Followers

Sunday, December 6, 2015

[JOM]: ABC Cable


ABC Cable

Bagi anda yang tidak biasa dengan nama LLN, cukuplah itu sebagai petanda betapa anda datang daripada generasi yang berbeza. Saya berani jamin, betapa generasi yang lahir pasca zaman pengkorporatan LLN ini bahkan tentu tidak sempat berteduh di bawah lampu pelita minyak tanah, atau terpaksa mengepam air keluar daripada tanah, kecuali mereka yang tinggal benar-benar di kawasan pedalaman barangkali. Mungkin sebahagian orang akan meletakkan kayu pengukur yang lain untuk mengklarifikasikan perbezaan generasi ini, tetapi menurut saya, tidak mengenal nama LLN sudah menunjukkan anda berada di dalam generasi yang berbeza.

LLN adalah singkatan nama kepada Lembaga Letrik Negara. Dulu, seluruh hal-ehwal tenaga elektrik berada di bawah Lembaga ini, yang –ketika itu- merupakan sebuah agensi kerajaan. Tetapi selepas kejadian black-out nasional (yakni black-out yang melanda seluruh Semenanjung Malaysia) pada tahun 1990, kerajaan akhirnya memutuskan untuk menswastakan atau mengkorporatkan LLN, lalu lahirlah Tenaga Nasional Berhad atau TNB yang kita kenali pada hari ini.

Nah, jika anda tidak biasa dengan nama LLN, tentu anda juga tidak biasa dengan tiang elektrik yang diperbuat daripada kayu. Tiang elektrik kayu ini pun, boleh juga menjadi kayu pengukur atau garis pemisah kepada perbezaan generasi yang ada pada hari ini. Jika anda berkesempatan berkongsi "memori" dengan tiang elektrik kayu ini, bererti anda bukanlah daripada Generasi-Y atau Z, maka udah-udahlah perasan muda....

Satu masa dahulu, tiang elektrik kayu ini merupakan antara "watak utama" dalam distribution tenaga elektrik (kita sudah bahaskan tentang dunia generation dan transmission sebelum-sebelum ini). Tiang ini terpacak di tepi-tepi jalan, sambil memegang 5 atau 4 kabel yang berlainan, 3 kabel untuk membekalkan tenaga elektrik pada fasa yang berlainan (Red phase, Yellow phase dan Blue phase), satu untuk Neutral dan satu lagi untuk bumi. Kini, selari dengan perkembangan teknologi dan kemajuan yang dikecapi oleh negara ini, perlahan-perlahan tiang elektrik kayu ini digantikan dengan tiang elektrik yang diperbuat daripada konkrit, tapi masih "memegang" 5 atau 4 kabel seperi yang dilakukan oleh tiang kayu sebelum ini. 


Tapi, dengan berlalunya zaman dan berkembangnya kemajuan, perlahan-lahan kaedah 5 atau 4 kabel yang dipegang oleh tiang elektrik ini digantikan oleh apa yang kita panggil sebagai "ABC Cable": Aerial Bundled Cable, yang kelihatan seakan-akan 1 kabel sahaja yang dipegang oleh tiang elektrik in
i.

Pengagihan atau distribution tenaga elektrik ke rumah-rumah sebenarnya masih lagi dalam bentuk 3 fasa. Tapi, sekarang kabel-kabel untuk setiap fasa ini dipintal bersama (bundled), lalu kelihatanlah seakan-akan ianya 1 kabel sahaja. Dalam erti kata lain, mereka bersama, bersatu, tapi tetap mengekalkan fasa atau "identiti masing-masing." "Nakhtalitu, walakin natawayyizu" bak kata seorang Sayyid Qutb. Kata wikipedia mengenal ABC cable ini:

"Aerial bundled cables (also aerial bundled conductors or simply ABC) are overhead power lines using several insulated phase conductors bundled tightly together, usually with a bare neutral conductor. This contrasts with the traditional practice of using uninsulated conductors separated by air gaps."
(Wikipedia: Aerial bundled cable)

Saudaraku,

Mari kita belajar daripada ABC Cable ini. Seluruh para anbiya' wal mursalin tentunya menyerukan persatuan dan perpaduan kepada umatnya. Ambillah Nabi Musa Alaihissalam sebagai contoh. Ia menyatukan umatnya daripada kaum Bani Israel, untuk mengengkari "ketuhanan" seorang Firaun. Tetapi apakah penyatuan Bani Israel ini menjadikan mereka mengengkari hakikat betapa di dalam kaum mereka sendiri tetap wujud kabilah-kabilah yang berbeza?

Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu". Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing) Makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerusakan.
(Surah Al-Baqarah [2]:60)

Nah, jika Allah Yang Maha Kuasa mahu meletakkan "veto-Nya", kenapa harus 12 mata air yang dianugerahkan Dia (Yang Maha Kuasa) kepada mereka? Kenapa tidak 1 mata air sahaja? Nah, ternyata penyatuan dan perpaduan, bukan bererti 12 harus bercampur menjadi 1, tetapi bahkan penyatuan dan perpaduan mereka umpama ABC cable tadi; mereka menyatu sebagai 1 bundled cable, tetapi masing-masing membawa "fasa elektrik" masing-masing.

Atau, ketika An-Nabi SAW mengistiharkan negara islam Madinah. Biarpun umat Islam pada ketika itu merupakan umat yang satu, tetapi masih ada yang kita panggil sebagai golongan Muhajirin, masih ada yang kita kenali sebagai golongan Ansar. Tetapi yang menariknya lagi, mereka tidak dikenal berdasarkan "nasionality" atau "bangsa" mereka. Mereka tak disebut sebagai golongan Makiyyun dan Yathribun atau Madaniyyun. Sebaliknya mereka dipanggil berdasarkan "jasa", sumbangan dan pengorbanan mereka: yang satu jasa hijrah mereka. Yang satu lagi jasa pertolongan dan bantuan mereka. Maka kenapa kita pula pada hari ini, masih mengajak kepada ketaksuban kepada sesebuah bangsa?

Lalu yang mengikat mereka bukanlah dengan melupakan asal-usul mereka, grass root mereka. Kita bahkan tidak hendak penyatuan dan perpaduan itu apabila orang cina harus memakai nama Melayu dan melupakan langsung bahasa dan kebudayaan orang cina. Kita tidak mahu penyatuan dan perpaduan itu apabila orang india harus suka makan budu dan sambal belacan seperti orang-orang Melayu. Tetapi yang sepatutnya kita mahukan, adalah penyatuan dan perpaduan berlandaskan resepi daripada Al-Quran, yakni ketika yang menyatukan kita semua, adalah konsep rahmah dan kasih-sayang daripada Tuhan.

Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.
(Surah Hud [11]:118-119)

Maka lihatlah formula yang diguna pakai umat pada hari ini. Seruan-seruan menyeru kepada "Melayu", ternyata menjauh dan menjarakkan lagi masyarakat bukan Islam bukan Melayu negara ini. Lihatlah ketika gerakan Islam merasakan betapa hanya mereka sahajalah yang layak berada di muka bumi Malaysia ini. Bukan sekadar konsep fastabiqul khairat yang diserukan oleh Quran ternafi, malah gerakan mereka menjadi seperti "sebuah agama": tidak boleh wujud dan lahir gerakan Islam selain daripada mereka. Sedangkan jika itulah formula yang diguna pakai, sepatutnya dalam urusan feqah yang lebih kritikal kerana melibatkan halal-haram, dan sah-tak sahnya ibadah kita, lebih patut hanya boleh wujud 1 mazhab feqah semata-mata.

Ada mazhab yang kata makmum dalam solat Maghrib misalnya, tidak perlu membaca Fatihah, kerana kita harus mendengar dan meneliti bacaan imam. Tetapi mazhab yang dianuti dan dipegang oleh mazhab kita pula mengatakan sebaliknya; jika makmum tidak membaca Fatihah, maka tidak sahlah solatnya tadi. Nah, maka apakah kewujudan Mazhab Syafi'i selepas kemunculan Mazhab Maliki misalnya, menjadikan Syafi'i terkeluar daripada Islam?

Inilah akibatnya jika kesatuan dan perpaduan itu, disalah fahami konsepnya. Maka marilah belajar daripada ABC cable: biar apa pun mazhab anda, kita adalah umat yang satu. Ambillah ibrah daripada ABC cable: biar apa pun jemaah atau gerakan dakwah anda, kita boleh bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati, dan berlapang dada dan saling maaf-memaafkan dalam hal yang tidak kita sepakati. Kerana jika bercampurnya fasa-fasa elektrik yang berlainan, malah akan mengakibatkan terjadinya litar pintas!


Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Kerteh, Terengganu



Thursday, November 26, 2015

RCA


"Daging-daging dan darah-darah (binatang korban) itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah taqwa dari kamu semua. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang berbuat ihsan."
(Surah Al-Haj [22]:37)

Setiap menjelangnya sambutan Aidil Adha, saya akan segera teringatkan firmanullahi Ta'ala di dalam ayat Al-Quran yang di atas ini. Ayat yang sebegitu indah, yang berbicara tentang hal yang berhubung kait dengan hal ehwal sambutan Aidil Adha kita, namun begitu ianya dihayati, begitu ianya dicermati, ternyata bisa menyampaikan kita ke sudut pandangan yang berbeza berbanding sesebelum ini.

Bukan tidak perlu untuk kita menumbangkan binatang ternak sebagai memenuhi salah satu syiar ibadah korban. Bukan juga bererti mereka-mereka yang menunaikan ibadah korban ini sia-sia amalan dan perbuatan mereka. Tetapi, ternyata yang dikehendaki oleh Allah Tabaraka wa Ta'ala adalah supaya hamba-hamba-Nya menepati dan menghayati tujuan essential ibadah itu yang sebenarnya.

Seperti itu jualah tatkala Dia berbicara tentang solat. Bukan tidak penting solat itu berkiblatkan ke Baitullah di Mekah. Malah solat dengan mengahadapkan wajahmu ke Ka'bah, bahkan merupakan salah satu syarat sah dalam menggapai kesempurnaan ibadah solah. Sungguhpun yang demikian, apalah ertinya pelakuan solat itu, andainya end result yang terhasil begitu selesai menunaikan ibadah solat, adalah sebuah perbuatan yang belum mampu terhindar daripada nilai fahsya' dan munkar, sedangkan bukankah ibadah solah itu antara lain bermatlamatkan terhindarnya fahsya' wal munkar?

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan (sesungguhnya) mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah Al-Ankabut [29]:45)


"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa."
(Surah Al-Baqarah [2]:177)

Saudaraku,

Hal ini memperingatkan saya tentang ilmu Root cause Analysis, atau singkatannya: RCA. Contoh penyelesaian masalah menggunakan kaedah Root Cause Analysis ini adalah seperti berikut: bayangkan anda sedang memandu kereta. Tiba-tiba, anda baru sedar bahawa meter minyak kereta anda sudah menghampiri empty. Apakah yang akan anda lakukan?


Tentunya, anda akan cepat-cepat ke stesyen minyak bagi mengisi minyak kereta anda. Di stesyen minyak, anda kemudiannya membenarkan kereta anda "menjamah" minyak "dengan "lahapnya" (a.k.a., isi minyak penuh daa…) Anda lalu menyambung perjalanan anda. Tiba-tiba, baru sekitar 50km, kereta yang telah anda benarkan untuk melahap minyak sehingga penuh tadi, meter minyaknya kembali menunjukkan menghampiri empty sekali lagi. Nah, apakah yang akan anda lakukan sekarang?

(cadangan jawapan:

a.        Menasihati kereta anda jangan menjamah minyak dengan lahap
b.        Memarahi pengusaha stesyen minyak itu kerana minyak yang dijualnya tiada barakah, hingga cepat bebenor minyak yang anda isi di stesyennya tadi habis
c.        Pergi ke stesyen minyak yang berdekatan lalu isi minyak hingga penuh lagi sekali)

Nah, mana satukah jawapan pilihan dan pojaan hati anda?

Jika anda telah memilih salah satu jawapan yang terhidang dan dicadangkan di atas, bererti anda sebenarnya tidak menyelesaikan masalah. Adapun meter minyak yang menghampiri empty itu sebenarnya adalah symptom kepada masalah, bukannya masalah sebenar atau root cause kepada persoalan di atas. Nah, apabila root cause sebenar gagal dikenal pasti dan gagal diatasi, masalah sebenar tidak dapat diselesaikan, lalu anda akan berdepan risiko masalah yang sama berulang kembali.

Mungkin barangkali masalah sebenar atau root cause kepada scenario di atas adalah tangki minyak kereta anda bocor misalnya, lalu simpton yang berakibat daripada masalah tersebut adalah meter minyak dengan pantasnya menghampiri empty. Nah, selagi masalah tangki minyak ini tidak diatasi, sekadar mengisi kembali minyak ke dalam kereta anda justeru tidak menyelesaikan masalah, kerana anda sekadar tackle simpton kepada masalah sebenar, tetapi bukan persoalan atau punca sebenar kepada masalah yang di atas.

Saudaraku,

Selain persoalan penyembelihan binatang korban serta solat menghadap kiblat yang disebutkan tadi, Allah Azza Wa Jalla turut menyatakan ibadah-ibadah lain sebagai proses untuk mendapatkan taqwa. Misalnya, ketika Dia berbicara tentang ibadat puasa, Al-Quran Al-Karim merakamkan betapa ibadah puasa itu sebagai sebuah wasilah demi mendapatkan taqwa.

Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa"
(Surah Al-Baqarah [2]:183)

Nah, ternyata yang namanya ibadat itu, seperti solat, puasa, korban dan lain seumpanya, atau dalam lain istilah bisa kita sebut sebagai syariat, sungguh pun penting tetapi ternyata yang terlebih penting adalah tercapainya objektif, matlamat atau maqasid segala ibadat itu, yakni taqwa.

Dan orang yang bertaqwa, tentunya merupakan orang-orang yang menjauhi sifat suka memandang rendah orang lain, melekehkan orang, memfitnah orang, mem"barua"kan orang, mencop orang munafiq haraki dan lain-lain perkataan yang tidak selayaknya keluar dari mulut para muttaqin.

Sabda An-Nabi SAW:



Nah, kalau syariat itu proses, sedang ketaqwaan itu merupakan output atau matlamatnya, maka bukankah perundangan islam itu merupakan sebahagian daripada syariat (yakni proses), bukannya matlamat? Dan bukankah melahirkan individu-individu muslim yang memenuhi ciri-ciri taqwa itulah yang sebenarnya merupakan matlamat, maka mengapa pula ianya bahkan diabaikan oleh generasi aktivis Islam pada hari ini?

Bersempena kedatangan Aidil Adha yang mulia ini, mari kita kembali menginsafi diri kita, dan menghiasi diri kita dengan kerendahan hati dan ketawadhukan jiwa, sambil "mengorbankan" keegoan kita dan bahkan menyembelih mati keegoan kita itu, hingga tiada lagi hijab yang menutupi mata hati kita daripada melihat root cause sebenar kepada mundur dan terkebelakangannya umat kita dewasa ini. Terbelakangnya Islam pada hari ini tidaklah disebabkan oleh "musuh di luar" umat kita semata-mata, bahkan sering berpunca daripada sikap dan kelakuan diri kita sediri, dek kegagalan kita melihat pokok permasalahan umat Islam, sebaliknya berlegar semata-mata kepada simpton semata-mata. Kita berlebih-lebihan pada proses (syariat), sebaliknya mengkesampingkan matlamat (akhlaq) hingga keindahan Islam terhijab daripada sudut pandangan umat-umat yang lain. Moga Allah membantu kita semuanya…

Wednesday, October 21, 2015

[JOM]: Substation

Tadabbur al-Engineer

SUBSTATION

Substation adalah "node" atau "terminal" yang di menghimpunkan bekalan tenaga elektrik daripada power plant-power plant, dan kemudiannya diagih-agihkan, di sebar-sebarkan ke serata tempat, ke seluruh pelosok tanah air, untuk kegunaan harian manusia sejagat. Yang lebih menariknya ialah, substation mengagih-agihkan bekalan tenaga elektrik itu ke dalam "kuantiti" yang bersesuaian seperti yang diperlukan oleh para pengguna di hujung sana.

Lalu, substation itu barangkali bolehlah diumpamakan seperti para sahabat , tabi'in dan tabi' tabi'in, yang menerima hidayah daripada "power plant" bernama Quran dan sunnah, dan kemudiannya menyebar luaskan kebaikan, hidayah dan manfaah yang diperolehinya kepada manusia sejagat. 


