Followers

Monday, August 15, 2011

"Salute" untuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

“Saya juga tidak setuju samakan Himpunan Bersih 2.0 dengan rusuhan di London,” kata Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada forum Reformasi Pilihan Raya dan Pemurnian Demokrasi anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar Al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam di sini.

 

Berita yang dipetik daripada blog http://greenboc.blogspot.com/2011/08/timb-menteri-tak-setuju-kerajaan.html  itu, sewajarnya menjadi muhasabah kepada kita semua. Ini kerana Datuk Saifuddin sebagai seorang yang sudah sampai ke tahap Timbalan Menteri, masih tahu bagaimana untuk bersikap “adil” iaitu memilih apa yang ia rasakan benar, biarpun bertentangan dengan pandangan umum partinya.

 

Berapa ramai di kalangan kita yang hanya menjadi ikut-ikutan sahaja? Melatah tatkala Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang melarang pemasangan kaset bacaan al-Quran melalui loud speaker, bahkan menghentam ulamak-ulamak yang menyokongnya seperti Prof. Madya Dr. Mohd Asri sebagai “wahabi” dan sebagainya, tetapi serta-merta terdiam dan bersetuju tatkala Tok Guru Nik Aziz yang bersuara dan menyokong tindakan tersebut.

 

Islam adalah agama fakta dan hujah. Bukan agama taksub dan taqlid. Kita harus menyokong apa yang hujahnya lebih kuat, bukan menyokong apa yang disokong oleh kelompok kita.

 

Namun, berapa banyak kelompok di kalangan masyarakat kita, sudah membentuk iktikad sami’na wa atho’na membuta tuli di kalangan para pengikutnya? Ruang untuk bersuara disekat. Teguran membina dicantas. Siapa yang mempersoalkan tindakan pimpinan, atau memberikan teguran atau idea yang berlainan, serta-merta dicop tidak tsiqah, tidak taat, tidak wala’, dan lain-lain tuduhan yang kemudiannya membantutkan kesegaran dan kritikaliti berfikir manusia. Lalu jadilah mereka hanya mengangguk pada pandangan puaknya, biarpun secara naluri mereka tidak sependapat dengannya.

 

Untuk itu, saya “tabik spring” dengan Datuk Saifuddin dan mendoakan kebaikan sentiasa dilimpahkan ke atasnya, kerana  setidak-tidaknya, ia lebih baik berbanding kebanyakan kita, iaitu mampu bersikap “adil”, baik pada puaknya sendiri (lihat surah 4:135) mahupun pada pihak lawannya (surah 5:8).

 

Wallahu a’lam

 

*p/s – untuk bacaan lanjut tentang sikap “adil” ini, boleh rujuk blog ini: http://ansarullah91.blogspot.com/2011/06/assalamualaikum-akhwat-fillah.html

 

 

 

No comments:

Post a Comment