ELEKTRON
Kalau sudah namanya manusia, tentu ia punya perceptionnya yang tersendiri. Persepsi yang, sungguhpun ia yakin benar pendapatnya itu sebagai al-haq atau kebenaran –bahkan terkadang memaksakan pandangan dan pendapatnya itu dipersetujui oleh semua pihak sebagai kebenaran- namun akhirnya terbongkar betapa semuanya itu tersasar jauh daripada apa yang ia sangkakan. Ini terjadi (tersilapnya pandangan ia itu) bukan kerana ia tidak bijak, bukan juga kerana ia malas mengkaji, tetapi justeru kerana sememangnya manusia itu secara fitrahnya lemah, hingga memerlukan Dia (Allah) sebagai tempat untuk segala kebergantungan. "وَخُلِقَ الْإِنْسَانُ ضَعِيفًا ""..dan telah tercipta manusia itu, berkeadaan lemah" kata Allah di dalam Al-Quran (Surah An-Nisa' [4]:28).
Ambillah contoh keadaan bentuk muka bumi ini. Dulu, bersungguh benar manusia menasihati Cristopher Columbus untuk mempertimbangkan kembali pelayarannya. Konon, jika tidak berhati-hati, ia akan jatuh tersungkur bilamana sampai di tebing penghujung bumi, lantaran menyangkakan betapa bumi ini berbentuk segi, lantaran melihat lepernya permukaannya. Beberapa abad kemudiannya, jelajah ke angkasa mengconfirmkan betapa mereka semua tenyata bukan sekadar tersilap, malah sudah terlalu amatnya silapnya!
Sebegitu jugalah dengan kebanyakan daripada kita. Terkadang, manusia menilai pada yang zahir semata-mata. Menyangka betapa yang ada di hadapan mata itulah segala-galanya. Yang gah di mata itulah yang dikaguminya. Yang tidak kelihatan itu, seakan suatu yang tidak pernah ada. Melihat yang "tersurat", menjadikan manusia bersifat materialistik pada dunia. Menjenguk yang "tersirat", sering melahirkan kehalusan perasaan dan kepekaan jiwa. Hingga, manusia hari ini terlalu sibuk mengejar dunia siang dan malamnya, lantaran menyangka bahawa kebahagiaan itu ada pada wang dan harta, lalu mengabaikan aspek "tersirat" yang menyebabkan institusi kekeluargaan semakin berantakan tatkala diabaikan, itulah aspek "kasih sayang" yang semakin terlupakan.
Bukankah pemuka-pemuka Bani Israel menolak pemilihan Thalut sebagai qiyadah mereka, dek kerana terlalu melihat aspek luaran dan materialistik semata-mata?
"Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?"
(Surah Al-Baqarah [2]:247)
Itulah sebabnya, manusia tidak seharusnya lupa, betapa limitednya pemikiran dan pengetahuan dirinya, dibandingkan dengan luasnya lautan ilmu yang tersimpan di sisi khazanah Yang Maha Esa. Firman Allah;
قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا
"Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan."
(Surah Al-Kahfi [18]:109)
Maka tidak hairanlah, jika disuruh memilih unsur mana yang menjadi "pojaan hatimu" pada sebuah atom, ramai di kalangan kita akan memilih unsur positif bernama "proton" sebagai unsur yang menjadi pilihan dirinya. Hingga, syarikat automotif pun dinamakan sempena namanya. Mana ada kereta berjenama "elektron" yang bisa kau jumpai, walau di belahan bumi mana pun dirimu pergi.
Saudaraku,
Barangkali kita terlupa akan satu perkara. Yang menjadikan sesebuah atom itu bisa bergabung dengan atom-atom yang lainnya, hingga membentuk molekul, yang kemudiannya bergabung lagi menghasilkan jirim, justeru adalah ikatan kovalen yang "dijana" dan "diusahakan" oleh sang elektron. Elektron –yang merupakan cas negatif pada sesebuah atom- bukan sahaja mentautkan sesama atom di dalam ikatan kovalen, tetapi bahkan menentukan cas pada sesuatu ion -termasuk juga cas positif- di dalam ikatan yang lainnya yang kita kenali sebagai ikatan ionik. (Fuhh... saintifik giler penerangan aku ni!)
Maksudnya begini; it is the electron who is holding the molecules together. Don't you see? (Fuhh... speaking pulak dah!). Dan bukan itu sahaja, malah kebaikan (yang disangka ada pada cas positif sesuatu ion) ditentukan bukan oleh empunya diri sang proton, tetapi justeru kerana pergerakan dan pemindahan sang elektron, yang ber"pindah-randah" ke atom lainnya, membentukkan ion positif mahupun negatif.
Dan lagi, elektron –sang unsur negatif- itulah yang bergerak dan bergerak sehingga terhasilnya arus elektrik, yang menyinari dan memaknai hari-hari yang kita semua lalui. Maka jika bukan kerana sang unsur negatif ini, dikau harus bergelap di malam hari, berpanas tanpa aircond atau kipas di siangnya, dan tidak bisa "menyetat" mobilmu, dek kerana bateri tidak lagi mengalirkan elektron-elektron yang menghasilkan arus elektrik!
