Followers

Monday, January 2, 2012

Ibrah kepimpinan di dalam isu penyusuan

﴿وَالْوَلِدَتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَـدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لاَ تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلاَّ وُسْعَهَا لاَ تُضَآرَّ وَلِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلاَ مَوْلُودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالاً عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُواْ أَوْلَـدَكُمْ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُم مَّآ ءَاتَيْتُم بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴾

"Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."

(Surah Al-Baqarah [2]:233)

 

Ayat di atas, berbicara tentang hak seorang anak dalam isu penyusuan. Dan bila disebut tentang bab penyusuan, kita akan melihatnya dalam konteks yang kecil, dan sempit, iaitu ianya hanya  berkisar sekitar kepompong kekeluargaan. Kita akan melihatnya dalam konteks sesebuah keluarga sahaja, bukan sebagai isu umum masyarakat, apa lagi kenegaraan.

 

Menurut Ibnu Katsir ketika menafsirkan ayat

 ﴿فَإِنْ أَرَادَا فِصَالاً عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا﴾,

"..apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya…",  ayat ini mengindikasikan bahawa dalam menentukan pemutusan susu badan buat bayi yang kurang daripada umur 2 tahun, ianya memerlukan perbincangan dan kesetujuan kedua-dua pihak (ibu dan bapa), yakni tidak boleh hanya ayah sahaja yang menentukan, atau hanya ibu sahaja yang menentukannya. Maka, menurut Ath-Thawri, seorang ibu atau bapa tidak dibenarkan membuat keputusan ini, tanpa membincangkan hal ini dengan pasangan yang satu lagi. Ini kerana, dengan adanya persetujuan bersama (bukan hanya salah satu daripada keduanya), kepentingan sang bayi itu akan terjamin, insyaAllah.

 

Perhatikan isu ini. Selain ianya menyentuh berkenaan isu fiqh atau kesihatan dan sebagainya, daripada tadabbur umum terhadap lafaznya, kita juga menggali hikmah-hikmah yang berikut:-

 

1)      Ayat yang satu ini, yang biarpun berbicara tentang penyusuan, namun ianya telah mengangkat martabat wanita ke suatu tahap yang dapat menafikan tohmahan golongan feminisme terhadap Islam. Ini kerana, biarpun di dalam Islam, sang suami dinobatkan sebagai ketua di dalam keluarga, selain ketaatan terhadapnya sangat-sangat dituntut sebagaimana di dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah; "jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya (H.R. At-Tirmidzi, Ibnu Hibba, Al-Baihaqi dan Al-Wahidi), namun begitu sang ketua keluarga itu (suami) tetap memerlukan persetujuan dan keredhaan isterinya (atau bekas isteri, bagi yang sudah bercerai) dalam menentukan "penyapihan" bayi sebelum menjengah 2 tahun.

 

Nah, apakah dengan kuasa yang ada di tangan sang suami, menyebabkan "suara" sang isteri bisa diabaikan? Nah, jika dalam kondisi sebegini pun isteri diberi ruang dan hak untuk bersuara, maka tidakkah dalam isu-isu lain pun wanita diberikan "power" yang lebih luas, dapat membuktikan betapa hal wanita tidak pernah Islam abaikan?

 

Bahkan perenggan ayat sebelumnya

﴿لاَ تُضَآرَّ وَلِدَةٌ بِوَلَدِهَا﴾﴿وَلاَ مَوْلُودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ﴾

menurut Ibnu Katsir, baik ibu mahupun bapa, mereka tidak sepatutnya menuntu hak penjagaan anak, hanya kerana ingin menyeksa bekas pasangannya (jika telah bercerai) dengan cara memisahkan jiwa itu dengan anaknya. Ertinya, pendapat yang diambil daripada Mujahid, Qatadah, Ad-Dahhak, Az-Zuhri, As-Suddi, Ath-Thawro dan Ibn Zayd ini membuktikan, Islam menjaga dan memelihara wanita hingga menasihatkan sang bekas suami, agar jangan sampai "memudharatkan" atau "membahayakan" atau "menderitakan" ibu kepada anaknya, hanya kerana ingin membalas dendam terhadap bekas isterinya itu.

