وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ |
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya"
Terdapat beberapa perkataan di dalam Bahasa Arab, untuk menggambarkan perkataan "baik." Menurut Kiyai Hj. Rahmat Abdullah di dalam bukunya "Untukmu Kader Dakwah," antara perkataan-perkataan itu adalah seperti حسن, خير, معروف, بر dan lain-lain (lihat Untukmu Kader Dakwah, ms. 24). Namun, satu hal yang juga perlu kita sedari, sungguh pun pelbagai perkataan ini terkadang mempunyai terjemahan ke dalam bahasa Malaysia yang sama, namun sebenarnya setiap satunya mempunyai kandungan makna yang berbeza. Maha Suci Allah, yang telah memilih perkataan yang paling tepat untuk digunakan dalam setiap satu ayat Al-Quran.
Pasa ayat 104 daripada Surah Ali Imran di atas, kita dapat jumpa dua perkataan "baik." Satu ialah خير, sedang yang satu lagi adalah معروف. Untuk خير, Allah menyebut يدعون yakni dakwah kepada yang baik. Sedang untuk معروف, Allah menyebut ياءمرون yakni menyuruh dengan yang baik. Kenapa implementasi kebaikan ini melalui dua kaedah yang berbeza (yakni satu dengan cara dakwah, yang satu lagi dengan cara menyuruh)?
Mari kita perhatikan perbezaan makna di antara خير dengan معروف. Jika disebut "ma'ruf" (kata akarnya "ma'rifah" yang bererti "tahu"), sesuatu kebaikan itu perlu diberi kefahaman. Ia agak susah hendak difahami, melainkan perlu ada "pemberitahuan". Sedangkan untuk "khair" (kata akarnya "al-khiyar" yang bermaksud "pilih"), pengetahuan kebaikan itu berlaku dengan ikhtiar atau pilihan manusia, tanpa diajar oleh sesiapa pun, lantaran ianya bisa difahami dengan fitrah semulajadi yang ALLAH kurniakan kepada manusia. (lihat http://g-82.blogspot.com/2010/05/beda-al-khair-dan-al-maruf.html)
Itulah sebabnya, di dalam surah ali Imran [3] ayat yang ke 104, untuk berbuat al-khair, cukup dengan diseru/ di dakwahkan sahaja. Tetapi, dalam hal berbuat ma'ruf, harus diperintah/ diarahkan. Kenapa? Kerana hal yang bersifat khair, ianya sudah dimaklumi kebaikankannya kepada manusia secara fitrah, lantas, yang perlu hanyalah seruan, ajakan ataupun dakwah. Misalannya menolong orang, atau bercakap benar, atau berbakti kepada kedua ibu bapa, semua agama, mahupun civilized person sudah sedia maklum akan kebaikan dan keperluan untuk melaksanakannya. Sedang hal yang ma'ruf, lantaran ianya adalah sub-set kepada al-khair, tanpa pemahaman, suruhan dan perintah, sulit manusia untuk melaksanakannya. Baik kerana tidak tahu, tidak sedar mahu pun berdegil untuk melaksanakannya.
Itulah sebabnya, oleh Sayyid Qutb di dalam Fi Zhilalil Quran, untuk menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah hal-hal yang mungkar, umat ini memerlukan "kekuasaan" untuk menegakkannya. Maka wajar, politik pada sisi pandangan Islam, adalah satu cabang yang sangat penting, hingga saja proses pemakaman baginda Nabi SAW sahaja mengambil masa 3 hari, lantaran sahabat-sahabatnya Radhiallahu anhum ajmain perlu mensettlekan proses pemilihan Khalifah di antara mereka.
Namun, jangan lupa, sebelum kita bicara tentang amar ma'ruf nahi mungkar ini, atau berbicara tentang politik dan kekuasaan, kita harus terlebih dahulu menyeru kepada kebaikan yang bersifat universal. Kebaikan yang "rentas agama dan aqidah." Dan kebaikan inilah yang kita sebutkan sebagai khair.
Saudaraku,
Undang-undang Hudud adalah undang-undang Islam. Sebagai seorang Muslim yang beriman, siapakah yang tidak mahu melihat perundangan Allah ditegakkan di muka bumi Malaysia ini? Namun, kerana ianya undang-undang Islam –yang kita yakini tentunya sarat dengan kebaikan- namun, kebaikan yang ada padanya adalah kebaikan yang memerlukan penerapan kefahaman kepada masyarakat –terutamanya non-Muslim- kerana sebahagiannya sulit memahaminya, lantaran itulah penguat kuasaan perundang diperlukan untuk melaksanakannya. Oleh itu, sebelum kita bicara tentang hal yang kebaikannya bersifat ma'ruf, harus terlebih dahulu kita perjuangkan kebaikan yang sifatnya sejagat, yang sifatnya khair, agar non-Muslim tidak sangsi akan kebaikan, keadilan dan kesyumulan Islam.
Apakah contoh kebaikan yang sifatnya khair itu? Good governence contohnya, kerana semua orang tidak kira kaum dan agama inginkan urus tadbir Negara yang cekap. Membanteras rasuah dan penyelewangan sumber Negara misalnya. Menentang kezaliman misalnya. Maka soalnya, sudahkah kita kaum Muslimin, menjuarai perjuangan mengecap yang khair ini?
