Ini bukanlah tulisan ilmiah, kerana saya menulis bersandarkan ingatan, bukan fakta tertulis dan sebagainya. Oleh yang demikian, berkemungkinan juga fakta-fakta yang saya tulis di sini mengandungi kesalahan. Moga Allah ampunkan saya andainya ada kesalahan tersebut.
Di awal abad ke-20 (tahun 1900an), British yang ketika itu menjajah Malaysia (maaf.. Malaysia tidak pernah dijajah. Oleh yang demikian 31 Ogos merupakan cuti “saja-saja”) telah memperkenalkan sekolah Inggeris. Bahkan, sefaham saya, sekolah-sekolah “formal” yang ada di “pasaran” pun, asalnya adalah sekolah aliran Inggeris. Sebelumnya, orang-orang kampung akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama, sekolah-sekolah pondok, dan juga sekolah-sekolah Melayu ala Pendekar Bujang Lapuk.
Di zaman itu, yakni di zaman tok-moyang kita, awalnya kebanyakan penduduk kampung keberatan untuk menghantar anak mereka ke sekolah aliran Inggeris. Sungguh pun dengan belajar di sekolah aliran Inggeris, masa depan keduniaan lebih terjamin, namun di saat itu ada satu mindset di kalangan orang-orang kampung, yakni pergi ke sekolah Inggeris, anak akan murtad!
Di Negara kita yang tercinta ini, entah berapa banyak sekolah mubaligh Kristian yang masih berdiri kukuh hingga ke hari ini. Sekolah Le Salle, Convent, Victoria, St. John dan sebagainya…. bahkan tidak semua sekolah ada badan beruniform PBSM (Persatuan Bulan Sabit Merah), tetapi punya St. John Ambulance. Begitu juga seni mempertahankan diri “luar” seperti Karate, Tae Kwan Do dan seumpamanya (yang konon setiap seni pertahankan diri membawa ritual agama masing-masing. Konon yer..), masih ramai pengikut sehingga ke hari ini.
Sambil tidak menafikan betapa penubuhan sekolah-sekolah sedemikian berkemungkinan mempunyai hidden agenda di awalnya, saya tertanya berapa ramaikah Melayu yang murtad di saat itu, berbanding saat sekolah-sekolah tersebut telah dineutralkan oleh Kementerian? Jika jawapannya ialah zaman la ni lagi ramai yang murtad, saya rasa, murtad bukanlah disebabkan oleh sekolah, dan sebagainya.
Begitu juga, Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, khutbah Jumaat bukan sekadar disiarkan live di TV1 sejak zaman-berzaman, bahkan setiap masjid menggunakan loud speaker lagi untuk memperdengarkan Khutbah Jumaat. Saya tertanya, berapa ramaikah yang kemudiannya memeluk Islam saat terdengar azan atau Khutbah dan sebagainya? Itu tidak termasuk siaran berbentuk keIsalaman di TV seperti Halaqah, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Ustazah Pilihan (err…?) dan sebagainya. Kalau ruang untuk “Islam” berkumandang ke masyarakat terbuka luas, kenapa pula ramai yang murtad? Apakah kerana ianya tidak menggunakan teknologi Solar?
Sahabatku,
Kerana itulah, pada saya, sikap orang kita hari ini saling tidak tumpah dengan sikap orang-orang tua kita di zaman lampau; di saat tertubuhnya sekolah Inggeris. Skeptical. Sinis. Tidak melihat root-cause sebenar murtadnya umat. Lalu, terhasillah langkah-langkah yang tidak tepat dalam menangani kemusnahan akidah umat.
Di saat dakwah di sekat dan dicantas, saya tertanya, apakah alternatifnya dengan berkumpul beramai-ramai? Ahmed Deedat dan Dr. Zakir Naik memilih cara yang berbeza. Mereka melakukan dialog dengan paderi-paderi, lalu hasilnya ramai yang kemudiannya memeluk Islam. Begitu jugalah dengan insan-insan seperti Yusuf Estes, dan sebagainya. Ikhwanul Muslimin Mesir, di saat perayaan Hari Natal dan Tahun Baru, mereka bahkan mengerahkan anak-anak didik mereka untuk melindungi saudara Koptik mereka.
Salahkah andainya kita rakyat Malaysia memuhasabah pendekatan kita di sini, dengan pendekatan mereka yang di luar sana? Andai kita tetap merasakan pendekatan kitalah yang paling betul, mengapa statistik di sini murtad bertambah, sedang statistik di sana yang memeluk Islam yang bahkan berganda?
Gaya moden, minda ketinggalan. Lalu episod sikap terhadap sekolah Inggeris di awal 1900an pun berulang….
-penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab berpendapat kita harus memilih strategi attacking dalam mempertahankan akidah umat, bukan defensive. Maka Zakir Naik atau Ahmed deedat, adalah “Messi” bagi dunia dakwah-
saya faham maksud tuan. setuju juga.
ReplyDelete