 

2)      Memang, ayat ini isu penyusuan. Maka, ini tentunya isu kekeluargaan. Tapi, kalau sampai Ar-Rasul menyebut level kepimpinan seorang suami, sampai ke tahap kalau saja sujud kepada makhluk dibenarkan, nescaya ketaatan sang jundi bernama isteri, sampai ke tahap diminta sujud kepadanya, pun sang jundi bernama isteri itu tetap harus diperlukan keredhaannya (عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا) dalam isu menyapih, selain وَتَشَاوُرٍ  syura atau mesyuarat dan perbincangan dengannya, maka bagaimana mungkin pemimpin sesebuah organisasi, atau NGO, atau persatuan, atau jemaah, dan sebagainya, yang ketaatan kepadanya tidak pernah sampai ke tahap "sujud berteleku" kepadanya, bagaimana mungkin ia menuntut ketaatan membabi-buta terhadapnya, hanya berdalihkan slogan sam'an wa tho'an (dengar dan taat semata-mata)?

 

Jika isteri yang disuruh sujud itu pun Islam menuntut para pemimpin bergelar suami mendapatkan keredhaannya dan bermesyuarat dengannya, tidakkah para jundi yang lainnya pun berhak didengari suara mereka? Mengapa kini, jundi dan pengikut yang bersuara, akan dituduh tidak taat, tidak faham, menderhaka dan sebagainya?

 

Moga Allah merahmati Imam Hassan Al-Banna dan "pengikutnya" Hamid Abu Nasr. Di zaman Al-Banna, pernah Hamid Abu Nasr menegurnya tatkala beliau mengundur diri dari pilihanraya. Bagi sebahagian Ikhwah, tindakan Hamid Abu Nasr menegur dan tidak berpuas hati dengan Al-Banna merupakan satu kesalahan, konon kerana tiada ketaatan kepada qiyadah (pemimpin). Namun, benarkah itu kesnya?

 

Ternyata Al-Banna menyambut baik teguran Hamid Abu Nasr, mengakui kesalahannya, dan berjanji akan mengikut teguran dan saranan Abu Nasr agar Al-Banna sebagai Mursyidul Am pun, tetap harus patuh kepada syura. Hingga, sikap tawadhuk dan rendah diri Al-Banna ini, bahkan menambah lagi tsiqah (kepercayaan), kasih sayang dan rasa hormat Abu Nasr terhadap Al-Banna. Bahkan, "keengkaran" Abu Nasr ini, ternyata tidak menghalang dirinya untuk kemudiannya menduduki kerusi qiyadah sebagai Mursyid Am Ikhwan yang keempat menggantikan Umar Tilmisani.

 

Maka, ingatlah, kepimpinan bukan bererti anda menafikan hak orang bawahan untuk beroleh تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ , biarpun orang bawahan anda tidak menyusukan!

 

 

 

-penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab merasakan adik-adik yang belajar Medic, tentu lebih terkesan dengan ayat ini, seperti yang ia kongsikan dengan mereka malam semalam-

 

 

1 comment:

  1. Bila membincangkan perihal IM, ana rasa diri ini begitu rendah. dalam kesibukan mereka memikirkan agenda pembangunan ummat, latar belakang mereka tetap hebat. Lihat sahaja Imam Hassan Al-Banna, pelajar terbaik semasa tahun beliau. Dr. Muhammad Badi sendiri pernah menyelia 15 thesis master dan 12 thesis PHD. Astaghfirullah, di kala kaki ini mula lesu melangkah untuk belajar, tergamam melihat kehebatan mereka di kedua2 bidang.
    -pelajar medic yg hampir mengalah

    ReplyDelete