Itulah sebabnya, dalam hendak mengecap yang ma'ruf, janganlah sampai meninggalkan yang khair. Kaum Cina dan India, serta non-Muslim warganegara Malaysia, sedang bersama menentang penyelewangan, kezaliman dan penipuan penguasa. Mereka ingin tahu apakah pandangan Islam terhadap hal ini. Jika kita reply hal ini dengan tidak menunjukkan keseriusan kita untuk bersama mereka menjuarai isu-isu ini, sebaliknya tatkala mereka berbicara tentang perlawanan menentang kezaliman, kita pula reply dengan slogan "Melayu Sepakat!," mereka berbicara tentang keperluan mengakhiri penindasan, kita pula mereply dengan mempromosikan "Pemimpin haruslah Calon Muslim Yang Berwibawa," bagaimana bisa mereka melihat keindahan dan keadilan Islam? Dan apabila mereka tidak melihat keadilan dan keindahan Islam ini, apa yang hendak dihairankan tatkala mereka menolak Hudud untuk dilaksanakan?
Islam akan kekal kelihatan seolah-olah eksklusif untuk orang Melayu semata-mata, lantaran orang Melayu merespon isu-isu kezaliman dan penyelewangan pemerintah dengan seruan untuk mengekalkan status-quo pemerintahan di tangan orang Melayu. Mereka akan merasakan betapa mereka sebagai golongan yang dikatakan insignificant oleh seorang Ustaz dalam sebuah forum di Kelantan –biarpun bilangan mereka mencecah 40% lebih daripada penduduk Malaysia, sedang "geng-geng" Ustaz tersebut bertanding pilihanraya dengan bilangan kerusi tak sampai 10% pun dengan harapan dapat buat macam-macam walhal kalau menggunakan kaedah ustaz tersebut, lagilah suara mereka ni insignificant- maka mereka akan rasa betapa kalau saja Islam memerintah, hak mereka akan ternafi, lalu mereka pun akan hidup tertindas di bawah pemerintahan Islam.
Lihatlah sahaja sikap umat Islam. Ketika mereka request untuk menggunakan kalimah Allah dalam Bible, atau menggunakan Bible dengan terjemahan Bahasa Melayu, yang menurut mereka adalah hak mereka menurut agama mereka, respon kebanyakan umat islam sangat menakutkan. Umat Islam berdemonstrasi dengan pekikan-pekikan yang warning mereka, dan menggunakan undang-undang untuk menghalang hak mereka. Kalau ya pun umat Islam tidak bersetuju dengan tuntutan mereka (sedang Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sahaja membenarkan dan hairan dengan sikap umat islam Malaysia yang sangat hardcore menghalang), kenapa pula membantai bermatian-matian mereka yang menuntut perkara yang menurut mereka adalah hak mereka? Lihatlah pelbagai macam tuduhan terhadap Lim Guan Eng, hanya kerana ia memohon dibenarkan orang Kristian menggunakan kalimah Allah, sedangkan dari segi track record beliau memerintah Pulau Pinang, apakah terjadi penindasan, peminggiran dan double standard terhadap umat islam di negerinya? Apakah Pulau Pinang di bawah seorang Lim Guan Eng lebih buruk syiar islamnya, berbanding belasan malah puluhan tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional?
Maka itulah sebabnya, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan secara terang lagi bersuluh di dalam bukunya Min Fiqhid Daulah Fil Islam , non-Muslim dibenarkan untuk mencalonkan dirinya di dalam pilihanraya, kerana ia mewakili kelompok minority non-Muslim dalam Negara kita, yang dianggap insignificant oleh sebahagian pihak. Malahan Qaradhawi menyebutkan lagi: "ini merupakan persaudaraan kemanusiaan. Maka tidak hairan jika antara orang-orang Muslim dan Qibti di Mesir mempunyai hubungan persaudaraan sebangsa, antara orang-orang Muslim dan orang-orang Nasrani di Lebanon, Syiria dan Jordan memiliki hubungan persaudaraan sebangsa, antara orang-orang Muslim dan orang-orang Nasrani di seluruh Negara Arab yang mempunyai persaudaraan kaum…"
Saudaraku,
Isunya di sini bukanlah untuk mengajak anda menjadi ahli atau penyokong fanatik sesebuah parti. Justeru tidak! Tetapi isunya di sini adalah mengajak anda membuka mata kita untuk melihat reality masyarakat di Malaysia. Kita berbilang kaum, dengan Muslim hanya majority lebih sedikit berbanding non-Muslim. Dan Muslim yang murtad semakin ramai. Non-Muslim pula tidak berminat untuk mendalami dan mendekati Islam. Ekonomi dan kecemerlangan akademik dikuasai oleh non-Muslim. Maka janganlah kita burukkan lagi keadaan dengan seruan-seruan dan gambaran-gambaran angkuh konon "we are the best," kerana ianya tidak menambah melainkan kemeluatan dan rasa poyo orang lain. Umpama kita yang selalu nombor corot dalam kelas, tiba-tiba menjerit kepada seluruh kelas "akulah yang paling pandai dalam kelas ini." Apakah mereka-mereka yang nombor top dalam kelas akan makin respect kita, atau rasa betapa poyonya diri kita? Marilah kita tukar strategi, instead of gambarkan betapa kitalah yang the best, kepada menunjukkan keindahan nilai dan values yang ada pada Islam. Instead of minta semua orang tunduk di bawak kepimpinan kita yang Muslim, kepada menjuarai dahulu isu-isu sejagat, yang dengannya otomatik orang akan hormat dan dengar perkataan kita. Inilah يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ yang kita harap-harapkan, kerana yang khair itu, adalah hal yang dipersetujui oleh manusia semuanya. Sudahkah kita menjuarainya?
No comments:
Post a Comment