahun ini, pada kaca mata penulis (walaupun penulis tidak memakai glasses) semacam suatu “frekuensi” petanda daripada Yang Maha Agung buat kita, guna kita menginsafi dan memperbaiki sistem di sekeliling kita. Dari pembunuhan beramai-ramai di selatan Thailand, kepada penggempuran di Fallujah, kepada terpilihnya George W.Bush sebagai Presiden Amerika, semua “frekuensi-frekuensi” ini harus dicermati oleh kita, demi menatijahkan kebahagiaan.
“Frekuensi asli” didefinasikan sebagai frekuensi ayunan yang menjadi sifat suatu sistem getaran apabila sistem tersebut teranjak daripada kedudukan neutralnya dan berayun di sekitar kedudukan tersebut.[1] Ada pula yang berpendapat, “keaslian” pada frekuensi itu ialah detik dimana sistem berada pada keadaan tanpa getaran.[2] Maka, atas dasar definasi-definasi inilah, topik ini dibangkitkan kerana ternyata tadabbur sang engineer ini terhadap Ramadhan tahun ini, amat berkaitan dengan definasi tersebut.
Untuk definasi yang kedua, kita boleh mengaitkan Ramadhan sebagai “frekuensi asli” kepada bulan-bulan yang lainnya. Dan ini tiada salahnya, kerana majlis graduasi Ramadhan sahaja dinamakan Hari Raya “Fitrah”, iaitu hari meraikan “keaslian”. Ertinya madrasah Ramadhan, andainya diambil beserta pakej-pakejnya, mengembalikan manusia kepada nilai manusiawi yang sebenar. Iaitu “keaslian” untuk menjadi hamba kepada ALLAH. Iaitu “keaslian” fitrah manusia untuk menjana keazaman beribadah kepada ALLAH. Bukan sahaja buat umat Islam, bahkan “frekuensi asli” semua manusia tertegak di atas landasan ini. Perhatikanlah buktinya: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (ALLAH); (tetaplah atas) fitrah ALLAH itu yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu..” (ar-Ruum[3]:30) Ertinya seluruh manusia bernaung di bawah frekuensi keimanan, kehambaan, dan ketergantungan terhadap rahmat ALLAH, tetapi yang menjadi “modulator”yang mencampur-adukkan “keaslian” ini dengan “kekaburan” dan “kekotoran”, menurut hadith Nabi, adalah manusia itu sendiri. Makanya kebahagiaan sebenarnya terletak di sini; pada pergantungan. Pergantungan terhadap belas ALLAH, sehingga nilai dunia kelihatan amat kecil di mata orang mukmin sejati. Tidak hairanlah mereka (sang mukmin) sentiasa tenang menghadapi kekusutan dunia, sedang manusia lainnya sesak di dalam kemabukan materialistik yang berpanjangan. “Tidak ada satupun musibah yang menimpa di bumi dan pada dirimumu sendiri melainkan telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan suapya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu..” (al-Hadid[57]:22-23). Ertinya puncak kebahagian adalah satu kata: redha. Demikianlah yang difahami oleh Umar Abdul Aziz tatkala mengatakan; “Tidak ada kebahagiaan yang tersisa bagiku, kecuali di dalam takdir ALLAH.”
Sedang, untuk definasi keduanya, bagaimana “frekuensi” (baca: nasib/keadaan umat kini) teranjak daripada kedudukan neutralnya (iaitu dalam keadaan tertindas kini) dan berayun di sekitar kedudukan tersebut (iaitu menguasai dunia!) Maka, sang engineer sejati memahami bahawa “frekuensi” yang di bawa oleh Ramadhan adalah frekuensi kebangkitan. Sudah tiba masanya umat Islam pula yang menguasai keadaan. Sudah tiba masanya umat Islam dilimpahi kejayaan. Sudah tiba masanya umat Islam dihujani keredhaan.
Telah bekulah daya juang di hati manusia itu
Mereka leka mencari kekayaan dan kehidupan yang rutin
kealpaan orang-orang yang baik dan semangat orang-orang yang keliru
hampir-hampir menggoncangkan daku dari cita-cita dan perjuanganku [3]
Nah, “keaslian” pada frekuensi yang dibawa “gelombang Ramadhan seharusnya dimanfaatkan sebaiknya. Saat dimana Quran kembali ditekuni. Waktu azan mula dihargai (sungguhpun sekadar azan buka puasa). Ketika rumah-rumah ALLAH mula dipenuhi. Kesempatan dimana jiwa mula menginsafi indahnya rezeki, sehingga erti kemanusiaan mula dihargai.
Oleh kerana waktu balik dah tiba, maka “frekuensi asli” bergelombang idea sudah pudar, diganti “frekuensi asli” pulang ke rumah untuk berbuka. Maaf kerana sekadar ini kesudahan (artikel)nya..
“Selamat bertaaruf dengan lailatul qadar, selamat merayakan “frekuensi asli” kemanusiaan..”
RUJUKAN
1 “Kamus Fizik Mekanik”, Dewan Bahasa dan Pustaka (1989)
2 www.technicalassociates.net/Glossary.htm
3 Al-Amiri, “Diwan Ma’a Allah”, m.s. 110
No comments:
Post a Comment