Soalan (via sms)
Apakah praktikal dakwah berkaitan hadith Arbain #6?
Jawapan (via email)
Terima kasih kepada sang penanya di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memberikan pendapat, juga tahniah kepada anda kerana sentiasa mempunyai keinginan dan kesungguhan untuk belajar daripada hadith Nabi-Nya yang mulia, sekaligus berusaha mempraktikkan hadith-hadith yang dipelajari itu di dalam kehidupan seharian. Juga di atas kesedaran betapa nash baik daripada al-quran mahupun as-sunnah adalah suatu yang "hidup", lantas ia akan kekal relevan sepanjang zaman, insyaAllah.
Oleh kerana sang penanya bertanya kepada saya tentang paktikal dakwah hadith Arbain #6, maka tentunya saya akan menjawab/ memberi pandangan berdasarkan reality dan waqi' (keadaan) semasa, bukan mengcopy and paste syarah hadith tersebut. Hadith Arbain #6 yang ditanyakan adalah seperti berikut:-
HADITS KEENAM
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
[رواه البخاري ومسلم]
Terjemah hadits / ترجمة الحديث :
Dari Abu Abdillah Nu'man bin Basyir radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya disekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati ".
(Riwayat Bukhori dan Muslim)
Pelajaran:-
1) Seorang da'ie islam itu sebaiknya dan sewajarnya menjauhi dan meninggalkan hal-hal Syubhat. Perhatikan, Allah S.W.T menyebut di antara yang halal dan haram itu ada hal مُشْتَبِهَاتٌ . Tetapi, ketika Ia menyuruh kita meninggalkan, yang disuruh kita tinggalkan justeru adalah hal-hal yang الشُّبُهَاتِ. Ini menunjukkan bahawa "level" kesamaran atau ketidak jelasan itu sebenarnya berbeza, maka bila disebut meninggal syubhat, maka memang sangat wajarlah ianya ditinggalkan. Berkenaan perbezaan di antara musytabihat dan syubhat ini, boleh rujuk kuliah Dr. Zulkifli Al-Bakri di radio IKIM (http://www.ikimfm.my/ikimfm/index.php?option=com_content&view=article&id=55)
2) Yang menyebabkan sang da'ie itu cenderung untuk terjebak ke dalam hal-hal syubhat adalah masalah hati. Cukuplah kita belajar daripada krisis yang melanda gerakan Islam Indonesia, tepatnya dalam kes mantan pendiri Partai Keadilan, K.H. Yusuf Supendi vs. Pimpinan Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Jika tuduhan Yusuf Supendi itu benar, maka masalah hatilah yang menyebabkan pimpinan PKS bisa menjadi pragmatis, yakni kecenderungan hati untuk masuk "daerah" yang tidak jelas, di antara kemewahan yang dibenarkan dan kemewahan yang melampaui batas. Tetapi jika tuduhan Yusuf Supendi itu ternyata fitnah, maka masalah hati jugalah yang menyebabkan ia ingin membinasakan saudara-saudaranya sendiri.
Marilah kita berdoa moga Allah berikan kejernihan hati kepada keduanya, agar hati-hati yang kita yakini baik itu (baik K.H. Yusuf Supendi mahupun pimpinan PKS) akan bersatu dan bertaut kembali, kerana ukhuwah islamiyah itu jelas "kehalalannya" sedang dengki dan permusuhan itu jelas "keharamannya".
3) Wajar, ketika Allah menetapkan misi yang akan diemban oleh Rasul-Nya, "huwallazi ba'asa fil ummiyyina rasulan minhum.."(Surah al-Jumu'ah [62]:2) Ia mulakan dahulu tugas tazkiyah qobla ta'alim, bukan at-ta'alim qobla at-tazkiyah. Kenapa?
Pertama, misi yang dibawa Rasul-Nya adalah misi yang boleh di"warisi". Kerana itu setelah kewafatan ar-Rasul, misi itu masih diteruskan oleh para penggantinya, iaitu di kalangan para sahabat, kemudian tabi'in, kemudian tabi'it tabi'in, seterusnya, seterusnya... hinggalah kepada kita. Misi itu dinamakan sebagai "ad-dakwah dan at-Tarbiyyah".
Kedua, tarbiyah itu disepakati bermula dengan at-tilawah, kerana dakwah dan tarbiyah itu harus selari dan senantiasa merujuk kepada kalam Allah yang agung, agar ia tidak akan pernah terpesong. Dalam konteks hal-hal yang Syubhat tadi, jika telah jelas at-tilawahnya, maka tentunya ia akan jelas stand atau pendiriannya.
