Followers

Tuesday, May 24, 2011

AirAsia

                Penerbangan tambang murah bermula di Amerika, tepatnya di Dallas, Texas apabila mantan peguam, Herb Kelleher berjaya membuktikan pada tahun 1973 betapa penerbangan Southwest Airlinesnya mampu mengecapi keuntungan biarpun menawarkan harga yang murah. Kejayaan ini kemudiannya membuka jalan kepada kemunculan syarikat penerbangan murah yang lainnya, di mana di Malaysia, syarikat penerbangan AirAsia milik Dato’ Tony Fernandes menjadi pelopornya, dengan tambang yang memang murah giler, sehingga semurah RM1!!

 

                Harga tiket penerbangan AirAsia yang sangat murah ini memberikan tamparan maha hebat kepada syarikat penerbangan kesayangan Negara, MAS tentunya. Tetapi apakan daya, tatkala masyarakat selama ini menganggap hanya orang yang kaya mampu menaiki kapal terbang, AirAsia membuktikan sebaliknya! Dengan slogan mereka “now everone can fly”, mereka begitu optimistik betapa sememangnya kini, semua orang mampu menaiki kapal terbang!

 

                Nah, seperti mana optimistik dan positive thinkingnya AirAsia, para pencinta Islam sejati juga harus optimistik juga betapa everyone can become a murabbi, apatah lagi syeikh kita, syeikh Abdullah Qadiri Al-Ahdal saja pernah menyatakan; “sesungguhnya seorang saudara yang benar itu, tidak boleh tidak, harus menjadi murabbi (orang yang membawa usrah).”

 

Saudaraku,

                Sebenarnya apa yang menghalang seseorang untuk hadir sebagai sosok seorang murabbi? Bukankah “mengajarkan al-kitab dan tetap terus mempelajarinya” justeru merupakan arahan daripada Allah, tatkala ia meletakkan kunuu (jadilah) itu dalam bentuk fi’il amar (perintah dan arahan)? Tuhan tidak meletakkannya sebagai option, sebaliknya suatu kewajipan yang harus dipikul oleh setiap orang, baik yang pernah sekolah agama atau tidak, baik yang ustaz mahupun sang professional sekalipun.

 

“Jadilah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.”

(Surah Ali Imran [3]:79)

 

                Nah, antara alasan yang menjadikan profesion murabbi dingin daripada sambutan, adalah isu “saya tidak cukup ilmu.” Apakah kalian fikir Mus’ab Bin Umair tatkala diutus oleh Rasulullah SAW sebagai duta ke Madinah bagi mendakwahi dan mempersiapkan umat Madinah bagi menerima pemimpin “non-bumiputra” bernama Muhammad Bin Abdullah, dan kemudiannya syahid di medan peperangan beberapa tahun selepas itu, apakah beliau itu cukup ilmu? Bukankah al-Quran ketika kesyahidannya belum lengkap, sedang al-Quran yang berada di hadapan kita kini sudah sedia lengkap? Nah, bukankah setidak-tidaknya, kita seharusnya lebih berilmu berbanding Mus’ab?

 

                Atau, Abu Dzar daripada keturunan Ghifar. Begitu ia mengucapkan syahadatainnya, pantas ia mengungkapnya secara terbuka di hadapan Ka’abah, untuk kemudiannya dibelasah oleh musyrikin Mekah. Lantas ar-Rasul menyuruhnya pulang dan mendakwahi kaumnya, sedang ia baru berapa saat sahaja ketemu dan belajar daripada ar-Rasul. Tapi, tatkala di Madinah, ar-Rasul menjadi kegembiraan tatkala Abu Dzar yang tidak cukup ilmu itu, berjaya membawa orang-orang kampung gangsternya itu ke hadapan ar-Rasul, dalam keadaan pasrah menerima kerasulannya.

 

                Juga, Rasul Ulul Azmi kita Nabi Allah Musa. Apakah ia juga telah cukup ilmu tatkala berhadapan dengan Fir’aun, sedangkan ia kemudiannya diperintahkan oleh Allah untuk menuntut ilmu daripada Nabi Khidir?

 

                Atau, kita masih belum bisa menjadi murabbi kerana kita tidak cukup baik? Sedang Allah nyatakan betapa manusia yang sudah sampai ke maqam ihsan sahaja, tetap terkadang berbuat tidak baik, tetap terkadang berbuat dosa, namun mereka tidak menjadikan “ketidak baikan” diri mereka itu sebagai alasan untuk berkekalan dan berterusan dalam suasana yang mendapat kemurkaan Dia Yang justeru Maha Pengampun itu.

 

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”

(Surah Ali Imran [3]:135)

 

                Ada pula yang merasa berat untuk menjadi murabbi kerana “tidak pandai cakap.” Selagi ia tidak bisu, tentunya ia sebenarnya pandai cakap. Apakah ia menyangka bahawa semua anbiya’ wa mursalin itu seorang pemidato dan orator hebat, sedang Musa A.S sahaja diperlekehkan oleh Fir’aun lantaran ketidak petahannya dalam berhujah;

 

“Bukankah aku (Fir’aun) lebih baik dari orang yang hina ini (Nabi Musa) dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?

(Surah Az-Zukhruf [43]:52)

 

Namun, tetap sahaja Nabi Allah Musa menyampaikan pesan-pesan Tuhannya kepada Fir’aun, yang merupakan sezalim-zalim makhluk, sekaligus penguasa dan pemidato yang penuh dengan bakat, kelebihan serba kaliber.

 

                Apakah dikau mahu kalah dengan AirAsia wahai saudaraku, sedangkan dikau ada Allah di sisimu, sedang Tony Fernandes yang tidak beriman itu sahaja penuh dengan optimistiknya, penuh dengan kepercayaannya, betapa everyone can fly.

 

“Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya mereka pun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha”

(Surah An-Nisa’ [4]:104)

 

                Nah, tidak malukan dikau untuk tidak percaya betapa everyone can become a murabbi, sedang para pramugari-pramugari cantik tetapi seksi itu saja turut menyatakan kepercayaan mereka betapa “semua orang bisa menaiki kapal terbang.” Lalu ayuh kita buktikan, dengan bekal izzah keimanan, betapa orang-orang yang beriman tentu lebih mulia daripada pramugari-prramugari “tidak cukup kain itu”, lalu kita pun akan turut menyatakan “semua orang bisa menjadi murabbi.” Iya, setiap kita mampu menjadi murabbi!

 

 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab 

 

1 comment:

  1. Wah-wah. tulisan anta selalu saja membuat ana teringat buku-buku indon yg ana baca. :)

    ReplyDelete