Kerana itu wahai saudaraku, jangan pernah engkau memandang enteng akan segala ketentuan Allah kepada dirimu. Insan, ketika mana beroleh kesusahan, sering memandang negatif akan ujian kesusahan yang dilaluinya. Sedang Allah SWT kata, betapa terkadang pada yang negatif itulah, sebenarnya terkandung kebaikan yang banyak, persis kebaikan-kebaikan yang dihasilkan oleh sang elektron tadi. Firman Allah;
فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
"...kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)."
(Surah An-Nisa' [4]:19)
Tatkala insan telah melihat segala takdir yang telah Allah tentukan untuknya sebagai kebaikan -baik kebaikan secara langsung mahupun kebaikan yang hanya akan ia raih dan rasa tatkala ia bisa belajar dan mengambil ibrah daripada kejadian takdir tersebut- pantas ia pun menjadi manusia yang "ajaib". Apatah lagi hanya Mukmin sejati yang bisa mampu meraih keajaiban dalam kehidupan. Sabda Nabi SAW;
"Ajaib sungguh urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya, baginya semuanya baik. Dan hal itu tidaklah demikian akan terjadi kepada seseorang, melainkan dia seorang Mukmin.
Ketika ia ditimpa dengan suatu kesenangan, ia bersyukur, dan syukur itu justeru baik untuk dirinya. Dan ketika ia ditimpa dengan suatu kesusahan, ia bersabar, maka (sabar) itu baik untuknya."
(Hadith riwayat Muslim, hadith #27 di dalam Riyadhus Salihin)
Musibah, tidak semestinya bererti keburukan. Tidak seharusnya bermaksud kebinasaan. Dan tidak seperlunya berbuahkan kekecewaan. Terkadang musibah itu perlu buat insan untuk mengikat dirinya ke bumi, tatkala manusia-manusia yang lainnya sudah mula mendongak tinggi ke langit. Tetap berdoa dan berharap kepada Tuhan, saat manusia-manusia yang lainnya hidup umpama tidak memerlukan Tuhan lagi. Tetap berusaha memperbaiki dirinya, sedang manusia-manusia yang lainnya sibuk menuding jari melihatkan kesalahan dan kelemahan yang lainnya.
Seperti mana majoriti usahawan yang berjaya menjadikan kegagalan lalu sebagai "yuran" untuk mencapai keberhasilan, terkadang seorang insan memerlukan "cas negatif" ini untuk menjadikan matanya menitis dek kerana takutkan Tuhan. "Maksiat yang melahirkan rasa hina diri (kepada Allah) dan rasa berhajat kepada-Nya," kata Syaikh Ibnu Atho'illah di dalam kitab Al-Hikam, "lebih baik daripada ta'at yang melahirkan rasa megah dan takbur."
Nah, apalah ertinya amal-amal yang banyak bergantang, jika akhirnya perjalanannya menuju ke langit jatuh berserakan? Firman Allah,
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا
الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
"Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan."
(Surah Al-Kahfi [18}103-104)
Kerana itu wahai saudaraku, betapa besar hikmah musibah ini, hingga terkadang menjadi asbab untuk seseorang beroleh kemuliaan dan ganjaran agung daripada Dia Yang Maha Pemberi. Disebutkan di dalam sebuah hadith Qudsi, seperti yang diceritakan oleh sahabat Nabi, Huzaifah bin Yaman R.A. kepada Uqbah bin 'Amr R.A;
"Sesungguhnya ada seorang lelaki yang hendak meninggal dunia. Ketika ia sudah merasa putus asa dan merasa tidak akan hidup lagi, dia pun berwasiat kepada keluarganya;
"Jika aku mati nanti, maka kumpulkanlah kayu bakar yang banyak untukku, lalu bakarlah aku di dalamnya. Jika dagingku telah terbakar dan terkelupas dari tulang-tulangku dan menjadi hangus, maka ambillah dan tumbuklah sampai halus. Kemudian tunggulah ketika tiba hari yang berangin, lalu taburkanlah debuku itu ke laut."
Mereka (keluarganya) pun melakukannya. Kemudian Allah pun mengumpulkannya lalu bertanya kepadanya;
"Mengapa kamu melakukan hal yang demikian?"
Ia pun menjawab; "kerana takut kepada-Mu."
Kemudian Allah pun mengampuninya."
(Riwayat Al-Bukhari di dalam Kitab Bad'il-Khalaq, Bab: Ma Dzukira Min Bani Isra'il, juz IV, hlmn. 169. Diriwayatkan juga dengan lafaz yang sedikit berbeza oleh Imam Muslim di dalam Shahihnya serta Ibnu Majah di dalam Sunannya.)
Lihatlah, bagaimana seorang yang mungkin "cas negatif"nya itulah yang mendorong ia untuk kurang melakukan amalan. Namun, "cas negatif" itu jugalah yang melahirkan rasa takut cemasnya pada azab dan balasan Allah, hingga ia kemudiannya beroleh keampunan. Kata Imam An-Nawawi Rahimullah, hamba Allah mengatakan request yang sedemikian bukan kerana meragukan kekuasaan Allah, atau mengengkari Hari Kebangkitan, tetapi justeru kerana diliputi ketakutan menjelang saat ajal, hingga tidak dapat mengcontrol ucapannya secara logis.