Kemudian at-tazkiyyah dahulu sebelum at-ta'lim, kerana kesucian jiwa akan menjamin kita menepati ajaran ar-Rasul dalam hadith yang di atas. Tetapi jika kesucian hati itu dikemudiankan, maka kelebihan at-ta'lim akan digunakan oleh seorang al-akh untuk membenarkan tindak-tanduknya untuk memasuki daeratus syubhat.
Apatah lagi ketika dakwah itu sendiri sudah besar, memasuki mihwar muassasi yang sesungguhnya (masuk gedung parlimen, menguasai jabatan kerajaan dan sebagainya), maka banyak kebijakan politik harus diambil, apatah lagi dalam hal yang "tidak jelas." Dalam hal yang samar-samar, maka kesucian hati inilah yang teramat diperlukan. Dan memang isu-isu kemasyarakatan, akan banyak kesamarannya nanti.
Di sisi yang lain, ukhti muharikah menjelaskan (http://muharikah.wordpress.com/2011/04/10/trilogi-tarbiyah/#more-1795) susunan tarbiyah adalah sebegini kerana:-
Tilawah = Memberi ilmu agar tahu
Tazkiyah = membersihkan hati, agar termotivasi menjadi mahu
Taalim= mengajarkan dan meningkatkan kapasiti diri sehingga menjadi mampu!
4) Jika direlatekan hadith ini dengan hadith sebelumnya (hadith Arbain #5) yang berbicara tentang bid'ah, maka akan ada hal-hal yang tidak jelas sama ada benar-benar bid'ah yang diharamkan, atau justeru bid'ah yang masih dibenarkan (mengambil definisi bid'ah oleh saydina Umar R.A). Contoh bid'ah yang jelas diharamkan adalah cara ibadah orang-orang Jahiliyah iaitu dengan cara bersiul dan bertepuk tangan (Surah al-Anfal [8]:35), sehingga orang-orang tua kita bertindak mengharamkan orang-orang Melayu daripada bersiul dan bertepuk tangan. Kalau nak bertepuk tangan, yang tangan kanan tu guna bahagian belakangnya, jangan tapaknya. Inilah asal-usul pantang larang itu barangkali.
Sedang bd'ah yang halal adalah azan menggunakan microphone, seperti yang dipraktikkan pada hari ini.
Apa pun, dalam meneliti isu-isu bid'ah ini, kesucian hati sangat penting, iaitu kita membanteras bid'ah bukan untuk nak tunjuk bagus dan tunjuk lagak, tetapi agar umat benar-benar kembali ke landasannya yang sebenar. Jika ini matlamat kita, tentunya kita tidak akan membiarkan perpecahan hati-hati lalu semakin menjauhi agama. "an aqimud din, wala tafarraqu.." (surah asy-Syura [42]:13). Nabi S.A.W membiarkan seorang arab badwi melakukan bid'ah dari segi membuang air kecil, kerana memahami "hati" sang badwi tadi.
Dengan kesucian hati inilah, kita akan dapat mendekatkan manusia kepada sunnah yang sebenar (rujuk Surah Ali Imran [3]:159). Oleh yang demikian, husnuz zhan akan berjalan, dengan sentiasa melihat betapa sang pelaku bid'ah itu sebenarnya tulus niatnya untuk beragama –seperti yang diungkapkan dalam kaedah fiqhiyyah "al-umur bi maqasidiha"- cuma tersilap tatacaranya. Maka memarahi dan "memancung" amalannya, sekadar menimbulkan kebencian dan menjauhi dirinya daripada agama. Tetapi ketika kita bisa bertoleransi dalam hal yang tidak sampai jatuh ke bid'ah yang jelas keharamannya, sambil memberikan pemahaman kepada orang yang ingin kita tegur tadi, maka –insyaAllah- kesucian hati kita akan menyebabkan "seluruh tubuh umat" pun menjadi baik juga. Umat yang telah jatuh cinta dengan sunnah dan memahami cara menentukan mana yang benar-benar sunnah, tentunya akan automatic meninggalkan hal-hal yang bid'ah. Dalam erti kata lain "jiwa daie, otak qih" .
Wallahu a'lam.
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
P.Eng, MIEM, Sijil Pengajian Syari'ah
No comments:
Post a Comment