Saudaraku,

Yang namanya Muslim itu, ia harus jadi seperti substation. Ingat, biarpun substation menerima bekalan manfaah tenaga elektrik secara direct, secara terus daripada power plant, tetapi ia justeru tidak "bolot" manfaah kebaikan itu sorang-sorang. Ia bahkan memposisikan dirinya persis hadithnya baginda Nabi SAW, berkenaan manusia yang terbaik dan yang paling dicintai oleh Tuhan:

Dari Ibnu Umar bahwa seorang lelaki mendatangi Rasulullah Shallallahualaihiwassalam dan berkata,"Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling diicintai Allah ? dan amal apakah yang paling dicintai Allah swt?" Rasulullah Shallallahualaihiwassalam menjawab,
"Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia..." (HR. Thabrani)
Hadits ini dihasankan oleh Syeikh al Albani didalam kitab "at Targhib wa at Tarhib" (2623)

Substation adalah bentuk simbolik dalam bidang kejuruteraan bagi analogi-analogi lain yang sering disebut-sebut oleh manusia sejagat. Kita biasa dengar perumpamaan "umpama lilin yang membakar dirinya buat menerangi hidup orang lain", maka sebegitu jugalah dengan substation. Cuma, ia tidak sampai membakar dirinya –dek kerana sedar di dalam maqasid syariah, memelihara diri adalah wajib- namun ia tetap berjuang dan berkorban, demi memberikan rahmah dan manfaah buat orang lain. Nah, bukankah substation itu lebih Islamik?

Di dalam analoginya Ar-Rasul, An-Nabi Al-Musthofa membayangkan orang-orang mukmin itu umpama lebah. Sabda Nabi SAW:

"Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merusak atau mematahkan (yang dihinggapinya)." (Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar)


Bukankah substation turut mengambil hal-hal yang baik, yang bersih, iaitu tenaga elektrik daripada power plant? Dan bukankah substation itu bahkan menukarkan tenaga elektrik yang ia perolehi tadi kepada bentuk yang bersesuaian untuk kegunaan manusia? Ini semua untuk mengelakkan tenaga elektrik yang ia hantar tadi "merosak" dan "mematahkan" para pengguna dan perkakasan elektrik yang diguna pakai oleh mereka. Nah, bukankah ini ertinya, sang substation menghantarkan kebaikan kepada manusia?

Firman Allah Ta'ala berkenaan lebah ini:

"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: "Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia". kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan."
(Surah An-Nahl [16]:68-69)

Nah, ini bererti, yang namanya Muslim, yang namanya Mukmin, dan yang namanya agama yang mereka anuti itu –yakni Islam- tidak lain melainkan sebuah agama yang bukan sekadar menjadi rahmah sesama mereka, bahkan menjadi rahmah kepada dunia, bahkan menjadi rahmatan lil ‚alamin! Ini sesuai dengan Firman Allah:

"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."
(Surah Al-Anbiya' [21]:107)

Saudaraku,

Apakah Non-Muslim merasa takut, terancam atau tergugat tatkala mereka hendak meminum madu, walhal madu itu diperoleh melalui lebah, yang mana menghasilkan madu itu pun melalui wahyu Tuhannya? Atau Non-Muslim merasa takut untuk menggunakan tenaga elektrik, selepas membaca analogi saya tentang substation itu seumpama orang Mukmin?

Maka bagaimanakah mungkin Islam yang diperjuangkan oleh sesetangah pihak, bahkan kelihatan sangat menakutkan di mata Non-Muslim? Seolah-olah Islam dan Muslim itu, bukan umpama madu yang menyembuhkan, tetapi bahkan seumpama racun yang mematikan?  

Benarkah Islam sentiasa melaungkan ancaman-ancaman kepada Non-Muslim, sama ada namanya ugutan mahupun siku-lutut, atau Islam yang sepatutnya adalah sebuah ajaran yang damai, sejahtera dan bakal membawa kebahagiaan kepada umat manusia? Benarkah Islam adalah sebuah agama yang memaksakan kehendaknya diikuti dan ditaati oleh Non-Muslim, atau sebenarnya ia mengajarkan toleransi dan kefahaman, sehingga Non-Muslim bahkan terpikat untuk bernaung di bawah ajaran dan keadilannya?

Marilah kita jadi umpama substation, jangan jadi seperti kilat yang bahkan menjahanamkan perkakasan elektrik rumah. 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"



Wednesday, September 9, 2015

[JOM]: MENARA ELEKTRIK

MENARA ELEKTRIK

Benar, elektrik daripada generation side (power plant) disalurkan (transmission) sebelum diagihkan kepada para pengguna di distribution side melalui perantaraan konduktor elektrik (bahasa teknikalnya memang conductor, biarpun orang-orang biasa sering merujuknya sebagai cable. Malah, terdapat perbezaan sebenarnya di antara istilah conductor dan juga cable yang tentunya tidak akan dan tidak perlu dibahaskan di sini). Tetapi, biarpun begitu, transmission itu sendiri tidaklah dibina oleh satu "golongan" sahaja iaitu golongan konduktor, tetapi ia juga harus diadun dipadu oleh "golongan" yang lain, termasuk OPGW, termasuk insulator, dan tentunya, termasuklah juga tower atau kita yang biasa makan belacan ini menyebutnya "menara elektrik." Barulah transmission system ini akan lengkap. Hasil kesepaduan ini pula, tidaklah bererti kita menolak "kepimpinan konduktor", atau jauh sekali kita ini "anti konduktor", malah adalah sebuah fitnah yang besar jika andainya kita dituduh sebagai "boneka civil engineering," kerana menara elektrik itu adalah "bahannya" para jurutera awam dan langsung tidak ada kena mengena sebenarnya dengan dunia elektrik. Namun, begitulah akal yang waras akan nampak betapa kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang memusnahkan, malah kepelbagaian inilah yang menyempurnakan malah menjayakan sistem transmission kuasa elektrik ini.

Maka, di bulan Jun yang panas ini (artikel ini ditulis di dalam bulan Jun), izinkan saya bercerita tentang menara elektrik. Mohon, janganlah ditanggapi bahawa saya sudah hilang wala' dengan dunia keelektrikan. Mohon sekali lagi. Kerana "isi hati" dan "perasaan" menara elektrik ini harus kita sulami dan kita hargai juga, kerana hakikatnya ia juga sebahagian daripada "ummah transmission" ini, biarpun ianya mungkin tidak berasal daripada Hawaii. Atau kalau lawan bola bakal kalah teruk 5-0.

Ada banyak hal yang harus kita contohi daripada menara-menara elektrik. Kerana ia dan "keluarganya" di kalangan transmission, adalah yang paling terdedah kepada ancaman-ancaman yang disajikan alam, dibandingkan dengan peralatan-peralatan elektrik di dalam "pakatan" elektrik yang lain, baik dalam keluarga generation mahupun dari keluarga distribution. Maka, ia harus berhadapan dengan ribut taufan, kilat sabung-menyabung, juga panas teriknya mentari. Dan habuk lumpur persekitaran. Ertinya, sang menara elektrik –juga keluarganya- adalah yang paling hebat "diuji". Namun, ia tetap tegar dan teguh dalam berdiri.

Saudaraku,

Kita juga terkadang, harus seperti menara elektrik. Terutamanya saat berhadapan dengan ujian. Terutamanya saat berhadapan dengan dugaan. Terutamanya saat berhadapan dengan cemuhan. Keteguhan, ketegaran dan kecekalan para menara elektrik, adalah yang membolehkan para konduktor elektrik, untuk menyampaikan tenaga elektrik kepada umat manusia sejagat. Maka mereka tentunya turut berjuang turut berkorban sama banyaknya –jika tidak lebih- dengan lilin yang sering dianalogikan menyumbang buat umat dengan membakar dirinya. Apatah lagi ahli pasukan Allah; Hizbullah, adalah mereka yang memang tidak boleh tidak, pasti akan berhadapan dengan cemuhan, pasti akan bertembung dengan hinaan. Namun, yang menjadikan mereka para Hizbullah, adalah kerana mereka tidak pernah takut, tak pernah gentar, untuk berhadapan dengan semua itu saat menghadapi perjuangan.
"Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al-Maidah [5]:54)

Mereka -para menara elektrik- kelihatannya unik sekali. Terkadang kelihatannya seolah bersendirian, sedang hakikatnya mereka tidak mungkin bersendiri, kerana proses penghantaran bekalan elektrik memerlukan kerjasama berpasukan (jamaah) diantara banyak menara elektrik. Tetapi terkadang bila kita melihatnya "berjemaah", hakikatnya ia bersendiri. Stand alone. Dan sebeginilah seharusnya seorang mukmin.

