Ketika diri ini sedang "down", aku melihat langit. Melihat langit, untuk membumikan diri di tanah ini. Akhirnya, aku sedar bahawa "down" aku kerana tidak membetulkan kompas kehidupan.
Artikel ini sebagai muhasabah untuk diriku, dalam membetulkan kompas kehidupan. Hakikat kehidupanku di dunia, adalah perjalanan insan bertuhan.
Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini:”Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”
Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya.
Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita tidak menerima warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.
Seringkali terpancul dari mulut segelintir kita..
“La, kenapa tak bagitau awal-awal? Kan dah susah.”
“Ish, kalau kau kahwin dengan aku dulu, kan hidup senang. Sekarang tengok, apa dah jadi kat kau?”
“Kalau kita berhenti tadi pun, dah dapat beli kuih. Ish terlajak la pulak dah.”
Cuba kita renungi sepotong hadis sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Oleh sebab itu, hendaklah engkau berusaha bersungguh-sungguh memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau berkata : ‘Kalau aku lakukan itu dan ini, tentulah jadi begini dan begitu.’ Tetapi katakanlah: Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaanNya Ia lakukan.’ Kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Berdamailah Dengan Takdir
Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga.”
Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita nikmati alam seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja.
Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nantinya hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik.”
Kita memang sesekali tidak akan dapat mengubah takdir, namun kita kena ingat, kita boleh mengubah diri kita untuk menerima takdir tersebut dengan tadbir diri kita ini. Analoginya, kita tidak akan mampu dan selamanya tidak boleh mengubah arah angin, namun kita boleh mengubah kain layar kapal kita. Maka, berdamailah dengan takdir.
Allah Tahu Yang Terbaik Untuk Kita
Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.
Oleh itu, jika sesuatu perkara yang tidak kita jangkakan berlaku, pause. Think before you act. Tenangkan hati, nasihat secara hikmah jika orang lain yang menyebabkan perkara itu berlaku dan terus redha. Ia sudah takdir Allah.(fahami takdir Allah). Elakkan diri dari selalu guna perkataan ‘kalau’ kerana itu menunjukkan identiti kita yang kurang bersyukur dan meredhai atas apa yang telah ditetapkanNya.
Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah Kasih SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.
Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah… Allah tidak akan mengecewakan kita!
*Dipetik daripada blog kembarafityan
No comments:
Post a Comment