Pokoknya, lihatlah betapa terkadang perbuatan dosa itulah, yang menjadikan insan tunduk merendah, meminta keampunan Allah, lalu dengan ketulusannya di dalam bermohon itulah, Allah ampunkan dosanya dan ganjarkan Syurga untuk dirinya.
Allah SWT sangat suka kepada hamba-Nya yang senantiasa memohon dan bergantung harap kepada-Nya. Maka terkadang, kesilapan dan kesalahan yang lalu, justeru menjadi asbab untuk insan tunduk merendah dan bergantung harap kepada-Nya. Sabda Nabi SAW lagi;
إِنَّ رَجُلًا أَذْنَبَ ذَنْبًا فَقَالَ: رَبِّ إِنِّي أَذْنَبْتُ ذَنْبًا فَاغْفِرْهُ، فَقَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: عَبْدِي عَمِل ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ، قَدْ غَفَرْتُ لِعَبْدِي، ثُمَّ عَمِلَ ذَنْبًا آخَرَ فَقَالَ: رَبِّ إِنِّي عَمِلْتُ ذَنْبًا فَاغْفِرْهُ، فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالى: عَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ ربًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ،قَدْ غَفَرْتُ لِعَبْدِي، ثُمَّ عَمِلَ ذَنْبًا آخَرَ فَقَالَ: رَبِّ إِنِّي عَمِلْتُ ذَنْبًا فَاغْفِرْهُ لِي، فَقَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: عَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ ربًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ، قَدْ غَفَرْتُ لِعَبْدِي، ثُمَّ عَمِلَ ذَنْبًا آخَرَ فَقَالَ: رَبِّ إِنِّي عَمِلْتُ ذَنْبًا فَاغْفِرْهُ لِي، فَقَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: عَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ ربًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ، أُشْهِدُكُمْ أَنِّي قَدْ غَفَرْتُ لِعَبْدِي فَلْيَعْمَلْ مَا شَاء
"Seorang lelaki melakukan dosa lalu berkata; "Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melakukan dosa, maka ampunkanlah aku!
Allah berfirman; "Hamba-Ku telah melakukan dosa, sedang dia tahu betapa dia ada Tuhan yang dapat mengampunkan dosa dan mengambil tindakan terhadapnya. Maka Aku ampunkan hambaku itu."
Kemudian, orang itu melakukan dosa yang lain, lalu ia berkata; "Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melakukan dosa, maka ampunkanlah aku!
Allah berfirman; "Hamba-Ku telah melakukan dosa, sedang dia tahu betapa dia ada Tuhan yang dapat mengampunkan dosa dan mengambil tindakan terhadapnya. Maka Aku ampunkan hambaku itu."
Kemudian, orang itu melakukan dosa lagi, lalu ia berkata; "Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melakukan dosa, maka ampunkanlah aku!
Allah berfirman; "Hamba-Ku telah melakukan dosa, sedang dia tahu betapa dia ada Tuhan yang dapat mengampunkan dosa dan mengambil tindakan terhadapnya. Maka Aku ampunkan hambaku itu."
Kemudian, orang itu melakukan dosa lagi, lalu ia berkata; "Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melakukan dosa, maka ampunkanlah aku!
Allah berfirman; "Hamba-Ku telah melakukan dosa, sedang dia tahu betapa dia ada Tuhan yang dapat mengampunkan dosa dan mengambil tindakan terhadapnya. Maka Aku ampunkan hambaku itu. Saksikanlah, bahawa aku telah mengampunkan hamba-Ku, maka lakukanlah apa yang dia kehendaki."
(HR Ahmad daripada Abu Hurairah)
Kata Said bin Jabir: "Sesungguhnya seorang hamba melakukan perbuatan kebaikan lalu perbuatan baiknya itu menyebabkan ia masuk neraka, dan sesungguhnya seorang hamba melakukan perbuatan buruk lalu perbuatan buruknya itu menyebabkan dia masuk neraka, hal itu dikarenakan perbuatan baiknya itu manjadikan ia bangga pada dirinya sendiri sementara perbuatan buruknya menjadikan ia memohon ampun serta bertobat kepada Allah karena perbuatan buruknya itu". [Majmu 'Al-Fatawa 10/277]
Abdur rahman ibnu Yazid pula berkata, "Abdullah berkata, 'Allah tidak akan mendengar (doa) dari orang yang ingin dipuji orang lain, tidak pula dari orang yang riya', tidak pula dari orang yang bermain-main, akan tetapi (hanya menerima doa) dari orang yang berdoa dengan keteguhan hatinya.
(Shahih Adabul Mufrad, Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani)
Usahlah berduka dengan "elektron" wahai saudaraku, kerana sekurang-kurangnya, ia tidak ada masalah power window. Owh!!
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab Jurutera Profesional dan Jurutera Elektrik Kompeten Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Sijil Pengajian Syariah |
No comments:
Post a Comment