Ayat-ayat Al-Quran, sering menyebutkan elemen-elemen jihad, amal soleh dan lain sebagainya, selain orang-orang mukmin atau soleh atau muttaqin atau kafir, dalam bentuk jamak, yakni plural. Pengajarannya, agama yang suci ini menceritakan tentang peri-pentingnya kerja sepasukan. Amal jama'ie. Namun, pada masa yang sama, setiap individu yang menjadi batu-bata kepada bangunan Islam ini, kepada bunyanul marsus ini, harus mampu berdiri sendiri, stand alone, seumpama setetes sirap di dalam segelas air: ia mampu mewarnakan air yang jernih itu, bukan ikut hanyut dengan persekitaran dan orang-orang sekelilingnya! Dan inilah yang kita sering namakan sebagai tarbiyah dzatiyah!

Kerana andainya para pejuang Islam tidak punya kemampuan untuk stand alone, buntu tatkala bersendirian, maka ia akan mudah futur, mudah gugur, atau terus berputus asa lalu tumbang, sambil membawa bersamanya "konduktor elektrik" lalu terputuslah penghantaran elektrik secara keseluruhan. Lihatlah ketegaran para ibadur Rahman tatkala mereka disapa, dikhutbah, dilecture oleh orang-orang Jahil, yang sememangnya hobi mereka menuduh, memfitnah dan mencela, tanpa pernah bercermin kepada dirinya sendiri:

"Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik."
(Surah Al-Furqan [25]:63)

Ini kerana, para menara elektrik itu berjiwa besar, dan tidaklah hidup semata-mata untuk dirinya semata. Dengan ketinggiannya yang menjulang ke langit, ia gunakan untuk melihat permasalah umat dari birds eye view, bukan pandangan mata manusia-manusia kerdil yang berada di atas tanah, dan tidaklah melihat kehidupan melainkan berkisar tentang diri mereka semata-mata.

Lihatlah keterbukaan menara elektrik ini, menebarkan tangannya, seakan-akan sentiasa mengalu-alukan manusia-manusia untuk bersama-samanya dalam keluarga  besar umat Islam ini. Dan adat orang yang membuka tangan, tentunya akan banyak bersabar, dan meraikan kepelbagaian manusia-manusia yang "masuk" ke dalam dakapannya. Kerana dakapan ini adalah dakapan kasih sayang. Dakapan ini adalah dakapan mengalu-alukan. Dakan ini adalah dakapan ukhuwah dan persahabatan. Bukan dakapan penuh kebencian, yang pantas melabel-label mereka yang tidak sependirian, atau pantas menghalau orang daripada perkumpulan, seolah-olah Syurga is not big enough for the two of us (slogan femes dalam cerita-cerita koboi sebelum bermulanya dual para koboi).

Menara yang menjulang tinggi itu tidaklah mendongak ke langit, bahkan senantiasa merendah diri, kerana bahagiannya yang tertinggi pun adalah kabel bumi (OPGW). Seakan ia mendengar pesanannya Luqmanul Hakim:

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri"
(Surah Luqman [31]:18)

Apakah kita setegar para menara elektrik itu?


Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"


Monday, August 3, 2015

[JOM]: OPGW

Transmission tower (menara elektrik) mempunyai 6 "tangan". 3 di kiri, dan 3 di kanan. Ini bererti ia membawa 2 litar elektrik, masing-masing 1 di kiri dan 1 di kanan. Untuk memudahkan pemahaman, katakanlah "tangan" kanannya membawa litar elektrik untuk bandar Putrajaya, manakala litar di "tangan" kirinya pula untuk membekalkan bandar Cyberjaya. 


Sekarang anda akan bertanya pula, kenapa satu litar ada 3 tangan? Jawapan ringkas, kerana litar elektrik pada "maqam" yang tinggi, berada dalam keadaan 3-fasa. Adapun litar elektrik pada tahapan atau maqam yang rendah, seperti litar elektrik di rumah kita, hanyalah 1-fasa. Mungkin lain kali pula kita diskusikan perihal 3-fasa ini, tetapi untuk sementara waktu, cukuplah untuk kau mengerti bahawa transmission line ini, kerana ia berada di ruangan yang outdoor, yang terdedah kepada panas hujan ribut petir ini, harus teguh dan tegar sehebat "abang long" kawasan. Barulah 3-line!

Sekarang, masalahnya ialah ketika hujan. Kilat sabung-menyabung. Cubalah bayangkan betapa dahsyatnya musibah yang bakal menimpa, andainya kilat tiba-tiba menyambar talian elektrik berVoltan tinggi ini. Apalah harapan penduduk, yang amat memerlukan tenaga elektrik buat mereka meneruskan dan melayari samudera kehidupan.

Tentang peri-pentingnya elektrik ini di dalam kehidupan, saya umpamakan seperti peri-pentingnya kuasa "ukhuwah" di dalam kehidupan. Tanpa ta'awun bil birr wa taqwa ini, kedudukan Islam tidak akan gah, bahkan semakin lambatlah untuk dakwah islamiyah mencapai kejayaan. Maka "tenaga ukhuwah" inilah formula kejayaan, persaudaraan islamiyah inilah rahsia keagungan. Firman Allah:

"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat"
(Surah Al-Hujurat [49]:10)

Namun, tenaga ukhuwah ini terdedah kepada kilat, dan kilat ini saya umpamakannya sebagai hasad. Seperti bahayanya talian elektrik disambar kilat, sebegitu jugalah bahaya ukhuwah Islamiyah jika disambar hasad. Segala gelaran buruk seperti "jebon", "munafiq haraki", liberal, boneka  dan sebagainya, akan pantas dituduhkan hingga bisa menjahanamkan nilai dan harga sebuah persaudaraan. Kerana itu baginda Ar-Rasul bersabda:

"Telah menular (yakni, merebak) penyakit di kalangan kamu penyakit umat-umat yang terdahulu, iaitu (penyakit) 'hasad dan dengki', ia (yakni, 'hasad dengki' itu) pencukur; bukan aku berkata 'pencukur rambut', dan akan tetapi pencukur ugama (yakni, mencukur pahala segala amalan dan ibadah)".


Lalu, bagaimana harus transmission line mahu melindungi "tangan-tangan" yang menyebar tenaga persaudaraan ini? Jawapannya, lihatlah kembali transmission tower tadi. Bukankah ia punya "tanduk", dan setiap tanduk itu ada sebuah wayar halus, yang lebih kecil saiznya berbanding wayar-wayar elektrik 3-fasa tadi? Nah, inilah yang kita panggil sebagai Ground Wire atau Earth Wire.

Daripada namanya, bukankah sepatutnya earth atau ground berada di bawah? Nah, bagaimana ia boleh "naik ke atas", lebih meninggi kedudukannya berbanding wayar elektrik? Jawapannya, biarpun bumi itu sifatnya di bawah, tetapi tenyata ketika ia berada "paling atas" dalam transmission line, ia "berjiwa besar" dengan memainkan peranan "menundukkan kilat" dan membawanya menyembah bumi.

Maka seperti ground wire ini, manusia harus siap tunduk pada segala ketentuan Allah dan Rasul-Nya, melebihi pandangan mahupun pendapatnya sendiri. Hanya dengan cara inilah, ukhuwah islamiyyah dapat diselamatkan.

Maka tidak hairanlah, "di atas" ayat berkenaan ukhuwah di dalam ayat ke-10 Surah Hujurat tadi, Allah SWT memperingatkan manusia agar tunduk, dan jangan mendahului Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al-Hujurat [49]:1)

Tapi, teknologi terkini telah memperkasakan ground wire dengan fungsi tambahan. Ground wire dewasa ini diperbuat daripada optic fiber, hingga menyebabkan ground wire pada transmission line kini dikenali sebagai Optic Fiber Ground Wire atau ringkasnya; OPGW. Dan oleh kerana ianya fiber optic, maka tentunya OPGW ini mampu menyampaikan dan menghantar maklumat. Nah OPGW kini, selain berfungsi sebagai grounding untuk memelihara transmission line daripada kilat, turut berperanan menyampaikan maklumat, atau dalam lain  perkataan communication di antara satu substation dengan substation yang lain. 


Lihatlah betapa pentingnya komunikasi ini, sehingga Al-Quran memperingatkan akan pentingnya memelihara daripada berlakunya communication breakdown ini. Firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
(Surah Hujurat [49]:6)

Cukuplah ukhuwah itu tercedera, dek sikap manusia yang melebihkan pandangan dan seleranya berbanding panduan dan ketetapan yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah? Cukuplah ukhuwah itu mereput, dek sikap manusia yang melupakan betapa pentingnya memelihara diri daripada communication breakdown?

Nah, untuk memastikan ukhuwah itu terpelihara, tundukkanlah dirimu jangan sampai mendahului Allah dan Rasul (ayat 1) dan pastikan tidak berlakunya communication breakdown (ayat 6). Ternyata, OPGW ini berada di atas tranmission line bernama ukhuwah (ayat 10). 

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"



Sunday, July 26, 2015

[JOM]: KILAT

Sebelum ada di kalangan kita yang mengambil keputusan untuk memasang lightning conductor di rumahnya, atau di bangunan pejabatnya, atau pada lain-lain premis miliknya, ada baiknya kitia tahu dahulu sifat dan ragam lightning yakni kilat dan "sambarannya" yang begitu membimbangkan kita. Di sana, harus ada ke"faqihan" dalam memahami, menyimpulkan dan meng"istinbat hukum" daripada eksperimen dan ujikaji yang pernah dilakukan oleh seorang Benjamin Franklin, terkait hal-ehwal empunya diri yang bernama "kilat".

Pada suatu hari, dalam gelapnya hujan dan kelamnya awan, sambil kilat bersebaran sahut-menyahut, Benjamin Franklin menerbangkan layang-layang buatannya di tengah-tengah padang lapang nan luas. Tidak lama, kilat pun menyambar layang-layangnya Franklin itu. Dan kalendar yang tercatatkan tahun 1752, 10 Jun tepatnya, menjadi saksi akan kebenaran teori Benjamin Franklin, iaitu kilat mempunyai sifat-sifat keelektrikan. 


Mungkin ada yang membuat kesimpulan, bahawa kilat itu sifatnya menyambar apa-apa sahaja. Sembrono. Mungkin hari ini kau, mungkin esoknya aku. Dan pada eksperimennya Benjamin Franklin itu, terdampar ibrah yang sememangnya menakutkan: kalau bahan sekecil layang-layang pun "dibaham tanpa belas" oleh sang kilat, maka apa lagi bangunan besar, menara gagah, atau diri manusia? Nah, pemahaman inilah yang perlu kita perbetulkan.

Kami para electrical engineer mempelajari, bahawa yang namanya kilat, sifatnya tidaklah menyambar apa sahaja. Sungguh pun tidaklah kita nafikan ia bisa menyambar hatta insan kerdil yang berada di jalanan, tetapi secara teori, ketika kita hendak mendesign sistem perlindungan daripada kilat, teori keengineeringan mengatakan: kilat akan menyambar struktur tertinggi sesebuah kawasan, dan keduanya, kilat turut mensasarkan struktur yang tajam seperti antenna, puncak menara dan lain sebagainya.

Saudaraku,

Mari kita berlindung kepada Allah daripada ancaman dan bahayanya kilat. Dengan Voltannya yang maha tinggi dan kelajuannya yang teramat pantas, ia bisa membinasakan apa sahaja yang sanggup disambar olehnya. Apalah daya insan kerdil seperti kita, andainya kitalah "struktur tertinggi" atau "struktur paling tajam" di dataran atau lapangan padang yang luas. Itulah sebabnya, kedaan persekitaran yang gelap, kilat sabung-menyabung, guruh berdentum seakan melepaskan amarah, adalah persekitaran yang seharusnya menimbulkan keinsafan dan kekerdilan di dalam diri mahkluk bergelar insan.

Saudaraku,

Berapa banyak ayat-ayat Al-Quran, yang menganjurkan kita untuk mengadakan perjalanan di muka bumi, guna memerhatikan akibat yang telah menimpa kaum-kaum yang mendustakan Allah sebelum kita. Mereka "tajam" dalam berinteraksi dengan Allah, lalu sepantas kilat jugalah Allah kemudiannya membinasakan mereka. Syukur, kita umat Nabi Muhammad SAW, dijauhkan daripada pembinasaan dan penghancuran sebegitu rupa, seperti yang pernah menimpa umat-umat sebelum daripada kita, misalnya kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Lut, atau kaum Nabi Shalih, Firaun di zaman Nabi Musa, dan lain-lain lagi yang "tajam" dalam hubungan pengabdian dirinya kepada Allah Yang Maha Kuasa. Mereka (yakni kaum yang mendustakan Allah) menyangka "ketajaman" mereka bisa menghancurkan agama ini, sebaliknya ke"tajaman" mereka itu bahkan menghancur, menikam, merobek dan membinasakan diri mereka sendiri. "Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya, biarpun orang-orang Kafir tidak menyukai akan hal itu."

Maka, janganlah kita bersikap "tajam" dengan Allah, seperti yang pernah dilakukan oleh seorang Namrud, raja di zaman Nabi Ibrahim Alaihissalam, yang mahu mengisytiharkan perang dengan Allah, namun akhirnya, ke"tajaman"nya itu cukup untuk ditumbangkan oleh tentera Allah yang kecil dan kerdil, di kalangan nyamuk sahaja. Janganlah kita seperti tentera samsengnya Abrahah, yang konon dengan tentera bergajah yang gagah, akan tampil pasukan yang tak terkalahkan. Lalu Allah membolak-baliknya perancangannya, lalu tampillah Special Force burung Ababil, seraya mengirimkan "batu cinta dari Neraka" buat dia dan tenteranya. 


Nah, sikap "tajam" terhadap Allah mungkin tidak kita yang Muslim melakukannya, tetapi sering di kalangan kita, memilih sikap "tinggi" dalam berinteraksi dengan manusia lainnya. Kita rasa kitalah "bangunan yang paling tinggi" di kalangan hamba-hamba-Nya, lantas memandang rendah hingga memperlekeh manusia-manusia yang lainnya. Kita rasa kitalah yang paling baik misalnya, kerana kita merupakan da'ie dan murabbi agung yang petah dalam berbicara. Atau, kitalah yang harus memimpin ummah ini lantaran degree dan kelulusan kita dalam bidang agama menjadikan kita calon terbaik untuk memimpin manusia sesuai slogan kepimpinan ulamak yang kita laung-laungkan. Atau, kitalah yang paling banyak amal ibadahnya di kalangan manusia, hingga melayakkan kita duduk di maqam para wali Allah yang begitu dekat dengan-Nya.

Ewah…. Mungkin kita lupa bahawa bangunan atau struktur yang tinggi itulah, yang "menarik perhatian" sang kilat untuk disambar seterusnya dibinasakan. Mungkin kita sudah lupa betapa kisah pengingkaran dan penderhakaan yang pertama terhadap Tuhan, dilakukan oleh mahkluk yang asalnya lebih "tinggi" berbanding kita: seorang ahli Syurga, Iblis namanya. Lihatlah, kerana ketinggiannya itulah yang kemudian membinasakannya.

Yang menjadikan insan itu tinggi, adalah tatkala Allah Azza Wa Jalla yang meninggikan darjatnya. Dan yang membuatkan insan itu justeru terhina hakikatnya, tatkala ia perasan ia tinggi, atau cuba mengangkat martabat dirinya. Maka di sana, hadith Qudi mengingatkan;

"Kebesaran adalah kain sarung-Ku dan kesombongan adalah kain selendang-Ku. Barangsiapa melawan Aku pada keduanya, nescaya Aku menghancurkannya."

Kata Said Hawa di dalam karyanya Tazkiyatun Nafs, hal-hal yang menjadikan manusia itu perasan tinggi tidaklah terhad kepada nasab keturunan, kecantikan, harta kekayaan, keperkasaan dan kekuatan dan lain-lain hal yang sering memuliakan manusia secara indrawi, tetapi bahkan hal-hal yang sepatutnya mendekatkan manusia kepada agama, iaitu ilmu pengetahuan, dan amal ibadah. Bahkan, Said Hawa menyebut kedua hal ini terlebih dahulu sebelum berbicara hal-hal yang lainnya!

Bercerminlah kepada salafus salih yang sentiasa merendah dan melihat diri mereka rendah, sebelum kemudiannya Allahlah yang meninggikan darjat dan nama mereka. Imam Nawawi rahimahullah misalannya. Tidak sedikitpun tergiur dengan gelaran Muhyiddin (yang menghidupkan agama) yang diberikan kepadanya. Bahkan, sahih daripada dirinya bahawa dia bahkan mengatakan; "aku tidak menghalalkan siapa pun yang menggelariku sebagai "orang yang menghidupkan agama"." Namun, Allah tetap memunculkan gelaran ini untuknya, harum mengabadi namanya. Benarlah sabda Ar-Rasul SAW nabi junjungan,

"Tidaklah seseorang bertawadhu' merendah kerana Allah, melainkan Allah (pasti) meninggikan (darjatnya)."
(Riwayat Muslim, Tirmidzi, Ahmad dan Ad-Darini)

Maka berlindunglah kepada Allah daripada sikap "tajam" dalam adab-sopan beragama, dan "tinggi" dalam pergaulan sesama manusia, agar kita tidak mengulangi kesilapan Iblis sang mantan ahli Syurga, yang 2 sifat itu kemudian menyesatkannya.

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"



Friday, May 29, 2015

[JOM]: LIGHTNING CONDUCTOR


LIGHTNING CONDUCTOR
Di Amerika dan Australia, mereka memanggilnya lightning rod. Di U.K, mereka memanggilnya lightning conductor. Di Malaysia, saya pun tak tahu kita memanggilnya apa. Sebab, orang-orang kita ghairah bebenar nak menyebut sesuatu perkara itu menggunakan bahasa omputih, kerana konon speaking itu cool, walaupun terserlah keMelayuannya dek mulut yang berbau budu dan sambal belacan.

Pokoknya, lighning conductor (bisa juga disebut lightning rod, seperti yang telah diterangkan tadi) adalah satu rod atau konduktor yang dipasang di atas sebuah bangunan atau menara, lalu disambungkan ke bumi menggunakan kabel pembumian. Ia dipasang, kononnya untuk melindungi bangunan itu daripada merasakan akibat panahan petir. Secara teori, begitu kilat mencari mangsa untuk disambar, ia akan menyambar lightning conductor berbanding memanah sang bangunan, yang bisa menyebabkan kebakaran berlaku, atau komponen-komponen elektronik yang terpasang pada sistem pendawaian bangunan itu seperti lampu, computer, televisyen dan sebagainya meletup. Konon, Benjamin Franklinlah yang mengilhamkannya pada tahun 1749, manakala Prokop Divis pula memperkenalkannya di Eropah pada tahun 1754. Rujuklah Encik Wikipedia, atau bergurulah dengan Syeikhul Google jika anda tidak percaya, atau masih dalam sebuah keraguan.

Saudaraku,

Kilat adalah satu fenomena alam yang kaya dengan tenaga elektrik. Cumanya, tenaga elektrik yang dimiliki oleh sang kilat adalah pada kapasiti yang sangat tinggi, dengan Voltan yang teramat tinggi, serta Arus yang maha tinggi. Ianya menjadi malapetaka bagi siapa yang terkena panahannya, seperti mana merananya Syaitan demikian merasakan penangannya.

Dikisahkan bahawa sebelum kerasulan Nabi SAW, Syaitan bebas mencuri dengar segala berita di langit. Namun, semuanya terhalang setelah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, lalu Iblis pun mengarahkan tenteranya mencari sebab kenapa mereka terhalang. Akhirnya mereka mendapati bahawa puncanya adalah kebangkitan Rasul akhir zaman. Nah, jika dahulu mereka bebas mencuri maklumat, kini mereka berdepan dengan lontaran panahan petir yang sentiasa mengekori. Semua ini kita maklumi menerusi firman Allah dalam surah Al-Jin.



`Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.



`Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya"

(Surah Jin [72]: 8-9)

Maka, musibah-musibah, ujian dan dugaan, halangan dan rintangan, semua itu sering meninggalkan kesan umpama panahan petir kepada manusia. Ianya menghasilkan kepiluan, kesedihan, keputus asaan, dan tidak ketinggalan juga tekanan buat insan. Lantas, bagaimanakah cara untuk kita mengatasinya?

Tirulah konsep lightning conductor. Ia menyelamatkan sang bangunan, dengan cara "memandu" panahan kilat itu ke bumi. Lantas, insan, begitu ia diuji, begitu ia ditimpa musibah, begitu ia mendapat tekanan dan gangguan, halangan dan penderitaan, ia harus pantas mengarahkan dahinya untuk menyembah ke bumi. Sujud tunduk penuh patuh, dan penuh harap, pada Ilahi Rabbi. Merasakan kekerdilan insan, dan keagungan Izzati Rabbi. Itulah penyelesaiannya, itulah jalannya. begitulah cara menyelematkan jiwa seorang hamba, dengan kembali berharap hanya pada Dia Yang Maha Kuasa.

 
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar


 
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.


 
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:


 
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

(Surah Al-Baqarah [2]:153-156)

Konon, ketika Nabi Ibrahim hendak dibakar di dalam api, Jibril datang menawarkan pertolongan. Apa jawab Ibrahim A.S?: "kalau pada engkau, aku tak perlukan pertolongan." Begitulah Ibnu Katsir melalui bukunya Qishashul Anbiya': Ibrah li Ulul Albab menceritakan pengharapan dan pergantungan total Nabi Ibrahim A.S kepada kekuasaan Tuhan, bukan pada Jibril mahupun mana-mana makhluk ciptaan Tuhan.
 I
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah ALLAH untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)" (Surah Ali Imran [3]:173)
Amalkanlah prinsip yang digunakan lightning conductor dalam kehidupan. Bukan meniru gaya bas konduktor, yang mengutip wang daripada penumpang.
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"

Thursday, April 23, 2015

"(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya"

(Surah Al-Baqarah [2]:273)

 

Dulu saya memilih tema "empathy" untuk ayat Quran ini. Tetapi kini, saya memilih ayat ini sebagai dalil kepada sebuah tema yang lebih diperlukan oleh umat Islam dewasa ini, iaitu "sensitivity."

 

Terdapat khilaf fiqhi terhadap hukum solat qobliah sebelum Solat Jumaat. Apakah ada qobliah Jumaat, ataupun tidak. Namun, hal ini berbeza dengan solat ba'diah Jumaat. Kalau ada pun khilaf, sekadar apakah ba'diah Jumaat itu 2 rakaat, atau 4 rakaat. Namun, walaupun ba'diah Jumaat adalah sunnah yang sangat-sangat dituntut, itu tidak bererti anda harus hilang rasa "sensitivity", lalu bangun untuk solat ba'diah Jumaat betul-betul di hadapan pintu! Nah, jika sudah solatnya di hadapan pintu, bukankah pintu itu laluan orang, maka sudah barang tentu orang akan lalu di hadapan anda!

 

Dan lagi ibrah daripada Solat Jumaat; sungguh pun sunnah wudhu' itu diulang 3 kali setiap rukun, namun di sana ada juga yang Nabi SAW lakukan 2 kali, atau sekali. Yang penting wudhu' itu adalah meratakan air ke seluruh anggota yang rukun. Nah kalau iya pun sunnah wudhu' itu 3 kali, tapi pada kesesakan orang ramai mahu berwudhu' pada hari Jumaat, dengan pili airnya yang semakin mengecil seakan air akan habis bila-bila masa sahaja lagi, apakah wajar anda memperbanyakkan penggunaan air untuk wudhu', sedang masih ramai yang memerlukannya? Bukankah hadith turut memperingatkan untuk mengelakkan pembaziran dalam berwudhu', sungguh pun di dalam sungai yang mengalir? Sekali lagi, isunya di sini adalah: sensitivity!

 

Dan lagi, bila awak terlambat menghadiri Jumaat, terpaksalah anda park kereta secara tidak beretika. Maka sewajarnya jugalah begitu selesai sahaja Solat, anda segera keluar untuk mengalihkan kenderaan anda yang menghalang ratusan Jemaah lain yang punya keperluan, berbanding mahu berzikir, solat sunat dan seumpamanya. Bukankah surah Al-Jumuah sendiri menyatakan begitu selesai Solat (dan definisi selesai Solat itu adalah selesai salam. Bukan selesai sapu muka. Bukan selesai zikir. Bukan selesai doa) maka bertebaranlah di muka bumi. Untuk apa? Untuk dakwah? Untuk jihad? Untuk Ya Hanana? Bukan! Untuk mencari karunia Allah! Tapi mengapa yang sebaliknya yang berlaku? Aduh….isu sensitivity lagi…

 

Maka tatkala umat Islam tidak mampu mempunyai kepekaan sensitivity dalam hal-hal asas sebegini, apalah harapan untuk mereka punya sensitivity terhadap umat-umat beragama dan berbangsa lain? Hingga Islam terlihat begitu hodoh di hadapan mata masyarakat belum Islam, sedang Islam seharusnya tampil indah lagi rahmah kepada sekian alam.

 

Hmm…sensitivity, sensitivity….

Wednesday, April 1, 2015

[JOM]: Transmission Line

TRANSMISSION LINE

Cerita penggunaan tenaga elektrik bermula di Power Plant. Kemudian di hantar ke pencawang-pencawang, sebelum diagih-agihkan kepada setiap pengguna. Baik untuk kegunaan rumah-rumah (residential), mahupun kilang-kilang dan industri-industri (commercial / industrial).

Maka, secara ringkas, tempat di mana elektrik mula-mula dijanakan (yakni Power Plant) disebut sebagai generation. Kemudian penghantaran tenaga elektrik melalui menara-menara atau talian-talian Voltan tinggi (transmission line) disebut sebagai transmission, sedang pengagihan tenaga daripada stesen-stesen pencawang TNB pada Voltan yang telah diturunkan, disebut sebagai distribution. Kita sudah berceloteh panjang lebar tentang "alam generation" sebelum-sebelum ini. Kini, mari kita meneruskan kembara kita, kali ini ke "alam transmission".

Di bawah ini adalah gambar Transmission Line. Biasanya ia berlegar pada kapasiti 132kV, atau 275kV, malah 500kV juga. Pendek kata, elektrik melalui fasa transmission, harus pada Voltan berkapasiti sangat tinggi, hingga menjangkau beratus-ratus kilo-Volt. Namun, persoalannya ialah, para pengguna di rumah hanya memerlukan tenaga pada kapasiti Voltan 240V sahaja. Pada julat kilo-Volt, yang kita pakai (di rumah) rata-rata hanyalah 0.240 kilo-Volt. Di generation side pua, elektrik dihasilkan tidaklah pada range Voltan yang terlalu tinggi, sekitar 26kilo-Volt sahaja. Nah, mengapa Voltan itu harus dinaikkan ketika mahu di transmissionkan, daripada 26kV ke 500kV, jika andainya di akhir cerita tetap diturunkan ke julat 0.240kV sahaja. Mengapa tidak langsung diturunkan sejak awal? Bahkan, mengapa pula harus dinaikkan, malah setinggi 500kV pula tu?

Hal ini mengingatkan saya tentang analisa tentang sirah pemindahan Kiblat, pada saat-saat awal Hijrah ke kota Madinah. Banyak Tafsir, antaranya termasuklah Tafsir Al-Azharnya Pak Hamka dan Fi Zhilalnya Sayyid Qutb, yang menyatakan bahawa umat Islam ketika di Makkah, solatnya menghadap ke Ka'bah. Ke Baitullah. Begitu tiba di Madinah, datang perintah agar umat Islam solat menghadapkan wajah ke Baitul Maqdis. Dan hal ini berlangsung untuk sekitar 16 atau 17 bulan. Selepas itu, turunlah arahan-arahan, ayat-ayat Ilahi seperti pada permulaan Juz 2 Al-Quran, agar solat itu kembali berkiblatkan Baitullah di Makkah. Nah persoalannya, untuk apa solat itu dihadapkan ke Baitul Maqdis, andai tidak sampai pun 2 tahun selepas itu, solat itu kembali berkiblatkan Baitullah di Makkah? Seakan sama dengan persoalan kita tentang tenaga elektrik tadi, untuk apa Voltan dinaikkan ketika melalui transmission system, andai kemudiannya di bahagian distribution, Voltan itu akan kembali diturunkan?

Ustaz Anis Matta, Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS), parti Islam beraliran Ikhwan di Indonesia, mempunyai analisa menarik tentang hal ini. Di dalam bukunya "Arsitek Peradaban: Kumpulan Esei Penggugah Jiwa", peristiwa ini tersirat hikmah siyasatud da'wah (bahasa saya). Di Madinah, umat Islam akan hidup berdampingan dengan sebuah komuniti ahlul kitab yang secara social politiknya sangat berpengaruh; iaitu kaum Yahudi. Dan Yahudi, kiblat mereka adalah Baitul Maqdis. "Jadi," tulis Anis Matta, "peralihan kiblat itu merupakan upaya "bargaining politik" Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassallam untuk menarik simpati komunitas Yahudi."

Selain itu, komuniti Muslim yang baru terbentuk di Madinah itu masih memerlukan waktu untuk mengikat sosio-politik dan ideologi mereka, selain memerlukan waktu untuk beradaptasi yang cukup. Maka dalam kondisi sebegini, segala kemungkinan konflik dengan pihak "luar" harus sedapat mungkin dihindari, dan ini tentunya termasuk dengan komuniti Yahudi, yang memang "hobinya" itu adalah berkonflik.

Hanya setelah hubungan sosial sesama Muslim semakin erat, barulah ketika itu Ar-Rasul Shallallahu 'alaihi wassallam merasakan betapa perlunya "komuniti ideologi yang baru lahir" itu memiliki "simbol ideologi cultural"nya yang tersendiri, lalu Allah Azza Wa Jalla pun menurunkan ayat-Nya yang memperkenankan hajat Ar-Rasul dan sahabatnya itu, dengan perintah untuk kembali solat menghadap ke Baitullah, bersama pesanan agar mereka melanjutkan, mereka melaksanakan, mereka menghidupkan perintah ini dengan bekal sabar dan solat:

"Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan salat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Surah Al-Baqarah [2]:153)

Nah, lihatlah betapa hebatnya Islam mengajarkan strategi, yang sungguhpun kelihatannya sia-sia, yang sungguhpun tampaknya merugikan, yang sungguhpun tampil seakan tidak syari'e, tapi ternyata Islam tidak pernah alpa dan menidakkan persoalan strategi, demi mendapatkan keuntungan dan kejayaan di kemudian hari.

Voltan di naikkan ketika melalui Transmission Line yang jaraknya beratus-ratus kilometer itu, tujuannya untuk mengelak dan mengurangkan "kehilangan" -losses kita panggil dalam dunia engineering- yang menyebabkan terbazirnya tenaga elektrik dalam bentuk haba dan sebagainya, yang sangat mungkin terjadi andainya Voltan itu berlegar pada nilai Voltan yang rendah.

Nah, bukankah Perdamaian Hudaibiah ditentang oleh sekian ramai sahabat, saat Ar-Rasul memilih untuk menanda-tanganinya? "Bukankah kita berada di atas kebenaran dan mereka di atas kebatilan?" Protes Umar Al-Khattab radhiAllahu anh. "Bukankah korban yang mati di antara kita berada si Syurga dan korban yang mati di antara mereka berada di Neraka?" Hujahnya lagi. "Lalu ngapain kita merendahkan agama kita dan kembali, padahal Allah belum lagi membuat keputusan antara kita dan mereka?" Putra Al-Khattab meluahkan ketidak puas hatian nya. Ia tidak melihat hikmah Ilahiyah di sebalik strategi politik Sulhul Hudaibiah itu barangkali, yang dikemudian hari, terbukti brilliant, bijaksana dan menguntungkan dakwah Islamiyah keseluruhannya.

Lihatlah kebijaksanaan Islam dalam berpolitik. Kebijaksanaan Allah dan Rasul-Nya, yang bukan sekadar mengelakkan losses (kerugian) di pihak Islam, malah mampu mendistributionkan kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan ke pihak Islam.

Al-Marhum Syeikh Jum'ah Amin menyebutkan peristiwa Ar-Rasul Shallallahu 'alaihi wassallam tidak meruntuhkan Ka'bah dan membinanya kembali pada pondasi sepatutnya, sebagai salah satu fiqh dakwah, demi melihatkan umatnya ini baru saja keluar daripada kepompong Jahiliyah. "Tidak melakukan suatu tindakan kebaikan kerana khawatir orang salah paham lalu terjerumus dalam kesalahan lebih dalam lagi",  begitu tulis as-syeikh di dalam bukunya Ad-Da'wah, qawa'id wa Ushul.

