Followers

Tuesday, October 30, 2012

The Down Knight, sekali lagi....

Saya, seperti anda juga, akan ada waktu ketikanya, merasa serba "down", sedih dan kecewa. Kerdil diri, seakan tak berguna, punya misi besar untuk menyelematkan ummah, namun asyik gagal dan gagal dan kecewa. Inilah yang sering membezakan sesama kita, down pada mansuia perkara biasa, Cuma adalah atas dasar apa diri kita akan merasa down, itulah yang berbeza.

 

Ada yang berduka dengan ketidak-jayaan urusan keduniaannya. Atau, kerana tidak berjaya memiliki wanita idamannya. Juga sering kerana terlalu asyik mendongak langit, melihat yang di atas, sehingga lalai leka menunduk ke bawah, dan melihat mereka yang lebih malang berbanding diri kita. Namun bagi kita yang telah menyatakan siap siaga menggadaikan kesenangan dan keindahan dunia demi perjuangan menggapai cinta dan keredhaan Dia Yang Maha Esa, apalah duka nilaian dunia, kalau dibanding dengan duka kerana menggejar cinta dan keredhaan Diri-Nya.

 

Hingga, kita tidak akan banyak berkeluh-kesah dengan kedukaan yang menyelubungi urusan dunia kita, lantaran fokus kita di dalam perjuangan yang tentunya lebih banyak mengundang duka dan nestapa. Sabda Nabi SAW;

 

اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ

 

"Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindungan pada-MU, daripada keluh-kesah dan duka cita.."

 

Dan bagi kita yang telah menginfaqkan diri kita di dalam "perjuangan", sudah barang tentu berdepan dengan lebih banyak perkara yang menyedih, menduka, dan mengecewakan hati kita. Inilah lumrah yang namanya perjuangan. Kerana ia bukan jalan yang terbentang permaidani merah menyambut kita, mahupun disegari bau-bauan harum mengelilingi kita, tugas besar lagi berat, yang para Nabi-nabi kita saja mengambil masa yang teramat lama untuk menakhodai bahteranya, maka apa lagi dengan insan kerdil seperti kita?

 

Kerana itu, Al-Quran sering mengingatkan diri-diri kita, dengan kesusahan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh para Nabi dan Rasul-rasul-Nya, agar kita –dalam menghadapi segala jerih-perih, suka-duka, caci-hina dalam menegakkan agama-Nya- bisa istiqamah dalam perjuangan dan bersabar dalam menghadapi segala dugaan-Nya, bersama-sama para Anbiya' wal Mursalin, serta mereka-mereka yang beriman dan berjuang bersama-sama mereka.

 

Segala pancaroba perjuangan yang mendugai diri kita, justeru dihadapi oleh al-mushthofa junjungan besar Nabi kita, biar pun dikelilingi sebaik-baik teman dan persekitaran, yang pernah tercatat dek tinta sejarah dan perjuangan. Lihatlah bagaimana Allah Azza Wa Jalla saja menggambarkan;-

 

وَإِذَا رَأَوْاْ تِجَـرَةً أَوْ لَهْواً انفَضُّواْ إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَآئِماً قُلْ مَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ مِّنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَـرَةِ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَزِقِينَ

"Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baru tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad: Pahala, balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki."

(Surah Al-Jumu'ah [62]:11. Terjemahan diambil daripada www.guidedways.com)

 

Menurut Bukhari, Muslim dan Ahmad, seperti yang dicatatkan oleh Tafsir Ibnu Kasir, orang ramai telah meninggalkan Nabi SAW, ketika baginda sedang memberikan khutbah Jumaat, tatkala mendengar ketibaan kafilah dagang  Dihyah bin Khalifah. Lalu kemudiannya turunlah ayat Quran ini.

 

Meaning, di sebaik-baik zaman, di zaman Nabi kita SAW sendiri, ketika sedang khutbah Jumaat, orang ramai boleh meninggalkan "panggilan agamanya" demi menyahut "panggilan keduniaan." Maka, apa yang nak dihairankan dengan masyarakat Muslim kita ketika ini?

 

Kalau engkau dapati manusia sanggup meninggalkan Nabi berdiri sendiri menyampaikan Khutbah demi keduniaan dan hiburan (تِجَـرَةً أَوْ لَهْواً), apakah pelik manusia hari ini sanggup membuang masa anda travel berjam-jam untuk mereka, sedang mereka langsung tidak tahu untuk menghargainya?

 

Kalau engkau dapati betapa manusia sanggup mengkhianati dan melukakan Nabi, apakah ajaib andai dirimu sendiri dikhianati dan dilukai?

 

Kalau engkau dapati betapa manusia tergamak menolak bahkan melawan seruan dan perjuangan Nabi, apakah aneh tatkala manusia tidak siap untuk menyahut dan bersama seruan dan perjuangan dirimu?

 

Andai hatimu dipenuhi oleh dunia, engkau tak akan pernah memahami perasaan ini. Kerana down mu itu adalah akibat urusan-urusan duniawi. Down kerana study. Down kerana kerja. Down kerana keluarga. Tetapi, mereka-mereka yang berjiwa besar, seakan tiada masa untuk berduka-nestapa, menangisi kesedihan dan kekecewaan urusan dunia yang dikau tangisi. Kerna air mata mereka jsuteru sangat mahal, tak mungkin ia dikeluarkan buat menangisi urusan-urusan duniawi yang "murah." Kerna ada sebab yang lebih murni dan "mahal", iaitu nasib dan masa depan perjuangan, yang lebih berhak mereka tangisi dan deritai.

 

Maka, bila dirimu dilandai kesedihan dan kedownan, jenguklah balik permaidani perjuangan. Kerna di sana akan tampak pelangi menerobosi kabus kekecewaan. Ada cahaya yang menyinari gelap kedukaan. Akan senantiasa ada banyak kemudahan, mengiringi sesuatu kesusahan.

 

Akan kelihatan kedukaan dan penderitaan, sebagai asbab kekuatan dan kecekalan. Akan tampak cacian dan halangan, sebagai madrasah yang melahirkan kesabaran. Akan terserlah jatuhmu itu, sebagai pengajaran bagaimana untuk bangun dan bangkit kembali. Segala kesedihan itu, bukan kerana Tuhan telah meninggalkanmu, tetapi justeru kerna Dia sangat sayang terhadap dirimu, dan Dia sedang mempersiapkan dirimu, untuk disambut bidadari-bidadari tatkala melangkah masuk ke Syurga Firdausi.

 

Benar nasihatmu hai Alfred Pennyworth;

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment