Pada tahun 36-Hijrah, berlakulah sebuah peperangan yang kita kenali dalam sejarah sebagai Perang Jamal. Perang Jamal adalah salah satu peristiwa penting di dalam sejarah umat Islam. Ini kerana, ia justeru merupakan sebuah tragedi, yang menyaksikan terkorbannya sahabat-sahabat besar Nabi Sallallahu ‘alaihi wassallam seperti Az-Zubair Radhi’allahu ‘anhu dan juga Thalhah Radhi’allahu ‘anhu. Perang yang menyaksikan orang Islam di bawah pimpinan Sayyidina Ali Radhi’allahu ‘anhu di satu pihak, serta orang Islam juga di bawah pimpinan Saydatina Aisyah, Az- Zubair dan Thalhah Radhi’allahu ‘anhum di pihak yang satu lagi.
Tahukah kalian punca sebenar tercetusnya Perang Jamal? Atau, dalam lain perkataan, atas alasan apa sekumpulan orang-orang yang beriman, yang bilangannya sekitar 1,000 atau 900 pasukan berkuda di bawah pimpinan Saydatina Aisyah, Az- Zubair dan Thalhah Radhi’allahu ‘anhum berangkat menuju ke Basrah? “Menuntut atas tertumpahnya darah Utsman,” sepakat ketiga-tiga sahabat besar baginda Nabi Sallallahu ‘alaihi wassallam itu menjawab, atau, dalam lain perkataan menuntut perlaksanaan hukuman Qishas dilaksanakan terhadap para pembunuh Saydina Utsman ibni Al-Affan Radhi’allahu ‘anhu, Khulafa Ar-Rasyidin yang ketiga. (rujuk Al-Hafizh Ibnu Katsir, “Perjalanan Hidup Empat Khalifah Rasul Yang Agung” (Tartib wa Tazhib Al-Bidayah wa An-Nihayah), Darul Haq ms. 590-598)
Satu masa dahulu, apabila disebut tentang Negara Islam, pantas orang akan menyebut ianya adalah Negara yang mana melaksanakan undang-undang Islam, iaitu Hudud dan Qishas. Seiring dengan mendewasanya gerakan-gerakan Islam dan juga parti-parti Islam, seruan tentang pelaksanaan Negara Islam ini bertukar dengan penampilan slogan “Negara berkebajikan.” Bukan hanya Parti Islam di Malaysia yang menukar slogan sebegini, malahan gerakan-gerakan Islam lain di seluruh dunia turut menggunakan pendekatan yang serupa, lantaran Islam is not just about hukum, hukum, dan hukum. Islam juga adalah kebajikan. Keadilan. Nilai-nilai yang baik. Dan dengan pemahaman Islam yang sebegini, Islam akan lebih kelihatan rahmatan lil ‘alamin di kaca mata umat manusia berbilang bangsa dan agama seluruhnya.
Malangnya, ada pula sebilangan aktivis Islam, menganggap penukaran pendekatan yang tidak lagi lantang menyebut Islam dengan Hudud dan Qishas ini, sebagai penyimpangan terhadap prinsip, atau dipermain atau diperkudakan oleh puak-puak Kafir dan liberal, atau merupakan proksi kepada mereka, dan pelbagai lagi tohmahan dan tuduhan lain yang mereka lemparkan.
Ini mengembalikan ingatan saya kepada Perang Jamal ini. Isunya mudah: kami mahu Qishas! Hukum cepat pembunuh Saydina Utsman! Bawa para penjenayah yang zalim itu (para pembunuh Utsman) ke muka pengadilan! Maka ternyata tuntutan para sahabat besar ini sangat berasas, apatah lagi ia berlaku di zaman generasi terbaik di dalam batang tubuh umat Islam –itulah para sahabat- yang masih hidup dan berjalan di muka bumi ini.
Lalu, kenapa Saydina Ali Radhi’allahu ‘anhu “Mc Donno” (make don’t know) terhadap tuntutan ini? Apakah kerana Saydina Ali kurang Islamik? Atau, demi kuasa, beliau melalaikan hukum-hakam yang wajib dilaksanakan di dalam Islam? (Dan ingat, memang ada pertuduhan yang mengatakan demikian, malah mengaitkan Ali di balik konspirasi pembunahan Saydina Utsman) Mari kita renungkan jawapan Saydina Ali Radhi’allahu ‘anhu terhadap tuntutan ini. Kata At-Tabari di dalam Tarikh At-Tabari:
“Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bukannya jahil tentang apa yang kamu semua tahu. Namun apa yang boleh aku lakukan terhadap suatu kaum yang menguasai kita dan kita tidak mampu menguasai mereka…”
(Mohd Asri Zainul Abidin, “Pertelingkahan Para Sahabat Nabi s.a.w.: Antara Ketulenan Fakta dengan Pembohongan Sejarah (Edisi Kedua),” Pustaka Yamien Sdn. Bhd. ms. 112)
Ini juga mengingatkan saya terhadap tuduhan yang dilemparkan terhadap Umar bin Abdul Aziz, konon beliau tidak reti berpolitik. Ini kerana putranya sendiri, Abdul Malik pernah “sound tepat” Sang Khalifah ini, dengan mengatakan; “Mengapa Ayahanda tidak melaksanakan urusan-urusan ini? Demi Allah, saya tidak peduli, meskipun periuk-periuk akan mendidih kerana aku dan engkau dalam membela kebenaran,” begitulah kata pemuda yang penuh taqwa dan keberanian, yang tidak menghendaki melainkan ayahanda itu segera menyelesaikan kezaliman dan kerusakan sekaligus, tanpa ditunda-tunda mahupun bertahap, biar apa pun yang harus terjadi.
