Siapa yang tidak kenal dengan Imam Ahmad Bin Muhamad Hanbal, atau ringkasnya Imam Ahmad Bin Hanbal? Pakar fiqh dan hadith kelahiran Iraq ini terkenal dengan Mazhab Hambali, yang pengaruhnya meliputi kawasan Hijaz, pedalaman Oman, beberapa tempat sepanjang Teluk Persia serta beberapa kota di Asia Tengah. Anak murid kepada Imam Syafi’e ini, turut berguru dengan ulama’-ulama’ terkemuka lainnya seperti Abu Yusuf, Ibn Abi Hazil Al-Washiti, Umar Ibn Abdullah Ibn Khalid, Abdurrahman Ibn Mahdi dan Abu Bakar Ibn Iyasy. Malah, anak didiknya juga kemudiannya menjadi ulama’ terbilang, seperti Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Daud. Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi?
Malah, imam agung umat ini tidak kurang diuji. Kemuncaknya, ia dipenjarakan oleh pemerintah lantaran ketegasannya menentang penyimpangan golongan Muktazilah. Inilah antara titik hitam umat, tatkala sejarah terpaksa menyaksikan ketegasan para pejuangnya, dihukum dan dipenjara lantaran menentang segala bentuk penyelewengan dan kesesatan yang cuba dibangga-banggakan oleh sebahagian pihak.
Kenapa ia dipenjarakan? Jawabnya mudah: ia tidak bersedia mengiktiraf pandangan sesat yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluk, lantaran Al-Quran itu justeru adalah kalamullah! Dek kerana itu, yang harus dibanggakan bukanlah mashafnya, tetapi justeru isi kandungannya! Yang harus dimuliakan bukan sekadar bodynya, malah tatkala intinya diamal dan dihidupkan ummah! Bukankah Aisyah R.A tatkala ditanya tentang Nabi, beliau justeru menjawab; “akhlaknya (Rasul S.A.W) adalah Al-Quran.” Nah, Al-Quran itu adalah kalam Allah yang harus terjelma di dalam kehidupan kita sehari-hari, bukan sekadar material untuk digantung-gantung atau dipamer-pamerkan.
Kerana itu, saya tidak faham mengapa sebahagian pihak sibuk mempromosikan Al-Quran bersalut emas, andainya ia bukannya untuk dibaca, malah dipamer dan dikawal ketat lagi. Apakah itu tujuan Al-Quran, dipamer dengan kawalan maha ketat, bukannya untuk dibaca dan diamal oleh sesiapa sahaja di kalangan umat?
Yang “berharga” pada Al-Quran itu adalah isi dan intinya. Ia bernilai lebih daripada emas, biarpun sekadar tercatat di atas daun-daun kayu, atau kertas-kertas murahan, asal ajarannya terzahir di tengah-tengah kehidupan.
Aku ingin menjadi seperti Imam Ahmad yang mengatakan kepada mereka; “Quran itu kalamullah, bukannya makhluk” untuk dipamerkan. Aku ingin menjadi seperti Aisyah Radiyallah anha, dan membisikka kepada mereka “akhlak Nabi adalah Al-Quran,” bukannya mashaf mukjizat yang harus kalian banggakan.
Apakah masih ada seorang Imam Ahmad Ibn Hanbal, untuk menegur kembali Muktazilah moden kini?
-Ir. Faridul Farhan Abd Wahab “Tuhan, kurniakan daku kekuatan dan keberanian”-
salam...motif untuk menyalutkan emas pada Al-Quran itu juga bertujuan baik.saya rasa. Bagi mereka yang melihat,dari cara mana sekali pun,akan terasa tingginya nilai sebuah kitab orang Islam.secara dakwahnya,dengan harapan mereka (yang bukan muslim) terbit rasa ingin tahu apa isi kandungan kitab itu. tetapi emas itu tidak perlulah "diangkat" lebih dari isi kandungannya...mudah-mudahan...yang baik datang dari Allah,yang lemah salah dan silap datang dari hamba yang kerdil ini...
ReplyDelete