PEMBIASAN CAHAYA
Saudaraku,
Tidakkah dikau merasa pelik, iaitu tatkala engkau ambil sebatang pensil, dan memasukkan pensil tersebut ke dalam sebuah cawan, lalu engkau tuangkan air kosong ke dalam cawan itu separuh penuh, serta-merta pensil itu akan kelihatan bengkok.
Apakah ini? Sejak bila dikau peroleh kuasa ala Harry Porter? Atau adakah keajaiban dan kepelikan ini, merupakan petanda Al-Masih Dajjal berada berdekatan denganmu, lalu aura magicalnyalah yang telah membengkokkan pensil itu? Atau justeru itulah kehebatan air: ia mampu membengkokkan sebatang pensil. Masakan tidak, yang namanya air, kalau dicincang pun, tidak akan pernah putus!
Sebenarnya, hentikan segera segala pandangan merapu mu itu! Ada pun fenomena pensil bengkok itu, adalah contoh permisalan paling mudah berkenaan satu lagi fenomena kepada makhluk bernama cahaya -selain daripada pantulan cahaya yang telah kita bincangkan dalam edisi yang lalu. Dan fenomena inilah yang kita panggil sebagai "pembiasan cahaya", iaitu pemesongan arah cahaya tatkala ia melalui banhantara yang berbeza ketumpatan.
Akibatnya, selain pen atau sudu atau apa-apa barang yang engkau masukkan ke dalam segelas air akan kelihatan bengkok, ia juga menyebabkan kedudukan sesuatu objek –seperti ikan- yang berada di dalam air berubah dari kedudukannya yang sebenar, tatkala dilihat dari atas permukaan. Dalam erti kata yang lain, fenomena pembiasan ini menyebabkan perkara yang kelihatan padamu tidak lagi tepat, lantaran pancainderamu tidak lagi bisa untuk dipercayai!
Saudaraku,
Itulah sebabnya, apa yang zahir pada mata, belum tentu benar di alam nyata. Dan apa yang kelihatannya benar di sisi manusia, belum pasti benar di sisi agama. Lantas, agama mengajarkan penggunakan satu lagi "mata" untuk membantu memahami kebenaran yang hakiki -itulah "mata hati"- lantaran mata hati itu akan bisa melihat apa yang "buta" di sisi mata indera. Sabda nabimu; "istafti qolbak." Mintalah fatwa daripada hatimu."
Kenapa an-Nabi SAW menyuruh kita untuk meminta fatwa daripada hati? Mengapa harus percaya pada yang kita tidak nampak (hati), dan berjaga-jaga pada apa yang sudah nyata(pancaindera)? Kerana hati –sambung Nabi SAW lagi- "kebajikan ialah sesuatu yang jiwa dan hati merasa tenang terhadapnya, manakala dosa ialah sesuatu yang menimbulkan perasaan serba salah dalam jiwa dan menggelisahkan dada, sekalipun berbagai fatwa yang diberikan oleh manusia."
Kerana itu, belum tentu manusia yang mendapat pujian dan sanjungan daripada para penghuni bumi, beroleh perhatian dan siulan oleh para penghuni langit. Dan boleh jadi juga manusia yang hina dina di sisi para penghuni bumi, malah beroleh penghormatan dan sanjungan dari para penghuni langit. Kerana penghuni bumi dan penghuni langit itu, seakan "ketumpatan" yang berbeza, lalu hukum pembiasan menjadikan pandangan manusia sering kali tersilap, hingga memerlukan agama untuk membetulkan kebenaran dan kebahagian yang mereka semua idam-idamkan.