Lihatlah, dan renungkanlah jawapan Sang Khalifah yang lurus lagi ahli fiqih yang mujtahid ini:
“Wahai Anakku, janganlah engkau tergesa-gesa! Sesungguhnya Allah telah mencela khamar lewat Al-Qur’an sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Jika aku memaksakan kebenaran kepada manusia dengan sekaligus, aku khawatir mereka akan menolaknya sekaligus pula, sehingga hal ini menjadi fitnah.”
(Dr. Yusuf Qardhawi, “Fatwa-Fatwa Kontemporer Jilid 2,” (Hadyul Islam Fatawi Mu’ashirah), Gema Insani Press ms. 1040-1041)
Apakah ada Muslim atau gerakan Islam di zaman moden hari ini, yang sanggup mengatakan bahawa mereka lebih Islamik atau lebih berwibawa, berbanding dua insan agung –yakni Saydina Ali dan Umar bin Abdul Aziz- ini? Apa yang mereka berdua katakana itu, justeru merupakan sebuah refleksi terhadap pemahaman mendalam mereka terhadap Islam, kerana Islam dari sudut bahasa, tidak sekadar bermaksud As-Salam (selamat dan sejahtera) atau As-salamah (suci bersih) semata-mata, malah ia juga berasal dari perkataan Sullam, yang bermaksud “tangga”, kerana Islam itu bermakna tadarruj yakni bertahap (rujuk “Manhaj Tarbiyah PK Sejahtera,” Media Insani ms. 48)
Mempunyai pemimpin-pemimpin –terutamanya Anggota Parlimen dan ADUN- di kalangan Muslim, apa lagi jika mereka Muslim yang berwibawa, tentunya menjadi impian kita semua. Namun, di sebalik keghairahan dan cita-cita murni kita ini, kita harus realistik, sedar diri, dan berpijak di bumi yang nyata. Kalau Saydina Ali dengan segenap kekuatan dan ketokohannya, dengan beliau masih dikelilingi sahabat-sahabat besar Nabi Sallallahu ‘alaihi wassallam, namun masih mengambil kira situasi semasa hingga meninggalkan pelaksanaan Qishas terhadap para pembunuh Saydina Utsman lantaran merasa tidak cukup kekuatan di saat ketika itu, atau Umar Abdul Aziz yang namanya masyhur lagi harum di dalam lipatan sejarah, namun tidak tergesa-gesa menguat-kuasakan kebenaran sekaligus, maka umat kita yang masih ketinggalan berbanding dengan Non-Muslimnya baik dari sudut akademik, ekonomi malahan banyak hal lain lagi, dan hanya mendahului dari segi penghuni pusat senti, atau wanita hamil luar nikah, atau pakar-pakar rempit (mat rempit) dan lain-lain hal negative lagi, maka apakah benar kita tidak memerlukan sokongan dan undi Non-Muslim?
Apakah benar kita sudah cukup kuat dan cukup gah hingga berhak berkata apa-apa, tanpa mempedulikan tanggapan Non-Muslim terhadap kita, apakah mereka akan makin menyampah, makin membenci dan makin menjauh dari kita dan keindahan Islam seluruhnya? Apatah lagi dengan nisbah Melayu yang hanya lebih sedikit nisbahnya berbanding yang non-Melayu, berbanding nisbah Muslim yang jauh lebih dominan di Mesir, atau Palestin, atau Indonesia, namun tidak pula mereka mengambil pendekatan yang tidak mempedulikan non-Muslim di tempat mereka.
Marilah kita kembali merendah, betapa kita masih belum cukup besar, dan masih memerlukan orang lain, seperti yang dikatakan ikhwah-ikhwah PKS, yang baru saja perform dalam Pemilu 2004, namun tetap merendah saat terjadinya peristiwa Tsunami di Acheh.
Adakah ini gambar HAMAS satu saff dengan golongan liberal?
Makan dalam
ReplyDelete