Bagi anda yang terbiasa menjadikan email syarikat sebagai email utama anda, tentunya anda biasa menggunakan applikasi Microsoft Outlook. Microsoft Outlook atau cuma “Outlook” –begitulah ia biasa dipanggil- merupakan sebuah perisian seperti perisian-perisian email yang lainnya, yang lazim digunakan oleh syarikat-syarikat besar sebagai medium komunikasi maya utamanya. Dan di antara folder yang terkandung di dalam Outlook, adalah folder “Junk E-Mail”, sebuah folder yang sepatutnya menempatkan sebarang email yang disyaki sebagai junk email atau pun spam, baik spam kerana contentnya, mahupun spam kerana pengirimnya.
Saudaraku,
Begitu saya dan sahabat-sahabat dari syarikat Futuwwah selesai menganjurkan sesebuah program –seperti program motivasi sekolah hujung minggu lalu- lazimnya kami akan menawarkan kepada peserta-peserta sebuah program follow up yang bakal berlangsung secara rutin, insyaAllah. Dan sebelum berlangsungnya pertemuan-pertemuan follow up ini, saya akan berpesan kepada adik-adik peserta sejak awalnya, jika anda sudi hadir, harap anda akan membawa 3 perkara ini;-
1) Al-Quran terjemahan. Siapa yang tiada atau belum ada Al-Quran terjemahan, usahakanlah untuk beli sebuah. Kerana tiada ruginya jika anda memiliki Quran terjemahan, apatah lagi andainya anda meyakini bahawa Quran itu adalah panduan dan pedoman hidup, maka sewajarnya anda memiliki Quran terjemahan, untuk anda baca, renung dan ambil iktibar dalam melayari kehidupan nan fana ini.
Namun, jika anda memang dah pakar di dalam Bahasa Arab, maka tidak perlulah Al-Quran terjemahan, bawa saja Quran yang sebenar ke pertemuan kita nanti.
2) Catatan. Melainkan anda mempunyai daya ingatan sehebat Imam Syafi’e, atau ulamak-ulamak lainnya, maka tidak perlulah anda catat apa yang kita bakal bincangkan sepanjang pertemuan kita nanti.
3) Hati yang ikhlas. Kerana tanpa hati yang ikhlas ini, segala apa yang kita bakal kongsikan dan bincangkan, akan menjadi spam atau junk mail kepada diri anda. Lalu wajar, anda akan tetap menjadi diri anda, biarpun selepas kita berprogram. Sebelum dan selepas, seakan tiada perbezaan yang berjaya dikecap.
Tapi, andai anda sudi meletakkan kami di luar “blocked sender list” anda, atau tidak menjadikan kata-kata kami sebagai bahan spam dalam hati anda, insyaAllah kebaikan kita akan bisa raih bersama.
Saudaraku,
Manusia yang tidak bisa meraih manfaat daripada orang lain, boleh jadi kerana mereka sejak awal lagi telah mengkategorikan orang itu dalam senarai spam mailnya. Oleh itu, sangat wajar kita menjadikan pesanan Saydina Ali, betapa “dengarlah apa yang dikatakan, jangan pandang siapa yang berkata” sebagai pedoman hidup kita. Moga lebih banyak “inbox” yang menyinggahi gedung ilmu umat ini.
-Ir. Faridul Farhan Abd Wahab “jadikan dosa bahan spam anda”-
No comments:
Post a Comment