Maka, manusia yang menyedari hakikat ini, akan senantiasa sedar lagi berwaspada akan tipu daya-tipu daya yang ditawarkan oleh dunia, yang bisa menyimpangkan ia dari landasan kebahagiaan yang hakiki. Lantas, di saat dunia menggodanya untuk berbuat kesalahan yang sifatnya kecil, ia akan pantas mengingati perkataannya Bilal bin Sa'ad; "Janganlah kamu melihat kepada kecilnya kesalahan, tetapi lihatlah kepada Maha Besar-Nya Dzat yang kamu tentang"
Manusia juga akan reserve di dalam dirinya sifat baik sangka, lantaran kemuliaan seseorang di sisi manusia, tidak menjamin kemuliaannya di sisi Allah Ta'ala. Masih ingatkah kita dengan kisah wanita pelacur dengan seekor anjing yang sedang dahaga? Biarpun hina di sisi manusia, ia beroleh Syurga dari Yang Maha Mulia, lantaran sifat belas dan kasihnya ia kepada anjing yang kehausan itu, hingga mendorongnya member minum "najis mugholazoh" itu.
Dan juga, kisah yang diceritakan oleh Nabi SAW melalui beberapa jalur riwayat di dalam Hadith Qudsi, tentang seorang yang kurang amalnya, bahkan menyuruh dibakar mayatnya, tetapi kerana ketakutannya pada Allah, malahan beroleh keampunan dan kemaafan daripada-Nya. Sabda Nabi:
"Sesungguhnya ada seorang lelaki yang hendak meninggal dunia. Ketika ia sudah merasa putus asa dan merasa tidak akan hidup lagi, dia pun berwasiat kepada keluarganya;
"Jika aku mati nanti, maka kumpulkanlah kayu bakar yang banyak untukku, lalu bakarlah aku di dalamnya. Jika dagingku telah terbakar dan terkelupas dari tulang-tulangku dan menjadi hangus, maka ambillah dan tumbuklah sampai halus. Kemudian tunggulah ketika tiba hari yang berangin, lalu taburkanlah debuku itu ke laut."
Mereka (keluarganya) pun melakukannya. Kemudian Allah pun mengumpulkannya lalu bertanya kepadanya;
"Mengapa kamu melakukan hal yang demikian?"
Ia pun menjawab; "kerana takut kepada-Mu."
Kemudian Allah pun mengampuninya."
(Riwayat Al-Bukhari di dalam Kitab Bad'il-Khalaq, Bab: Ma Dzukira Min Bani Isra'il, juz IV, hlmn. 169. Diriwayatkan juga dengan lafaz yang sedikit berbeza oleh Imam Muslim di dalam Shahihnya serta Ibnu Majah di dalam Sunannya.)
Saudaraku,
Penilaian "kita" dan penilaian "Dia", berbeza dari segi "ketumpatannya." Maka benarkah amal-amal yang kita bangga-banggakan, bisa mengantar kita ke Syurga idaman? Oleh yang demikian, janganlah mudah percaya dengan pandangan mata indera, lalu melalaikan penilaian mata hati. Janganlah bangga dengan prestasi diri, kerana mungkin itu semua ghurur yakni tertipu dengan penilaian diri sendiri. Renunglah kembali syairnya Al-Hutay'ah:
وَلَسْتُ أرَى السَّعَادَةَ جَمْعَ مَالٍ ~ وَلكِن التَّقِيَّ هُوَ السَّعِيدُ
وتَقْوَى اللهِ خَيرُ الزَّادِ زخْرًا ~ وعِندَ اللهِ لِلأتقَى مَزِيدٌ
ومَا لا بُدَّ ان يَأتِي قَرِيبٌ ~ ولكن الَّذي يَمْضِي بَعِيدٌ
dan tidak kulihat kebahagiaan itu ialah mengumpul harta,
kan tetapi yang bertaqwa jua yang akan bahagia
dan menakuti Allah itu sebenarnya sebaik-baik bekalan,
dan disisi Allah ada tambahan rahmat buat yang paling bertaqwa
dan apa yang pasti datang itu sebenarnya dekat,
'kan tetapi yang sedang berlalu pergi itulah yang jauh
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab Lulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik (USM), Sijil Pengajian Syariah (UM), Jurutera Profesional (BEM) dan Jurutera Elektrik Kompeten (Suruhanjaya Tenaga) |
No comments:
Post a Comment