Jarak yang ditempuh Transmission Line untuk menghantar elektrik dari pengeluar (generation) ke pengguna (distribution) itu jauh, maka perlukan "kebijaksanaan" untuk mengelolanya. Sebegitulah dengan perjuangan mengembalikan maruah dan kemuliaan itu juga panjang, juga jauh, maka turut memerlukan "kebijaksanaan", perlukan strategi, perlukan fiqih da'wah untuk menggerakkannya. Jika tidak, bersedialah untuk mengalami losses dan kerugian di dalam medan amal dan juangmu.

"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jika kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu" Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta."
(Surah At-Taubah [9]:42)

Barangkali kerana itu transmission line itu tinggi, kerana bukankah "Islam itu tinggi, dan tiada yang mampu menandingi ketinggiannya?"

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Pengamal "Rusmul Bayan"


Wednesday, March 18, 2015

Cinta Berakar Kesucian

"Cinta yang berakar dari kesucian selalu melahirkan keberkahan. Ismail yang meneteskan Muhammad Saw, adalah berawal dari kesucian cinta Ibrahim dengan Hajar. Semua nabi dan hamba-hamba Allah terpilih lahir dari kesucian cinta."
-Kang Abik, "Api Tauhid"-

Sunday, March 8, 2015

[JOM]: Generator

Ada 2 peralatan  yang berkeupayaan untuk menghasilkan tenaga elektrik: satu bernama bateri. Yang satu lagi bernama generator.

Namun bateri hanya mampu menghasilkan tenaga dalam kuantiti yang sedikit dan dalam tempoh yang limited, sehingga kita harus menyerahkan harapan kita kepada sang generator untuk menyalurkan power, menyalurkan tenaga, guna menerangi Negara seterusnya peradaban manusia. Ceh…..

Generator pula tidak mungkin mampu menghasilkan arus elektrik (diwakili degan symbol i) tanpa kehadiran pergerakan atau Force (diwakili dengan symbol F), serta juga kehadiran medan magnet (diwakili dengan symbol B). Nah, dek kerana arus elektrik memerlukan Force untuk dihasilkan, ini bererti para Jurutera Elektrik benar-benar merupakan "geng-geng baik", malah "hero" mungkin? kerana mereka sudah terbiasa dengan "force", ala-ala Jedi cerita Star Wars gitu. Haha….

Force di sini juga bermaksud Motion. Pergerakan. Kerana hakikatnya, sebagaimana poyo seorang Jurutera Elektrik cuba meyakinkan anda bahawa generator benar-benar mampu menghasilkan tenaga elektrik, hakikatnya manusia ini tiada daya mahu pun upaya untuk menghasilkan apa-apa pun. Generator hakikatnya hanya "menerjemahkan" tenaga elektrik daripada "Bahasa tenaga" yang lain, yakni daripada tenaga kinetic atau pun mekanik. Maka, kalau pergerakan "F" itu bisa dilihat sebagai "sunnah alam" (lebih tepatnya "sunnatullah"), medan magnet "B" pula ada fenomena ajaib yang tidak kelihatan. Dan orang-orang bertaqwa, kata Allah di dalam Surah Al-Baqarah, adalah mereka-mereka yang tidak keberatan untuk beriman terhadap hal-hal yang ghaib. Maka, jika umat Islam benar-benar ingin melihat agama ini kembali power, kembali bertenaga, dan kembali menerangi alam ini dengan nur cahaya Rabbani, maka para pencinta Islam harus sedar bahawa "arus Islam" itu tidak akan terhasil tanpa sunnatullah, yakni kerja-kerja berterusan para umat-nya, serta tanpa "hal-hal ghaib", yakni perkara-perkara syariatullah (keyakinan dan pergantungan terhadap kekuasaan Tuhan).

Nah, jika para hero-hero yang diabadikan di dalam Al-Quran, daripada para Nabi-nabi mahu pun orang-orang soleh, tidak pernah putus beramal, tidak pernah tamat berjuang, tidak pernah henti bergerak, demi menghasilkan sebuah "force" yang bisa menggemparkan, hubungan erat mereka dengan Allah menjadi satu lagi asbab kejayaan perjuangan mereka. Lihatlah syariatullah, kekuasaan Allah tatkala ia "menundukkan" hamba-hamba di kalangan hamba-Nya buat para kekasih-kekasih-Nya, seperti tatkala ia menundukkan api (menyejukkannya) buat Nabi Ibrahim, atau menundukkan besi buat Nabi Daud, mahu pun menundukkan ikan Nun buat Nabi Yunus. Hebat bukan?

Saudaraku,

Kerana itu agama ini menyerukan buat umatnya untuk sentiasa terus dalam kondisi beramal. Dan beramal.Dan beramal. Jangan pernah henti. Masakan para pencinta Islam mahu henti, sedang musuh-musuh agama ini sahaja tetap terus beramal dan memerangi kita di atas dasar fi sabilit thaghut. Nah, benarkah para Muslimin rela berpeluk tubuh, duduk diam dan tidak berharakah, lalu membiarkan sahaja agama ini dihinakan?

Firman Allah,
"Orang-orang yang beriman sentiasa berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir sentiasa berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan setan itu, karena sesungguhnya tipu daya setan itu adalah lemah"
(Surah An-Nisa' [4]:76)

Bukankah agama ini sebuah agama yang motion, harakah. Kerana agama ini sedar betul akan satu hakikat, betapa diam dan static itu membawa kepada "kematian". Seperti ikan di air: bila ia static, apa akan jadi? Jadi ikan masih, kerna ikan yang tidak bergerak adalah ikan yang sudah mati.

Bila seorang manusia menghabiskan harinya hanya dengan baring tidur atau duduk static dihadapan t.v, apa akan jadi? Akan naik lemak. Lalu datanglah sakit jantung, kolestrol, dan pelbagai macam penyakit lainnya.

Lalu kerana itu solat yang tidak memerlukan kepada pergerakan adalah solat mayat. Dan air yang static, bertakung, tidak ke mana, tidak dibenarkan untuk kita kencing ke dalamnya. Kerana sudah menjadi salah satu syarat kemenangan agama ini, adalah bagaimana para pejuangnya memenangi laga di medan sunnatullah ini. Maka siapa yang kuat beramal, dialah yang akan beroleh hasilnya. Firman Allah:

"dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.
Dan bahwasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya)"
(Surag An-Najm [53]:39-40)

Jika para musuh lebih hebat amal pergerakan, maka wajar Allah anugerahkan kemenangan buat mereka.Bukankah Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, selama mereka tidak beramal bersungguh bagi mengubahnya? Lalu jika kedua-dua Islam dan musuh Islam sama hebat dari segi amal pergerakannya, apakah itu bererti kemenangan dan kemuliaan Islam hanya merupakan mimpi indah di pagi hari? Jawapannya tidak! Bukankah Allah telah berfirman:

"Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya mereka pun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"
(Surah An-Nisa' [4]:104)

Ingat, motion semata-mata tidak akan ke mana tanpa magnetic field ini. Dan kekuataan magnet ini, bergantung kepada kamu untuk menjananya.

Lalu dengan kekuatan hubungan dengan Ilahi ini, kemudian bercambah menjadi kekuatan persatuan, kekuatan ukhuwah, kekuatan persaudaraan. Hingga jadilah umat ini satu shaf umpama bangunan yang tersusun kukuh, persis yang digambarkan di dalam Suratus Shaf.

Tapia pa akan jadi jika kekuataan "magnetic" ini dilupakan. Lihatlah apa yang terjadi kepada Bani Israel yang pernah sebelum ini melupakannya: mereka ditimpa kehinaan!

"Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu karena mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui batas."
(Surah Ali Imran [3]:112)

Saudaraku,

Jika benar anda jujur terhadap kecintaanmu terhadap Allah, kecintaanmu terhadap Rasul, dan kecintaanmu terhadap Islam, binalah kekuatan hubunganmu dengan Tuhan, dan bergeraklah mengajak orang lain membina kekuatan yang sama. Dengan cara sebeginilah Islam kan kembali gemilang, bukan dengan cara sekadar program-program gah atau penampilan nan megah. Inilah jalan para Jedi. And let the force be with you…. Always.